Aktiviti Dakwah

Dugaan Hijrah Tanda Allah Sayang

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Penghijrahan saya bukan satu perjalanan yang seronok kerana tidak dikatakan seorang beriman kalau tidak diuji,” kata pelakon Adam Corrie Lee Abdullah.

Katanya, dua ujian besar buat saya iaitu ketika dipulaukan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan serta menghadapi masalah kewangan hingga rumah hampir dilelong, kereta ditarik dan berkongsi makan mi segera atau roti canai bersama isteri.

Adam berkongsi kisah suka dukanya di Program Bicara Hijrah Pengukuhan Iman dan Amal anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan (PBWP) bertempat di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 1 September lalu.

Program tersebut dihadiri seramai 100 saudara baharu berketurunan Cina, India, Bidayuh, Iban, Kadazan dan warga dari negara Thailand, Filipina, Indonesia dan Afrika.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Dr. Suariza Hidayah Muhammad; Pegawai Dakwah dan Kerja PBWP, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan dan Pengerusi Biro Dakwah PBWP, Amran Anbarasu Abdullah.

Jelas Adam, ada hikmahnya bila beliau dipulaukan oleh orang sekelilingnya selepas memeluk Islam. Di saat itu, Allah SWT mendorongnya mempelajari Islam dan berguru supaya memahami serta mendalami agama yang sebenar.

Setelah mendalami ilmu secara tidak langsung pelakon KL Gangster itu dapat memperlihatkan akhlak Islamiah kepada keluarga dan rakan-rakan sekali gus menyampaikan kecantikan Islam.

Jelas Adam lagi, sebelum kembali ke fitrah dahulu, apa sahaja hasrat dan impiannya akan diusahakan bersungguh-sungguh hingga mencapai cita-citanya menjadi juara penari Cina Hip Hop Profesional di Malaysia dan  setelah itu beliau meneruskan menjadi koreografer tarian.

Beliau yang dahulunya hidup dalam serba kemewahan, reda ketika diuji apabila memilih Islam dan terpaksa menghadapi kesusahan apabila tiada sebarang kerja dan berlapar kerana tiada pendapatan.

“Kami lebih banyak berpuasa dari makan kerana tiada pendapatan dan bila tiba waktu berbuka puasa tiada apa hendak makan cuma dengan air kosong sahaja,” rintih Adam ketika menghadapi kesusahan di samping isterinya, Fazema Mohd. Fuad.

Katanya, beliau pernah menebalkan muka untuk memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam keadaan pegawai terbabit hairan dengan permohonan yang dibuat.

Sehinggalah beliau dipesan oleh gurunya supaya bangun pada setiap malam untuk bermunajat, mengadu dan bertahajud kepada Allah SWT meminta apa yang dihajati.

Setelah itu, Allah bukakan jalan dan pintu rezeki satu persatu serta beliau dapat melangsaikan segala pembayaran rumah, kereta, bil utiliti dan sebagainya.

“Apa niat kita memeluk Islam itu niat antara kita dengan Allah SWT dan Allah tetap bagi taufik dan hidayah-Nya,” kata Adam yang asalnya bernama Frankie Lee memeluk Islam pada 13 Julai 2007 di PERKIM Kebangsaan.

Adam berhijrah kerana mendapat hidayah ketika bermimpi seperti berada di syurga, lalu didatangi seorang yang bercahaya putih, mukanya bersih tersenyum dan memberitahu Islam adalah peganganmu.

Hijrah itu bermula dengan niat seperti mana mengikut hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, dari Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya akan dapat Allah dan RasulNya. Barang siapa hijrahnya kerana dunia untuk mendapat habuannya, atau kerana seseorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

“Impian saya selepas menguasai solat lima waktu ialah menjadi tetamu-Nya di tanah suci Mekah dan Allah SWT menjemput saya setelah 10 bulan memeluk Islam,” ujar Adam.

Demi agama dan mualaf, beliau mengasaskan Pertubuhan Kembara Iman Saudara Baru bagi memberi peluang kepada mereka menunaikan umrah.

