Aktiviti Dakwah

Kunjungan Hormat ACCIN Ke PERKIM HQ

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

9 JUL – KUALA LUMPUR. Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyambut mesra dan menerima kunjungan hormat Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pada 9 Julai 2020.

Rombongan ACCIN diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Haji Ir. Mohd Jamaludin Mohamed bersama 10 ahli rombongan di mana ahli-ahlinya terdiri daripada NGO dari Angkatan Belia Islam Malaysia  (ABIM), Pertubuhan India Mualaf SeMalaysia (MIRA), Hidayah Centre, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan lain-lain.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Komunikasi PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pentadbiran dan Program; YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBhg Ustaz Mohd Yusof Ahmad dan Setiausaha Kerja, Encik Zulkefli Arifin.

Menurut Haji Jamaluddin,  Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs atau nama singkatannya ACCIN merupakan menjadi badan induk kepada NGO-NGO Islam di Malaysia untuk memimpin isu-isu Islam dan hubungan antara agama dengan menyampaikan dakwah dan persefahaman antara masyarakat.

Antara fokus ACCIN ialah dakwah Islamiah, mempertahankan kedudukan Islam dengan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin serta menegakkan ‘Amar Makruf, Nahi Mungkar.’

Selain itu juga, ACCIN memantau elemen-elemen ancaman kepada Islam dan isu-isu berkaitan Interfaith Commission (IFC).

Antara lainnya, ACCIN melaksanakan strategi 1 NGO, 1 Program (1N1P) untuk keberkesanan dakwah Islamiah.

Menurut Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, perjumpaan ini merupakan usaha supaya kita menuju ke arah yang lebih baik dalam urusan dakwah terutamanya. Pertubuhan ACCIN telah mencapai usia lebih kurang 20 tahun.

“Jadi bagi mereka yang terlibat dalam kegiatan dakwah pada masa terdahulu tiada lagi kewujudan ACCIN dan tujuan setiap pertubuhan badan dakwah adalah hampir sama misi serta visinya.

Pada peringkat awal, di Malaysia ini ditubuhkan badan-badan yang berstatus NGO di mana tugasnya adalah untuk menyelaraskan walaupun perkataan penyelarasan itu tidak ada.

Contohnya penubuhan YADIM adalah untuk menyelaras jikalau mengikut tujuan asal penubuhannya dan mereka juga sebahagian daripada unit pentadbiran Jabatan Agama Islam di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Begitu juga dengan ACCIN, saya yakin kewujudan ACCIN untuk melancarkan lagi usaha-usaha penyelarasan. Mungkin ada sebahagian daripada kita yang tidak mengetahui aktiviti yang dilaksanakan oleh PERKIM,” kata  Tan Sri Yusof Noor.

Di dalam Perlembagaan PERKIM ada satu klausa yang menyatakan PERKIM dibenarkan bergabung dengan mana-mana badan dalam negara atau luar negara dan dengan adanya kewujudan ACCIN kami berasa senang hati kerana sudah pihak yang mahu menolong kami.

Kata beliau, antara badan gabungan dengan PERKIM ialah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Harakah Islamiah Malaysia (HIKMAH) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Bagi mengadakan mesyuarat di antara badan gabungan itu mudah, akan tetapi untuk menjalankan kegiatan dakwah bersama agak sukar. Walaupun usia ACCIN lebih muda dari PERKIM, tetapi tidaklah semudah yang kita fikir untuk menguruskan suatu badan gabungan itu.

Ujar Tan Sri lagi, hampir setiap badan dakwah mempunyai aktiviti yang sama kerana tujuan dakwah yang satu. Misalnya, membimbing seorang mualaf itu bukanlah perkara yang mudah dari seorang yang tidak mengetahui apa-apa mengenai Islam sehingga memahami agama Islam itu sepenuhnya.

Terdapat sebahagian aktiviti dakwah yang dijalankan secara sukarela. Maka apabila kita berada di platform ini, saya rasa kita perlu beri penghargaan kepada golongan sukarelawan yang tidak mahu dikenali ini untuk mengekalkan semangat dakwah mereka. Jadi itu sebagai perkongsian sahaja.

