Aktiviti Dakwah

Makna Puasa Saudara Muslim

MAKNA PUASA SAUDARA MUSLIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Kebiasaannya umat Islam telah dibimbing berpuasa oleh ibu bapa seawal usia lima atau enam tahun. Keterujaan melaksanakan puasa terbayar saat berbuka puasa dengan juadah kegemaran mereka. Malah pemberian saguhati bagi setiap ibadah yang mereka kerjakan berperanan sebagai penyuntik semangat.

Namun, bagi individu yang baru memeluk Islam atau mualaf terutama pada usia lewat remaja, ibadat puasa tetap wajib mereka laksanakan mengikut kemampuan.

Pun begitu hikmah daripada kecintaan menebal kepada ajaran Islam, semua kesukaran itu mampu diharungi. Ini juga hasil daripada siri puasa percubaan sebelum syahadah.

Justeru, Majlis Iftar Bersama Saudara Muslim anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dapat memberi pendedahan kepada golongan tersebut selain mengukuh silaturahim dan membina akidah melalui aktiviti yang diadakan seperti tazkirah, berbuka puasa, tadarus al-Quran, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat sunat tarawih.

Acara tahunan sempena Ramadan itu telah bermula sejak 15 tahun lalu. Bagi tahun ini diadakan dari 28 Mei lalu dan berakhir pada 24 Jun 2017.

“Sebelum memeluk Islam, saya berpengalaman berpuasa dengan hanya memakan buah-buahan dan minum susu sahaja tanpa makan nasi berlauk”.

Ia merupakan cabaran buat saya ketika pertama kali berpuasa sebagai seorang Islam kerana tidak boleh makan dan minum bermula waktu imsak hinggalah ke Maghrib.

“Enam hari saya belajar berpuasa tetapi gagal. Saya berbuka pada waktu petang kerana tidak mampu untuk menahan lapar dan dahaga. Malah tidak dapat mengawal nafsu ketika mengikuti rakan membeli juadah di bazar Ramadan memandangkan saya baru belajar berpuasa pada usia 51 tahun.

Puasa ini mengajar saya erti sebuah keimanan kerana puasa dan tarawih menguji diri kita dengan penuh kesabaran dan ketaatan sebagai seorang Muslim.

Azim Sivasalams“Pelbagai dugaan dan rintangan telah ditempuhi, akhirnya saya berjaya berpuasa penuh pada hari ketujuh Ramadan dengan penuh rasa syukur dan gembira kerana dapat menunaikan rukun Islam ketiga,” kata Azim Sivasalam dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Dia yang juga bertugas sebagai pemandu di Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan gembira dengan aktiviti dan program yang dianjurkan Perkim Kebangsaan kerana dapat menjalinkan ukhuwah bersama rakan-rakan berbeza kaum semasa berbuka puasa serta menunaikan solat tarawih berjemaah.

Tambah pula dengan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, sedikit sebanyak dapat memberikan ilmu dan pengetahuan agama kepada saya yang sememangnya menyukai majlis ilmu,” jelas lelaki berketurunan India itu.

Azim bertekad Ramadan kali ini dapat memperbanyakkan amalan ibadah lain seperti berdoa, berselawat, qiamullail, bertadarus al-Quran dan membuat kebajikan, apatah lagi mengetahui akan ganjaran pahalanya yang berlipat kali ganda.

Jasmine Wong Lan EngsSementara bagi Jasmine Wong Lan Eng, 74, yang memeluk Islam pada 12 September 2016 yang jatuh pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu, , turut mengakui melaksanakan ibadah puasa di hujung usia adalah begitu sukar kerana beliau tidak pernah berpuasa kecuali disebabkan menjalani rawatan atau perkara-perkara tertentu.

Katanya, saya merupakan di antara ahli keluarga yang terakhir memeluk Islam setelah melihat ketiga-tiga anak menunjukkan akhlak yang baik setelah memilih menjadi seorang Muslim.

Warga emas berketurunan Cina itu menjelaskan bahawa pengalaman berpuasa sebenarnya bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi perlu mengawal nafsu dan menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah.

Bercerita pengalaman bersahur, kata ibu kepada selebriti Shila Lama, dia akan bangun seawal 4 pagi untuk membersihkan diri supaya berasa segar dan memasak makanan yang mudah dimasak.

Waktu berbuka merupakan saat yang paling gembira dan seronok bagi Jasmine kerana masa berpuasa telah tamat dimulai dengan kunyahan kurma dan buah-buahan serta dibasahi tekak dengan air sejuk yang menghilangkan segala kedahagaan.

Jasmine berhasrat meningkatkan amalan dengan bersedia menyambut dan menghayati 10 malam terakhir Ramadan iaitu lailatulqadar, malam kemuliaan yang dinantikan oleh setiap umat Islam kerana malam tersebut adalah lebih baik daripada 1,000 bulan.

001
Azim (tengah) bersama rakannya Amran (kiri) membeli juadah kegemarannya di bazar Ramadan.

002
Azim menyertai kumpulan tadarus bagi meraih ganjaran pahala di bulan Ramadan.

003
Azim bersama-sama rakan mualaf berdoa selepas selesai melaksanakan ibadah solat sunat tarawih berjemaah.

004
Azim turut hadir di majlis berbuka puasa Saudara Muslim anjuran agensi swasta.

005
Jasmine (kanan) bersama rakan mualaf berbuka puasa bersama-sama di Bangunan Perkim.

Related Articles

Back to top button