Aktiviti DakwahAktiviti Kelab PERKIM

Majlis Iftar Bersama Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua PERKIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Saya bersyukur kerana kita dapat mengadakan iftar dalam keadaan aman dan tenang,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Tiap tahun saya mempeingatkan diri kita bahawa kita bernasib baik kerana Malaysia ini keadaan adalah aman dan kita boleh berpuasa dan kita boleh mengadakan majlis berbuka puasa dalam keadaan aman dan selamat.

Ini bukanlah sesuatu kita anggap biasa terjadi kerana kita dapati banyak juga negara-negara Islam keadaan amat menekan rakyat sehingga ramai daripada mereka terpaksa berhijrah ke negara-negara lain.

Itulah keadaan di negara-negara Islam sehingga negara sendiri tidak selamat dan mereka perlu berhijrah ke negara-negara asing termasuk ke negara bukan Islam untuk menyelamatkan diri mereka.

Beliau berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Iftar Bersama YAB Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bertempat di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 10 Mei 2019 lalu.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; pimpinan PERKIM ialah Naib Yang DiPertua, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Datuk Dr. Mustapha Ma, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Bendahari Kehormat, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIPKL), Datuk Abdul Hanif Harun serta Pengarah Unit Perancangan, Penyelidikan dan Pelaksanaan, Mamat Che Chik.

Ia dihadiri seramai lebih 800 tetamu dari Jabatan Perdana Menteri, PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan serta duta-duta dari negara Kuwait, Mesir, Pakistan, Iraq, Turki, Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yamen, Arab Saudi, Morocco, Oman, Palestin, Nigeria, Brunei, Jordan, Sudan, Libya, Iran dan Singapura.

Turut diraikan ahli-ahli Kelab PERKIM Universiti (KPU) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM),

Juga hadir, tokoh pendakwah, Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, Muhammad Fitri Abdullah, Nicholas Sylvester dan Muhammad Zamri Vinoth.

Kata Dr Mahathir lagi, umat Islam di Malaysia kadang-kadang lupa bersyukur kepada Allah SWT dengan keamanan dan kesejahteraan yang telah dikecapi kerana mereka boleh berpuasa, menyambut hari haya Aidilfitri dan berjalan ke merata tempat di dalam negara tanpa khuatir diserang oleh mana-mana pihak.

Keadaan seperti ini adalah satu keadaan yang luar biasa dan oleh itu dan seharusnya lebih masa bersyukur kerana dengan keamanan ia membenarkan untuk kita menunaikan ibadah dalam keadaan sempurna di masjid dan surau seluruh Malaysia.

Dr. Mahathir yang juga Yang DiPertua PERKIM berkata, berpuasa di bulan Ramadan adalah satu ibadah yang merupakan salah satu daripada lima rukun Islam dan umat Islam yang mengerjakannya akan dapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

Berpuasa merupakan ibadah yang dapat mendisiplinkan diri dengan membendung nafsu diri dari makan atau minum serta mengawal diri dari berasa lapar dan dahaga pada siang hari.

Ia merupakan satu latihan kekuatan dan kegigihan diri untuk membendung nafsu bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi melatih mengawal daripada mengikut hawa nafsu yang banyak membawa keburukan kepada kita.

“Saya yakin kita akan menjadi manusia yang lebih baik sekiranya kita dapat tanamkan dalam sanubari perasaan bertanggung jawab membendung nafsu sepanjang tahun dalam melakukan perkara yang dilarang oleh agama Islam,” kata Dr. Mahathir.

Orang Islam sendiri tidak dapat membendung nafsu dan tidak patuh dengan ajaran yang dikehendaki oleh agama Islam kerana mereka boleh berperang serta membunuh walaupun sesama Islam.

Kenapakah kita buat demikian? Sebabnya ialah kita tidak berjaya menghalang atau membendung nafsu yang menyebabkan kita lupa akan ajaran Islam dan lupa akan larangan dalam Islam dan kita lakukan perbuatan-perbuatan yang di larang oleh agama kita.

“Bukankah Islam itu persaudaraan? Kalau kita mempunyai sifat yang kuat melawan nafsu, saya yakin banyak masalah tidak akan berlaku di kalangan orang Islam. Amatlah sedih apabila melihat banyak perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam di kebanyakkan negara Islam,” ujar Dr. Mahahthir.

Malah, disebabkan peperangan dan permusuhan di antara mereka, ramai yang menjadi mangsa korban serta mati kebuluran termasuk juga mereka yang tidak bersalah seperti anak-anak kecil, wanita dan orang tua.

