Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat Sampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kelas PERKIM 2023
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 27 JULAI 2024 – Bagi menghargai kejayaan dan kecemerlangan kepada pelajar mualaf, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) 2023.
Majlis yang dihadiri lebih 180 orang itu terdiri daripada pelajar saudara baharu KPIPK diadakan bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini, pada pagi Sabtu
Penganjuran majlis itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan serta disusuli dengan bacaan doa disampaikan oleh Pelajar Kelas Pertengahan KPIPK, Muhammad Muhaimin Lim Abdullah.
Majlis tersebut telah diacarakan sepenuhnya oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Majlis diserikan lagi dengan amanat Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam amanatnya mengucapkan rasa syukur kerana dapat dipertemukan dengan saudara baharu yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Cina, India, Kadazan, Iban, Sikh, Murut serta warga negara dari Filipina, Indonesia, Thailand dan lain-lain.
Katanya, kita bersyukur kerana kita telah menjadi Muslim dan kita sebagai orang Islam bukan semua orang Islam dapat bertemu di majlis seumpama ini kerana saudara-saudara kita di negara-negara lain yang memeluk Islam tidak dapat menikmati pertemuan dan meraikan aktiviti ini.
Kita haruslah bersyukur kerana kita memeluk agama Islam dan berada di negara Malaysia kerana tidak banyak negara yang menganjurkan aktiviti bagi memberi anugerah dan penghargaan mualaf yang cemerlang.
Ujar Dr Yusof Noor, PERKIM ini hanya sebuah pertubuhan yang hidup kerana jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Kita perlu bersyukur kerana kita telah diberi peluang untuk berkomunikasi dengan Allah SWT sebanyak lima kali sehari semalam dengan menyebut kalimah-kalimah dan doa-doa tertentu.
Perkataan pertama kita berinteraksi dengan Allah SWT ialah menyebut Allahuakbar yang bermaksud Allah Maha Besar yang diajar oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Setelah kita kembali ke agama fitrah, tentunya kita akan berfikir tugas kita sebagai orang Muslim berbanding sebelum memeluk Islam.
Kita sebagai Muslim berkewajipan untuk mendekati Allah SWT dengan melaksanakan perintahNya iaitu solat lima waktu sehari semalam yang juga merupakan Rukun Islam kedua.
Setelah takbiratul ihram, kita akan membaca doa iftitah di mana ia merupakan satu bentuk permohonan ampun dan pengakuan terhadap kebesaran Allah SWT, serta permohonan agar dijauhkan dari dosa dan kesalahan.
Walaupun ia sunat muakad, ia membantu mempersiapkan hati dan jiwa untuk memasuki ibadah solat dengan penuh khusyuk dan tawaduk.
Selepas doa iftitah, kita akan membaca Surah Al-Fatihah yang merupakan rukun solat dan ianya wajib dalam setiap rakaat solat dan tidak sah solat seseorang tanpa membaca surah ini.
Ia mengandung pujian kepada Allah, pengakuan ketergantungan kepada-Nya, dan permohonan petunjuk ke jalan yang benar.
Dr Yusof Noor menggesa agar pelajar membaca dengan kemas dan betul serta menumpukan bacaan dan makna Surah Al-Fatihah, meskipun mereka orang Amerika, England atau Afrika, mereka wajib membacanya dengan sebutan Arab.
Beliau turut berpesan kepada pelajar, sekiranya mereka telah menamatkan pengajian di PERKIM, mereka perlu berusaha untuk meningkatkan pengajian agama Islam mereka di tempat lain kerana orang yang mengajar pun masih lagi mencari ilmu.
Dr Yusof Noor turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada MAIWP kerana membantu menjayakan majlis bersama pelajar-pelajar.
Beliau mengajak pelajar supaya mendoakan agama Islam agar selamat daripada semasa ke semasa kerana pihak yang menyerang Islam tidak berkesudahan.
Kini, ada usaha negara tertentu untuk menerbitkan al-Quran palsu gabungan di antara kitab-kitab agama tertentu.
Jelasnya, negara Amerika dan Eropah di antara negara yang berkembang Islamnya dengan pesat.
Pihak pemerintah semakin takut kerana rakyat mereka berbondong-bondong masuk Islam di mana mereka merupakan antara golongan bangsawan, cendiakawan, hartawan dan korporat.
Maka cara musuh Islam untuk menghancurkan Islam ialah dengan memalsukan al-Quran, tetapi al-Quran tidak akan hilang kerana ia berada di dalam ingatan Rasulullah SAW, sahabat-sahabat Nabi dan para penghafaz al-Quran.
Meskipun Al-Quran itu dibakar, ianya akan kekal kerana ia merupakan satu mukjizat.
Dr Yusof Noor diiringi Pengarah Dakwah Kanan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin serta Pengarah Unit Pembangunan Pendidikan dan Operasi, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad untuk menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang tahap Pra Asas, Asas, Pertengahan, Lanjutan dan Tahsin.
