Iftar Kelab PERKIM Universiti Bersama Yang DiPertua PERKIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Foto: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Ar-Rum: 69)
Bagi mewujudkan suasana ukhwah Islamiah di bulan Ramadan yang penuh berkat, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim dan Kelab Perkim Universiti bertempat di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur pada 13 Julai 2013 lalu.
Program itu dihadiri seramai 300 tetamu terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Saudara Muslim dan Asrama Darul Falah (Asdaf) Perkim.
Ianya turut disertai oleh 32 Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (MAMPU) antaranya ialah Kelab Perkim Institut Dakwah Perkim (IDIP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti Taylor, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM), Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Kolej Universiti Sains dan Teknologi City (City), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Islam Sains dan Teknologi.
Bagi memberkati majlis, diadakan bacaan ayat suci al-Quran oleh Muhammad Amirul Munir Azlin dengan membaca Surah Taha ayat 1 hingga 16.
Wakil Yang Dipertua Kelab Perkim Universiti, Mohd. Amir Syazwan Hj. Mohd. Nazeri dalam ucapannya berkata, Perkim merupakan organisasi Islam yang memainkan peranan yang cukup penting di dalam menyalurkan dan mengembangkan dakwah Islamiah kepada orang bukan Islam mahu pun Islam di seluruh negara.
Katanya lagi, bagi membantu kerja-kerja dakwah supaya berjalan dengan lancar bahkan bersama-sama menaikkan syiar Islam, maka Perkim telah mewujudkan sebuah organisasi MAMPU yang cukup relevan dan bermakna seiring dengan perkembangan dakwah hari ini.
“MAMPU juga telah menyatukan tenaga anak-anak muda di kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti bagi membantu dan merealisasikan dakwah Islam untuk disampaikan ke seluruh dunia khususnya di Malaysia,” jelas Amir dari Kelab Perkim KUIS.
Jelasnya lagi, MAMPU adalah gabungan ahli-ahli kelab Perkim di 32 institut pengajian tinggi (IPT) yang bekerjasama sesama IPT dalam menyebarkan sayap dakwah Islamiah kepada seluruh masyarakat.
Ucapnya lagi, kelab Perkim telah menjalinkan hubungan dengan lapisan masyarakat dengan menggunakan khidmat idealisme serta karisma mahasiswa sebagai mediator untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam menyebarkan dakwah Islamiah tanpa mengira kaum sama ada Cina, India, Orang Asli, Punjabi, dan Bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu dengan mengadakan program yang bersesuaian dengan budaya sesuatu masyarakat tersebut.
“Sesuai dengan visi Kelab Perkim iaitu memperkasa Kelab Perkim di seluruh IPTA atau IPTS sebagai organisasi dakwah yang unggul sejajar dengan syariat Islam manakala misinya pula ialah menjadikan kelab Perkim sebagai penggerak dakwah di kalangan mahasiswa dan masyarakat untuk memberi sokongan padu kepada institusi Islam di Malaysia dan antarabangsa,” jelas Amir.
“Kelab Perkim telah mengadakan pelbagai program dakwah yang berteraksan kebajikan, pendidikan, penerbitan mahu pun melalui media baru,” ulas beliau.
“Aktiviti-aktiviti yang telah diadakan tidak lain tidak bukan adalah kerana ingin menonjolkan kebaikan yang ada dalam Islam iaitu menganjurkan perdamaian, perpaduan dan keharmonian. Dengan itu, masyarakat bukan Islam boleh menerima Islam tanpa adanya prejudis dan salah anggap terhadap Islam,” kata Amir.
Harapannya, sebagai umat Islam, kita hanya boleh menyeru dan menyampaikan dakwah Islam kepada mereka yang bukan Islam dan hanya Allah SWT yang memberi petunjuk, taufik serta hidayah kepada mereka untuk menerima Islam sekali gus menjadi mukmin yang sejati yang menyumbang kepada perkembangan dakwah negara.
Majlis diserikan dengan ucapan Yang DiPertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir dalam ucapannya berkata, Perkim sebuah organisasi Islam yang membuat kerja dakwah di kalangan orang Islam dan bukan Islam supaya pemahaman serta penyampaian agama Islam difahami oleh semua pihak walaupun mereka tidak boleh menerima Islam.
“Pentingnya, agama Islam difahami oleh semua masyarakat supaya tiada sangkaan buruk terhadap agama Islam oleh orang bukan Islam. Sekiranya terdapat sangkaan buruk, maka akan terjejaslah perhubungan umat Islam dengan mereka dan akan menyebabkan ketegangan dalam masyarakat berbagai kaum yang menganuti pelbagai agama,” jelasnya.
