Aktiviti Dakwah

Tun YDP PERKIM Pengerusikan Mesyuarat EXCO Bilangan 2/2020

17 JUL – KUALA LUMPUR.   Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kebangsaan (EXCO) Bilangan 2/2020 bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini pagi tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim; Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj; Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan YBhg Dr Ann Wan Seng.

Tun Yang Dipertua turut menyampaikan ucapan aluannya sebagai pengerusi mesyuarat.


YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan aluannya berkata wabak COVID-19 ini walaupun kita berjaya mengesan pada peringkat awal, tetapi mereka yang terlewat ke hospital akan memberi kesan teruk kerana virus tersebut memberi kesan bahaya kepada organ dalaman.

“Mereka yang dijangkiti virus ini jika ianya merebak hingga ke organ dalaman, ia amat sukar dipulih. Mereka mungkin menghadapai masalah kerosakan pada organ yang dijangkiti,” katanya.

Golongan yang berumur lebih daripada 60 tahun serta menghadapi penyakit kronik terutamanya diabetes, besar kemungkinan keadaan mereka adalah lebih teruk.

Pesakit yang kebanyakan meninggal adalah di kalangan warga emas yang majoriti daripada mereka menghidap penyakit kronik.

Oleh sebab itu, kita perlu menghargai langkah bijak yang diambil oleh Kerajaan Malaysia. Kita bernasib baik kerana keadaan pandemik ini telah diuruskan dengan baik oleh pakar yang mementingkan kesihatan serta menjaga ekonomi.

Sebagai contoh, Presiden Amerika Donald Trump, mementingkan ekonomi lebih daripada kesihatan rakyat mereka sendiri sehingga penularan wabak ini sukar dikawal di negara mereka.

Mereka lebih mengutamakan freedom iaitu hak kebebasan asasi manusia tetapi kita di Malaysia telah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan majoriti rakyat Malaysia duduk di rumah selama lebih kurang 3 bulan.

Hasilnya kita beroleh kejayaan pada hari ini serta penularan yang minimum dengan keboleh jangkitan yang amat rendah. Kita harus bersyukur dan kita dapati bahawa ibadah kita pun terjamin. Kita dapat solat berjemaah dan acara-acara keagamaan serta perayaan dalam Islam dapat diraikan.

Jelas Tun Dr Mahathir lagi, ini merupakan suatu pengajaran yang baik serta sesuai dengan diri kita untuk menjadi manusia yang sentiasa bersyukur.

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada PERKIM iaitu Pasukan Kebajikan PERKIM kerana telah menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan Wanita PERKIM Cawangan An-Nidaa’ Putrajaya kerana telah menyumbang kelengkapan keselamatan kepada petugas-petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Saya juga mendapati bahawa ramai yang berusaha serta bersusah payah untuk menghafal Al-Quran namun tidak ramai daripada mereka memahami isi kandungan serta ajaran dari Al-Quran.

Terlalu banyak sekolah-sekolah tahfiz yang telah ditubuhkan oleh orang awam tetapi saya fikir mereka tidak memberi pelajar-pelajar tersebut pemahaman mengenai cara hidup sebagai orang Islam.

Seterusnya berkenaan dengan memahami cara hidup Islam dengan mengutamakan pengajaran bermula di peringkat Tadika Islam kerana ia lebih berkesan.

Saya harap kita hendaklah fikir bersama mengenai perkara ini kerana saya lihat tumpuan kita dalam memberi ajaran agama kepada anak-anak kita untuk membentuk mereka menjadi Muslim yang baik.

Dr Mahathir berharap supaya kita bersama-sama dapat meneruskan usaha dakwah PERKIM walaupun terganggu dengan masalah pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, mesyuarat turut mengesah dan meluluskan minit Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kebangsaan (EXCO) Bilangan 1/2020 pada 24 Januari 2020 lalu serta membentangkan laporan perkara-perkara berbangkit.

Selain itu, mesyuarat turut membentangkan kertas Laporan Kewangan Semasa Bagi Tempoh Sehingga 30 Jun 2020.

Mesyuarat juga membentang kertas cadangan pembinaan dan baik pulih Kompleks Asrama dan Ruang Pengajian Akademik IDIP Kota Bharu, Kelantan serta membentang kertas makluman Dakwah Digital PERKIM Kebangsaan (DIDIK).

Sebelum itu, Tun Yang Dipertua turut menyampaikan sijil penghargaan di atas sumbangan bakti dalam Program Khas Bantuan Ramadan 2020 kepada Pengerusi Yayasan Al-Khalifah, YBhg Dato’ Dr Haji Abdul Razak Haji Kechik dan Pengerusi Wanita PERKIM Cawangan An-Nidaa’ Putrajaya, YBhg Datin Hajah Hanifat Harun dalam usaha membantu frontliners serta asnaf dengan menghulurkan kelengkapan keselamatan, bantuan asasi, makanan dan wang ringgit ketika PKP yang lalu berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara kita.

Related Articles

Back to top button