Aktiviti Dakwah

JAKIM, PERKIM Anjur Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan 2016

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksa-Nya.” (Surah Al Maidah: 2)

Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusukis“Tahun Baru Cina merupakan satu manifestasi atau simbol perayaan suku kaum Tiong Hua sebagaimana Islam mengharuskan dalam meraikannya. Ia juga dianggap sebahagian daripada tuntutan yang perlu diharmonikan atau dipromosikan sebagai satu asas kekuatan bangsa Malaysia dalam konteks negara yang berbilang kaum dan agama,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki sewaktu merasmikan ‘Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2016’.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bertempat di Dataran Surau Al-Huda, Jalan Burung Bebarau, Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2016 baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri seramai lebih daripada 400 tetamu itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Taqwa (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan-MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Pejabat Cawangan Segambut , Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Pusat, Perkim Gerak, Perkim Cawangan Kepong Barat dan ahli jawatankuasa Surau Al-Huda, Taman Bukit Maluri.

Dr Asyraf Wajdi dalam ucapannya terlebih dahulu mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada seluruh tetamu terutama dari suku kaum Tiong Hua.

“Saya rasa berbangga kerana diberikan kesempatan untuk bersama-sama dengan masyarakat Cina kerana Islam merupakan satu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam,” katanya.

Menurut beliau, Islam bukan milik mana-mana kaum, meskipun Melayu, India atau Cina, jauh sekali bangsa Arab.

“Kadang-kala kita terkeliru dengan fahaman, memeluk Islam bermaksud menjadi Melayu serta perlu berpakaian Arab atau bercakap bahasa Arab,” jelasnya.

Terdapat perbezaan di antara Islam berbanding adat resam mahupun kebudayaan kaum selain sifat kebangsaan kerana Islam bukan sahaja merujuk kepada agama, tetapi merangkumi keseluruhan aspek cara hidup.

Apabila seseorang itu memeluk agama Islam, dia tidak boleh memisahkan dirinya daripada nilai-nilai kebudayaan dan adat resam yang selama ini dipraktikkan selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT.

Kebanyakkan adat resam yang diamalkan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama. Disebabkan itulah, Islam mengambil kira soal adat dan budaya sesuatu kaum terutama yang melibatkan prinsip hukum. Salah faham agama yang berlaku disebabkan oleh tanggapan terhadap Islam yang disamakan dengan konsep budaya dan bangsa.

“Wujudnya stigma bagi sesetengah masyarakat di Malaysia yang sering beranggapan sesiapa yang telah memeluk Islam, mereka telah menjadi orang Melayu dan seolah-olah menggambarkan mereka juga bertukar budaya dan bangsa,” jelas Dr. Asyraf.

Katanya lagi, Islam dan Melayu adalah dua perkara yang berbeza di mana ‘Melayu’ merupakan keturunan dan bangsa manakala ‘Islam’ merupakan satu agama atau satu cara hidup.

Apabila seseorang itu telah memeluk Islam, mereka tidak seharusnya memecahkan ikatan kekeluargaan, persaudaraan, jiran tetangga, sahabat yang sebangsa atau sekaum.

“Saya rasa, ini satu perkara yang perlu kita ubah atau jernihkan kerana memeluk agama Islam itu adalah suatu dimensi yang berbeza dengan menukar adat resam dan budaya,” ujar Dr. Asyraf.

Sebagai contoh yang paling mudah seperti pada hari ini, apabila kita menyambut hari yang begitu bermakna bagi kaum Tiong Hua iaitu sambutan Tahun Baru Cina yang tiada kaitan dengan mana-mana agama kerana ia hanya merupakan sebuah kebudayaan dan adat resam suku kaum Tiong Hua.

Dalam konteks ini, Islam turut meraikannya dengan membenarkan kita merayakan secara bersama serta kita harus mempertahankan prinsip toleransi dan saling menghormati kepada setiap agama mahupun bangsa.

Selama 59 tahun kemerdekaan negara, inilah salah satu kekuatan yang telah membina Malaysia.

Tidak ada negara di atas dunia ini yang memiliki keunikan dan kedinamikan seperti Malaysia. Hal ini kerana Malaysia satu-satunya negara yang meraikan agama dan bangsa dalam kerangka National Festival.

Malaysia turut merayakan serta mengisytiharkan cuti kebangsaan bagi Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Wesak, Hari Krismas, Deepavali dan lain-lain lagi, yang mana ini semua dianggap sebagai hari untuk kita meraikan secara bersama sebagai satu rumpun Malaysia.

Keunikan inilah yang perlu dipertahankan dan ianya merupakan sebuah penghormatan dan toleransi antara satu kaum dan agama yang berbeza di mana kita semua wajib pertahankan.

Yang penting untuk kita raikan pada hari ini adalah dengan mendalami dan menjiwai apa sebenarnya yang ada di dalam keunikan setiap kaum dan setiap agama.

Ini adalah masa yang terbaik untuk kita sama-sama memupuk semangat perpaduan dan kesatuan di kalangan kita, selain rasa hormat menghormati  di antara satu sama lain.