Sesungguhnya, kalau kita ikut ajaran Islam kita akan menjadi manusia yang berjaya kerana tuntutan Islam adalah baik-baik belaka.

Katanya, kita disuruh baca supaya ia dapat menambahkan ilmu, beramanah dan melakukan keadilan seperti mana terkandung di dalam al-Quran yang jika kita turuti ia menjadikan kita orang yang baik dan berjaya.

Umpamanya amanah adalah penting untuk seseorang atau sesuatu kaum kerana dengan amanah pihak lain akan mempercayai kepada kita dan mereka sanggup bekerjasama atau berniaga dengan kita.

Tetapi kalau kita tidak ada amanah dan kadang-kadang kalau hutang kita tidak bayar, ini menyebabkan kepercayaan orang lain kepada kita merosot.

Menerusi PERKIM, kita dikehendaki berdakwah dan cuba menerangkan agama Islam kepada mad’unya.

Sekiranya kita dapat menyampaikan pelbagai ayat di dalam al-Quran untuk menawan hati orang lain termasuk orang bukan Islam berkenaan dengan agama Islam, tetapi kelakuan kita tidak menunjukkan kebaikan agama Islam, maka tidak ada sesiapa yang akan menurut agama kita.

Sebab itu kita perlu bukan sahaja memahami larangan Islam tetapi kita perlu amalkan dan tunjuk bahawa Islam itu adalah agama yang baik yang suka kepada keamanan, persaudaraan sesama Islam.

Kalau kita dapat menunjukkan bahawa orang Islam berjaya, boleh dipercayai, tidak mungkir janji dan adil, maka saya yakin tanpa kita menjelaskan ajaran Islam dengan menyeluruh, ramai orang lain akan tertarik dan menerima Islam.

Tetapi hari ini kita dapati ketika kita bercakap tentang kebaikan agama Islam dan ganjaran yang akan diterima di akhirat, kita juga lakukan benda yang salah di sisi agama dan juga dalam masyarakat.

Inilah yang kita lihat sekarang, berpecahnya orang Islam termasuklah di negara kita sendiri dan kepentingan-kepentingan yang lain.

Dahulu orang Melayu ini adalah orang yang bernasib baik kerana mereka adalah orang Islam yang mengikut ajaran sunni pimpinan Imam Syafie sepatutnya tidak ada perpecahan di kalangan kita kerana fahaman yang berlainan seperti yang terdapat di negara-negara lain.

Malangnya hari ini, kerana kepentingan-kepentingan lain seperti politik menyebabkan kita berpecah dan kita tidak lagi menjadi kuat kerana apabila kita berpecah maka kita akan tetap menjadi lemah.

Jadi bulan puasa ini, seharusnya diingatkan bahawa berpuasa bukan bermakna melatih diri dari mengawal nafsu sahaja tetapi jadikan bulan yang penuh barakah sebagai latihan untuk hidup lebih patuh kepada ajaran Islam serta seharusnya mengekalkan sifat membendung diri daripada melakukan apa sahaja yang dilarang oleh agama dan masyarakat apabila tamatnya Ramadan.

“Saya amat sedih kerana negara Islam gagal memberi pertolongandan perlindungan sehingga 5 juta orang-orang pelarian Islam terpaksa menyelamatkan diri mereka ke negara bukan Islam di Eropah disebabkan sesuatu yang tidak baik dilakukan oleh orang Islam.

Ia bukan kerana agama Islam tetapi orang Islam sendiri menolak ajaran Islam dan kita tidak boleh menggunakan nama Allah untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama Islam.

Kerana tidak kuat kepada disiplin diri dan ketakwaan kita sanggup membuat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kerana dapat berbuka puasa bersama warga PERKIM dan berharap sentiasa bersyukur di bulan Ramadan dalam menjalani latihan mengawal nafsu diri untuk mematuhi ajaran Islam sekali gus menjadi manusia yang bahagia.

Kita boleh berdoa, kita boleh meminta daripada Allah SWT, tetapi kita harus ingat kalau kita meminta sesuatu di dalam al-Quran disebut kita perlu berusaha sendiri baiki keadaan sebelum Tuhan akan memakbulkan doa kita.


Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor dalam ucapannya turut merakamkan terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri kerana tidak pernah mengecewakan warga PERKIM ke majlis tradisi tahunan PERKIM.

Katanya, majlis Iftar bersama warga PERKIM pada tahun ini merupakan majlis yang paling ramai hadir oleh kedutaan negara-negara Islam bagi mengeratkan di antara PERKIM dengan masyarakat Islam di luar negara

Menurut Dr. Yusof Noor, objektif program ialah untuk menambahkan keakraban hubungan dengan rakan-rakan pada agama lain.

