Aktiviti Dakwah

Majlis Kasih Ramadan Bersama Warga PERKIM Kebangsaan

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 27 MAC 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Kasih Ramadan Bersama Warga bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Rabu.

Majlis tersebut dihadiri lebih 60 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE), PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Asrama Darul Falah (ASDAF) PERKIM, TASPUTRA PERKIM, pengawal keselamatan serta petugas kebersihan.

Majlis tersebut bertujuan untuk menghimpunkan warganya untuk memperdengarkan amanat Kasih Ramadan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM dan penyampaian biskut raya.

Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah diberi tanggungjawab untuk mengacarakan majlis disusuli dengan bacaan doa pembuka majlis dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.


YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM dalam ucapannya merakamkan ucapan Selamat Menyambut Puasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

Beliau mengucapkan syukur Alhamdulillah kerana dapat bertemu pada hari yang barakah kerana pada malam ini adalah malam Nuzul Al-Quran iaitu malam yang salah satu daripada malam yang penuh kemuliaan.

Katanya, kita tidak menafikan bahawa malam-malam yang lain juga mulia dan malam 17 Ramadan merupakan malam Nuzul Al-Quran di mana Al-Quran diturunkan oleh Malaikat Jibril ke alam ini untuk diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW dan disampaikan kepada kita.

Di PERKIM secara tradisinya, apabila kita menyambut Nuzul Al-Quran, kita adakan Majlis Tadarus Al-Quran bersama saudara baharu.

Tambah beliau, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa, membaca al-Quran, qiamulail lebih-lebih lagi di 10 malam terakhir bagi merebut ganjaran malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu lailatul qadar.

Jelas beliau, kemuliaan lailatul qadar itu ialah ganjaran pahalanya bersamaan dengan 84 tahun kita beribadah.

Beliau juga mengajak warganya berdoa demi kebaikan keluarga, organisasi PERKIM dan umat Islam lebih-lebih lagi yang sedang berjuang di Palestin.

Kata Dr Yusof Noor lagi, kandungan yang terdapat di dalam al-Quran merupakan kalimah yang bukan daripada tulisan atau fikiran manusia, tetapi dunia umumnya mengetahui ia merupakan kalam daripada Tuhan Yang Esa.

“Keindahan al-Quran itu apabila ia menjadi satu pegangan kita, kita boleh lagukan, boleh baca perlahan, boleh baca cepat dan boleh macam-macam lagi memang dan ini tidak berlaku kepada kitab suci agama lain.

“Majoriti di antara kita merupakan satu golongan yang lahir-lahir terus menjadi Islam, hidup dalam suasana Islam dan terus menjadi muslim.

“Kita tidak boleh andaikan bahawa yang lahir kafir itu sebagai tidak bernasib baik kerana orang kafir itu masih berpeluang untuk mereka mendapat nasib yang baik kerana sebahagian daripada yang kafir itu ada di antaranya sudah mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT.

“Kita perlu menyedari bahawa orang kafir yang memeluk Islam itu lebih mulia daripada kita kerana mereka mencari jalan kebenaran, mengkaji, mendalami serta menghayati Islam lebih daripada kita.

“Kita juga tidak boleh pandang enteng mereka yang baharu memeluk Islam dan mengkelaskan mereka sebagai tahap kedua kerana mereka juga adalah saudara seagama kita,” jelas beliau.

Ulasnya, golongan yang memeluk Islam itu lebih mulia daripada kita kerana setelah selesainya mereka melafazkan dua kalimah syahadah dan mereka suci serta bersih daripada segala dosa seperti bayi yang baru lahir, tetapi kita yang sudah berusia ini perlulah memohon keampunan kepada Allah SWT untuk mengampunkan segala dosa yang kita lakukan kerana kita bukanlah orang yang maksum.

Kata beliau lagi, mereka yang kembali kepada agama fitrah ini sebenarnya telah mendapat taufik dan cahaya petunjuk daripada Allah SWT, maka mereka memeluk agama Islam.