Kata Tan Sri, PERKIM telah mencapai usia 60 tahun pada tahun ini, akan tetapi sambutan Jubli Intan PERKIM ditangguhkan kerana penularan wabak COVID-19. Di awal penubuhan PERKIM terdahulu, PERKIM mempunyai jalinan kerjasama dengan kelab kebajikan Rotary Club serta mendapat dana dari kelab tersebut bagi kemudahan van, alat-alat fisioterapi dan lain-lain kemudahan untuk Pusat Pemulihan Kesihatan PERKIM-Rotary atau kini dikenali sebagai Pusat Pemullihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Jelas beliau, kebanyakan orang dahulunya mendapatkan dana dari badan-badan bukan Islam kerana badan Islam tidak mempunyai dana yang cukup untuk diberikan kepada orang ramai.

“Saya sebutkan perkara ini supaya tuan puan maklum untuk mendapatkan dana itu bukan mudah. Selepas beberapa tahun kewujudan PERKIM, barulah kita mendapat dana,” jelas Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Jadi apabila kita mempunyai badan-badan yang kita kendalikan, kita sudah pun berada di tengah-tengah kewujudan beratus-ratus badan kebajikan yang diwujudkan oleh orang-orang di kalangan kita sendiri untuk membantu segenap lapisan masyarakat. Barangkali, saya juga tidak memahami apa yang menyulitkan mereka iaitu badan-badan Islam yang membantu umat Islam di peringkat antarabangsa, jadi kita terpaksa berperanan pula untuk membantu mereka.

Malaysia ada potensi untuk menjadi badan yang paling hebat dari segi Islam. Sebab itu ada pihak yang cuba mengubah status majoriti orang beragama Islam sejak dahulu lagi. Dalam tahun 40-an lagi sudah wujud Al-Quran palsu di Malaysia. Bible juga di tulis menggunakan tulisan jawi untuk mengelirukan Umat Islam.

Islam datang ke Malaysia ini dengan kehalusan budi pekerti serta semangat cinta akan agama Islam itu sangat utuh, sehingga tertanam di dalam hati nurani setiap umat Islam.

Oleh kerana itu, umat Islam sukar dimanipulasi dan dipengaruhi walaupun datang pelbagai cabaran serta hiburan.

Pada peringkat awalnya, kebanyakan mualaf ini datang dari golongan biasa serta ada yang bermasalah sehingga menyulitkan kita untuk mendidik mereka. Namun, sekarang ini telah wujud golongan mualaf yang profesional yang ingin mengetahui mengenai Islam dengan lebih mendalam.

Jadi sekarang ini bagaimana kita hendak ubah identiti mualaf itu sehingga memahami agama Islam itu sepenuhnya. Kita perlu memastikan seseorang itu tidak menjadi mualaf seumur hidupnya, bermakna seseorang itu perlu memahami agama Islam setelah dia memeluk agama Islam.

“Saya juga ingin menjelaskan perbezaan YADIM dan PERKIM. YADIM merupakan untuk menyelaraskan badan dakwah di Malaysia manakala PERKIM pula  ialah badan kebajikan,” kata beliau.

PERKIM cuba membantu mualaf dari segenap dimensi. Setiap sesuatu yang dilaksanakan oleh PERKIM akan dipastikan sampai tujuan utama iaitu membantu pemahaman mualaf terhadap Islam. Sebagai contoh, penerbitan oleh PERKIM diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

Jadi perkara-perkara seperti ini boleh dibincangkan dari semasa ke semasa tanpa mengira kedudukan kita apakah yang boleh menjadikan aktiviti yang kita atur itu berkesan. Mungkin kita boleh menyusun setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh setiap dari badan gabungan yang ada di sini supaya kita tidak melaksanakan aktiviti yang sama.

Bukan apa, apabila kita melaksanakan perkara yang sama maka ia mungkin akan menjadi kurang berkesan. Jadi yang penting kita anjurkan aktiviti yang diminati oleh pelbagai kaum walaupun ini agak sukar. Saya berharap usaha yang dilakukan dalam berdakwah ini diteruskan.

Kata Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM lagi, PERKIM akan menumpukan pada isu-isu yang berkaitan dengan mualaf.

