Aktiviti Dakwah

Forum Ambang Ramadan dan Anugerah Pelajar Terbaik PERKIM 2013

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI 

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan.” (Hadith Riwayat Ahmad, an-Nasa’i dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah RA)

Ramadan merupakan waktu terbaik kepada Saudara Muslim khususnya pelajar untuk membangkitkan keimanan mereka kepada Allah dengan membentuk persiapan akhlak dan spiritual bagi menempuh bulan puasa yang dinanti-nantikan.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Penganugerahan Pelajar Terbaik dan Forum Saudara Muslim Sempena Ambang Ramadhan bertempat di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 7 Julai 2013 lalu.

Ia dihadiri seramai 380 Saudara Muslim yang terdiri daripada keturunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bajau, Filipina, Siam, Kemboja dan Indonesia.

amran-abdullahs10Penyelaras program, Ustaz Hj. Amran Anbarasu Abdullah berkata, usaha dakwah melalui pendidikan dan pelajaran yang dilakukan oleh Perkim memberi impak positif dalam melahirkan saudara Muslim yang berilmu melalui kelas pengajian harian, aktiviti dan program yang dianjurkan.

“Perkim menganjurkan kelas pengajian harian bermula dari Isnin hingga Ahad dengan pelbagai subjek seperti sirah, akidah, fiqh asas, praktikal solat, akhlak, tafsir, syariah, al-Quran, fardu ain, hadith, muqaddam, tafsir, tajwid, bimbingan solat, ibadah dan kefahaman Islam dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan Arab,” ujarnya. 

“Kelas tersebut dihentikan sementara waktu pada bulan Ramadan kerana digantikan dengan program Ihya Ramadan yang merangkumi tazkirah harian, berbuka puasa, tadarus, solat sunat tarawih dan moreh,” kata Amran yang juga Penyelaras Kelas Pengajian Harian Perkim.

“Penganugerahan pelajar cemerlang Perkim dilakukan sebagai acara tahunan bagi memberikan pengiktirafan tinggi, penghargaan dan suntikan semangat kepada saudara Muslim yang berjaya serta mempunyai komitmen dalam pengajian sekali gus mendidik mereka menjadi insan yang akan meneruskan kehidupan dalam penyebaran dakwah pada masa akan datang,” katanya.

Amran yang juga Penolong Pegawai Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial berkata, program itu mencungkil dan mengasah bakat-bakat baru Saudara Muslim untuk membina mereka menjadi generasi dakwah yang membimbing masyarakat pada masa akan datang dengan keperibadian mulia dan kecantikan akhlak.

Beliau menyeru peserta agar menjadikan Ramadan tahun ini yang teristimewa dalam kehidupan dengan memperbanyakkan amalan ibadah seperti doa, membaca al-Quran, beriktikaf di masjid, berzikir, berzakat, bersedekah dan menginfakkan harta.

Beliau berpesan supaya peserta bersungguh-sungguh menjadikan Ramadan sebagai medan yang terbaik untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan bagi melahirkan graduan yang bertakwa.

Forum Perdana Ambang Ramadan bertajuk Memperkasakan Saudara Muslim Ke Arah Insan Bertakwa dipengerusikan oleh Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Ustaz Mohd Meeftah Anuar.

Ahli panelnya ialah Ustaz Rizuan Rahmat selaku pendakwah bebas dan

Katanya, untuk menjadi orang yang hebat seseorang harus memiliki ilmu kerana menuntut ilmu merupakan kefarduan ke atas umat Islam dan golongan yang rugi ialah mereka mempunyai ilmu agama yang tinggi tetapi mereka tidak mahu ubah dan memotivasikan diri mereka.

Jelasnya lagi, kebiasaan ketika melakukan solat sunat tarawih diimamkan imam dari Mesir yang mengalunkan bacaan yang merdu dan syahdu sehingga beliau menangis kerana sentuhan ayat-ayat al-Quran dibacanya berbeza dengan kita yang menangis kerana kesakitan kaki disebabkan terlalu panjang bacaannya.

