Aktiviti Dakwah

Kursus Intensif Fardu Ain (Bahasa Tamil) Kukuhkan Kefahaman Mualaf India

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2025 – Seramai 21 saudara baharu berbangsa India mengikuti Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Bahasa Tamil) anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Grand Continental, Chow Kit di sini.

Kursus yang bermula pada 12 September lalu itu memberi tumpuan kepada pengisian ilmu asas agama, latihan praktikal ibadah, sesi motivasi dan tarbiyah rohani, sekali gus menjadi wadah penting dalam membimbing saudara baharu untuk lebih memahami Islam serta memantapkan keyakinan mereka terhadap agama yang baru dianuti.


Kursus dibuka secara rasmi oleh Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah yang turut menyampaikan ucapan motivasi penuh inspirasi dalam bahasa Tamil.

Beliau menegaskan bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara, justeru setiap Muslim perlu menggunakannya sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Hari ini kita hidup, esok mungkin kita tiada. Janganlah kita tertipu dengan dunia. Sebaliknya, gunakan kehidupan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.

Ustaz Fitri yang juga seorang mualaf berbangsa India, berkongsi kisah peribadi bagaimana beliau tersentuh dengan hujah Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din dalam Forum Perdana Ehwal Islam hingga akhirnya memilih Islam pada tahun 1991.

Beliau menekankan bahawa proses mempelajari agama memerlukan kesabaran dan pengulangan, kerana tidak semua ilmu dapat difahami dengan segera.

“Kalau ada yang tidak tahu, bertanyalah. Saya sendiri masih belajar walaupun sudah lama dalam Islam. Ada ilmu yang kita pelajari hari ini, esok mungkin kita lupa, jadi perlu diulang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan peserta tentang kewajipan solat sebagai tiang agama. Menurutnya, solat bukan sekadar ritual, tetapi sumber kekuatan rohani yang memandu umat Islam menghadapi cabaran hidup.


Sementara itu, Penyelaras Program, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah, menjelaskan kursus intensif ini dirancang untuk memberi pendedahan menyeluruh dalam bahasa Tamil supaya peserta lebih mudah memahami ajaran Islam. Antara pengisian awal termasuklah pengenalan Fardu Ain merangkumi bersuci, wuduk, mandi wajib serta bacaan asas solat.

Beliau menekankan bahawa solat berjemaah menjadi antara latihan paling penting. Kaedah bacaan kuat (jahar) diamalkan supaya peserta dapat mendengar dengan jelas dan menirunya dengan betul sepanjang kursus ini.

“Ramai peserta berjaya memperbaiki bacaan selepas beberapa kali mengikuti solat berjemaah,” katanya.

Sebelum itu, Ustaz Abdul Ghani Krishana Moorthy selaku Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Serendah menyampaikan slot ceramah bertajuk Pengenalan Rukun Iman.

Beliau menghuraikan enam perkara asas akidah dengan gaya mudah difahami, sambil menekankan bahawa setiap Muslim wajib yakin kepada ketetapan Allah.

Pada hari kedua pula, kursus dimulakan dengan solat Subuh berjemaah yang dipimpin Ustaz Jais Mariappan sebelum peserta menyelami pengisian ilmiah bersama penceramah jemputan.

Ustazah Nur Nazirah Vaniey, Panel Penasihat Akidah Jabatan Mufti Selangor, Perak dan Pulau Pinang membicarakan topik Pengenalan Rukun Islam. Beliau menegaskan bahawa lima rukun Islam bukan sekadar syiar agama, tetapi panduan hidup dalam membina akhlak mulia.

“Rukun Islam adalah asas utama: syahadah, solat, zakat, puasa Ramadan dan haji. Kelima-limanya tidak boleh dipisahkan kerana ia merupakan tiang agama,” jelasnya.

Selepas itu, Ustaz Jais Mariappan turut menyampaikan slot ceramah bertajuk Pengenalan Bersuci Dalam Islam.

Beliau menghuraikan konsep taharah, perbezaan hadas kecil dan besar, kaedah wuduk, mandi wajib, tayammum serta cara menyucikan najis.

Untuk mengukuhkan pemahaman, peserta menonton tayangan video panduan wuduk dan mandi wajib sebelum dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi melaksanakan latihan amali di kolam renang hotel.

Fasilitator berpengalaman terdiri daripada Ahmad Hasaidi Said, Muhamad Fardly Johan, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin dan Farah Irisha Hazlizam membimbing setiap peserta memperbetulkan cara wuduk dan mandi wajib secara praktikal.

Selepas solat Asar, peserta diberikan bimbingan khusus mengenai pergerakan dan bacaan solat yang betul.

Sesi ini membantu mereka mengatasi kekeliruan serta membina keyakinan untuk mendirikan solat dengan sempurna.

Pada sebelah malam, suasana lebih santai apabila diadakan Kuiz Fardu Ain yang menguji pengetahuan peserta mengenai Rukun Islam, Rukun Iman, bersuci dan sirah Nabi Muhammad SAW.

Aktiviti interaktif itu mencetuskan semangat persaingan sihat selain mengukuhkan kefahaman yang diperoleh sepanjang kursus.

