Lawatan Kerja Sambil Belajar Kakitangan PERKIM Ke Jamiyah Singapura
oleh: SRZ
SINGAPURA, 29 JULAI 2024 – Seramai 25 Pegawai dan Kakitangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan serta PERKIM Bahagian Negeri Johor telah mengadakan Lawatan Kerja Sambil Belajar Ke Jamiyah Singapura bertempat di Pusat Islam Jamiyah, 31 Lorong 12 Geylang dekat sini, pada pagi Isnin.
Lawatan sehari ke negara Singapura itu diketuai oleh Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.
Seawal pagi, rombongan lawatan dari Nusajaya, Johor Bahru menuju ke Singapura melalui Lebuhraya Tuas dan dikehendaki ke Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen kedua-dua negara untuk pengesahan pasport serta identiti.
Pegawai dan kakitangan PERKIM pada hari sebelumnya telah mengadakan lawatan kerja ke PERKIM Johor di Larkin Jaya dan menghadiri pertemuan serta jamuan makan tengah hari bersama Pengerusi PERKIM Johor, YM Dato’ (Dr) Syed Ali Mohamed AlAttas di kediamannya di Jalan Straits View, Johor Bahru.
Setibanya di Jamiyah Singapura, rombongan PERKIM di sambut dengan ramah mesra dan ucapan selamat datang serta bersalam-salaman oleh warga Jamiyah Singapura.
Lawatan itu dimulakan dengan bacaan doa dipimpin oleh Imam Jamiyah Singapura, Imam Yakub Vadia disusuli dengan tayangan video korporat Jamiyah Singapura.
Video korporat turut menayangkan sejarah, latarbelakang, aktiviti dan program yang dilaksanakan Jamiyah Singapura serta penganjuran Festival Muslim terbesar di Singapura.
Presiden Jamiyah Singapura, Prof (Adj) Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Johor kerana sudi mengadakan lawatan kerja sambil belajar ke sini.
Kata Datuk Dr Mohd Hasbi, pertemuan kita pada hari ini akan meningkatkan lagi silaturahim di antara PERKIM dan Jamiyah Singapura agar kita bersama dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman dari kedua-dua organisasi Islam.
Jamiyah Singapura juga dikenali sebagai Persatuan Mubaligh Muslim Singapura, diasaskan pada 1932 oleh Duta Keamanan Keliling dari Meerut (India), Moulana Abdul Aleem Siddique. Meneruskan legasi Moulana, misi kami adalah untuk berkhidmat dan menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa atau kepercayaan mereka.
Jelas beliau, sepanjang beberapa dekad, Jamiyah telah berkembang dengan beberapa program dan perkhidmatan yang dipertingkatkan untuk menangani keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.
Menurut Dr Mohd Hasbi, Jamiyah Singapura mempunyai Darul Islah atau Jamiyah Halfway House yang menyediakan perkhidmatan bagi pemulihan 100 bekas penagih dadah setiap tahun.
Jamiyah juga mempunyai tujuh pusat pendidikan kanak-kanak di mana perkhidmatan diberi hampir 500 kanak-kanak yang berumur di antara dua bulan hingga 12 tahun.
Pusat Pendidikan Jamiyah menawarkan program-program Islam kepada hampir 800 peserta berumur lima tahun hingga dewasa dengan aktiviti pembelajaran al-Quran hingga ke program ke peringkat sarjana.
Sejak tahun 1970 lagi, Jamiyah Singapura telah menyediakan bekalan makanan kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat dalam program Jamiyah FoodBank.
Ulasnya lagi, visi Jamiyah Singapura adalah memberi khidmat kepada masyarakat, menjaga semua manakala misinya pula adalah untuk bekerja dan menyumbang ke arah kebajikan dan pembangunan keseluruhan masyarakat Islam dan umat manusia.
Sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan, Jamiyah Singapura dikehendaki memilih pasukan pengurusan yang mempunyai peranan yang jelas semasa mesyuarat agung. Sebuah majlis eksekutif yang terdiri daripada 36 ahli akan dipilih setiap dua tahun pada Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan dan dua kerusi dikhaskan untuk ahli wanita yang dicalonkan.