Melalui kitab karangan daripada Syeikh Fahmi Zam Zam al-Banjari mengenai 40 hadis ilmu dan iman, kisahnya ketika Nabi Muhammad SAW berkuliah Asar, datang tiga orang yang lewat tetapi masing-masing berbeza waktunya. Setelah selesai kuliah, sahabat ingin tahu perihal tiga orang yang lewat menghadiri kuliah tersebut, lalu Nabi menjawab: orang pertama bersungguh inginkan ilmu walaupun beliau terpaksa berkejar masa kerana kesibukan waktu, lalu malaikat Jibrail memberitahu kepada Rasulullah di mana Allah SWT menyampaikan salam kepada orang pertama tersebut dan beliau boleh memilih mana-mana bilik di dalam syurga.

“Orang kedua lewat menghadiri kuliah lalu bersembunyi di balik tiang surau, lantas Nabi diberitahu oleh malaikat Jibrail kepada Rasulullah SAW, Allah malu dengan orang kedua kerana kesungguhannya menghadiri majlis ilmu, kalaulah dia meminta sesuatu nescaya Allah akan menunaikan permintaan dia,” ujar Rizuan.

Wahai Rasulullah,bagaimana dengan orang yang ketiga tadi? Nabi senyap, Nabi kata yang ketiga tadi dia lalu di surau kerana ingin mencuci kaki lantas beliau tahu ada kuliah beliau terus pulang. Nabi memberitahu Allah SWT berlepas tangan daripadanya. Sudah tentu sesiapa berada di dalam majlis ilmu dalam keadaan yang ikhlas, Allah menjaminkan syurga kepadanya.

“Majlis ilmu adalah penting kerana ia memberikan pelbagai maklumat, ilmu dan kefahaman supaya dapat diamalkan dan menjadikan diri orang yang mempunyai kekuatan dalam amalan. Amalan-amalan sunat yang dilakukan di bulan Ramadan, akan diberikan ganjaran pahala amalan wajib,” ulas Rizuan.

Jelas Rizuan lagi, menurut Kitab Durotun Nasihi melalui kenyataan Imam al-Laifi Salman al-Haikhori, antara golongan yang menempah tiket ke neraka ialah mereka yang boleh membaca ayat-ayat al-Quran, tetapi tidak membacanya sehari sepuluh ayat.

“Al-Quran memberi perlindungan, penyembuhan hati dan jiwa di mana Imam Ghazali berkata untuk membentuk kekuatan dalam diri harus mempunyai empat perkara iaitu rajin membaca al-Quran kerana ianya memberikan jaminan dan syafaat; banyakkan berzikir agar memberikan sentuhan dan ketenangan; sering melakukan solat secara berjemaah supaya ianya memberikan kekuatan; serta sering menghadiri majlis ilmu bagi menambahkan dan meningkatkan kefahaman ilmu agama,” katanya.

Zulkifli pula dalam ceramahnya berkata, apabila puasa itu tidak dijadikan satu sumber akidah, puasa hanya semata-mata dijadikan sebagai satu syariat.

Puasa itu adalah akidah dan disebabkan itu para sahabat Rasulullah SAW menerima kefarduan puasa lewat berbanding solat. Solat diterima Nabi Muhammad melalui peristiwa israk mikraj manakala puasa diterima pula selepas bulan kedua penghijrahan baginda.

Berapa ramai orang yang puasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja kerana tidak menunaikan solat lima waktu dan berzakat serta melakukan perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Kita berpuasa untuk membuktikan bahawa kita ini hamba Allah.

Ujarnya, elakkanlah puasa dari perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa seperti mengumpat, tidak menjaga pandangan dan lain-lain. Apakah kita akan berada pada tahap puasa yang sama iaitu tahap puasa orang awam saja pada setiap tahun tanpa sebarang pembaharuan, sedangkan kita mampu meningkatkan puasa awam yang biasa kepada puasa khawas yang dimiliki orang soleh.

Ulasnya lagi, harus mendapatkan imam yang baik bacaannya agar lebih khusyuk dan tawaduk yang boleh menyebabkan hati menangis waktu solat atau tarawih.

Jelas Zulkifli, lagu-lagu yang diadakan pertandingan diwujudkan akademi begitu juga bilal dan imam perlu diadakan lebih banyak akademi supaya mereka mendapat latihan dengan lebih baik.