Perkampungan PERKIM telah diisytiharkan oleh Al marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada setiap negeri pada suatu masa terdahulu. Apabila kita fikirkan apa yang hebatnya perkampungan atau perumahan ini, ada perniagaan, pendidikan serta pelbagai perkara di suatu tempat menjadikan ia suatu model yang terbaik.

Jadi apabila idea yang bagus sebegini tidak disambung oleh kerana kekangan yang tertentu terutamanya kewangan. Seperti kami PERKIM ini tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Jikalau dalam perniagaan tidak mempunyai pendapatan yang tetap ia adalah suatu keadaan yang kritikal.

Kita perlu memikirkan mengenai punca pendapatan yang tetap. Badan yang terkaya di dunia ini ialah Badan Gereja Kristian diikuti dengan badan-badan yang bukan Islam yang kebanyakannya dari kalangan Kristian kerana mereka mempunyai punca pendapatan yang tetap.

Jadi di Malaysia ini kekuatan itu berpunca dari kemahuan suatu pihak. Kita masih belum mencapai tahap menjana pendapatan berpunca dari inisiatif kita sendiri. PERKIM walaupun telah menjangkau usia 60 tahun dan ada yang mengatakan PERKIM kaya namun kami masih tidak mempunyai pendapatan yang tetap, ini kritikal.

Oleh yang demikian kita perlu merancang bagaimana cara untuk mendapatkan pendapatan yang tetap. Seperti yang saya sebutkan tadi, dahulu Tunku mencadangkan mewujudkan perumahan merupakan suatu aset yang terbaik. Idea sudah ada namun tiada perlaksanaannya.

Sebab itu apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mempunyai pendapatan yang cukup mereka membangunkan perumahan MAIWP untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan tempat tinggal. PERKIM tidak mahu bergantung dengan mana-mana pihak, kami hanya menerima dana daripada kerjaan.

Buat pada masa ini kita mempunyai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membantu kita dari segi kewangan. Pada masa kini, apabila telah wujud banyak badan dakwah, kita perlu merancang sesuatu untuk ke arah kebaikan.

Kita juga perlu berfikir pada perkara apa kita seharusnya fokus terlebih dahulu. Misalnya penerbitan, kita perlu fokus pada bahasa yang menjadi priroriti serta difahami semua kaum. Perjumpaan ini bagus dari segi keberkesanan kerjasama di antara badan gabungan. Semoga perjumpaan seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang.

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut menjawab persoalan yang diajukan mengenai IDIP. Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) adalah satu lambang aktiviti utama PERKIM yang sejati. IDIP pada asalnya telah dibangunkan di Kuala Lumpur tetapi disebabkan tertentu ia dipindahkan ke Pengkalan Chepa, Kelantan.

Tetapi idea yang sama digunakan di Kelantan iaitu IDIP itu untuk memperkenalkan kursus keagamaan bagi yang baru memeluk agama Islam. Oleh kerana, IDIP asalnya di Kuala Lumpur, maka IDIP perlu dibangunkan semula di Kuala Lumpur. IDIP di Kelantan khusus untuk Pengajian Islam. Kita telah memulihkan bangunan yang sedia ada.

International Da’wah Institute PERKIM (IDIP) Kuala Lumpur fokusnya pula adalah kepada golongan profesional. IDIP-KL baru diperkenalkan dua tahun yang lalu dan kami ingin memperkenalkan sistem baharu dan dengan pencarian tenaga pengajar yang bercakap mengenai Islam untuk golongan sasaran profesional.

Penerbitan IDIP-KL buat masa ini banyak dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris. Kita perlu mencari golongan profesional yang boleh menulis mengenai Islam dalam Bahasa Mandarin serta mudah difahami oleh golongan tersebut. Jadi ini cabaran kami hadapi untuk membangunkan IDIP-KL. Semestinya sasaran kami untuk membantu golongan mualaf supaya mereka memahami agama Islam.

Selain itu PERKIM di dalam mewujudkan Dakwah Digital PERKIM di bawah nama (DIDIK). Nama memainkan peranan penting untuk mencapai segenap dimensi kerana media amat penting untuk badan dakwah seperti kita dalam menfokuskan sasaran kita, misalnya pelajar universiti antara golongan yang mudah dicapai.

Related Articles

Back to top button