Menurutnya lagi, Jamiyah Singapura juga telah melancarkan pembukaan wad demensia di Darul Syifaa dan mengadakan pameran replika artifak barangan dan peninggalan Nabi Muhammad SAW di Ekspo Singapura.
“Jamiyah juga mempunyai Rumah Warga Emas Jamiyah (Darul Takrim) yang ditubuhkan pada 1996 sebagai kemudahan kebajikan warga emas dan miskin yang diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat Singapura ketika itu dengan pelantikan Persatuan Mubaligh Muslim Singapura sebagai ejen pengurusan.
“Rumah tersebut merupakan tempat tinggal dan penjagaan kepada penduduk yang kebanyakannya warga emas, lemah dan melarat,” ucapnya.
Selain itu, Jamiyah Singapura juga turut menyambut peristiwa besar Islam dengan mengadakan sambutan Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha, Maulidur Rasul serta penganjuran Nuzul Quran, solat sunat tarawih, sumbangan daging korban dan lain-lain.
Jabatan Wanita Jamiyah Singapura telah mengelolakan Anugerah Ibu Teladan pada setiap tahun tanpa mengira latar belakang agama.
Jabatan Silang Agama Jamiyah Singapura menganjurkan Anugerah Teladan Antara Agama juga merupakan acara tahunan sejak tahun lalu dan ia terbuka kepada semua agama dan bangsa.
Jabatan Belia Jamiyah Singapura mengadakan forum belia setiap tahun di mana belia-belia dari negara-negara di rantau ini mengambil bahagian membincangkan mengenai pembangunan belia dan kehidupan aman dan harmoni.
“Saya mewakili Jamiyah Singapura sekali lagi berterima kasih kepada PERKIM di atas kesudian melawat ke sini dan ingin mengundang untuk datang lagi untuk melawat projek-projek Jamiyah di 15 lokasi di Singapura ini,” katanya mengakhiri ucapan.
Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah dalam ucapannya pula berkata, Jamiyah Singapura dan PERKIM juga membawa visi dan misi yang sama dalam menjalankan usaha Islam dalam pembabitan kebajikan dan pendidikan kepada masyarakat Islam seperti mana lagu ‘Seiring Sejalan’.
Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh Jamiyah Singapura menerusi video korporat yang ditayangkan itu adalah cukup baik dan mengkagumkan kami di mana sumbangan derma itu tidak semestinya disumbangkan daripada orang Islam malah 90 peratus adalah sumbangan daripada bukan Islam.
Katanya, Jamiyah Singapura dilihat sebagai satu pusat untuk melakukan kerja-kerja kebajikan seperti mana PERKIM laksanakan.
Antara objektif dan elemen utama PERKIM menerusi PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri-negeri, Wanita PERKIM dan Majlis Belia PERKIM ialah dakwah, kebajikan, pendidikan, kerjasama dan lain-lain.
Di Malaysia, PERKIM dapat melaksanakan sebaran dakwah dapat dilakukan dengan begitu luas malah liputan geografi lebih besar kepada mad’u.
Pendidikan PERKIM bermula daripada Tadika PERKIM bagi peringkat kanak-kanak manakala bagi kelas mualaf PERKIM mengadakan Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan dan bagi peringkat lebih tinggi PERKIM mengadakan kursus persediaan pengajian Islam, Sijil Asas Pengajian Islam serta Sijil Pengajian Islam di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kota Bharu kepada mubaligh bagi membawa ilmu Islam kepada masyarakat bukan Islam.
Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIP) di Kuala Lumpur pula mengadakan program dakwah jangka pendek untuk kader dai, belia dan profesional Muslim.
Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahbudin turut mencadangkan sekiranya terdapat mualaf-mualaf di Singapura yang ingin mendalami Islam dialu-alukan untuk melanjutkan pengajian Islam di IDIP Kota Bharu manakala IDIP Kuala Lumpur bagi peringkat dai profesional.
Kata Dato’ Razali lagi, kita akan menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PERKIM dan Jamiyah Singapura supaya dapat mendekatkan lagi hubungan ukhuwah Islamiah dan silaturahim di antara dua badan Islam pada masa hadapan.