Beberapa peserta turut berkongsi kisah perjalanan mereka memeluk Islam, ada yang melalui cabaran besar termasuk penentangan keluarga, namun kekuatan iman mendorong mereka memilih Islam sebagai jalan hidup.

Hari terakhir kursus dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan tazkirah oleh Ustaz Jais Mariappan yang mengingatkan peserta tentang hakikat kehidupan sebagai perjalanan menuju kematian. Katanya, setiap detik kehidupan adalah peluang memperbaiki diri melalui amal soleh.

“Tarbiyah adalah proses sepanjang hayat. Ujian yang datang bukan untuk melemahkan sebaliknya untuk menilai sejauh mana keteguhan iman kita,” katanya.

Selepas sarapan, Ustaz Mohd Naim Islam Abdullah, Pegawai Divisyen Pembangunan Mualaf dan Sosial, Lembaga Zakat Negeri Kedah menyampaikan ceramah bertajuk Pengurusan Keluarga Dalam Islam.

Beliau menegaskan bahawa segala sesuatu adalah ciptaan Allah SWT dan manusia tidak berkuasa memberi nyawa kepada makhluk. Justeru, penyembahan selain Allah adalah kesilapan besar.

Dalam sesi tersebut, beliau turut menasihatkan saudara baharu mengenai cabaran rumah tangga. “Rumah tangga mesti dibina atas dasar iman, amanah dan kesabaran. Sentiasa kembali kepada al-Quran dan sunnah dalam mencari penyelesaian,” tegasnya.

Ustaz Naim Islam yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (AL-HIDAYAH) Cawangan Kedah turut berkongsi pengalaman peribadi memeluk Islam pada usia 19 tahun meskipun berdepan tentangan keluarga.

Beliau menekankan bahawa roh manusia memerlukan makanan rohani berupa zikrullah, doa dan bacaan al-Quran sama seperti jasad memerlukan makanan fizikal.

Ustaz Naim Islam menekankan kepentingan membina keluarga atas dasar iman, amanah dan kesabaran serta mengelakkan diri daripada fitnah, penipuan dan pengaruh luar yang boleh merosakkan hubungan.

“Rumah tangga mesti dibina atas saling memahami dan tolong-menolong. Jangan biarkan wang, salah faham atau fitnah pihak ketiga menjadi punca keretakan.

“Sentiasa kembali kepada al-Quran dan sunnah dalam mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau juga mengingatkan peserta agar berhati-hati dalam memilih pasangan, tidak terpedaya dengan janji-janji manis atau nafsu semata-mata kerana akhirnya anak-anak dan keluarga yang akan menjadi mangsa.

Sebelum majlis penutup, fasilitator membuat penilaian prestasi peserta meliputi aspek Fardu Ain seperti Rukun Iman, Rukun Islam, bersuci, bacaan al-Quran dan pergerakan solat.

Majlis penutup diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta dan empat hamper kepada kumpulan terbaik. Kursus berakhir dengan sesi fotografi beramai-ramai serta jamuan makan tengah hari.

Dalam ucapan penutupnya, Ustaz Jais Mariappan menyatakan bahawa kursus ini menjadi landasan kukuh bagi saudara baharu memperkukuh kefahaman agama dan jati diri Muslim.

“Ilmu yang diperoleh di sini mesti diamalkan dalam kehidupan seharian. Jadikan ia titik permulaan kepada perjalanan iman yang lebih mantap dan istiqamah,” katanya.

Kursus Intensif Fardu Ain (Bahasa Tamil) ini bukan sahaja memberi kefahaman asas tentang ibadah, tetapi turut menjadi ruang membina ukhuwah antara mualaf pelbagai latar belakang.

Beliau menegaskan bahawa bimbingan secara berterusan amat penting agar saudara baharu tidak merasa sendirian selepas memeluk Islam.

PERKIM dan MAIWP bertekad untuk meneruskan penganjuran kursus seumpama ini secara berkala kerana ia terbukti memberi impak positif kepada peserta.

“Islam bukan sekadar agama, tetapi jalan hidup. Dengan sokongan masyarakat Islam dan bimbingan berterusan, saudara baharu akan menjadi Muslim yang beriman dan beramal soleh,” ujar Ustaz Jais Mariappan.

Sepanjang tiga hari, kursus ini telah membuktikan bahawa pendidikan agama yang sistematik, disampaikan dalam bahasa ibunda peserta mampu melahirkan Muslim yang lebih yakin, berpengetahuan dan bersedia mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

Turut bersama sepanjang kursus, urus setia PERKIM Kebangsaan iaitu Azura Abdul Rahman dan Fatin Akmal Aksah.

 


Peserta mengambil kad kunci bilik setelah membuat pendaftaran Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Tamil).

 


Ustaz Jais Mariappan selaku penyelaras program menyampaikan taklimat kursus dan sesi suai kenal bersama peserta.

 


Peserta mualaf India hadir bagi mengikuti kursus intensif fardu ain anjuran PERKIM dan MAIWP.

