Amanat Tan Sri SUA Di Himpunan Warga PERKIM Bulan November 2022
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menghimpunkan lebih 50 pimpinan, pegawai dan kakitangannya bertempat di perkarangan lobi Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, Jumaat.
Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM merupakan tradisi bulanan pimpinan PERKIM bertemu dengan kakitangannya pada awal setiap bulan bagi penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan.
Perhimpunan tersebut disertai oleh kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Majlis bacaan doa dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah
Warga PERKIM mengikut setiap baris rangkap bacaan Ikrar Penjawat Perkhidmatan PERKIM dengan bersemangat dan penuh keyakinan diketuai oleh Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Tan Sri SUA dalam ucapannya berkata dalam pepatah Arab ada menyebut ‘esok, bagi mereka yang berfikir adalah sangat hampir.’
Katanya, perkataan esok sangat luas kerana firman Allah SWT yang dirakamkan di dalam Surah Al-Hasyr, ayat 18 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).”
Jelas beliau, kita hendaklah bersiap menghadapi hari esok dengan membuat segala persediaan bermula pada hari ini.
Kata Dr Yusof Noor, menurut pandangan sesetengah individu, jika kita telah melakukan sesuatu perkara, kita tidak perlu mengulanginya semula.
Jika saudara baru itu telah melafazkan dua kalimah syahadah wajarkah dia mengucapkan sekali lagi?
Di dalam Islam kita diwajibkan mengulangi lafaz dua kalimah syahadah ketika setiap kali melaksanakan rukun tahiyat pada solat lima waktu.
Di peringkat universiti pula, mereka yang kedudukannya sebagai profesor perlulah ada pengukuhan yang mempunyai hujah ilmiah.
Mengulas lanjut, konsep mengulang sangat dituntut dalam agama Islam seperti mana kita laksanakan pada setiap bulan iaitu berhimpun, menyanyikan lagu Negaraku, lagu PERKIM, berdoa dan melafazkan ikrar.
Tambah Dr Yusof Noor, kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat di Surau PERKIM yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah ditamatkan kerana berakhirnya fasa endamik COVID-19.
“Kita berusaha untuk mendapatkan semula kebenaran solat Jumaat di Surau PERKIM bagi orang ramai dan masyarakat sekeliling mengimarahkan sekali gus menghidupkan suasana di ruang Bangunan PERKIM ini semaksimum yang mungkin,” ulas Tan Sri SUA.
Ujarnya, Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang kini masih beroperasi di Tingkat 23 akan dipindahkan ke ruang legar Bangunan PERKIM bagi memudahkan para pelajar mualaf untuk belajar dengan lebih selesa sekali gus mengharmonikan ruang legar.
Misi kita adalah dakwah, sebahagian besarnya bergantung bagaimana kita bekerja dalam satu pasukan.
Dr Yusof Noor memetik pepatah Arab yang pernah dinyatakan oleh Ahmad Shauqi pada tahun 1920-an bermaksud : “Jika sesuatu bangsa hidup bersama dengan moral, maka mereka akan terselamat, jika tidak mereka akan hancur dan tidak ada nilai kerana darjat kemanusiaan akan turun sama seperti makhluk haiwan.”
Beliau mengajak supaya warganya mengelakkan diri daripada terjebak daripada perkara yang boleh menyebabkan perpisahan di antara satu sama lain.
Jelasnya, Nabi Muhammad SAW sebelum menerima wahyu telah ditakdirkan oleh Allah SWT mempunyai akhlak yang baik dan digelar Al-Amin.
Nabi Muhammad SAW mempunyai akhlak terpuji iaitu bersih, cekap dan amanah yang menjadi tarikan Siti Khadijah Khuwalid berkenan untuk meminang Rasulullah SAW.
Tambah Dr Yusof Noor lagi, Siti Khadijah RA merupakan wanita bangsawan yang disegani dan dikagumi oleh masyarakat Arab Mekah kerana hartanya, keturunannya dan kecantikkannya.
Beliau merupakan antara penyumbang utama kepada perkembangan dan penyebaran Islam pada zaman Rasulullah SAW.
Beliau sanggup menginfakkan segala harta dan kekayaan beliau untuk membantu dalam penyebaran agama Islam sehinggakan ke semua hartanya habis digunakan.
“Akhlak itulah adalah senjata yang paling berkesan untuk berdakwah,” tegas Dr Yusof Noor.
Beliau mengajak warganya berdoa kepada Allah SWT supaya memberikan hidayah dan petunjuk serta berakhlak yang baik walaupun tidak sempurna.
“Bila kita dilihat mempunyai akhlak, cara berfikir, cara bertindak dan cara cakap yang baik maka itulah wasilah dakwah,” ujarnya.
Jelasnya, PERKIM perlu bersedia apa juga kemungkinan kerana menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara pada masa ini berada di dalam zon kecemasan disebabkan keadaan cuaca tidak begitu baik sehingga bulan Mac tahun depan.
Kita mengatur persediaan jika berlaku kecemasan, Pasukan Sukarelawan PERKIM bersiap sedia untuk membantu mangsa banjir dan kita hendaklah bersedia daripada sekarang kerana itu adalah wasilah dakwah.
Pesan Dr Yusof Noor, meski pun dilihat banyak pasukan yang bersama-sama membantu mangsa yang ditimpa bencana, pasukan kita hendaklah menunjukkan contoh yang baik kerana itulah dakwah yang paling berkesan.
Menurutnya, kita akan membuat simulasi kecemasan bersama Pasukan Sukarelawan PERKIM dengan bergotong-royong turun padang ke tempat yang akan ditentukan untuk menghadapi banjir di peringkat awal.
PERKIM akan menyediakan rompi khas tertera ‘Sukarelawan PERKIM’ dan peralatan khusus untuk banjir yang disertai sebahagiannya oleh kakitangan Pentadbiran PERKIM.
Katanya, pihak kerajaan juga perlu menyedari bahawa betapa pentingnya PERKIM kerana kita boleh melatih semua tanpa mengira agama atau kaum dan PERKIM untuk semua kerana di dalam Perlembagaan PERKIM, orang non-Muslim juga boleh menjadi Ahli PERKIM.
“Kadang kala kita terlupa bagaimana besar hasrat dan harapan Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengembang dan menggerakkan dakwah dengan menjalinkan hubungan bersama non-Muslim.
“Itulah misi kita, gerak kita adalah gerak dakwah dan usaha kita untuk memantapkan dakwah,” ujar Dr Yusof Noor mengakhiri amanatnya.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Encik Firdaus Lokman Tah.
Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan memimpin Lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Pimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.
Haji Mamat mengetuai Ikrar Penjawat Perkhidmatan PERKIM.
Kakitangan PERKIM mengikut bacaan ikrar dengan penuh semangat.
Dr Yusof Noor menyampaikan amanatnya kepada warga PERKIM Kebangsaan.
‘Esok bagi mereka yang berfikir adalah sangat hampir,’ pepatah Arab yang disampaikan Dr Yusof Noor kepada warganya.
Kakitangan PERKIM Kebangsaan, IDIP-KL dan SCORE berhimpun di majlis itu.
“PERKIM berusaha untuk mendapatkan semula kebenaran solat Jumaat di Surau PERKIM,” kata Dr Yusof Noor.
Tan Sri SUA berkata, PERKIM akan menubuhkan Pasukan Sukarelawan PERKIM bagi membantu mereka yang ditimpa musibah banjir.
Warga PERKIM dimaklumkan bahawa KPIPK akan berpindah dari Tingkat 23 ke ruang legar Bangunan PERKIM.