Aktiviti Pendidikan

PUSBA Destinasi Terakhir Rehlah Praktikal Ilmiah Pelajar KPIPK

𝐨𝐥𝐞𝐡: 𝐒𝐑𝐙

𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐀𝐍𝐈, 𝟏𝟕 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟒 – Destinasi terakhir membawa Pelajar Kelas Pengajian Islam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan (KPIPK) ke Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (PUSBA), Jalan Pegawai dekat sini pada pagi Ahad.

Lawatan ke PUSBA itu merupakan kunjungan terakhir dalam siri Program Motivasi Saudara Baharu Rehlah Praktikal Ilmiah yang disertai seramai 102 Pelajar KPIPK.

Menurut penyelaras program, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah, peserta program mualaf yang terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan etnik telah diberi pendedahan berkenaan pusat perkembangan Islam dan pusat sehenti di beberapa buah masjid di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dua hari lalu.

Mereka telah dibawa lawatan sambil belajar ke Masjid Kapitan Keling, Kompleks Darul Hidayah, Masjid Al-Busyra dan Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD) untuk mengetahui peranan dan fungsi serta keunikannya.

Katanya, pada hari ini PERKIM Kebangsaan telah membawa peserta ke PUSBA yang merupakan satu pusat khusus yang diwujudkan bagi memberi pendidikan tentang ajaran Islam kepada golongan mualaf.

Kunjungan peserta mualaf telah disambut dengan penuh mesra oleh kakitangan PUSBA diketuai oleh Pengetuanya, Ustaz Syeikh Muhammad Suhaimi Zulkiflee.

Peserta rombongan disajikan dengan tayangan video korporat PUSBA bagi mengenali dengan lebih dekat berkenaan sejarah dan latar belakangnya.

Majlis yang diadakan secara sederhana dan santai itu diacarakan Ustaz Wan Hariz Hazimin Abdul Rahman selaku Penyelia Kelas Mingguan PUSBA.

Syeikh Muhammad Suhaimi dalam ucapannya berkata, PUSBA ialah sebuah Pusat Bimbingan Islam yang ditubuhkan pada 1998 di mana kos pembinaan dan perbelanjaan operasinya dibiayai oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah.

Katanya, sejarah awal penubuhan PUSBA atau nama asalnya Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru bermula apabila satu jawatankuasa bagi menangani gejala murtad di kalangan saudara baru telah membuat resolusi dengan mencadangkan satu pusat khusus diwujudkan bagi memberi pendidikan tentang ajaran Islam kepada saudara baharu.

Tambah Syeikh Muhammad Suhaimi lagi, pada tahun 2007, nama PUSBA telah ditukarkan daripada Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru kepada Pusat Bimbingan Islam.

Pada 12 Ogos 2008, Pusat Bimbingan Islam PUSBA yang dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman dan telah ditukarkan nama kepada Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Kata beliau, PUSBA juga berperanan sebagai pusat menyebar ajaran Islam di kalangan orang bukan Islam dan pusat pengukuhan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan orang Islam khususnya rakyat di Negeri Kedah.

Ujarnya, bangunan tersebut boleh menempatkan 128 peserta kakitangan 10 orang dalam satu-satu masa.

Ulas beliau lagi, hubungan PUSBA dengan PERKIM sangat rapat seumpama adik-beradik.

Syeikh Muhammad Suhaimi berkata, PUSBA mempunyai kemudahan-kemudahan seperti surau, dewan makan, dewan serbaguna, asrama lelaki dan perempuan, bilik kuliah, perpustakaan dan lain-lain.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak PUSBA kerana sudi menerima kunjungan rombongannya ke sini.

Katanya, seperti mana peranan dan fungsi PUSBA, seperti itu jugalah PERKIM yang berperanan menjaga kebajikan, pendidikan saudara baharu menerusi KPIPK.

KPIPK beroperasi setiap hari dengan modul dan silibus tertentu di mana pelajarnya perlu memenuhi beberapa jam kredit manakala pelajar di PUSBA perlu mempelajari beberapa subjek tertentu secara sepenuh masa.

Dr Suariza teruja kerana di negeri Pulau Pinang dan Kedah mementingkan pengajian Islam kepada saudara baharu dan masyarakat Muslim.

Ujarnya, secara tidak langsung peranan PUSBA dapat melahirkan ramai lagi mualaf berkelayakan dan berkredibiliti.

Beliau berharap pelajar saudara baharu PUSBA dan KPIPK dapat mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam seterusnya meneruskan pengajian Islam ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus menjadi pendakwah yang dapat membimbing mualaf dan masyarakat Islam.

Dr Suariza turut menyampaikan ucapan salam hormat daripada Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin kepada seluruh warga dan pelajar PUSBA kerana tidak dapat hadir bersama disebabkan mempunyai urusan rasmi.

Di akhir majlis, Dr Suariza menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Syeikh Suffian manakala Syeikh Suffian menyampaikan cenderahati balas kepada Dr Suariza.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir ialah Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong, Muhammad Farhan Tee Abdullah, Ustazah Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan; Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Hamidah Ismail serta Tenaga Pengajar Al-Quran PUSBA, Ustaz Mohd Noor Saad.


Pelajar mualaf Rehlah Praktikal Ilmiah KPIPK menunaikan solat fardu Subuh berjemaah di Kompleks Darul Hidayah, Penaga.


Peserta Rehlah Praktikal Ilmiah KPIPK tiba di PUSBA di pagi hari Ahad.


102 peserta Rehlah Praktikal Ilmiah KPIPK tiba di PUSBA yang merupakan pusat pengajian mualaf di Sungai Petani, Kedah.


Peserta mualaf KPIPK bersama pelajar mualaf PUSBA dihimpunkan di dalam dewan serbaguna PUSBA.


Lebih daripada 120 saudara baharu berhimpun di dalam kunjungan ke PUSBA sempena Program Rehlah Ilmiah Pelajar KPIPK.


Wan Hariz Hazimin Abdul Rahman selaku Penyelia Kelas Mingguan PUSBA mengacarakan majlis kunjungan tersebut.


Pengetua PUSBA, Ustaz Syeikh Muhammad Suhaimi Zulkiflee (tengah) menyambut mesra dan mengalu-alukan kehadiran saudara baharu KPIPK ke PUSBA.


Menurut Ustaz Suhaimi, PUSBA berperanan sebagai pusat menyebar ajaran Islam di kalangan orang bukan Islam khususnya rakyat di Negeri Kedah.


Dr Suariza berpendapat, seperti mana peranan dan fungsi PERKIM menerusi KPIPK, seperti itu jugalah PUSBA yang berperanan menjaga kebajikan, pendidikan saudara baharu.


Ustaz Jais turut menerangkan kelas pengajian harian PERKIM kepada hadirin.


Ustaz Suhaimi menyampaikan cenderahati PUSBA kepada Dr Suariza.


Dr Suariza turut menyampaikan plak cenderamata PERKIM sebagai sumbangan balas kepada Ustaz Suhaimi.


Ustaz Farhan Tee yang juga bekas pelajar PUSBA turut menerima cenderahati daripada Ustaz Suhaimi.


Warga PUSBA dan peserta Rehlah Praktikal Ilmiah KPIPK merakamkan gambar kenang-kenangan di akhir majlis.


Antara pelajar mualaf KPIPK yang sempat bergambar di luar bangunan PUSBA bersama kepimpinan PUSBA.

Related Articles

Back to top button