Majlis Sambutan Ambang Ramadan 1440H Bersama Komuniti PERKIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Kita haruslah rasa bersyukur kerana Allah SWT memberi memberi peluang bersama-sama untuk melangkah ke bulan yang lebih baik dari seribu bulan iaitu bulan Ramadan Al-Mubarak,” kata Muhammad Fitri Abdullah.
Katanya, Alhamdulillah kerana Allah SWT telah memanjangkan umur kita setahun lagi dan membawa kita ke Madrasah Tarbiyyah kerana terdapat rakan-rakan lain tidak dapat lagi bersama-sama menyambutnya setelah dijemput Ilahi.
Fitri berucap ketika menyampaikan ceramahnya di Majlis Sambutan Ambang Ramadan 1440H anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 3 Mei 2019 lalu.
Program tersebut dihadiri seramai 90 orang terdiri daripada kakitangan PERKIM, kakitangan IDIP-KL, kakitangan Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) dan saudara baharu berketurunan Cina, India, Kadazan dan Iban.
Fitri selaku Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor (PBNS) berkata, menurut alim ulamak, “Ramadan itu awalnya rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan di akhirnya dibebaskan dari api neraka.”
Beliau mengajak peserta mengambil peluang bersedekah dengan memberi makan di bulan mulia ini kerana daripada Zaid bin Khalid, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang berpuasa maka baginya pahala seumpama sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Baihaqi)
Fitri turut menceritakan pengalaman suka duka dan pahit manis sebelum memeluk Islam sambil memetik Surah al-An’am, ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkaan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
“Walaupun saya telah memeluk Islam, Islam tidak pernah menyuruh meninggalkan ahli keluarga malah menyuruh berbuat dan menunjukan akhlak lebih baik kepada mereka,” ujar Fitri.
Beliau memeluk Islam pada usia 28 tahun ketika bertugas di sebuah bank dalam menguruskan syer kewangan.
Setelah memeluk Islam, Fitri diuji dengan bebanan hutang sehingga tiada duit untuk makan walaupun mempunyai pendapatan belasan ribu ringgit.
Setelah selesai melaksanakan solat Masjid Jamek di Kuala Lumpur dalam keadaan lapar, saya terus memanjatkan doa kepada-Nya: “Ya Allah, saya baru memeluk Islam, Engkau uji aku sehingga makan pun tiada duit,”
Perasaan sedih sehingga air mata membasahi pipi kerana dapat merasakan kesusahan seperti mana orang yang tidak dapat makan dan minum serta hanya mengharapkan Allah SWT semata-mata.
Fitri bersyukur kerana Allah SWT memperkenankan doanya setelah Imam masjid mengumumkan bahawa jamuan makan disediakan selepas solat sunat rawatib.
Beliau sebelum itu telah mengikrarkan dua kalimah syahadah pada malam Jumaat oleh tokoh pendakwah negara, AlMarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Al-Hafiz dan beliau memberikan nama Muhammad Fitri.
AlMarhum telah mentarbiyah dan mengajar ilmu Islam kepada Fitri serta memesan bahawa dakwah adalah kerja hingga akhir hayat kita.
Fitri memberi keyakinan beliau kepada kerja dakwah sepertimana firman Allah di dalam surah Muhammad, ayat 7 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
Tambahnya, Allah permudahkan rezeki dengan pelbagai pemberian nikmat dan mempermudahkan jalan apabila kita buat kerja Allah iaitu usaha dakwah.
PERKIM satu wadah untuk kita bantu agama Allah dan kita bantu semata-mata kerana Allah.
Katanya, sejak mula berkecimpung dalam ceramah dakwah, beliau tidak diberi saguhati wang tunai tetapi diberikan setandan pisang muda serta selepas lima enam bulan aktif dalam bidang terbabit, isteri dan ibu mertua memberi sokongan yang tinggi kerana keyakinan dalam membantu agama Allah tanpa mempedulikan apa kata orang.
Katanya, PBNS telah mengislamkan seramai 400 orang pada tahun lepas di mana 80 peratus daripada pengislaman tersebut ialah mereka yang hadir terus ke pejabat PBNS dan 20 peratus daripadanya ialah hasil usaha cawangan-cawangan dan pendakwah-pendakwah PERKIM di Selangor.
Tambah Fitri lagi, kenapa orang suka PERKIM? Orang suka kerana kita layan secara mesra, ramah, membuat susulan, galakkan mereka ke kursus-kursus, memberi kelas pendidikan seolah-oleh kita ‘bercinta’ dengan mereka.
Kadang kala kita sudah berbuat macam-macam dakwah, tetapi mereka tidak memeluk Islam dan kadang kala kita dakwah di sini, tetapi Allah turunkan hidayah di sana sepertimana firman Allah di dalam surah Al-Qasas, ayat 56 bermaksud: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan Dia jualah yang lebih mengetahui orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
“Aturan Allah SWT memang hebat kerana dalam usaha untuk mempergiatkan usaha dakwah di Selangor, saya telah dipilih selaku pengerusi tanpa sebarang kempen setelah pengerusi sebelumnya meletakkan jawatan kerana faktor kesihatan,” kata Fitri.
Setelah memegang jawatan tersebut, beliau berhasrat melawat ke setiap cawangan-cawangan untuk memberikan motivasi supaya gerak kerja dakwah lebih aktif dari sebelumnya walaupun beliau sibuk dengan pelbagai mesyuarat dan program-program jemputan.
Fitri berkata sambil memetik hadis: “Seketika keluar di jalan Allah adalah lebih baik daripada solat dua rakaat di hadapan Hajarul Aswad di malam al-Qadr” (Hadis Riwayat Ibn Hiban dan Ibn ‘Asakir)
Beliau berharap PERKIM Kebangsaan dapat memberikan petunjuk kepada PBNS bagi menaiktarafkan lagi usaha dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama PBNS.