Walau bagaimana pun, kita perlu bersyukur kepada Allah SWT kerana PERKIM dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia ketujuh selaku Yang DiPertua PERKIM.

Secara peribadi, hubungan saya dengan Tun bermula pada tahun 1984 sewaktu beliau menerokai bidang-bidang Islam dengan seriusnya dalam memperkenalkan nilai-nilai Islam di Malaysia ini.

Ujarnya, dalam pelbagai cabaran saat ketika dikritik, Tun adalah orang pertama memperkenalkan Islam dalam pentadbiran negara.

Ramai yang tidak mengetahui hakikat yang berlaku di mana komitmen Tun dalam mengenengahkan Islam ketika dicabar oleh masyarkat bukan Islam pada masa itu kerana memperkenalkan nilai-nilai murni dalam pentadbiran dalam negara ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tun kerana dalam masa satu tahun memimpin Malaysia, telah disenaraikan menjadi tokoh yang ke-47 paling berpengaruh dalam dunia ini diikuti dengan penganugerahan tertinggi Anugerah Awam Pakistan dalam setahun memimpin Malaysia Baharu,” kata Dr. Yusof Noor.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tun telah berjaya menakhodai negara untuk menyambut genap setahun hari ulang tahun pentadbiran Malaysia Baharu pada 9 Mei lalu.

“Terima kasih kepada Tun kerana sebagai Yang DiPertua PERKIM, tentulah banyak perkara yang dihadapi oleh Tun untuk memajukan Islam melalui PERKIM.

“Saya percaya, dalam kesibukan yang dihadapi oleh Tun, urusan-urusan dan kegiatan PERKIM di seluruh negara dan di setiap bahagian berjalan seperti sedia kala.

“Mengikut laporan yang saya terima baru-baru ini, jumlah kegiatan PERKIM telah bertambah daripada zaman terbentuk Malaysia Baharu.

“Majlis iftar merupakan acara rasmi tahunan selain bertujuan untuk menghargai jasa dan bakti KPU kepada PERKIM selama ini.

“KPU dilihat sebagai tenaga penggerak muda yang berpotensi mengembangkan dakwah di dalam dan luar kampus.

“Ini secara tidak langsung membantu agama Islam untuk lebih difahami oleh masyarakat berbilang kaum,” ulas Dr. Yusof Noor.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian replika cek sumbangan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM500,000 oleh Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee kepada Dr. Yusof Noor bertujuan membiayai Kelas Pengajian Islam Saudara Baharu PERKIM.

Selain itu Dr. Mahathir turut menyampaikan empat Anugerah Yang DiPertua PERKIM KPU kategori Anugerah Tadbir Urus Kelab, Anugerah Pengurusan Program, Anugerah Pengurusan Keahlian dan Anugerah Kepimpinan Cemerlang.

KPU UIAM Gombak dinobatkan Anugerah Yang DiPertua PERKIM tahap emas Pengurusan Program manakala KPU KUIPSAS merangkul tahap perak dan tahap gangsa disandang oleh KPU UniSZA.

Anugerah tersebut bagi mengiktiraf KPU yang merancang dan melaksanakan program dan projek yang paling banyak melibatkan perkhidmatan masyarakat, ekonomi dan sosial dengan cekap serta berkesan.

Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU tahap emas dijuarai oleh KPU UIAM Gombak manakala tahap perak diraih oleh KPU KUIPSAS dan KPU UUM bagi tahap gangsa.

Anugerah tersebut adalah bagi menghargai usaha-usaha mentadbir urus kelab masing-masing dengan cekap dan berkesan.

KPU UNISHAMS menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Keahlian tahap emas manakala tahap perak diterima oleh KPU UNIRAZAK dan KPU UniKL MICET Melaka menerima tahap gangsa.

Anugerah itu mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh KPU untuk menambah bilangan ahli sedia ada.

Muhammad Sabhan Iman Ismail dari KPU UIAM Gombak menerima Anugerah Kepimpinan Cemerlang KPU di mana pengiktirafan kepada Pengerusi KPU yang telah menunjukkan kepimpinan yang boleh dijadikan contoh teladan dalam melaksana dan memimpin aktiviti bagi mencapai misi KPU.

Pemenang anugerah masing-masing menerima sebuah trofi anugerah, sijil anugerah dan wang saguhati.

Sebelum itu, diadakan bacaan al-Quran disampaikan oleh Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad selaku johan pertandingan Tilawah al-Quran Wilayah Persekutuan dalam kategori Qari dan ceramah bertajuk ‘Puasa Rahmat Kepada Seluruh Manusia’ disampaikan oleh Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Jaysuman Pusppanathan.