“Mereka yang memeluk Islam di Malaysia ini pada masa ini pada umumnya dikenali sebagai mualaf kerana istilah itu adalah istilah yang disebutkan di dalam al-Quran di mana mereka perlu dijinakkan hati dan kehidupan mereka dengan Islam dalam tempoh-tempoh tertentu mengikut jabatan atau majlis agama Islam di negeri-negeri.

“Uniknya di Malaysia, meski pun golongan tersebut telah memeluk Islam berpuluh-puluh tahun pun masih di panggil mualaf lagi.

“Golongan yang telah mendapat cahaya dan yang bercahaya ini dipanggil ‘munawar’. Jika kita hendak menghargai mereka kerana memeluk Islam kerana mendapat cahaya, maka kita boleh juga gunakan perkataan Munawar pada nama mereka contohnya John dinamakan dengan John Munawar dan jika perempuan kita boleh gunakan sebagai ‘munawarah’ sebagai satu simbol bahawa dia masuk Islam kerana mendapat cahaya petunjuk Ilahi.

“Situasi berbeza dengan saudara baharu yang membuat kajian yang mendalam tentang agama Islam seperti Firdaus Wong Wai Hung dan Lim Jooi Soon kerana mereka memahami Islam lebih ke hadapan daripada kita,” katanya.

Menurutnya lagi, kita cuma menerima usaha yang sebenarnya dibuat oleh orang lain kerana mereka datang ke PERKIM untuk mengucapkan dua kalimah syahadah di sini tapi kita tidak tahu dan tidak pasti adakah ia hasil daripada dakwah kita atau pun hasil dakwah orang lain.

Kita masih ada satu usaha yang kita sendiri boleh kaji bagaimana hasil usaha kita meyakinkan mereka memeluk Islam dengan mengikrarkan dua kalimah syahadah.

Beliau turut berpesan supaya warganya mempersiapkan diri dengan meningkatkan amal ibadah seperti berdoa, melakukan solat malam, bersedekah, membaca al-Quran di sepuluh terakhir Ramadan dan dipertemukan dengan malam al-Qadr.

Dr Yusof Noor di akhir majlis itu turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada warganya.

Sebelum itu, PERKIM telah menjemput Pengetua ASDAF, Mohd Azmi Azman; Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Haji Ishak Othman serta Penolong Pegawai Unit Hal Ehwal Wanita PERKIM Kebangsaan, Masliana Mohd Ariffin menyampaikan ucapan ringkas di majlis tersebut.

Bagi menghargai usaha dan kerja dilakukan oleh warganya, Dr Yusof Noor diiringi Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dan menyampaikan saguhati sempena Aidilfitri berbentuk empat kotak biskut raya kepada 60 warganya.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.


Farhan Tee mengacarakan Majlis Kasih Ramadan Bersama Warga PERKIM Kebangsaan.


Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Warga PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Pengetua ASDAF, Azmi Azman diberi peluang untuk berucap berkenaan terkini pelajar ASDAF.


Kakitangan yang paling lama berkhidmat di PERKIM, Tuan Haji Ishak Othman diberi peluang untuk berucap.


Masliana merupakan kakitangan yang terbaharu turut menyampaikan ucapan ringkas.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat kepada warganya.


Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan mendengar ucapan yang disampaikan.


Kakitangan ketawa ketika mendengar ucapan Dr Yusof Noor yang mengusik jiwa.


Warga PERKIM mendengar pesanan Dr Yusof Noor supaya mempersiapkan diri dengan meningkatkan amal ibadah di sepuluh terakhir Ramadan.


Mualish Shah menerima sumbangan biskut raya daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan biskut Aidilfitri kepada Farhan Tee.


Noor Aishawati menerima biskut raya daripada Dr Yusof Noor.


Wajah Hamidah Ismail kelihatan gembira ketika menerima biskut Aidilfitri daripada Dr Yusof Noor.


Pegawal keselamatan turu menerima sumbangan Aidilfitri daripada Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.


Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada petugas kebersihan.


Warga PERKIM bergambar beramai-ramai setelah mendapat sumbangan biskut raya.


Kepimpinan PERKIM bersama warganya merakamkan gambar beramai-ramai di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button