Aktiviti Dakwah

Isu Palestin Tarik Warga Jerman Peluk Islam

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 18 JANUARI 2024 – “Saya memeluk Islam kerana Allah dan ingin membantu dengan kerelaan hati yang ikhlas rakyat Palestin, Gaza dan Tebing Barat,” kata Assad, seorang warganegara Jerman.

Assad Berliner atau nama asalnya Andre Pierre Berlinar, 64, hadir ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

Beliau hadir pada pagi Khamis bersama dua orang sahabat karibnya iaitu Dr Osama Odeh yang merupakan pengurus syarikat minyak zaitun berasal dari Palestin dan usahawan warganegara Jerman, Zakaria Abdullah.

Assad berkata, selama 60 tahun saya telah hidup dikelilingi dengan suasana Islam dan pada hari ini Islam menjadi agama pilihannya dengan menyakini Allah, Tuhan Yang Esa.

Assad kemudiannya mengikrarkan Rukun Islam yang pertama di hadapan Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong dalam Bahasa Arab disusuli terjemahan di dalam Bahasa Inggeris.

Pengislaman Assad turut disaksikan Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim.

Bacaan doa kesyukuran pengislaman kemudiannya dipimpin oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.

Assad yang merupakan seorang pengurus syarikat perdagangan bekalan Jerman dan Eropah berkata, selepas beliau dilahirkan pada tahun 1960, bapanya berhijrah dari Alemana Demokratik Jerman ke Mali Bamako, Afrika yang merupakan negara Islam dan kemudiannya berhijrah ke Lubnan ketika berlakunya Perang Enam Hari pada 5 hingga 10 Jun 1967 antara Israel dan Jordan, Syria, dan Mesir.

Katanya, keluarga saya sekali lagi berpindah ke Syria dan menamatkan pembelajaran di Sekolah Rusia di Damascus.

Tambah Assad lagi, ia merupakan titik permulaan hidup beliau dalam suasana negara Islam, budaya orang Islam dan masyarakat Islam.

Assad yang berketurunan Eurasia berkata, setelah beberapa tahun di Syria, keluarga saya berpindah kembali ke negara asal di Republik Demokratik Jerman.

Walaupun pada ketika itu beliau masih belum Islam, beliau mempunyai saudara yang sangat rapat dari Palestin bernama Yasser Arafat dan sering menziarahi kami di Berlin.

Ujarnya, setelah Jerman Timur dan Jerman Barat bersatu pada tahun 1990 setahun sebelum kerajaan Soviet runtuh, beliau membuat keputusan untuk berpindah ke negara China selama 15 tahun, kemudian ke Indonesia selama 15 tahun dan bermastautin di Malaysia pada tahun 2008.

“Saya berbesar hati pada hari ini kerana telah menjadi seorang Muslim kerana saya percaya bahawa Islam adalah agama yang benar dan Allah adalah Tuhan Yang Esa,” ujar Assad dalam perasaan syukur dan gembira.

Dua lagi rakannya, Abu Zarim Mohd Yusof dan Mohd Firdaues Mohd Noor turut menjadi saksi di majlis pengislamannya.

Rakannya turut memberikan sokongan yang membina demi hasratnya memeluk Islam kerana Allah SWT sekali gus membantu umat Islam di Palestin.

Sebelum majlis pengislaman, Sulaiman Ding telah memberikan penerangan mengenai Rukun Iman, Rukun Islam serta tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim kepada Assad.

Selain itu, beliau turut diberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.

Sulaiman Ding turut berpesan supaya Assad mengikuti Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) atau kelas-kelas yang dianjurkan oleh jabatan agama atau masjid-masjid berhampiran di kediamannya.

Di akhir majlis, Datuk Nordin menyampaikan Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu dan kit pengislaman yang mengandungi sejadah, kain pelekat, kopiah, buku fardu ain, buku Iqra’ dan lain-lain.

Turut hadir ialah Pengarah Unit Komunikasi dan Media, Firdaus Lokman Tah.


Assad (tengah) diberi penerangan pengislaman oleh Sulaiman Ding (kanan) dalam Bahasa Inggeris.


Assad (kanan) hadir bersama sahabat karibnya, Dr Osama Odeh dari Palestin (dua dari kanan) dan Zakaria Abdullah dari Jerman.


Sulaiman Ding membimbing Assad melafazkan dua kalimah syahadah sambil disaksikan oleh Dato’ Razali (berbatik biru).


Assad membaca terjemahan lafaz kalimah syahadah di dalam Bahasa Inggeris.


Kegembiraan terukir di raut wajah Assad selepas melafazkan dua kalimah syahadah.


Zakaria (berbaju hijau) memeluk Assad kerana telah menjadi saudara seagamanya.


Dato’ Razali memimpin doa kesyukuran selepas pengislaman.


Assad melengkapkan butir-butir peribadinya pada borang pengislaman.


Datuk Nordin (kanan) menyampaikan Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu kepada Assad.

Related Articles

Back to top button