Aktiviti Dakwah

Kualiti Kerja Tentukan Hasil Pencapaian – SUA PERKIM

𝗼𝗹𝗲𝗵: 𝗦𝗥𝗭

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟳 𝗢𝗞𝗧𝗢𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 – “Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana telah bersetuju untuk memberi kebenaran Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi mendirikan Solat Jumaat,” kata 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗧𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗗𝗿 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳 𝗡𝗼𝗼𝗿.

Tambahnya lagi, Surau PERKIM telah dijadikan sebagai tempat untuk mendirikan solat Jumaat pada 20 September 2024 yang lalu meskipun ia telah dikuatkuasakan bermula pada 13 September 2024.


Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan ucapan amanat di hadapan lebih 40 warganya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pada pagi Isnin.

Sebelum itu, warga dan kepimpinan PERKIM bersama-sama menunaikan solat sunat hajat, bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat dipimpin oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Perhimpunan itu turut dihadiri kakitangan daripada Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Dr Yusof Noor dalam ucapannya turut mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Surau PERKIM yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan persetujuan daripada Mufti Wilayah Persekutuan dan JAWI kerana menjadikan Surau PERKIM tempat untuk mendirikan solat Jumaat pada setiap minggu sekali gus menambahkan lagi keceriaan Dataran Dakwah di Bangunan PERKIM ini.

Katanya, setiap hari Jumaat warga yang bertugas di PERKIM dapat bersama-sama membantu menceriakan menjadikan Hari Jumaat sebagai hari yang penuh dengan keberkatan.

“Jika tidak ada persefahaman dan pendekatan yang munasabah, ianya sukar mendapatkan persetujuan daripada pihak berkuasa untuk memberi kebenaran mendirikan Solat Jumaat,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang juga selaku Pengerusi Surau PERKIM yang telah berapa kali berunding dengan pihak berkuasa dan secara khusus.

Tambah beliau, di dalam alam ketenteraan slogan yang dipakai menjadi sorotan oleh Angkatan Tentera (ATM) ialah ‘satu peluru, satu musuh’.

Penekanan slogan itu bertujuan supaya tentera tidak membazirkan peluru bila berhadapan dengan musuh.

300 peluru yang ditembak bukan bermakna dia terbaik, tetapi mungkin dia yang paling lemah kerana secara logiknya jumlah tembakan pada sasaran tentulah 30 biji peluru yang ditembak lebih baik daripada 300 peluru yang ditembak.

Analogi ini berkait rapat dengan kita sebagai warga di PERKIM kerana kita bukanlah jabatan kerajaan yang mempunyai pendapatan yang tetap dan terjamin.

Jelasnya, walaupun kita hanya dianggotai oleh 40,000 ahli seluruh Malaysia, adakah kita masih boleh memainkan peranan yang baik?

Jika ahli-ahli PERKIM semuanya berkualiti atau berusaha dengan penuh dedikasi, berkemungkinan jumlah mereka meningkat sehingga satu juta orang.

Ujar Dr Yusof Noor, walaupun PERKIM merupakan sebuah satu platform yang mempunyai had-had tertentu, tetapi peluang untuk kita memberi kesan kepada masyarakat adalah besar.

Jika kita mempunyai 40,000 ahli dan lebih 100 orang kakitangan PERKIM, kita perlulah berusaha bersama-sama untuk meningkatkan jumlah keahlian serta kualiti kerja.

Ulas beliau lagi, tujuannya ialah untuk menilai diri kita sendiri sama ada kita telah buat sepenuhnya atau ada lagi ruang yang kita boleh lakukan untuk perbaiki diri masing-masing kerana peningkatan kualiti itu menentukan hasil pencapaian kita.

Saya pernah berada di tempat-tempat di negara Islam yang masyhur tetapi di dalam sambutan agama mereka tidak meraikan sambutan Maulidur Rasul, tahlil dan peristiwa kebesaran Islam seperti di Malaysia.

Jelas Dr Yusof Noor lagi, kita bersyukur kerana menghidupkan tradisi ini di Malaysia dengan penuh berkualiti sekali gus mempertajamkan pemikiran dan hati kita.

“Saya yakin kita berada di sini kerana dalam diri kita ada kecintaan kepada dakwah, tetapi bila berada di PERKIM jadikanlah dakwah itu sebagai perkara yang unik walaupun tiada sebarang kemudahan,” katanya.

Oleh kerana kecintaannya pada dakwah, dia sanggup berada di PERKIM dan dilihat sebagai Muslim yang baik seperti mana Hadis Riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Beliau menggesa warganya menunjukkan akhlak yang baik, bermesra di antara satu sama lain, menanamkan sikap hormat menghormati kepada kepimpinan dan kepimpinan tertinggi memohon restu daripada Allah SWT.

Bila kita dilihat sebagai warga yang berakhlak mulia, maka itu adalah wasilah ataupun saluran dakwah yang paling berkesan sekali.

Jika kita dilihat mengamalkan contoh yang baik, sudah pasti dakwah akan berkembang maju.

Beliau berharap pentadbiran PERKIM turut mengamalkan cara baik dan akhlak mulia termasuk di peringkat cawangan, bahagian dan majlis kebangsaan untuk mengamalkan panduan disampaikan oleh Muhammad SAW yang menjadi keutamaan.

Secara tidak langsung, orang bukan Islam akan melihat corak atau gaya hidup yang paling baik dan mereka akan menerima Islam.

“Di samping kita menyumbang tenaga, bakti dan keringat untuk dakwah di PERKIM, kita juga bersama berusaha untuk memakmurkan masyarakat,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.


Ustaz Jais mengetuai bacaan Surah Yasin dan tahlil selepas memimpin solat sunat hajat berjemaah.


Sebahagian warga PERKIM membaca Surah Yasin beramai-ramai.


Kakitangan wanita tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama membaca Surah Yasin.


Seusai bacaan Yasin, Ustaz Jais memimpin bacaan doa selamat.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat pada perhimpunan bulan Oktober bersama warganya.


Dr Yusof Noor menggesa warganya supaya memperbaiki diri masing-masing kerana peningkatan kualiti akan menentukan hasil pencapaian.


Menurut Dr Yusof Noor, warga yang berakhlak mulia merupakan wasilah ataupun saluran dakwah yang paling berkesan.

Related Articles

Back to top button