Menurutnya, beliau yang dahulunya merupakan bekas Ketua Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pernah ke Singapura bagi menghadiri forum Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
“Sekiranya dahulu saya boleh membawa anak-anak Cina Singapura untuk mempelajari hafazan al-Quran di Darul Quran JAKIM, kini saya berhasrat untuk membawa anak-anak Singapura untuk belajar di IDIP,” ujar Dato’ Razali.
Turut diadakan sesi soal jawab di antara pegawai PERKIM dan warga Jamiyah Singapura.
Di akhir pertemuan, Dr Hasbi telah menyampaikan cenderahati Jamiyah Singapura kepada Dr Ramle manakala Dr Ramle menyampaikan cenderahati balas PERKIM iaitu sebuah jam PERKIM dan sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dr Hasbi.
Rombongan PERKIM turut disajikan dengan hidangan makanan tengah hari sambil berpeluang merasai pengalaman baharu dalam penerokaan teknologi realiti maya (VR) yang mengandungi sejarah Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden 1 merangkap Ketua Pegawai Operasi Jamiyah Singapura, Jaafar Mydin; Timbalan Presiden 3 Jamiyah Singapura, Siraj Salman; Timbalan Presiden 2 merangkap Ketua Pegawai Strategi Jamiyah Singapura, Mohd Hafidz Abd Malik; Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Korporat Jamiyah Singapura, Muhammad Khair Baharin; Penganalisis Perancangan dan Strategi Korporat Jamiyah Singapura, Roza Ahmad; Ahli Majlis Eksekutif Jamiyah Singapura, Mahmud Ahmad; Naib Pengerusi 1 PERKIM Bahagian Negeri Johor, YBhg Datin Paduka Hajah Hapipah Endot; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Johor, Mohamad Shaiful Bahri Abdullah serta Pengerusi PERKIM Cawangan Batu Pahat, YBhg Dato’ Haji Awang Mohamad.
Warga Jamiyah Singapura menyambut mesra ketibaan rombongan PERKIM di hadapan Pusat Islam mereka.
Pengerusi majlis mengucapkan selamat datang kepada ahli rombongan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Johor.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa disampaikan oleh Imam Jamiyah Singapura, Imam Yakub Vadia.
Tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.
Warga Jamiyah Singapura dan PERKIM bersama-sama mengaminkan doa yang dibacakan.
Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan menadah tangan setibanya di Pusat Islam Jamiyah Singapura.
Ahli rombongan disajikan dengan tayangan video korporat Jamiyah Singapura.
Pelbagai program dan aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh Jamiyah Singapura melalui tontonan video korporatnya.
Presiden Jamiyah Singapura, Prof (Adj) Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar dalam ucapannya berharap kunjungan tersebut dapat meningkatkan lagi silaturahim di antara dua organisasi Islam sekali gus dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman.
Naib Yang Dipertua PERKIM, Prof Dr Ramle dalam ucapannya berkata Jamiyah dan PERKIM membawa visi serta misi yang sama dalam menjalankan usaha Islam melalui kebajikan dan pendidikan kepada masyarakat Islam seperti mana lagu ‘Seiring Sejalan’.
Jais Mariappan mengajukan beberapa soalan mengenai aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada Jamiyah Singapura.
Dr Hasbi menjawab soalan berkenaan organisasinya.
Siti Munirah turut mengajukan beberapa soalan yang pembabitan sumbangan non-Muslim kepada Jamiyah Singapura.
Dato’ Razali mencadangkan agar diadakan MoU di antara PERKIM dan Jamiyah Singapura supaya dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat.
Nur Syahirah Musa mengajukan soalan berkenaan dengan mualaf atau saudara baharu kepada Jamiyah Singapura.
Dr Hasbi menyampaikan cenderahati Jamiyah Singapura kepada Dr Ramle.
Dr Ramle menyampaikan cenderahati jam PERKIM sebagai hadiah balas kepada Dr Hasbi.
Dr Ramle juga menyampaikan sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dr Hasbi.
Kakitangan PERKIM berkesempatan mencuba sendiri penerokaan teknologi realiti maya (VR) yang mengandungi sejarah Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Tetamu kehormat menikmati makanan tengah hari tajaan Jamiyah Singapura.
Ahli rombongan PERKIM bersama warga Jamiyah Singapura mengambil kesempatan bergambar di hadapan Pusat Islam Jamiyah Singapura sebagai tanda kenang-kenangan di akhir lawatan.