102 Mualaf KPIPK Sertai Rehlah Ilmiah Di Masjid Kapitan Keling dan Kompleks Darul Hidayah
𝐨𝐥𝐞𝐡: 𝐒𝐑𝐙
𝐏𝐔𝐋𝐀𝐔 𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍𝐆, 𝟏𝟓 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟒 – Seramai 102 saudara baharu menyertai Program Rehlah Praktikal Ilmiah anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan.
Program motivasi tersebut disertai saudara baharu Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang terdiri pelbagai kaum iaitu Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh serta warganegara daripada Filipina, Kemboja, Myanmar, Indonesia dan Thailand.
Penyelaras program, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah berkata, program tersebut bertujuan untuk memberikan pengalaman praktikal dan pembelajaran secara langsung kepada pelajar kelas di kalangan saudara baharu dalam konteks pembelajaran di luar kelas.
Selain itu, ia dapat memberikan peserta pengalaman yang luas mengenai sejarah Islam di negeri-negeri tertentu sekali gus dapat merapatkan hubungan ukhuwah Islamiah dan silaturahim sesama mereka.
Program itu juga mewujudkan sikap tolong-menolong, bantu membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain kerana ada di antara pelajar mualaf yang terdiri dari pelbagai peringkat umur iaitu remaja, dewasa dan warga emas.
Kata Jais, program yang kedua kali diadakan itu sangat bermakna buat peserta dan mereka teruja serta bergembira dengan pejelajahan Islam di Pulau Pinang.
Pada program pertama lalu, peserta berpeluang menjelajah dan mengetahui perkembangan serta menikmati keindahan Islam di Melaka dan Negeri Sembilan.
Sebelum bertolak ke Pulau Pinang, Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin telah bertemu dengan peserta dan berharap program ilmiah tersebut mendapat rahmat dan keredaan daripada Allah SWT.
Dato’ Razali berharap program tersebut dapat memperkuatkan keyakinan mereka terhadap Islam dengan cara yang praktikal dan menyeluruh sekali gus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Perjalanan yang memakan masa lebih lima jam dari Kuala Lumpur itu sarat dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan di dalam bas di mana peserta diberi tazkirah, ceramah sekali gus juga diuji dengan kuiz pengetahuan Islam, bacaan di dalam solat dan bacaan ayat juz amma serta penyampaian hadiah kepada pemenang.
Setibanya di Masjid Kapitan Keling di Georgetown, peserta disambut mesra oleh Ketua Biro Dakwah Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Ustaz Mohamad Hafiz Mohd Tahir.
Ustaz Hafiz dalam ucapannya berkata, beliau mewakili Presiden IPSI, YBhg Dato’ Haji Kamarudin Abdullah menyampaikan salam hormat kerana tidak dapat bersama kerana mempunyai urusan rasmi.
Menurut Ustaz Hafiz lagi, usaha pemandu pelancong masjid yang dilakukannya tercetus apabila Presiden IPSI melihat sekumpulan pelancong berlegar-legar di kawasan Masjid Kapitan Keling di mana tiada seorang pun yang membantu mereka untuk memberi penerangan berkenaan masjid tersebut yang juga merupakan mercu tanda Pulau Pinang.
Dato’ Kamarudin pada ketika itu baru sahaja memeluk Islam pada tahun 1990 lantas bangun dan memberi penerangan mengenai masjid dan Islam kepada pelancong tersebut.
Jelas Ustaz Hafiz, Masjid Kapitan Keling merupakan masjid yang tertua di Pulau Pinang yang siap dibina pada tahun 1801 oleh tentera Syarikat Hindia Timur.
Masjid tersebut dinamakan Masjid Kapitan Keling kerana tokoh yang terlibat dalam usaha membangunkannya iaitu Caudeer Mahudeen berasal daripada peranakan India Muslim yang juga merupakan pedagang India berpangkat Kapten.
Tambah Ustaz Hafiz, tugasan beliau di masjid tersebut ialah memberi penerangan mengenai sejarah masjid, penerangan agama Islam, etika pemakaian ketika di dalam masjid, penjelasan berkenaan wuduk, solat, pergerakan solat dan pemberian risalah kepada pelancong.
Katanya, reka bentuk Masjid Kapitan Keling yang berkonsepkan seni bina Moghul itu boleh memuatkan 5,000 jemaah dalam satu-satu masa solat Jumaat.
Di akhir kunjungan, Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad berkesempatan menyampaikan plak cenderahati PERKIM dan Buku Wawasan dan Warisan 60 Tahun PERKIM kepada Ustaz Hafiz.
