Lebih 700 Saudara Muslim Sertai Tadarus
LEBIH 700 SAUDARA MUSLIM SERTAI TADARUS
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Semua manusia tidak lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan, oleh itu pohonlah kepada Allah SWT supaya kita akan diampunkan oleh Tuhan Yang Maha Pengampun di pertengahan bulan Ramadan yang mempunyai maghfirah (keampunan),” ucap Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Ia bersandarkan hadis dari Abu Hurairah r.a “Awal bulan Ramadan adalah rahmah, pertengahannya maghfirah, dan akhirnya ‘itqun minan nar (pembebasan dari api neraka).”
Dr. Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM berucap ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Tadarus Al-Quran Saudara Muslim sempena Sambutan Nuzul Quran 1438H bertempat di Masjid Wilayah, Jalan Sultan Abdul Halim, Kuala Lumpur pada 12 Jun 2017 lalu.
Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) itu menghimpunkan 700 peserta terdiri daripada kalangan Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Indonesia dan Filipina serta kaum Melayu turut tidak ketinggalan menyertainya.
Ia diadakan bersempena tarikh turunnya al-Quran iaitu pada 17 Ramadan yang melibatkan peserta dari negeri Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Pada hari ini, masyarakat Islam pelbagai latar belakang dan kumpulan yang berbeza berhimpun untuk menyertai program tadarus al-Quran yang meningkatkan lagi kekuatan umat,” katanya.
Tambah beliau, program yang mulia tersebut diadakan untuk menghidupkan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.
Selain menghubungkan silaturrahim program hari ini memberi peluang untuk kita saling berkenalan sesama muslim dan saudara baru.
Rugi jika sepanjang berpuasa kita tidak banyak berdoa. Sedangkan doa orang yang sedang berpuasa itu dimakbulkan Allah.
Seperti mana kita dianjurkan berdoa seberapa banyak doa yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Tirmidzi yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau mencintai orang yang memohon keampunan, oleh itu maafkanlah aku.”
Begitu juga jika kita menghabiskan masa dengan membaca al-Quran serta faham tafsirnya sekaligus mengamalkannya.
Tegas Dr. Yusuf Noor, kita perlu bersungguh-sungguh dalam mengejar ganjaran pahala ini seolah-olah ini tahun terakhir kita menyambut Ramadan.
Peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan yang diketuai oleh munabbih bagi setiap kumpulan ditugaskan memperbetulkan bacaan peserta dari segi huruf, makhraj dan tajwid.
Setiap peserta diberi peluang untuk membaca beberapa helai mukasurat sekaligus mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di majlis tersebut.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan saguhati kepada munabbih disampaikan oleh Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.
Turut hadir ialah kepimpinan PERKIM, Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Penyelaras Unit Aset dan Pembangunan, Datuk Ahmad Mustafa; Penyelaras Unit Penerbitan, Zuber Zain; Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan (UPPP), Muhammad Farhan Tee Abdullah, Muhammad Jais Abdullah, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan; Naib Pengerusi Negeri Sembilan, Datuk Ali Ab. Majid; Pegawai Dakwah Wilayah Persekutuan, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan Maruli dan Pegawai Dakwah Negeri Sembilan, Zafri Ismaiskandar Abd. Ghani.
Selain itu, peserta berpeluang berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib dan solat sunat tarawih bersama imam jemputan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syeikh Rami Al-Badawi dari Syria.
Sepanjang bulan Ramadan, PERKIM Kebangsaan turut menganjurkan ceramah Ramadan, majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih dan jamuan moreh di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur bersama Saudara Muslim.
Peserta memeriksa nama dalam penyertaan Majlis Tadarus Al-Quran Saudara Muslim.
Dr. Yusuf Noor mengajak para tetamu memohon keampunan kepada Allah SWT di 10 malam kedua yang dipenuhi dengan maghfirah.
Beliau menyeru agar memperbanyakkan membaca al-Quran di bulan Ramadan yang mulia.
Antara 700 Saudara Muslim yang menyertai tadarus sempena Nuzul Quran.
Ishak Othman (tengah) selaku munabbih memperbetulkan bacaan peserta.
Saudara Muslim membaca al-Quran bersama-sama munabbih.
Peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan di dalam majlis tadarus tersebut.
Dr. Muhammad Rais (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan saguhati kepada munabbih tadarus.
Munirah selaku munabbih menerima saguhati daripada Bendahari Kehormat, Dr. Muhammad Rais (dua dari kiri)
Fauziah Ibrahim selaku johan tilawah al-Quran kelas pengajian Islam PERKIM, menyampaikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum berbuka puasa.
Muhammad Sulhi (berbaju hijau) mengetuai bacaan doa berbuka puasa.
Saudara Muslim mengaminkan doa ketika doa berbuka puasa dibacakan.
Saudara Muslim menadah tangan ketika doa dibacakan.
Imam jemputan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syeikh Rami Al-Badawi dari Syria mengetuai solat tarawih.