Beliau turut mengucapkan ucapan tahniah di atas kejayaan program yang diadakan secara kerjasama seperti mana yang dituntut oleh Islam supaya kita sentiasa berpegang kepada prinsip ‘taawanu ‘ala birri wattaqwa‘ iaitu bekerjasama dan tolong menolong atas prinsip takwa dan kebaikan.

Keseronokan sambutan Tahun Baru Cina dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian singa, mi tarik (la mian), wushu dan pemberian angpau kepada semua tetamu yang hadir.

Farhan Tee AbdullahPenyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata program tersebut diadakan bertujuan untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang tidak bercanggah dengan akidah atau pun syariat Islam.

Ia juga dapat mengeratkan pertalian silaturahim di antara pelbagai kaum dan agama yang menghadirinya.

Jelasnya, majlis itu turut memberi pendedahan dan pengalaman kepada Saudara Muslim yang hadir terdiri daripada bangsa India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Murut, Indonesia dan Filipina.

“Perayaan tersebut  bukanlah perayaan ketuhanan, tetapi ia merupakan perayaan kebudayaan bagi masyarakat Cina,” kata Farhan Tee.

Perayaan tersebut bukan sahaja disambut oleh orang-orang Cina di Malaysia sahaja, bahkan di seluruh dunia terutamanya di negara China.

Farhan yang juga Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan (UPPP) Perkim berkata, program seperti ini turut mengikis perasaan Islamofobia kepada masyarakat bukan Islam malah ia menunjukkan Islam adalah satu cara hidup dan bersifat harmoni.

Majlis Tahun Baru Cina itu merupakan program yang dianjurkan oleh Perkim keempat kalinya. Majlis pertama telah diadakan pada tahun 2011 di Jalan Klang Lama manakala pada tahun 2012 di Taman Bukit Maluri, pada tahun 2015 pula telah diadakan di Rawang  dan tahun 2016 anjuran bersama Jakim diadakan di Taman Bukit Maluri.

Diharap majlis seumpama itu menjadi satu wadah untuk mengukuhkan ikatan silaturahim sesama masyarakat di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

Bertemakan warna merah, khemah program turut dihiasi dengan tanglung, nenas dan lagu sambutan perayaan Tahun Baru Cina dimainkan sepanjang program berlangsung serta pengerusi majlis turut mengendalikan acara dalam Bahasa Mandarin.

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari yang terbahagi kepada kitaran 12 tahun bersempena nama haiwan iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir. Pada tahun 2016 dipilih tahun monyet yang merupakan giliran haiwan yang ke sembilan dalam 12 haiwan menurut kepercayaan zodiak Cina dan monyet juga melambangkan ‘dizhi’ bermaksud dahan duniawi atau dahan bumi.

Turut diadakan forum kebudayaan yang bertajuk ‘Kebudayaan Cina dan Islam’ yang dipengerusikan oleh Sulaiman Ding Yu Zhong selaku Pegawai UPPP manakala ahli panelnya ialah Pengusaha Restoran Cina Muslim, Sharin Low Abdullah dan Pegawai Jakim, Mariam Ma.

Forum yang disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Mandarin itu merupakan perkongsian kisah ahli panel sebelum dan selepas memeluk Islam selain kejayaan mereka mengadaptasi kehidupan Islam dalam kebudayaan Cina.

Selain itu diadakan pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak, penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah dan sukaneka.

Datuk Dr Mustapha MasNaib Yang DiPertua 3 Perkim, Datuk Dr. Mustapha Ma mengucapkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama berhimpun di majlis tersebut dan diberi penghormatan mewakili Yang DiPertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Jakim, Perkim, DBKL, Yayasan Taqwa dan Macma kerana komitmen mengadakan majlis istimewa tersebut.

“Sewaktu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menubuhkan Perkim atau nama dahulunya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaya, Perkim mesti menjalankan tugas bukan hanya dakwah secara lisan, tetapi juga harus mementingkan dakwah bil hal,” kata Dr. Mustapha.

Sebenarnya tugas sebagai seorang Muslim ialah menyampaikan pesanan  bahawa agama Islam adalah agama sejagat dan orang Muslim bukan sahaja wajib melakukan fardu ain tetapi perlu melaksanakan fardu kifayah.

Turut hadir ialah Pengarah Dakwah Jakim, Dato’ Haji Ali Mohammed; Pengerusi Macma Pusat, Prof. Taufiq Yan Yun Hin; Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Zabidi Hassan; Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah UPPP Perkim, Haji Mamat Che Chik; Timbalan Pengarah UPPP Perkim,  Dato’ Abdul Hanif Harun; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jakim, Hakim Ahmad; Setiausaha Kerja Perkim, Zulkefli Arifin serta Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Ahmad Mustafa.

