Aktiviti Dakwah

Hidupkan Ramadan Dengan Bertadarus

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Kita hendaklah sentiasa bersyukur kerana kita dapat bersama-sama menghidupkan Ramadan dengan bertadarus al-Quran,” kata Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor


Katanya, tadarus merupakan perkataan arab dan pengertiannya dalam bahasa Melayu ialah belajar dan mempelajari dengan cara seorang individu membaca manakala individu yang lain mendengar serta memperbetulkan.

Dr. Yusof Noor berucap ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Tadarus Al-Quran Saudara Muslim sempena Sambutan Nuzul Quran 1440H anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 24 Mei 2019 lalu.

Program anjuran PERKIM Kebangsaan itu menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada kalangan Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, serta warga dari negara Indonesia, Thailand, Filipina, Nigeria dan kaum Melayu turut tidak ketinggalan menyertainya.

Turut hadir ialah kepimpinan Perkim, Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Penyelaras Komunikasi dan Media Baru, Datuk Idris Mamat; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan (UPPP), Sulaiman Ding Yu Zhong, Muhammad Farhan Tee Abdullah, Muhammad Jais Mariappan Abdullah dan Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.

Peserta dibahagikan kepada 15 kumpulan yang diketuai oleh munabbih bagi setiap kumpulan ditugaskan memperbetulkan bacaan peserta dari segi huruf, makhraj dan tajwid.

Setiap peserta diberi peluang untuk membaca beberapa helai mukasurat sekaligus mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di majlis tersebut.

Dr. Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah memberi kesihatan dan berhimpun bersama dalam majlis tadarus ini.

Katanya, ramai lagi yang ingin menyertai tadarus ini, tetapi berkemungkinan mereka mempunyai masalah seperti sakit atau dihalang dan kehadiran peserta yang ada pada hari ini mewakili yang lain-lain.

“Syukur kita kepada Allah SWT kerana pada setiap tahun PERKIM dapat mengadakan tadarus bersempena hari turunnya mukjizat Al-Quran al-Karim bersama mualaf,” ujar Dr. Yusof Noor.

Beliau turut memohon supaya peserta terus mendoakan PERKIM agar terus maju dan lebih ramai yang ingin mendengar pendekatan tentang Islam di PERKIM sama ada mereka yang telah Islam atau pun belum Islam.

Tambahnya, esok merupakan bermulanya sepuluh Ramadan terakhir kerana hari ini merupakan hari yang ke-19 Ramadan.

“Apabila tiba sepuluh malam yang terakhir, Rasulullah SAW akan menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejut ahli keluarga Baginda (untuk turut beribadah), bersungguh dan memperkemas ikatan kainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pesan Dr. Yusof Noor lagi, jangan tertinggal ibadah yang teristimewa ini kerana di sepuluh malam terakhir terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Tahun depan belum tahu kerana tahun depan adakah kita ada lagi atau tidak? Mintalah doa sebanyak-banyaknya dan keampunan kepada Allah SWT serta berharap ibadah kali ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Jelasnya lagi, kita mesti yakin dengan doa yang kita minta kerana Allah SWT berjanji dalam surah Al-Ghafir, ayat 60 bermaksud: “Dan berkatalah Tuhanmu, berdoalah kamu kepada-Ku, pasti Aku akan mengabulkannya.

Dr. Yusof Noor turut berharap agar PERKIM akan terus pesat berkembang di bawah kepimpinan Perdana Menteri selaku Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Imam dari Negara Mesir, Al-Qari Sayyid Amru Jumaah Abduh berpeluang bertadarus bersama dua orang saudara baru.

Dr. Yusof Noor turut menyampaikan wang saguhati dan beg cenderamata yang berisi bunga telur, sejadah, pulut kuning kepada 15 munabbih.

Selain itu, peserta berpeluang memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran yang dialunkan oleh Al-Qari Sayyid Amru Jumaah Abduh, berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih

Sepanjang bulan Ramadan, Perkim Kebangsaan turut menganjurkan tazkirah Ramadan, mengedar kurma dan air, majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih dan jamuan moreh.

 


Saudara baharu bertadarus bersama-sama sempena Sambutan Nuzul Al-Quran.

 


Kakitangan PERKIM turut menyertai tadarus yang dianjurkan.

 


Peserta dibahagikan kepada 15 kumpulan dan diketuai oleh munabbih.

 


Munabbih memeriksa bacaan al-Quran yang dibaca oleh saudara baharu.

 


Saudara baharu bertadarus sambil didengar dan diperbetulkan oleh Sayyid Amru Jumaah (kanan) serta disaksikan oleh Dr. Yusof Noor.

 


Yus Ondre membaca doa khatam al-Quran pada pembukaan majlis perasmian.

 


Peserta mengaminkan ketika doa khatam al-Quran dibacakan.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian Majlis Tadarus Al-Quran.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan beg cenderahati kepada Hasbullah yang juga munabbih.

 


Munabbih wanita menerima wang saguhati dan beg cenderahati daripada Dr. Yusof Noor.

 


Sayyid Amru Jumaah memperdengarkan dan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim kepada peserta.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada Sayyid Amru Jumaah.

 


Dr. Yusof Noor berbuka puasa bersama-sama peserta tadarus.

 


Sayyid Amru Jumaah memimpin solat fardhu Maghrib, Isyak dan tarawih bersama Saudara Muslim.

 


Saudara Muslim menikmati juadah yang disediakan.

 


Tetamu kehormat menikmati jamuan berbuka puasa yang disediakan.

Related Articles

Back to top button