“Sudah tentu dalam usaha dakwah yang dilakukan oleh Perkim selama ini menjelaskan betapa murninya agama Islam dengan menunjukkan kebaikan melalui teladan dan tingkah laku. Sekiranya tidak, mereka tidak akan mempercayai bahawa agama Islam itu baik yang mengutamakan keamanan, persaudaraan, kejayaan di dunia dan di akhirat,” ulasnya.
Dr. Mahathir yang juga mantan Perdana Menteri keempat itu berkata, teladan yang ditunjukkan oleh orang Islam tidak begitu menarik pada hari ini dan tidak boleh meyakinkan pihak lain kerana dunia hari ini berada di dalam kucar-kacir bahkan berlakunya permusuhan, perperangan, pembunuhan dan mencederakan antara sesama umat Islam.
“Sukar untuk meyakinkan orang bukan Islam bahawa agama Islam adalah agama keamanan, baik dan memakmurkan penganut-penganutnya sekiranya kita tidak menunjuk contoh-contoh yang baik. Jika dilihat dalam dunia Islam, berlaku banyak rusuhan sesama umat Islam dan mereka tidak berdaya untuk mempertahankan diri masing-masing,” tegasnya.
Tegasnya lagi, di Malaysia kita lebih bernasib baik kerana tidak banyak rusuhan yang berlaku dan umat Islam haruslah memahami kehendak dan ajaran agama Islam supaya mereka dilihat cukup baik, maju, berilmu pengetahuan, mempunyai pelbagai kebolehan dan berdaya untuk mempertahankan diri.
“Sekiranya boleh ditonjolkan kejayaan orang-orang Islam, maka ianya akan menjadi kenyataan kepada bukan Islam dan mungkin ramai akan menerima bahawa agama Islam sebagai agama yang baik,” nasihatnya.
Beliau berpendapat bahawa penubuhan Kelab Perkim Universiti merupakan satu langkah yang penting di mana ianya dapat memperlihatkan kepada semua pihak termasuklah penuntut-penuntut lain di universiti bahawa penuntut-penuntut Islam adalah penuntut yang terbaik yang menjalankan tugas mereka dengan baik.
Dr. Mahathir berharap, Kelab Perkim Universiti bergiat untuk menarik lebih ramai lagi penuntut-penuntut Muslim bukan sahaja menyertai gerakannya tetapi juga mengikuti ajaran Islam yang sebenar dan tidak suka kepada huru-hara kerana kepentingan-kepentingan yang tertentu serta bertentangan dengan agama Islam.
“Di zaman teknologi maklumat kini, kita diserang dengan pelbagai pendapat kerana maklumat daripada seluruh dunia boleh diterima secara serentak antaranya ialah menjadikan kebebasan itu sebagai suatu agama yang baharu bagi mereka,” ujarnya.
Tegasnya lagi, kebebasan ada batas dan hadnya, umat Islam harus berpegang teguh dengan ajaran dan larangan dalam agama Islam supaya tidak terpengaruh dengan cara serta budaya kebebasan negara barat.
“Perkim adalah badan dakwah harus memainkan peranan yang penting supaya masyarakat boleh melihat Islam sebagai suatu cara hidup yang terbaik, maka penyebaran dakwah akan menjadi lebih mudah kepada mereka,” katanya.
Beliau berharap, Perkim dapat menjalankan tugasnya dengan kerjasama generasi muda yang bakal mengambil alih genenasi lama dengan berbekalkan persediaan yang sempurna supaya apabila mereka mengambil alih tugas, mereka akan meneruskan tugas dengan tanggungjawab sebagai suatu amanah dan meneruskan aktiviti agama Islam sekali gus dapat menarik orang bukan Islam supaya memeluk agama Islam.
Dr. Mahathir turut menyampaikan sijil penghargaan dan wang pengurusan berjumlah RM500 kepada 23 Kelab Perkim Universiti.
Tetamu menjamu selera dengan pelbagai hidangan jenis juadah berbuka puasa dan diikuti dengan solat berjemaah serta menunaikan solat sunat tarawih diketuai oleh imam diundang khas dari Mesir, Sheikh Muhammad Jibrel.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua Perkim 1, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Naib Yang Dipertua Perkim 2, Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Naib Yang Dipertua Perkim 3, Datuk Dr. Hj. Mustapha Ma; Naib Yang Dipertua Perkim 4, Dato’ Hj. Mohd. Nakhaie Ahmad; Ketua Wanita Perkim, Datin Hjh. Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra; Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa dan Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun.

















Lagi gambar @ 
VIDEO MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA YANG DIPERTUA PERKIM, Y.A.BHG. TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD DAN KELAB PERKIM UNIVERSITI