Laungan azan dan doa berbuka puasa dibacakan oleh Juara Rancangan Da’ie Nusantara TV3, Muhammad Adam Muhibullah Abdullah.

Majlis berakhir dengan solat fardu Isyak, sunat tarawih dan moreh.


Naib Yang DiPertua, Prof. Dr. Ridhuan Tee (kiri) bersalaman ketika menyambut ketibaan tetamu.

 


Anak-anak Asrama Darul Falah (ASDAF) PERKIM menyertai majlis iftar.

 


Mahasiswa KPU UniRAZAK turut bersama di majlis iftar PERKIM.

 


Turut bersama PERKIM Bahagian Selangor, Wilayah dan Negeri Sembilan.

 


Dr. Jaysuman Pusppanathan selaku Pensyarah UTM menyampaikan ceramah bertajuk  ‘Puasa Rahmat Kepada Seluruh Manusia’.

 


Dr Farid Ravi (kiri) bersalaman dengan pengamal agama bukan Islam.

 


Ketibaan Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama tetamu kehormat PERKIM.

 


Dr. Mahathir duduk bersama barisan Naib Yang DiPertua dan tetamu kehormat.

 


Muhammad Jais Mariappan membacakan doa pembuka majlis iftar.

 


Dr. Yusof Noor selaku Setiausaha Kehormat PERKIM menyampaikan ucapan aluan.

 


Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan amanat dan nasihat kepada tetamu di majlis iftarnya.

 


Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek sumbangan zakat MAIWP berjumlah RM500,000 kepada Dr. Yusof Noor (dua dari kiri) bagi membiayai Kelas Pengajian Islam Saudara Baharu PERKIM.

 


Kamal Khairi Kamarudin selaku Pengerusi KPU UPSI mewakili 20 KPU menerima sijil penghargaan dan wang program kelab sebanyak RM1,000 daripada Dr. Mahathir.

 


Dr. Mahathir menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU tahap gangsa kepada KPU UUM.

 


KPU KUIPSAS menerima Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU tahap perak daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

 


Yang DiPertua PERKIM, Dr. Mahathir menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU tahap emas kepada KPU UIAM Gombak.

 


KPU UniSZA menerima Anugerah Yang DiPertua PERKIM Kecemerlangan Program KPU tahap gangsa daripada Dr. Mahathir.

 


Dr. Mahathir menyampaikan Anugerah Yang DiPertua PERKIM bagi Kecemerlangan Pengurusan Program KPU tahap emas kepada KPU UIAM Gombak.

 


KPU UniKL MICET Melaka menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Keahlian tahap gangsa daripada Yang DiPertua PERKIM, Dr. Mahathir Mohamad.

 


Dr. Mahathir menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Keahlian tahap perak kepada KPU UniRAZAK.

 


KPU UniSHAMS menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Keahlian tahap emas daripada Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

 


Muhammad Sabhan Iman Ismail dari KPU UIAM Gombak menerima trofi, sijil dan wang saguhati setelah dinobatkan sebagai Anugerah Kepimpinan Cemerlang KPU disampaikan oleh Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 


Dr. Yusof Noor (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati berbentuk buah-buahan kepada Dr. Mahathir.

 


Da’ie Adam membaca doa berbuka puasa seterusnya melaungkan azan Maghrib di majlis iftar tersebut.

 


Dr. Yusof Noor mengimamkan solat Maghrib berjemaah bersama tetamu kehormat.

 


Tetamu kehormat bergambar bersama Perdana Menteri seusai menunaikan solat.

 


Tetamu menikmati juadah hidangan makanan yang disediakan.

 


Tokoh-tokoh pendakwah menikmati hidangan berbuka puasa berjemaah.

 


Tetamu berkesempatan mengambil peluang bergambar bersama Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 


Kakitangan PERKIM Kebangsaan bergambar setelah selesai menikmati juadah berbuka puasa.

 


Naib Yang DiPertua PERKIM, Prof. Dr. Ridhuan Tee menyampaikan penghargaan kepada mahasiswa KPU KUIS.

 


Staf Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan berkesempatan bergambar dengan Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah.

 


Dr. Farid Ravi mengimamkan solat fardu Isyak dan tarawih berjemaah.

 


Imam jemputan dari negara Mesir, Al-Qari Sayyid Amru Jumaah Abduh memimpin solat Isyak dan tarawih bersama tetamu kehormat.

 


Ahli Majlis Kebangsaan, Dr. Mohd. Farid Ravi membacakan doa setelah selesai tarawih.

 


Mahasiswa Kelab PERKIM Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button