Lawatan Kerja Pegawai, Kakitangan PERKIM Kebangsaan Ke PERKIM Johor
oleh: SRZ
JOHOR BAHRU, 28 JULAI 2024 – Seramai 20 orang terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat PERKIM Bahagian Negeri Johor bertempat di Jalan Geroda 1, Larkin Jaya dekat sini pada petang Ahad.
Rombongan lawatan telah memulakan perjalanan seawal pagi dengan menaiki bas persiaran disewa khas dari Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Lawatan tersebut telah disambut mesra oleh Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Johor, Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah.
Mohamad Shaiful dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran rombongan daripada PERKIM Kebangsaan ke PERKIM Johor.
Katanya, PERKIM Bahagian Negeri Johor telah ditubuhkan pada 18 September 1969 oleh Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Balai Masjid Abu Bakar.
Berikutan beberapa faktor, PERKIM Johor berpindah dari Balai Alattas Jalan Mohd Taib, Jalan Saget pada tahun 1981, Taman Melodies pada tahun 1988, Bangunan UMNO Jalan Saget pada tahun 1999 dan secara rasminya berpindah ke bangunan ini pada tahun 2001.
Katanya, sebelum ini PERKIM Bahagian Negeri Johor dikenali dengan nama PERKIM Cawangan Johor.
Rombongan lawatan turut menyaksikan sejarah dan aktiviti PERKIM Johor menerusi persembahan video yang ditayangkan.
Hadir sama, Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Naib Pengerusi 1 PERKIM Bahagian Negeri Johor, YBhg Datin Paduka Hajah Hapipah Endot; Pengerusi Tetap PERKIM Bahagian Negeri Johor, Tuan Haji Hashim Haron dan Pengarah Unit Pembangunan Pendidikan dan Operasi, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.
Dalam pada itu, Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PERKIM Johor di atas kesudian menerima rombongannya ke sini.
Kata Dato’ Razali, dalam hasrat dan tujuan rombongan PERKIM Kebangsaan membuat lawatan kerja ke Singapura pada esok hari, kita berkesempatan dapat mengeratkan lagi hubungan yang lebih akrab dengan mengadakan lawatan ke sini.
Ia secara tidak langsung dapat bertukar-tukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf di PERKIM Kebangsaan khususnya.
Tambah Dato’ Razali lagi, lawatan itu memberi pendedahan kepada rombongan kaedah dan cara pelaksanaan dakwah, kebajikan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh PERKIM Johor untuk diusahakan di PERKIM Kebangsaan.
Kata beliau, kita boleh menggunakan kaedah dan pendekatan yang dilaksanakan oleh PERKIM Johor dalam mendekati saudara baharu seperti mana yang ditunjukkan melalui tayangan video.
Dato’ Razali turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada PERKIM Johor menerusi aktiviti yang dapat menarik minat kita untuk pelajari kaedah, pendekatan dan kelainan dalam usaha dakwah kepada saudara baharu.
Jelasnya lagi, PERKIM Johor juga akan memainkan peranan yang penting dalam membantu dan turut serta dalam rombongan lawatan kerja ke Singapura.
Diharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program dan aktiviti kolaborasi di antara PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Johor.
Dato’ Razali turut menyampaikan buah tangan kepada Mohamad Shaiful di akhir sesi lawatan.
Sebelum itu, rombongan lawatan telah menghadiri jemputan makan tengah hari di kediaman Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor, YM Dato’ (Dr) Syed Ali Mohamed Al-Attas di Jalan Straits View, dekat sini.
Jamuan hidangan nasi Arab yang disajikan itu turut disertai oleh Tokoh Agama PERKIM Kebangsaan merangkap Tokoh Agama PERKIM Bahagian Negeri Johor, YBhg Dato’ Dr Haji Nooh Gadot.
Seusai jamuan, Pegawai dan kakitangan berkesempatan menunaikan solat jamak dan qasar dipimpin oleh Dato’ Razali.
Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Syed Ali kerana telah menaja makan tengah hari kepada ahli rombongan.
Beliau turut menyampaikan salam hormat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Ramli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Dakwah PERKIM Kebangsaan berkesempatan menyampaikan perkembangan pembinaan semula asrama Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas (Task Force) IDIP Kota Bharu diberi mandat untuk menyelia pembangunan asrama, dewan dan surau di IDIP Kota Bharu.
