Aktiviti Dakwah

SKOP Kupas Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀, 𝟏𝟔 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Lebih 220 orang hadir memeriahkan Forum Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) yang bertemakan Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki bertempat di Kompleks PERKIM Masjid Tanah, Masjid Tanah, dekat sini pada pagi Sabtu.

Kehadiran terdiri daripada kalangan saudara baharu, ahli PERKIM Masjid Tanah, Wanita PERKIM Bahagian Negeri Melaka serta pelajar dari Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dan Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UNIKL-MICET).

Majlis dimulakan dengan alunan bacaan doa oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah, selepas sesi pengenalan dan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis, Muhammad Farhan Tee Abdullah yang juga Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan.


𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗜𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮, 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗕𝗮𝗵𝗮𝘂𝗱𝗶𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, dalam ucapan aluannya mewakili Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil, merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan atas keprihatinan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Beliau menegaskan bahawa sokongan itu banyak membantu penganjuran aktiviti melibatkan mualaf, masyarakat Islam setempat, serta pelajar universiti.

“Forum seperti ini menambah ilmu pengetahuan Islam kepada hadirin. Tajuk SKOP bersempena sambutan bulan kemerdekaan amat tepat kerana ia mengupas makna kemerdekaan diri melalui hijrah di mana ia merupakan suatu anjakan berfikir, bertindak dan berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Haji Bahaudin turut menyampaikan penghargaan kepada wakil universiti yang hadir sebagai peserta serta mengharapkan semoga para pelajar diberikan hidayah dan ilmu bermanfaat.

Selain itu, beliau merakamkan terima kasih kepada Pengerusi PERKIM Cawangan Masjid Tanah, Tuan Haji Taib Haji Baba, atas kesudian menyediakan dewan bagi menjayakan penganjuran SKOP kali ini.

Majlis turut diserikan dengan ucapan perasmian oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗞𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗥𝗮𝘇𝗮𝗹𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗮𝗯𝘂𝗱𝗶𝗻 mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar.


Dalam ucapannya, Dato’ Razali menyampaikan salam takzim daripada Dato’ Dr Marzuki yang tidak dapat hadir kerana menghadiri International Youth Leadership Training 2025 anjuran Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di Sabah bersama lebih 1,200 peserta.

Beliau turut menghargai anjuran bersama dan sokongan daripada MAIWP yang telah banyak membantu program-program dakwah, kebajikan dan pendidikan PERKIM.

Kata Dato’ Razali lagi, beliau menegaskan bahawa SKOP yang dianjurkan sejak tahun 2023 bertujuan memberi pencerahan mengenai isu-isu semasa serta kefahaman Islam yang menyeluruh kepada masyarakat.

“Jika dahulu SKOP hanya diadakan di Kuala Lumpur, kini ia diperluas ke seluruh negara dan pada hari ini Negeri Melaka menjadi lokasi kedua selepas Negeri Sembilan. Pendekatan turun padang ini membolehkan lebih ramai lapisan masyarakat, termasuk mahasiswa, mendalami ilmu Islam,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa tema hijrah dan kemerdekaan wajar direnungi dengan serius. “Pengorbanan apakah yang telah dan mampu kita lakukan demi mencapai kemerdekaan hakiki? Kemerdekaan itu bukan sahaja bebas dari penjajahan, tetapi juga pembebasan daripada hawa nafsu, kelekaan dan kejahilan,” katanya.

Dato’ Razali mengakhiri ucapan dengan merakamkan tahniah kepada PERKIM Melaka atas usaha menjemput dua universiti tempatan, iaitu UNIKL-MICET dan UNIMEL. Beliau mengingatkan pelajar agar menjadi kader dakwah yang menyebarkan ilmu diperoleh kepada rakan kampus serta masyarakat sekeliling.

SKOP yang berlangsung sepanjang pagi itu berjaya memberi pencerahan kepada para peserta mengenai pengertian hijrah sebagai simbol pengorbanan dan perubahan diri, sekali gus mengangkat mesej bahawa kemerdekaan hakiki hanya dapat dikecapi melalui ketaatan kepada Allah SWT.

SKOP bertajuk Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki itu dikendalikan oleh YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad selaku Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan ini menampilkan dua ahli panel berpengalaman iaitu YBhg Datuk Haji Rahimin Bani, Pengerusi Biro Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta Bro Lim Jooi Soon, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Interaktif Dakwah dan Tarbiyah (IDT).

