Pengumuman

Infak Al-Quran Edisi Khas Mualaf

 

Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al Quran, maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut. Satu kebaikan itu dilipatkan menjadi 10 kebaikan semisalnya dan aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) merupakan salah satu organisasi dakwah Islamiah yang menjalankan misi utamanya iaitu pengislaman kepada saudara baru di seluruh negara.

Organisasi yang ditubuhkan sejak 1960-an itu mempraktikkan penyebaran syiar dakwah Islamiah berdasarkan kerja-kerja kebajikan yang terbukti telah memberi manfaat kepada semua kelompok masyarakat, sekali gus dapat meningkatkan imej Islam serta menghapuskan sebarang prasangka buruk terhadap Islam.

Buat julung kalinya, PERKIM telah menerbitkan Al Quran Edisi Khas bersempena Hari PERKIM ke-63 tahun dilancarkan oleh Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Februari 2023 lalu di Persidangan Dakwah Kebangsaan bertempat Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Al Quran ini merupakan cetakan khas untuk mualaf yang baru memeluk agama Islam diterbitkan oleh PERKIM diiringi terjemahan Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu.

Bertemakan ‘Satu Mualaf, Satu Al-Quran’, ia diterbitkan bertujuan untuk diberikan secara percuma kepada mualaf selaras dengan jumlah pengislaman yang ramai di Malaysia dan juga di kalangan warganegara asing.

Secara tidak langsung, Al-Quran memberikan panduan, kefahaman dan cara hidup kepada mualaf yang baru berjinak-jinak untuk mengenal agama Islam.

Harapan PERKIM ialah penerima naskhah Al-Quran ini akan memanfaatkan sepenuhnya pemberian yang diberikan dan semoga Allah SWT akan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada para penginfak.

Projek Infak Al-Quran ini bermula dari serendah RM1.00 dengan menyalurkan ke akaun Bank Rakyat Surau PERKIM bernombor 1101890604.

Maklumat lanjut, sila hubungi 03-4042 6224 / 03-4041 2482 atau emelkan kepada info@perkim.net.my

Related Articles

Back to top button