“Sistem pengurusan agama ini perlu diperkasakan supaya menarik minat umat Islam kembali kepada agama kerana terdapat sebahagian umat Islam terlalu menjaga puasa mereka tetapi pada masa yang sama tidak menutup aurat, tidak menunaikan solat lima waktu, melawan hukum Allah dan tidak suka kepada majlis ilmu atau tazkirah,” tegas Mohd. Meeftah.

Rizuan menyambung, kita haruslah kembali semula kepada perintah Allah dengan percaya dan yakin melalui iktikad hati di mana iman menjadi asas kepada orang yang melakukan ibadah kepada Allah.

Katanya, Allah menyebut di dalam al-Quran di mana Dia menyediakan neraka untuk orang-orang yang sembahyang iaitu neraka wail seperti firman-Nya :“Orang-orang yang sembahyang diancam dengan neraka Wail, iaitu yang melupakan tujuan sembahyangnya.. Mereka yang sembahyang semata-mata hanya kerana manusia dan enggan membantu orang lain, yakni dengan sembahyang tidak mampu mengubah sifat-sifat buruknya.” (al-Maun: 4)

Beliau menyingkap kisah sejarah kisah Saidina Ali tercabar oleh Nabi Muhammad SAW di mana baginda berjanji akan memberi sehelai serban jika Saidina Ali berjaya solat dengan khusyuk, tetapi akhirnya beliau tidak berjaya kerana sebelum memberi salam, beliau terfikir serban warna apakah yang akan diberikan baginda.

Tambah Rizuan lagi, menurut kata ulama’, “Barangsiapa yang beriman dengan setengah kitab bererti beriman sebahagian daripada perintah Allah lalu kamu tidak beriman, kufur dengan sebahagian perintah Allah, puasa kamu laksanakan tetapi solat kamu tidak tunaikan. Solat dan puasa kamu tunaikan tetapi aurat kamu tidak menutupnya, kamu bertemu dengan Allah dalam keadaan kamu tidak beriman dengan Allah SWT.”

Firman Allah dalam Surah Fussilat, ayat 30 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman kepada Allah kemudian istiqamah, hadiahnya adalah Allah turunkan para malaikat mendampingi mereka dan tidak ada ketakutan lagi, tidak ada kesedihan pada mereka.”

“Istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan dan berkonsisten tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain serta ianya dilakukan atas dasar ikhlas semata-mata kerana Allah SWT,” sambung Zulkifli.

hasbullah-l-isaMajlis diserikan dengan ucapan perasmian Penolong Setiausaha Agung Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Hasbullah menyeru kepada peserta agar Ramadan kali ini akan menjadi suatu titik tolak dalam usaha memperbanyakkan amal ibadah.

Beliau menegaskan peserta supaya melaksanakan perintah Yang Maha Pencipta yang dituntut iaitu solat dan puasa serta amal ibadah yang lain walaupun sibuk bekerja.

Hasbullah mengajak peserta memperbanyakkan berbuat amalan kebajikan dan meninggalkan perkara-perkara yang mungkar serta yang ditegah oleh agama di bulan yang penuh berkat ini.

“Semoga Ramadan pada kali ini membawa makna yang besar buat kita kerana pada Ramadan yang lalu ada di antara sanak saudara dan sahabat handai yang dapat menjalani ibadah bersama-sama tetapi Ramadan kini mereka telah pergi meninggalkan kita,” katanya.

“Di zaman para sahabat, mereka menanti dan tidak sabar untuk tiba ke bulan Ramadan sehingga ada yang menangis kerana takut tidak sempat menemui bulan yang penuh dengan pelbagai kelebihan serta ganjaran pahala di mana apabila dilakukan ibadah yang sunat, diberi ganjaran pahala ibadah wajib yang berganda,” ulasnya.

Jelasnya, menurut doktor sekiranya seseorang berpuasa kesihatannya akan bertambah baik di mana kadar kolestrol, darah tinggi dan gula akan menurun.

Hasbullah sebelum itu menyampaikan anugerah pelajar terbaik kelas Perkim kepada Muhammad Irfan Valaitham manakala Anugerah Khas Pelajar Harapan 2013 disandang oleh Aliya Abdullah serta menyampaikan cenderahati kepada tenaga pengajar Kelas Pengajian Harian Perkim.

