Aktiviti Kebajikan

PERKIM Ziarah Pemergian Isteri Kepada Bekas Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗣𝗘𝗧𝗔𝗟𝗜𝗡𝗚 𝗝𝗔𝗬𝗔, 𝟮 𝗔𝗣𝗥𝗜𝗟 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan hari ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah Datin Hajah Fatimah binti Hashim, isteri kepada bekas Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, Dato’ Haji Yidris Abdullah.

Delegasi PERKIM Kebangsaan yang diketuai oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗿. 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻, 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗶𝗱𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗱 serta 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻, 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗶𝘇𝗮𝘁 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶 hadir bagi memberikan penghormatan terakhir di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.

Turut sama ialah 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗜𝗻𝘀𝘁𝗶𝘁𝘂𝘁 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗔𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗟𝘂𝗺𝗽𝘂𝗿 (𝗜𝗗𝗜𝗣-𝗞𝗟), 𝗭𝘂𝗹𝗸𝗲𝗳𝗹𝗶 𝗔𝗿𝗶𝗳𝗶𝗻 serta kakitangan PERKIM Kebangsaan, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻 dan 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗱𝗹𝘆 𝗝𝗼𝗵𝗮𝗻.

Terdahulu, 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗬𝗶𝗱𝗿𝗶𝘀 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 merupakan 𝗯𝗲𝗸𝗮𝘀 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗔𝘀𝗲𝘁 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻 yang telah banyak menyumbang khidmat bakti dari tahun 2014 hingga 2023.

Suasana di tanah perkuburan diselubungi rasa sedih dan sayu apabila lebih 70 orang terdiri daripada ahli keluarga, waris, sahabat handai serta rakan taulan hadir memberikan penghormatan terakhir.

Kehadiran mereka jelas mencerminkan kasih sayang serta hubungan erat yang terjalin sepanjang hayat Allahyarhamah.

Setibanya rombongan PERKIM di tanah perkuburan, jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan dan selesai ditalkinkan dalam suasana penuh keinsafan.

Usai bacaan talkin, ahli keluarga dan waris terdekat dilihat mengelilingi pusara dengan linangan air mata, seterusnya menabur bunga di atas tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan terakhir.

Ada yang perlahan-lahan menyiram air di pusara, satu simbolik kasih yang tidak terputus walaupun jasad telah bersemadi, sambil bibir tidak henti-henti melafazkan doa agar roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Momen paling menyentuh hati turut dapat dilihat apabila anak Allahyarhamah, 𝗡𝘂𝗿 𝗙𝗮𝗵𝗺𝘆 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗬𝗶𝗱𝗿𝗶𝘀, yang juga pernah menyumbang tenaga sebagai bekas Penolong Pegawai Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, kelihatan amat sugul di sisi pusara ibunya.

Beliau dilihat memegang batu nisan dengan penuh rasa pilu, seolah-olah masih tidak dapat menerima hakikat kehilangan insan tersayang.

Wajahnya jelas menggambarkan kesedihan mendalam, mengenang jasa dan pengorbanan seorang ibu yang tidak ternilai sepanjang hayatnya.

Allahyarhamah Datin Hajah Fatimah Hashim, 78, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di SS2, Petaling Jaya akibat kanser paru-paru.

Jenazah telah diuruskan di Masjid Aminah Al-Muhairi bermula sekitar pukul 8.00 pagi sebelum disolatkan pada kira-kira pukul 9.00 pagi.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara Seksyen 9 dan selamat dikebumikan sekitar pukul 9.30 pagi.

Dalam suasana hiba, Dato’ Haji Yidris Abdullah turut berkongsi detik-detik akhir bersama isterinya yang disifatkan sebagai amat tenang dan dipermudahkan.

Menurut beliau, pada saat-saat terakhir, Allahyarhamah hanya meminta untuk dibimbing berzikir dengan kalimah tayyibah Lailaha illallah Muhammadur Rasulullah dari malam hari sehingga ke lewat pagi.

Tambah beliau lagi, semalam sedang kami menunaikan solat Asar secara berjemaah, Allahyarhamah tiba-tiba menunjukkan tanda nazak sebaik sahaja selesai rakaat pertama.

Dalam keadaan itu, Allahyarhamah sempat menyebut kalimah “Allahuakbar”, manakala anak-anak yang berada di sisi berhenti seketika solat dan tidak putus-putus membimbingnya melafazkan syahadah.

“Alhamdulillah, pemergiannya sangat mudah, tenang dan tidak menyusahkan sesiapa,” ujar beliau dalam nada sebak.

Pihak PERKIM Kebangsaan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

“Ya Allah, ampunilah dosanya, rahmatilah ke atasnya, sejahterakan dan maafkanlah dia.”

Semoga keluarga Allahyarhamah diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

 


Rombongan PERKIM ke Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara bagi menziarahi Allahyarhamah isteri kepada Dato’ Yidris.

 


Dato’ Yidris (berkurta putih) menyirami pusara isterinya, Allahyarhamah Hajah Fatimah Hashim, 78 yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

 


Pusara Allahyarham ditaburi bunga dan disirami air mawar selepas ditahlil dan ditalkinkan.

 


Ahli keluarga dan sahabat handai menziarahi bagi memberikan penghormatan terakhir serta menghadiahkan surah Al-Fatihah.

 


Nur Fahmi Yidris (berbaju Melayu hijau) yang juga pernah menyumbang tenaga dan bakti di PERKIM Kebangsaan kelihatan sedih dan hiba di pusara ibunya.

 


Dr Suariza (tiga dari kiri) bersama kakitangan PERKIM merakamkan ucapan takziah kepada Dato’ Haji Yidris Abdullah yang merupakan bekas Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan dari tahun 2014 hingga 2023.

 


Warga PERKIM berkesempatan bergambar bersama Dato’ Yidris Abdullah di perkarangan pusara.

 

Related Articles

Back to top button