Aktiviti Pendidikan

PERKIM, PHICA Anjur Kursus Fardu Ain, Urus Jenazah Kepada Umat Islam Daerah Memot

𝐌𝐄𝐌𝐎𝐓, 𝟐𝟕 𝐌𝐄𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Bagi meningkatkan kefahaman agama dan melahirkan komuniti Islam yang celik agama, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Kursus Fardu Ain dan Pengurusan Jenazah bertempat di Wilayah Tbong Khmum dekat sini.

Program yang diadakan selama lima hari itu mendapat kerjasama erat daripada Parents Hope in Community Association (PHICA) bermula dari 22 hingga 26 Mei 2025.

Menurut 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗡𝘂𝗿 𝗦𝘆𝗮𝗵𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗠𝘂𝘀𝗮, program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan dan bimbingan praktikal berkenaan fardu ain dan pengurusan jenazah kepada penduduk kampung Islam di kawasan tersebut.

Jelasnya, beliau yang dibantu oleh Sukarelawan PERKIM, Ustaz Muhamad Zulhilmi Ah Mat Limit berkata, program tersebut memberi fokus yang terperinci dan menyeluruh pengajaran ilmu fardu ain dan pengurusan jenazah kepada masyarakat desa.

Tambahnya lagi, program itu melatih dan melahirkan individu yang mampu menjadi rujukan dalam komuniti masing-masing dalam hal ehwal fardu ain dan pengurusan jenazah, sekali gus mengukuhkan jati diri dan semangat tolong-menolong dalam masyarakat.

Secara tidak langsung, program tersebut membentuk masyarakat yang berilmu, beramal dan berakhlak mulia selaras dengan ajaran Islam, khususnya dalam kawasan pedalaman yang mungkin kurang mendapat akses kepada pendidikan agama formal.

Ilmu Fardu Ain yang meliputi aspek ibadah harian seperti solat, bersuci, puasa, zakat dan asas akidah diberi bimbingan agar mereka dapat melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.

Ia juga memberi pendedahan peserta kepada pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam mengurus jenazah seperti memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengebumikan agar komuniti dapat mengurus kematian secara beradab dan mengikut syarak serta menepis persepsi yang bercanggah dengan syariat Islam.

Menurut Nur Syahirah lagi, program tersebut diadakan di beberapa buah kampung di Daerah Memot.

Daerah Memot merupakan pekan yang terletak di timur ibu kota wilayah Kampong Cham dan ia mengambil masa empat jam perjalanan dari Phnom Pehn.

Perjalanan yang mengambil masa empat jam dari Lapangan Terbang Phnom Penh ke Daerah Memot, Nur Syahirah dan Zulhilmi sempat singgah di Masjid Al-Serkal yang merupakan masjid utama dan terbesar di Phnom Penh.

Menurutnya lagi, masjid tersebut memainkan peranan penting sebagai pusat ibadah dan komuniti bagi umat Islam minoriti di Kemboja, terutamanya masyarakat Cham.

Daerah Memot merupakan sebuah daerah yang bersempadan dengan Vietnam di sebelah timur. Daerah ini mempunyai sebanyak 15 buah perkampungan Islam dan seramai 2,369 yang menganut agama Islam.

Antara lapan buah kampung yang terlibat diberi kursus tersebut ialah Kampung Prambi Makara, Bori Dejor, Break Bui, Suhai, Seduij, Sala Phnom, Andung Tajo dan Kilo 31.

Penduduk kampung itu diberikan ilmu agama secara berstruktur berkenaan hal ehwal fardu ain dan pengurusan jenazah mengikut lunas serta syariat Islam yang sebenar.

Ujar Nur Syahirah lagi, beliau dan Zulhilmi menyampaikan ilmu kepada penduduk desa menggunakan Bahasa Melayu dan diterjemahkan semula dalam Bahasa Cham atau Bahasa Khmer oleh wakil PHICA.

Menurut wakil PHICA, Ustaz Muslim Ismael dan Ustazah Juwairiah Hj Ahmad, kursus ini diwujudkan hasil daripada keperluan mendesak masyarakat Muslim setempat yang kurang mendapat akses kepada pendidikan Islam secara formal, khususnya dalam pengurusan jenazah.

“Kursus ini julung kali diadakan kepada penduduk kampung Islam di daerah Memot dan mereka menyambut baik pdengan kehadiran peserta yang sangat menggalakkan.

“Kursus pengurusan jenazah sangat penting diajarkan kepada penduduk kampung supaya mereka mengetahui cara sebenar menguruskan jenazah yang diajarkan oleh Nabi dan dapat membezakan di antara perkara sunat dan amalan atau budaya yang diamalkan secara turun temurun,” jelas Ustaz Muslim.

Aktiviti sepanjang program termasuk sesi ceramah interaktif, demonstrasi praktikal, dan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada peserta untuk lebih memahami ilmu yang disampaikan.

Para peserta turut menyuarakan rasa syukur dan berterima kasih atas peluang yang diberikan dan berharap program sebegini dapat diteruskan di masa akan datang.

Jelas Nur Syahirah, secara keseluruhan, program itu memberi manfaat dan ilmu kepada penduduk Islam di daerah Memot untuk menguruskan jenazah mengikut cara yang diajar oleh Islam.

Selain itu, beberapa perkara tambahan juga dicadangkan sebagai penambah baikan seperti setiap kampung mempunyai kit jenazah, pasukan pengurusan jenazah yang terlatih dan mewujudkan khairat kematian.

Beliau berharap ia dapat diadakan secara berkala dan susulan bagi mengubah pemikiran, persepsi dan cara hidup masyarakat setempat.


Nur Syahirah dan Zulhilmi singgah di Masjid Al-Serkal yang merupakan masjid utama dan terbesar di Kemboja sebelum ke daerah Memot.


Program Kursus Fardu Ain dan Pengurusan Jenazah dirasmikan oleh Wakil Rakyat Wilayah Tboung Khmum.


Masjid yang diadakan kursus fardu ain dan pengurusan jenazah.
Sukarelawan PERKIM, Ustaz Zulhilmi menyampaikan kursus fardu ain dan pengurusan jenazah secara teori sambil diterjemahkan oleh Ustazah Juwairiyah.


Satu-satunya kampung yang mempunyai set kit jenazah di Masjid Kampung Prambi Makara.


Ustaz Zulhilmi mengendalikan praktikal mengkafankan jenazah.

 
Nur Syahirah (kanan) bergambar bersama penduduk kampung Break Bui.

Sesi praktikal pengurusan jenazah yang disampaikan oleh Ustaz Zulhilmi dan diterjemah oleh Ustzh Juwairiyah.

Masyarakat kampung mendengar, memahami dan mencatat ilmu yang disampaikan.

Ust Muslim (kiri) sedang menterjemah ke dalam bahasa Cham.


Para peserta kursus di Prambi Makara.

Salah satu masjid di Tboung Khmum yang menjadi pusat ibadah penduduk Cham untuk menunaikan solat harian dan sembahyang Jumaat.

Related Articles

Back to top button