Katanya, kami telah membuka Restoran Cawangan PERKIM Klang dan telah mendapat keuntungan sebanyak RM100,00 serta ke semua pekerja restoran tersebut terdiri daripada saudara baharu dan kami berhasrat membuat konsep yang sama di PERKIM Cawangan Selayang Baru.
“Barakahnya restoran tersebut, pada setiap hari Jumaat kami memberikan makanan percuma untuk 200 orang,” jelas Fitri.
Hari ini, di Selangor kita sudah ada Kampung Orang Asli pertama di Hulu Selangor yang mendirikan solat Jumaat.
Kebiasaannya dahulu orang asli pergi ke masjid hanya bawah sepuluh orang, kini lebih 50-60 orang menunaikan solat.
Jika hendak memastikan mereka datang menunaikan solat Jumaat, perlulah disediakan makanan kerana memudahkan mereka supaya tidak bersusah payah mencari kerja untuk makan pada hari tersebut.
PERKIM bukan untuk mualaf sahaja tetapi PERKIM juga menyampaikan dakwah kepada bukan Islam.
Bulan Ramadan ini, jika kita ada menyimpan sikap benci membenci antara satu sama lain, eloklah memohon keampunan dan kemaafan sesama insan serta segera melakukan taubat agar Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita.
Fitri juga berhasrat ingin melihat kejayaan mualaf apabila mereka telah tamat pengajian kelas, mereka boleh mempromosikan PERKIM sebagai pusat pendidikan Islam yang terbaik untuk mualaf.
Allah telah memberi peluang kepada kita tanpa menunggu 10 Ramadan terakhir seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah (dakwah) dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenar).” (as-Saff: 10-11)
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.
“Saya bekerja dan ditugaskan untuk melihat hal-hal kerja di PERKIM dan zaman muda dulu saya giat berceramah di sana sini tetapi kini dah tak pandai nak berceramah,” katanya.
“Walaupun tugas untuk mengurus di PERKIM menjadi tugas saya, tetapi sebagai seorang Islam saya berpeluang untuk menyampaikan seruan dakwah, tetap akan saya sampaikan
Kata Dr. Yusof Noor, pada masa akan datang PERKIM akan menyampaikan bentuk penerangan dalam pelbagai bahasa supaya memberi keselesaan kepada mereka yang mendengar lebih-lebih lagi saudara baru.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Fitri kerana mengambil berat tentang Islam dalam menyampaikan ilmu dan tazkirah kepada mereka bersempena Ambang Ramadan.
Tambahnya, dalam Islam, kita ada peringkat Muslim dan Mukmin. Ada orang Muslim tetapi Mukmin tu belum lagi kuat pegangannya.
Jika mengikut al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa Mukmin dijelaskan dengan dua ciri iaitu semua orang Mukmin itu bersaudara dan mendapat rahmat serta orang Mukmin itu percaya kepada Allah, Rasul, tidak ada ragu tentang Islam dan berjihad yakni bersungguh-sungguh berkorban dengan harta.
Kata Dr. Yusof Noor, apabila tiba bulan Ramadan, hendaklah kita buat juadah sebagai tanda kita mengalu-alukan kehadiran bulan yang mulia lebih baik dari seribu bulan.
Kita berjanji untuk menjadikan bulan puasa ini bulan yang lebih baik untuk kita amalkan perkara yang baik lebih baik daripada sebelumnya.
Jangan kita lupa bahawa Ramadan ini satu peluang kita rebuti segala ganjaran yang tersedia di dalamnya.
Jelasnya, di dalam seminggu ada satu hari yang paling terbaik sekali iaitu Jumaat dan setiap tahun ada bulan yang terbaik sekali iaitu bulan Ramadan kerana Allah memberikan kita peluang kepada orang Islam.
Bersama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT supaya dapat memajukan Islam ini menerusi amal kita.
Beliau berharap supaya dapat memberi imej Islam yang lebih baik pada semasa ke semasa sekali gus dapat menarik minat terhadap orang bukan Islam. Kalau tidak pun mereka menghormati orang Islam.
Dr. Yusof Noor berpesan supaya tidak membazir membeli juadah di bazar Ramadan sehingga pelancong menganggapkan bulan puasa sebagai bulan festival makanan.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya menggunakan bulan Ramadan dengan mempertingkatkan amal ibadah kerana terdapat pelbagai ganjaran disediakan.
Majlis berakhir dengan penyampaian buah kurma disampaikan oleh Dr. Yusof Noor kepada tetamu yang hadir.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agong Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM, Datuk Ahmad Mustafa; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media PERKIM, Datuk Idris Mamat; Pengarah IDIP-KL, Datuk Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja PERKIM, Zulkefli Arifin.
Yus Ondre membacakan doa pembuka majlis.
Antara tetamu yang hadir di Majlis Sambutan Ambang Ramadan 1440H.
Muhammad Fitri menyampaikan ceramah bertajuk Ambang Ramadan kepada komuniti PERKIM.
Saudara baharu Kelas Pengajian Kelas Harian turut bersama mengikuti ceramah disampaikan.
Fitri turut menceritakan kisah beliau sebelum memeluk Islam kepada komuniti PERKIM.
Dr. Yusof Noor turut berkesempatan mendengar ceramah yang disampaikan.
Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan dan amanat kepada komuniti PERKIM.
Dr. Yusof Noor menyampaikan amanat dan nasihat buat komuniti PERKIM.
Dr. Yusof Noor menyampaikan buah kurma kepada saudara baharu.
Saudara baharu menerima buah kurma daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM sambil disaksikan oleh Fitri (berbaju putih) dan Hasbullah (kanan).