Peserta kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kompleks Darul Hidayah (KDH) di Permatang Tok Gelam Penaga untuk makan malam dan menginap.
Penolong Pengarah Kanan Kompleks Darul Hidayah, Ruslida Rusli mengalu-alukan kehadiran dan menyambut mesra pelajar KPIPK ke KDH.
Menurut Ruslida, KDH merupakan pusat yang menyediakan perkhidmatan kepada saudara baharu dengan kemudahan kelas harian fardu ain, penginapan transit, bantuan kebajikan dan kini juga dikenali sebagai pusat sehenti saudara kita.
Beliau dalam ucapannya berkata, peserta mualaf merupakan insan istimewa pilihan Allah SWT untuk mengenali kebenaran Islam.
Ruslida berharap, peserta dapat meneruskan usaha mereka dengan penuh keyakinan kerana masa depan mereka di dalam Islam akan dipenuhi dengan keberkatan dan kebahagiaan serta Allah melihat setiap niat dan usaha mereka.
“Percayalah bahawa setiap langkah ke arah kebaikan akan mendapat ganjaran yang besar,” kata beliau mengakhiri ucapannya.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian plak cenderahati PERKIM dan Buku Wawasan dan Warisan 60 Tahun PERKIM oleh Dr Suariza kepada Ruslida.
Setelah menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak dipimpin oleh Ustaz Jais, peserta mengikuti Bengkel Pengurusan Jenazah bimbingan Ustaz Muhammad Safarudin Haji Pisal.
Ustaz Safarudin membimbing secara teori dan praktikal kepada peserta berkenaan hukum menguruskan jenazah, perkara sunat, cara memandikan jenazah, sifat tukang mandi mayat, syarat tukang mandi, cara mengkafankan jenazah, solat jenazah dan pengkebumian jenazah.
Iskandar Chew secara sukarela menjadi model jenazah untuk dikafankan secara praktikal.
Model jenazah dikafankan sebanyak tiga kain putih yang tidak memiliki jahitan di mana kain pertama dibuatkan jubah manakala kain kedua dan ketiga dibaluti seluruh tubuh dengan kemas serta diikatkan tali pada tubuh dengan ikatan ribennya di sebelah kiri.
Kembara mimpi menutup tirai hari pertama program di Pulau Pinang dan peserta menyambung penjelajahan rehlah ilmiah ke negeri Kedah pada keesokan hari.
Turut hadir ialah Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Ustazah Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan serta Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Hamidah Ismail.
Dato’ Razali (kiri) menyampaikan ucapan ketika bertemu dengan pelajar KPIPK.
Dato’ Razali berharap program ilmiah yang disertai peserta mendapat rahmat dan keredaan daripada Allah SWT.
Ustaz Jais membacakan doa selamat sebelum pelajar KPIPK berangkat ke destinasi.
Peserta tiba di Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang setelah menempuh lima jam perjalanan.
Peserta menikmati juadah makanan yang disediakan.
Ustaz Hafiz memberi penerangan sejarah dan latar belakang Masjid Kapitan Keling.
Peserta Muslimat KPIPK mendengar penerangan yang disampaikan.
Menurut Ustaz Hafiz, masjid tersebut dinamakan Masjid Kapitan Keling kerana tokoh yang terlibat dalam usaha membangunkannya iaitu Caudeer Mahudeen berasal daripada peranakan India Muslim.
Dr Suariza (tengah) dan Ustaz Jais menyampaikan plak cenderahati kepada Ustaz Hafiz.
102 pelajar mualaf bergambar kenang-kenangan di hadapan masjid tertua di Pulau Pinang.
Masjid Kapitan Keling merupakan masjid yang siap dibina pada tahun 1801 oleh tentera Syarikat Hindia Timur.
Setibanya di KDH, peserta menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak secara jamak qasar.
Ustaz Farhan mengacarakan majlis ketika pertemuan bersama pengurusan KDH.
Penolong Pengarah Kanan Kompleks Darul Hidayah, Ruslida Rusli mengalu-alukan dan menyambut mesra peserta mualaf ke KDH.
Peserta mendengar ucapan yang disampaikan dari pihak KDH.
Dr Suariza menyampaikan plak cenderamata kepada Ruslida.
Ustaz Muhammad Safarudin Haji Pisal membimbing peserta di dalam bengkel Pengurusan Jenazah.
Peserta memberikan tumpuan di dalam bengkel Pengurusan Jenazah.
Iskandar Chew sukarela menjadi model jenazah.
Ustaz Safarudin melilit kepala ketika mengkafankan model jenazah.
Jenazah yang telah siap dikafankan sebanyak tiga helai kain putih ditunjukkan kepada peserta.