APA KATA MEREKA

Muhammad Haikal Chan AbdullahsMUHAMMAD HAIKAL CHAN ABDULLAH, 41, Perkim Gerak

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT, program yang dilaksanakan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya masyarakat setempat khususnya bangsa Cina yang tidak segan silu bersama-sama meraikan sekali gus menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan seperti mi tarik, tarian singa dan wushu. Perkim dan Jakim perlu mempromosikan program seperti itu melalui televisyen, radio dan media sosial supaya lebih ramai orang menghadirinya.
Farrah LeiasFARRAH LEIA AZ-ZAHRA JUSTIN ABDULLAH, 35, Penyanyi

Ianya merupakan satu majlis yang perlu dijadikan acara tahunan kerana ianya secara tidak langsung dapat membawa masyarakat setempat apabila mereka melihat akan majlis tersebut dihiasi dengan tanglung dan dialunkan dengan muzik perayaan Tahun Baru Cina sekali gus ia juga memberi pendedahan serta pengalaman baru kepada Saudara Muslim. Perkim perlu menambahkan lagi slot-slot seperti kaligrafi khat Cina dan sesi perkongsian tokoh Muslim yang hebat dari negara China.

Wani Saleha AbdullahsWANI SALEHA ABDULLAH, 40, Pelajar

Saya berasa gembira dan seronok menyambut perayaan Tahun Baru Cina ini kerana diberi peluang untuk mengeratkan ikatan ukhwah sesama Islam dan belum Islam, membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma, persembahan mi tarik, menjamu selera serta diberi angpau.  Perkim perlu mengadakan pameran seni dan artifak serta persembahan kebudayaan Islam dari negara China pada masa akan datang bertujuan untuk menarik minat pengunjung sekali gus mempamerkan imej Islam gemilang di China kepada masyarakat Malaysia.

001
Surau Al-Huda, Taman Bukit Maluri dipilih menjadi lokasi bagi meraikan majlis sambutan Tahun Baru Cina.

002
Peserta yang masih belum Islam turut menyertai majlis tersebut  dengan mendaftar terlebih dahulu di kaunter pendaftaran.

003
Sesi pendaftaran yang dibuka kepada tetamu yang hadir.

004
Peserta berlainan bangsa turut menyertai dan membuat pemeriksaan kesihatan yang terdapat di majlis itu.

005
Peserta berbilang kaum turut bersama-sama meraikan majlis tersebut.

006
Salah seorang pemenang hadiah cabutan nombor bertuah gembira mendapat hamper daripada penganjur.

007
Antara tetamu-tetamu kehormat yang hadir di majlis Tahun Baru Cina.

008
Sulaiman Ding (kanan) menjadi mempengerusikan forum bertajuk ‘Kebudayaan Cina dan Islam’ yang dibentangkan oleh dua ahli panel iaitu Sharin Low (kiri) dan Mariah Ma (tengah).

009
Turut diadakan permainan ‘gelagat monyet’ kepada kanak-kanak.

010
Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis Tahun Baru Cina.

011
Tetamu kehormat bersama-sama mengambil gambar kenang-kenangan.

012
Petugas juga tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

013
Permainan ‘jumlahkan ringgit’ turut diadakan khusus bagi kategori dewasa.

029
Dato’ Abdul Hanif Harun (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna.

030
Peserta kanak-kanak memenangi hadiah pertandingan mewarna yang disampaikan oleh Timbalan UPPP, Datuk Abdul Hanif Harun.

014
Persembahan ‘la mian’ atau dikenali sebagai mi tarik antara salah satu acara yang menambat hati peserta.

015
Persembahan mi tarik yang mendapat sambutan.

016
Ketibaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di majlis Tahun Baru Cina.

018
Pengerusi Macma, Prof. Taufiq Yan Yun Hin menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

019
Datuk Dr. Mustapha Ma selaku Naib Yang DiPertua 3 Perkim menyampaikan ucapan sempena majlis Tahun Baru Cina.

020
Dr. Mustapha Ma menzahirkan ucapan tahniah kepada Jakim, Perkim, DBKL, Yayasan Taqwa dan Macma kerana komitmen mengadakan majlis yang istimewa itu.

021
Majlis sambutan Tahun Baru Cini itu diserikan dengan ucapan perasmian oleh Y.B. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

022
Dr. Asyraf Wajdi dalam ucapannya berkata, Tahun Baru Cina merupakan satu manifestasi atau simbol perayaan suku kaum Tiong Hua sebagaimana Islam mengharuskan dalam meraikannya.

023
Tarian singa diiringi dengan peralatan muzik Cina dipersembahkan kepada tetamu selepas majlis dirasmikan.

024
Pengarah Dakwah Jakim, Dato’ Haji Ali Mohammed (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) sambil disaksikan oleh Presiden Macma, Prof. Taufiq Yan Yun Hin.

025
Dr. Asyraf Wajdi (dua dari kanan) menyampaikan hamper kepada salah seorang pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.

026
Persembahan seni mempertahankan diri wushu juga turut menggamit perhatian hadirin.

027
Masing-masing beratur dan menunggu giliran untuk menerima angpau daripada penganjur.

028
Tetamu kehormat menyampaikan angpau kepada tetamu yang hadir.

                                                                                                         Klik pada ikon facebook untuk melihat lebih banyak gambarfacebook-logo-spaced

Related Articles

Back to top button