 


Peserta yang memeluk Islam bawah tiga tahun mengikuti kursus fardu ain dalam Bahasa Tamil.

 


Ustaz Abdul Ghani Krishna menyampaikan slot ceramah bertajuk Pengenalan Rukun Iman.

 


Ustaz Abdul Ghani Krishna menghuraikan enam perkara asas akidah dengan gaya mudah difahami.

 

 


Ustaz Fitri selaku Naib Yang Dipertua PERKIM merasmikan Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Tamil).

 


Ustaz Fitri turut menyampaikan ceramah motivasi dan sesi interaktif bersama peserta.

 


Ustaz Fitri menekankan bahawa proses mempelajari agama memerlukan kesabaran dan pengulangan kerana tidak semua ilmu dapat difahami dengan segera.

 


Fasilitator, Ahmad Hasaidi memimpin solat berjemaah bersama peserta.

 


Ustazah Nazirah Vaniey membicarakan topik Pengenalan Rukun Islam kepada peserta.

 


Ustazah Nazirah Vaniey berinteraksi bersama peserta sambil menegaskan bahawa lima rukun Islam merupakan panduan hidup dalam membina akhlak mulia.

 


Ustaz Jais Mariappan turut menyampaikan slot ceramah bertajuk Pengenalan Bersuci Dalam Islam kepada peserta kursus.

 


Ustaz Jais Mariappan menghuraikan konsep taharah, perbezaan hadas kecil dan besar, kaedah wuduk, mandi wajib, tayammum serta cara menyucikan najis.

 


Peserta disajikan dengan video cara pengambilan wuduk dan mandi wajib mengikut syariat Islam.

 


Fasilitator, Ahmad Hasaidi menunjukkan demo berwuduk kepada peserta di kawasan kolam renang.

 


Peserta kursus menjalani latihan praktikal pengambilan wuduk sambil disaksikan oleh fasilitator.

 


Fasilitator menunjukkan cara basuh muka yang betul sambil diikuti oleh peserta.

 

 

 


Peserta berwuduk sambil dibimbing oleh fasilitator berpengalaman.

 

 


Peserta menjalani latihan praktikal mandi wajib di kawasan kolam renang.

 

 


Seusai berwuduk, peserta membaca doa selepas wuduk dibimbing oleh fasilitator diikuti praktikal mandi wajib.

 


Ustaz Jais Mariappan memimpin solat fardu bersama peserta kursus.

 


Peserta mengaminkan doa yang dipimpin oleh Ustaz Jais Mariappan.

 


Fasilitator, Farah Irisha (kiri) mendengar dan memperbetulkan bacaan Surah Al-Fatihah peserta.

 


Safiyya (bertudung putih) membimbing peserta dalam latihan praktikal solat.

 


Ahmad Hasaidi (berbaju merah) memperdengar bacaan setiap rukun solat yang dibaca oleh peserta.

 


Fardly Johan (berkaca mata) mendengar bacaan para peserta ketika latihan praktikal solat.

 


Farah Irisha (kiri) menunjukkan cara solat wanita yang betul.

 


Safiyya memperbetulkan sujud peserta ketika latihan praktikal solat.

 


“Rukuk yang betul adalah membongkokkan badan sehingga belakang rata (hampir lurus),” kata Fardly kepada peserta.

 


“Ketika sujud, mestilah meletakkan tujuh anggota badan pada tempat sujud,” kata Ahmad Hasaidi sambil memperbetulkan tangan peserta.

 


Anthony turut berkongsi kisah penghijrahan beliau selepas solat Maghrib.

 


Aktiviti santai ketika peserta memindahkan botol yang berisi soalan kuiz fardu ain bagi menguji minda.

 


Kanak-kanak mualaf menjawab soalan kuiz dengan betul dan tepat.

 


“Ujian yang datang bukan untuk melemahkan, sebaliknya untuk menilai sejauh mana keteguhan iman kita,” kata Ustaz Jais Mariappan dalam tazkirah Subuh.

 


Ustaz Naim Islam menyampaikan ceramah bertajuk Pengurusan Keluarga Dalam Islam.

 


“Rumah tangga mesti dibina atas dasar iman, amanah dan kesabaran,” tegas Ustaz Naim Islam.

 


Ustaz Naim mengingatkan peserta agar berhati-hati dalam memilih pasangan, tidak terpedaya dengan janji-janji manis yang menyebabkan ahli keluarga menjadi mangsa.

 


Peserta mendengar nasihat yang disampaikan oleh Ustaz Naim Islam.

 


Peserta memberikan pendapat dan pengalaman positif dalam kursus yang dianjurkan selama tiga hari dua malam.

 


Ustaz Jais Marippan menyampaikan sijil penyertaan kursus kepada peserta mualaf lelaki.

 


Peserta mualaf perempuan menerima sijil penyertaan kursus daripada Ustaz Jais Mariappan.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan hadiah hamper kepada peserta kumpulan johan Kuiz Fardu Ain.

 


Peserta bersama fasilitator dan urus setia bergambar kenang-kenangan setelah berakhirnya Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Tamil).

 

 

 

Related Articles

Back to top button