Pengarah Dakwah, Hj. Abdul Hanif Harun turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kuiz Islam, azan dan tilawah al-Quran serta hadiah cabutan nombor bertuah.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Hj. A. Rashid Omar; Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah; Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad; Pegawai Dakwah Perkim, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan.

APA KATA MEREKA 

irfansMUHAMMAD IRFAN VALAITHAM, 30, Pegawai Sistem Maklumat 

Alhamdulillah syukur kepada Allah di atas kejayaan yang dianugerahkan kepada saya dan terima kasih yang tidak terhingga kepada tenaga pengajar yang telah banyak membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada saya. Bermula panduan Islam itulah, mendidik saya menjadi seorang yang lebih baik kerana Islam adalah agama sempurna dan syumul.

Selain guru dan buku, saya juga mendapat pendidikan agama melalui media baru seperti internet, facebook, twitter dan youtube.

wani-salehasWANIE SALEHA ABDULLAH, 36, Suri Rumah

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka menerima hadiah tempat pertama bagi pertandingan kuiz Islam dan hadiah tempat kedua bagi pertandingan tilawah al-Quran. Saya berasa gembira kerana inilah berkat usaha selama ini selepas empat tahun memeluk Islam pada tahun 2009 lalu,” jelas beliau yang pernah menerima anugerah pelajar cemerlang Perkim bagi tahun 2011.

Jelasnya lagi, untuk menjadi pelajar cemerlang perlulah memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran dengan menghadiri kelas, mendengar dan mencatat apa yang disampaikan, membuat ulangkaji pelajaran sekali gus mempraktikkan seperti solat, wuduk dan sebagainya.

mechiel-alphasMECHIEL ALPHA, 25, Pegawai Pemasaran 

Syukur kehadrat Ilahi kerana dianugerahkan pemenang pelajar ketiga terbaik kelas harian Perkim kategori umum. Walau sibuk mana pun, saya tetap menghadiri kelas untuk menambah pengetahuan, antara silibus yang saya sertai ialah Sirah, Akidah, Fiqh, Hadith, Bimbingan Solat dan al-Quran. Perkim harus menaik tarafkan kaedah pembelajaran dengan menggunakan teknologi terkini iaitu mewujudkan kelas multimedia Perkim agar dapat menarik lagi minat pelajar dalam pembelajaran mereka.

Michiel yang berketurunan Bajau itu berkata, kita haruslah bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan kerana pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapinya bila-bila masa sahaja.

 

1
Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Ustaz Mohd Meeftah Anuar (tengah) dan ahli panelnya ialah Ustaz Rizuan Rahmat selaku pendakwah bebas (kiri) dan Mudir Maahad al-Quran as-Syafie (Maqas), Ustaz Zulkifli Ahmad (kanan).

 

2
Antara Saudara Muslim yang hadir di forum tersebut.

 

3
Telatah lucu yang disampaikan oleh panel membuatkan peserta tertawa.

 

4
Peserta yang ketawa apabila panel menyampaikan ceramah berunsur jenaka.

 

5
Datuk Hj. Hasbullah L. Isa menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.

 

6
Abdul Hanif (kiri) menyampaikan hadiah kepada Mohd. Zaid Lim Fauzi Lim selaku johan pertandingan azan.

 

7
Hasbullah (kiri) menyampaikan hadiah kepada johan tilawah al-Quran kategori umum kepada Fauziah Ibrahim.

 

8
Nor Aqilah Go Abdullah (kanan) menerima anugerah pelajar kedua terbaik Perkim 2013 daripada Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa (kiri).

 

9
Pelajar dari Sri Lanka, Sumayyah dianugerahkan pelajar ketiga terbaik yang disampaikan oleh Datuk Hasbullah (kanan).

 

10
Hasbullah (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Harapan 2013 kepada Aliya Abdullah.

 

11
Muhammad Irfan Valaitham (kanan) menerima Anugerah Pelajar Terbaik Perkim 2013 daripada Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Lagi gambar @ 

Video ‘Memperkasa Saudara Muslim Ke Arah Insan Bertaqwa’ – (USTAZ MOHD. MEEFTAH ANUAR, USTAZ RIZUAN RAHMAT DAN USTAZ ZULKIFLI AHMAD)

 

Related Articles

Back to top button