Diskusi ini memberi penekanan bahawa hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah tetapi satu pedoman sepanjang zaman untuk membina peribadi Muslim yang berdaya tahan.

Dalam kupasan beliau, Datuk Rahimin Bani menegaskan bahawa peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah menjadi asas pembentukan sebuah masyarakat Islam yang lengkap dari segi akidah, syariah dan akhlak. Beliau mengingatkan bahawa hijrah tidak hanya bermaksud berpindah tempat, tetapi lebih penting ialah perubahan minda, rohani dan sikap.

Hijrah menurut Islam bermaksud meninggalkan segala bentuk larangan Allah dan berusaha menuju kebaikan, walaupun menuntut pengorbanan. Tegas beliau, pengorbanan hijrah membawa umat Islam kepada “kemerdekaan hakiki” iaitu pembebasan daripada belenggu syirik, hawa nafsu serta tipuan dunia, untuk kembali menjadi hamba Allah yang taat dan bertanggungjawab.

Beliau juga menyeru agar masyarakat Islam hari ini menjadikan semangat hijrah sebagai inspirasi memperkukuh aspek pendidikan, perpaduan dan kepimpinan. Sama seperti para sahabat yang meninggalkan kampung halaman demi mempertahankan akidah, umat Islam kini perlu berani berhijrah daripada zon selesa dan kelekaan, menuju kecemerlangan ilmu serta ketakwaan.

Sementara itu, Bro Lim Jooi Soon berkongsi pengalaman peribadi beliau yang melalui proses pencarian agama sebelum menerima Islam sebagai pegangan hidup. Beliau berasal daripada latar belakang keluarga berpegang pada Buddha, Taoisme dan Konfusianisme, sebelum memeluk Kristian, lalu akhirnya menemukan Islam setelah menyelidiki kebenaran melalui al-Quran.

Menurutnya, ayat-ayat al-Quran khususnya ayat Kursi memberikan keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Esa, tidak bergantung pada sesiapa, dan kekuasaan-Nya tidak pernah hilang.

Beliau menekankan bahawa hidayah adalah anugerah Allah, dan tugas pendakwah hanyalah menyampaikan mesej Islam dengan berhikmah. Katanya, “pendakwah tidak boleh memaksa atau mengislamkan seseorang, tetapi harus menjawab persoalan bukan Islam dengan jelas dan beradab agar mereka memahami keindahan Islam.” Pengalaman beliau menunjukkan bahawa dakwah yang berhikmah mampu membuka pintu hati masyarakat majmuk untuk mengenali kebenaran.

Secara keseluruhan, forum SKOP ini memberi penegasan bahawa hijrah adalah simbol pengorbanan, perubahan dan perjuangan yang membawa umat Islam ke arah kemerdekaan rohani. Hijrah mengajar umat untuk bebas daripada belenggu jahiliah dan pengaruh duniawi, lalu berusaha membina peribadi, keluarga dan masyarakat yang lebih beriman serta bertakwa.

Penghayatan nilai hijrah secara menyeluruh diyakini dapat memperkukuh kesejahteraan umat Islam sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

Datuk Rahimin menekankan bahawa hidayah adalah milik Allah, manakala manusia hanya menyampaikan dakwah dengan penuh amanah. Beliau mengingatkan bahawa peranan institusi keluarga, sekolah dan masyarakat amat penting dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan merdeka jiwa.

Pendidikan awal di rumah perlu diberi keutamaan, diikuti sokongan sekolah serta penglibatan masyarakat yang prihatin agar tidak wujud gejala sosial dan sikap individualistik. Datuk Rahimin turut menegaskan bahawa membentuk hati manusia memerlukan tarbiah dan pendidikan berterusan, justeru usaha dakwah perlu dilaksanakan secara istiqamah.

Sementara itu, Bro Lim berkongsi pengalaman dakwah di dalam dan luar negara. Menurutnya, cabaran dakwah di Malaysia berbeza dengan negara minoriti Islam kerana masyarakat di sini sering terikat dengan persepsi negatif serta kekeliruan budaya.