Muhammad Yusof Kalidas dinobatkan pelajar cemerlang tahap asas manakala pelajar cemerlang tahap pertengahan disandang oleh Erna Uluk Abdullah dan Nur Azlin Abdullah Mendoza menerima anugerah pelajar cemerlang tahap lanjutan serta pelajar cemerlang tahap tahsin diraih oleh Bainah Abdullah.
Pelajar cemerlang tahap pra asas diterima oleh Yahya Itai dan mereka masing-masing menerima sijil penghargaan, piala anugerah dan wang sagu hati.
Dr Yusof Noor turut menyampaikan anugerah aktiviti cemerlang kategori membaca al-Quran, hafazan, laungan azan dan pengetahuan Islam kepada pelajar KPIPK.
Johan pertandingan membaca al-Quran disandang oleh Yusni Jabar manakala membaca al-Quran saudara baru diraih oleh Erna Uluk Abdullah dan Amin Sim Tse Ming pula mendapat johan bagi pertandingan pertandingan pengetahuan Islam serta pertandingan laungan azan dijuarai oleh Muhammad Johnson Gantinius.
Nur Aliyah Pingo merangkul johan bagi pertandingan Hafazan al-Quran dan mereka masing-masing menerima sijil penghargaan, piala pertandingan serta wang sagu hati.
Bagi anugerah guru cemerlang pula diraih oleh Ustaz Haji Ishak Othman bagi tahap asas, Ustaz Mohd Noor Ihsan Kamaruzaman guru cemerlang bagi tahap pertengahan manakala Ustaz Abdul Qawi Navine Abdullah merupakan guru cemerlang bagi tahap lanjutan dan guru cemerlang tahap tahsin dianugerahkan kepada Dr Aisyah Jami’an serta Dr Mohd Faisal Mohamed merupakan guru cemerlang bagi tahap umum.
Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.
Dato’ Razali menyambut ketibaan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Farhan Tee mengacarakan Majlis Anugerah Kecemerlangan KPIPK 2023.
Muhammad Muhaimin Lim Abdullah selaku Pelajar Kelas Pertengahan KPIPK memimpin bacaan doa.
Barisan guru dan para pelajar KPIPK menadah tangan ketika doa dibacakan.
Saudara baharu di kalangan pelajar mengaminkan doa yang dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapannya di majlis anugerah kecemerlangan tersebut.
Jelas Dr Yusof Noor, kita perlu bersyukur kerana bukan semua orang yang memeluk Islam dapat bertemu dan dianugerahkan di majlis seumpama ini di negara-negara lain.
Tan Sri Setiausaha Agung PERKIM turut berpesan supaya pelajar yang telah tamat pengajian supaya meningkatkan pengajian agama Islam mereka di tempat yang lebih tinggi.
Antara wajah-wajah ceria pelajar KPIPK di majlis anugerah tersebut.
Muhammad Yusof Kalidas menerima sijil anugerah dan trofi daripada Dr Yusof Noor selaku pelajar cemerlang tahap asas KPIPK.
Dr Yusof Noor menyampaikan sijil anugerah dan trofi Anugerah Kecemerlangan KPIPK 2023 Tahap Pertengahan kepada Erna Uluk Abdullah sambil diiringi Dato’ Razali dan Dr Suariza.
Nur Azlin Abdullah Mendoza menerima sijil anugerah dan trofi daripada Dr Yusof Noor selaku Pelajar Cemerlang Tahap Lanjutan KPIPK 2023.
Bainah Abdullah menerima sijil anugerah dan trofi Pelajar Cemerlang Tahap Tahsin KPIPK 2023 disampaikan oleh Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyampaikan sijil penghargaan dan trofi kepada johan pertandingan Tilawah Al-Quran kategori saudara baharu, Erna Uluk Abdullah.
Yusni Jabar merangkul johan pertandingan Tilawah Al-Quran kategori asal Islam yang menerima sijil penghargaan dan trofi daripada Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyampaikan sijil penghargaan kepada johan pertandingan Hafazan Al-Quran, Nur Aliyah Pingo.
Amin Sim Tse Ming menerima sijil penghargaan dan trofi daripada Dr Yusof Noor selaku johan pertandingan pengetahuan Islam.
Dr Yusof Noor menyampaikan sijil anugerah dan trofi kepada guru cemerlang tahap asas, Ustaz Haji Ishak Othman.
Ustaz Mohd Noor Ihsan Kamaruzaman menerima sijil anugerah dan trofi guru cemerlang bagi tahap pertengahan daripada Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyampaikan sijil anugerah dan trofi kepada guru cemerlang tahap lanjutan kepada Ustaz Abdul Qawi Navine Abdullah.
Dr Aisyah Jami’an menerima sijil anugerah dan trofi guru cemerlang tahap tahsin daripada Dr Yusof Noor.
Barisan kepimpinan PERKIM dan para pelajar KPIPK bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.
Peserta mengambil bungkusan makanan tengah hari selepas majlis berakhir.