Adam berjaya membawa seramai 27 peserta pada tahun 2015 dan 58 peserta pada tahun 2016.

Selain itu, beliau turut mentarbiahkan rakan-rakannya supaya lebih dekat dengan Allah setelah menuntut ilmu agama dan mendampingi guru.

Beliau turut berpesan kepada saudara baharu supaya tidak berdebat setelah menguasai ilmu agama dan mengamalkannya.

“Walau sesukar mana sekali pun kita mesti berusaha dan janganlah kita hendak hidup senang dengan meminta bantuan sahaja sedangkan Nabi Muhammad SAW tidak pernah hidup senang, apatah lagi kita yang baru memeluk Islam.

“Jika para Nabi pun Allah beri ujian dengan sehebat itu, apatah lagi kita manusia biasa,” kata Adam ketika menceritakan kisah dan ketabahan Nabi Ayub menanggung penyakit kulit selama 18 tahun kepada peserta.

Ada golongan yang taat, tetapi dia hidup dalam kesempitan manakala golongan yang bergelumang dengan dosa memperoleh nikmat kesenangan, itulah dinamakan istidraj di mana pemberian itu sebenarnya tidak diredai Allah. Mereka memperoleh nikmat dunia sama ada dalam bentuk harta, takhta mahupun wanita.

“Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu berbuat maksiat, ketahuilah orang itu menerima istidraj daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kalau kita masuk Islam bukan kerana Allah, kita tidak akan mengecapi kebahagiaan-Nya dari yang Maha Pencipta.

Adam turut bergembira kerana dapat berkongsi ilmu bersama-sama saudara seagama dari pelbagai kaum yang dan berharap peserta tidak putus berdoa kerana doa adalah senjata orang Mukmin.

Jikalau kita bersabar, darjat kita tinggi di sisi  Allah SWT kerana Allah sentiasa bersama orang yang bersabar.

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Ibrahim: ayat 7)


Sebelum itu, peserta rancangan Da’i Musim 6, Dai Danial menyingkap ibrah penghijrahan Rasulullah SAW yang merupakan peristiwa agung permulaan agama Islam disebarkan ke serata dunia.

Menurut hadis Riwayat Imam Bukhari, daripada Ibn Abbas RA mengatakan maksudnya: “Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Mekah selama 13 tahun. Kemudian baginda menerima wahyu daripada Allah dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusaia 63 tahun.”

Danial atau nama sebenarnya Muhammad Danial Aidil Jaffar berkata, antara keistimewaan hijrah ialah Allah mengurniakan keampunan dan syurga serta memperoleh darjat yang tinggi di sisi Allah.

Antara faedah peristiwa hijrah ialah mengembalikan keistimewaan Islam, keperluan berusaha bersungguh-sungguh, pertolongan Allah bersama orang Mukmin dan memimpin perubahan serta transformasi.

Danial berkelulusan Universiti Al-Azhar itu mengajak peserta supaya istiqamah dalam penghijrahan dengan niat yang betul, mencari ilmu yang benar, berjumpa dengan orang soleh, berdoa, sering berzikir, mengambil manfaat daripada kisah orang lain dan selalu menghadiri majlis ilmu.


Sesi pendaftaran peserta program Bicara Hijrah Pengukuhan Iman dan Amal.


Adam berkongsi kisah beliau memeluk Islam kepada peserta.


Antara 100 peserta saudara baharu pelbagai bangsa yangg hadir.


Walau sesusah mana sekali pun kita perlu berusaha, nasihat Adam kepada saudara baharu PERKIM.


Adam menasihatkan saudara baharu agar terus menuntut ilmu dan belajar mendalami Islam.


Dai Danial menyampaikan pengertian hijrah kepada peserta.


Danial turut menyingkap ibrah penghijrahan Nabi Muhammad SAW kepada saudara baharu.


(Dari kiri): Amran Abdullah, Adam Corrie, Dai Danial, Anuar Putih dan Dr. Suariza Hidayah Muhammad.

Related Articles

Back to top button