Aktiviti Dakwah

Bengkel Ambang Ramadan 1434 H PERKIM

Oleh : MOHD SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI 

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah : 185)

Ramadan merupakan peluang keemasan bagi umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah iaitu dengan berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, membuat amal kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai kerana pahala ibadahnya itu akan dilipat gandakan Allah SWT di samping mengerjakan ibadah puasa pada siang harinya.

Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Ambang Ramadan 1434 H bertempat di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2013 lalu.

Program itu dihadiri 300 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Siam, Kemboja, Indonesia dan Filipina.

amran-abdullah2Penyelaras program, Ustaz Hj. Amran Anbarasu Abdullah berkata, program itu menghimpunkan saudara Muslim untuk memberi pendedahan persiapan, persediaan, kemuliaan dan tuntutan amal ibadah di bulan Ramadan.

Jelas beliau lagi, Ramadan merupakan penghulu segala bulan yang penuh kelimpahan kebaikan dan keutamaan akan dirasakan serta diraih bila ilmu tentang bulan tersebut difahami dengan baik.

“Ia meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta tentang Islam khususnya berkaitan ibadah puasa melalui ceramah, diskusi, pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam yang diadakan,” kata Amran.

yusof-johanPendakwah bebas, Ustaz Mohd. Yusof Johan menyampaikan ceramah bertajuk Puasa Seorang Muslim.

Mohd. Yusof dalam ceramahnya berkata, umat Islam memulakan latihan puasa sejak dari bulan Rejab dan Syaaban bagi persediaan menghadapi puasa Ramadan untuk mempertingkatkan segala bentuk kemampuan dekatkan diri kita kepada Allah dengan amal ibadah.

Ketakwaan kepada Allah itu sebenarnya tidak sedia pada waktu atau masa tertentu dan merasakan seolah-olah Allah melihat serta perhatikan setiap tindak-tanduk kita tetapi apabila kita melangkah keluar daripada pintu masjid atau surau, perasaan takut kepada Allah hilang sedikit demi sedikit.

Beliau menyeru peserta agar menjauhkan diri dari sifat mazmumah, sifat-sifat tercela, beradu domba, fitnah menfitnah, memburuk-burukan sehingga ada di antara mereka meminta pertolongan dengan jin, bomoh dan tok sami yang boleh membawa kepada kemungkaran Allah.

Mohd. Yusof mengajak peserta berusaha untuk melaksanakan perintah dan meninggalkan dalam apa jua bentuk larangan yang Allah SWT kerana larangan Allah boleh membawa kebinasaan dan kemusnahan apabila kita melakukan perkara-perkara yang dimurkai-Nya.

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Dalam hadis riwayat, Rasulullah S.A.W sebagaimana disebut oleh Ibnu Al-Abbas r.a berkata, ketika mana Rasulullah berhijrah ke kota Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa. Lalu Nabi bertanya, apakah bentuk puasa yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi? Kata mereka, hari ini mereka berpuasa kerana menurut mengikut jejak Nabi Salih dan Nabi Musa. Antara itulah sebabnya Allah menyebut sebagaimana orang-orang yang terdahulu sebelummu berpuasa.

Jelasnya lagi, orang Yahudi berpuasa apabila berlakunya peristiwa besar seperti Nabi Musa menenggelamkan firaun di Laut Merah, banjir besar, kemarau panjang, puting beliung, ribut, angin kencang dan mereka juga berpuasa apabila merancang untuk membina projek mega.

Menurut sejarah, kata Abu Hassan, orang mesir yang memulakan agama ‘sammiyyun’ berpuasa selama 40 hari berturut-turut bermula dari waktu dhuha hingga ke waktu bintang yang pertama berkelipan pada waktu malam.

Bahkan, di antara satu benua dengan satu benua mereka berpuasa tidak mengikut cara yang sama sebagaimana yang Allah wajibkan kepada orang Islam berpuasa, dengan berpuasa ianya dapat membentuk akhlak, mendisiplinkan diri, membina peribadi dan tingkah laku.

Umat Islam di Palestin, Gaza dan Mesir yang beriman, walaupun mereka berada di dalam suasana peperangan sekali pun mereka akan tetap melaksanakan ibadah tersebut meski pun bom dan peluru menjadi hidangan mereka malah mereka tidak akan terfikir untuk berbuka pada waktu siang hari kerana untuk mendapatkan ledakan keimanan, kepercayaan dan keyakinan daripada Allah. Keimanan yang teguh merupakan satu natijah daripada ibadah puasa yang ditunaikan oleh seseorang.

Ibadah puasa itu diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam iaitu ketika Rasulullah berada di kota Madinah pada tahun kedua selepas hijrah Rasulullah SAW. Baginda berpuasa bersama-sama para sahabat hampir sembilan kali Ramadan untuk membentuk keimanan dan keyakinan yang di didik oleh Allah.

Turut diadakan sesi soal jawab bersama peserta.

Majlis diserikan lagi dengan cabutan nombor bertuah, pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam kepada peserta.

Turut hadir ialah Pengarah Dakwah, Hj. Abdul Hanif Harun; Pegawai Dakwah dan Penyelidikan, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Pegawai Dakwah, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan.

 

1
Ustaz Mohd. Yusof Johan menyampaikan ceramahnya bertajuk Puasa Seorang Muslim kepada peserta.

 

2
Antara peserta yang hadir di program tersebut.

 

3
Saudara Muslim mendengar dengan tekun ketika ceramah disampaikan.

 

4
Antara peserta yang mengajukan pertanyaan mengenai puasa dalam sesi soal jawab.

 

5
Pertandingan kuiz Islam kategori umum.

 

6
Pertandingan kuiz Islam kategori Saudara Muslim.

 

7
Antara peserta yang menyaksikan pertandingan yang diadakan.

 

8
Muhammad Saif Christopher menyertai pertandingan azan.

 

9
Mohd. Zainal Abidin Abdullah melaungkan bang sewaktu pertandingan azan diadakan.

 

10
Mohd. Zaid Lim Fauzi Lim menyertai acara pertandingan azan.

 

11
Fauziah Ibrahim mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran ketika pertandingan tilawah al-Quran kategori umum diadakan.

 

12
Rasidah Begum Abdullah menyertai pertandingan tilawah al-Quran kategori Saudara Muslim.

 

13
Siti Sarah Mendoza tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran.

 Lagi gambar @

Video Ceramah ‘Puasa Seorang Muslim’ Disampaikan oleh Ustaz Mohd. Yusof Johan

Related Articles

Back to top button