Namun, di luar negara, non-Muslim lebih terbuka mendengar tentang Islam kerana mereka hauskan ilmu. Beliau menekankan bahawa Islam ialah agama ilmu, bukan ikut-ikutan dan hukum hakam perlu difahami melalui kaedah dan formula syariah.

Di akhir majlis, SS Dato’ Wira Haji Abdul Halim Tawil menyampaikan cenderahati PERKIM kepada barisan panelis SKOP.

SKOP pada kali ini menyimpulkan bahawa dakwah adalah tanggungjawab bersama, melangkaui sempadan bangsa dan budaya, demi mencapai kemerdekaan hakiki yang sebenar.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir ialah Setiausaha Kehormat PERKIM Melaka, YBhg Tuan Haji Mohamad Nor Haji Mansor; Bendahari Kehormat PERKIM Melaka, YBhg Dr Adam Wong Yun Kang; Pengerusi PERKIM Masjid Tanah, YBhg Tuan Haji Taib Haji Baba; Pegawai Dakwah PERKIM Kebangsaan, Nur Syahirah Musa; Pegawai Kerja PERKIM Melaka, Rukiah Sungip serta Ketua Majlis Belia PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Muhammad Shahril Abdul Rahman.

 


Pelajar UNIMEL dan UniKL-MICET tiba di perkarangan Kompleks PERKIM Masjid Tanah untuk mendengar SKOP.

 


Pelajar dan masyarakat setempat hadir dan membuat pendaftaran.

 


Haji Bahaudin bersalaman bersama Dato’ Razali ketika ketibaannya di Kompleks PERKIM.

 


Ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah yang telah selesai mendaftar.

 


Farhan Tee menyampaikan kata-kata aluan selaku Pengerusi Majlis.

 


Muhammad Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 


Barisan ahli panel dan tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Dato’ Razali (kiri) bersama tetamu kehormat mengaminkan doa yang dibacakan.

 


Haji Bahaudin berkata, penganjuran SKOP akan menambah ilmu pengetahuan Islam mengenai kemerdekaan dan penghijrahan kepada hadirin.

 


Beliau berharap mualaf, para pelajar dan masyarakat setempat diberikan hidayah dan ilmu bermanfaat.

 


Dato’ Razali menekankan bahawa tema hijrah dan kemerdekaan wajar direnungi dengan serius.

 


Dato’ Razali merakamkan tahniah kepada PERKIM Melaka atas usaha menjemput UNIKL-MICET dan UNIMEL dan berharap pelajar dapat menjadi kader dakwah.

 


Dr Suariza selaku moderator membuka tirai SKOP Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki.

 


Menurut Dr Suariza, merdeka dan hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah tetapi satu pedoman sepanjang zaman untuk membina peribadi Muslim yang berdaya tahan.

 


Pelajar UniKL-MICET dan UNIMEL mendengar SKOP yang disampaikan.

 


Seramai lebih 220 orang hadir mengikuti Siri Kuliah Dakwah Perdana anjuran PERKIM-MAIWP.

 


Dato’ Rahimin mengingatkan bahawa hijrah tidak hanya bermaksud berpindah tempat, tetapi lebih penting ialah perubahan minda, rohani dan sikap.

 


Ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah mendengar forum SKOP yang disampaikan.

 


Antara pelajar non-Muslim turut hadir mendengar SKOP yang dibicarakan.

 


Lim Jooi Soon berkongsi pengalaman beliau ketika proses pencarian agama sebelum menerima Islam sebagai pegangan hidup.

 


Menurut Lim Jooi Soon, ayat Kursi memberikan keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Esa.

 


SS Dato’ Wira Abdul Halim hadir bagi mendengar SKOP yang disampaikan.

 


Dato’ Wira Abdul Halim menyampaikan cenderahati plak PERKIM kepada Dato’ Rahimin.


Lim Jooi Soon menerima Al-Quran Edisi Khas PERKIM daripada Dato’ Wira Abdul Halim.

 


Dato’ Wira Abdul Halim menyampaikan cenderahati plak PERKIM kepada Tuan Haji Taib.

 


Tetamu kehormat bergambar bersama barisan ahli panel SKOP.

 


Tetamu kehormat bergambar bersama para hadirin yang menjayakan SKOP Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki.

Related Articles

Back to top button