Jelas Dr Ramle, IDIP telah berpindah beberapa fasa dan yang terakhir ke Taman Putra PERKIM, Pengkalan Chepa Kelantan pada 15 Februari 1991 sehingga sekarang. Namun bangunan asrama lelaki terutamanya yang pada mulanya merupakan penempatan kaum pelarian Islam Kemboja pada tahun 1975, telah sangat uzur dan tidak dapat digunakan lagi.
Setakat ini, kita telah merobohkan enam daripada sembilan asrama lelaki di IDIP dan salah satu di antara tiga rumah lagi dibaik pulih manakala dua daripadanya dijadikan kediaman untuk kakitangan IDIP.
Dato’ Syed Ali juga berkongsi bersama ahli rombongan mengenai sejarah dirinya, sejarah PERKIM Johor dan pembabitan Almarhum Tunku dalam menerajui kepimpinan PERKIM pada tahun 1982.
Dr Ramle berkesempatan menyampaikan cenderahati jam PERKIM kepada Dato’ Syed Ali di akhir pertemuan.
Pada sebelah petang, Bendahari Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Sait Haji Ahmad menjamu ahli rombongan jamuan makan malam di restoran makanan Cina Muslim.
Turut hadir ialah Pengerusi PERKIM Cawangan Batu Pahat, YBhg Dato’ Haji Awang Mohamad.
Seramai 20 terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan PERKIM Kebangsaan mengadakan lawatan kerja sambil belajar ke PERKIM Johor dan Singapura.
Ahli rombongan berkesempatan bergambar di Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene setibanya di Johor Bahru.
Rombongan berkunjung ke PERKIM Johor di Larkin Jaya.
Shaiful Bahri (berdiri) menyambut mesra dan mengalu-alukan kehadiran rombongan PERKIM Kebangsaan.
Shaiful Bahri memberi penerangan ketika menayangkan sejarah dan latar belakang PERKIM Johor.
Dato’ Razali dalam ucapannya berkata, dalam rangka lawatan kerja ke Singapura, rombongan berkesempatan mengadakan lawatan ke PERKIM Johor bagi mengeratkan lagi hubungan yang lebih akrab.
Dato’ Razali menyampaikan buah tangan kepada Shaiful Bahri.
Shaiful Bahri menyampaikan cenderahati kepada Dr Ramle.
Ahli rombongan PERKIM Kebangsaan bergambar kenang-kenangan di hadapan bangunan PERKIM Bahagian Negeri Johor.
Ahli rombongan menerima undangan jamuan makan tengah hari di kediaman Pengerusi PERKIM Johor, YM Dato’ (Dr) Syed Ali Mohamed Al-Attas di Jalan Straits View.
Dato’ Syed Ali turut mengundang Tokoh Agama PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Dr Haji Nooh Gadot di jamuan makan tengah hari di kediamannya.
Dr Nooh Gadot memimpin bacaan doa sebelum makan.
Barisan kepimpinan PERKIM menikmati jamuan hidangan nasi Arab.
Ahli rombongan PERKIM Kebangsaan menjamu selera di perkarangan rumah Dato’ Syed Ali.
Seusai makan tengah hari, Dato’ Razali memimpin solat fardu Zohor berjemaah.
Dato’ (Dr) Syed Ali berkesempatan berkongsi mengenai sejarah PERKIM Johor dan pembabitan Almarhum Tunku dalam menerajui kepimpinan PERKIM Johor pada tahun 1982.
Dr Ramle selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Dakwah PERKIM Kebangsaan memberi penerangan dan penjelasan mengenai perkembangan pembangunan IDIP Kota Bharu.
Dr Ramle menyampaikan cenderahati jam PERKIM kepada Dato’ Syed Ali sambil disaksikan oleh Dato’ Razali (kiri) dan Pengerusi PERKIM Cawangan Batu Pahat, YBhg Dato’ Haji Awang Mohamad (kanan).
Ahli rombongan PERKIM Kebangsaan merakamkan gambar kenangan bersama Pengerusi PERKIM Johor, YM Dato’ (Dr) Syed Ali Mohamed Alattas sambil menunjukkan gaya bebas masing-masing.
Pada sebelah malam, PERKIM Johor menjamu ahli rombongan PERKIM Kebangsaan menikmati hidangan makanan Cina Muslim.