Aktiviti Dakwah

PERKIM Wilayah Satu Padukan Bangsa Sempena Merdeka

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Kita mestilah bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan kepada kita Malaysia yang aman damai dan tiada peperangan seperti negara lain,” kata Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad.

Katanya, ia merupakan hasrat dan cita-cita pejuang tanah air yang memperjuangkan kemerdekaan itu tercapai dalam suasana mewujudkan sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama yang bersatu padu dan bermesra antara satu sama lain.

Nakhaie berkata ketika menyampaikan ucapan di Karnival Perpaduan dan Mesra Masyarakat Sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke 62 anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan (PBWP) dan PERKIM Cawangan Kepong Barat (PCKB) bertempat di Perkarangan Surau Al-Huda, Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur pada 7 September lalu.

Program itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Surau Al-Huda, Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk Sub-Zon 6 Segambut, Persatuan Vateran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Colombia Asia Hospital Setapak.

Program itu dihadiri seramai 300 orang terdiri pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Murut serta warga dari negara Indonesia, Filipina dan Thailand termasuk saudara baharu pelbagai bangsa.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub-Zon 1, Dato’ Seri Yap Keow Keong; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Maluri, Eng Kok Piew; Pengerusi Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Jasni Abdul Rahman; Pengerusi Surau Al-Huda, Mustafa Yunus; Pengerusi PCKB, Muhibah Ardani; Pegawai Jabatan Penerangan Malaysia, Shabani Saad dan Pegawai Dakwah PBWP, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan.

Nakhaie selaku Pengerusi PBWP turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan penduduk setempat serta mereka yang terlibat dalam menjayakan karnival terbabit.

“Dengan adanya perpaduan ini, kita dapat membina Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan aman sekali gus menikmati kesenangan serta kemakmuran yang sebenar,” ujarnya.

Nakhaie yang juga Naib Yang DiPertua PERKIM berkata, PERKIM merupakan sebuah badan kebajikan berusaha dengan sedaya upaya mewujudkan masyarakat yang dicita-citakan oleh pejuang kemerdekaan.

“Dalam PERKIM kita dapati pelbagai kaum di mana Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa yang ada di dalam Malaysia ini bersama-sama berusaha mewujudkan keharmonian dan keamanan.

Ia bersandarkan firman Allah SWT di dalam surah Hujurat, ayat 13 bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Tambah Nakhaie, walaupun mereka yang beragama Islam terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi PERKIM tidak lupa untuk mengadakan program dan aktiviti bagi menyantuni bangsa-bangsa lain yang belum Islam.

Ujarnya, walau apa pun bangsa atau agama, mereka adalah warganegara daripada sebuah negara yang bernaung di bawah panji-panji kemerdekaan negara Malaysia yang saling bekerjasama serta berganding bahu demi mencapai kedamaian, keamanan dan kesejahteraan.

Program diserikan lagi dengan ucapan perasmian disampaikan Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Azli Yusof.


Azli mewakili Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad turut menyampaikan salam kepada hadirin kerana tidak dapat bersama pada kali ini disebabkan menghadiri urusan rasmi di Labuan yang merupakan salah satu antara tiga Wilayah Persekutuan selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, pertemuan menghimpunkan masyarakat berbilang kaum itu sangat signifikan dan sewajarnya diadakan dengan lebih kerap kerana ia menggambarkan suara hati PERKIM yang sentiasa peka serta responsif terhadap usaha memupuk perpaduan di kalangan masyarakat.

“Saya difahamkan tempat ini telah mengadakan dua kali perayaan sambutan Tahun Baru Cina dengan kehadiran 1,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat,” ujar Azli.

Bersempena tema Sayangi Malaysiaku, Malaysiaku Bersih, membawa mesej setiap daripada kita perlu bertanggungjawab untuk sentiasa bersatu padu demi mempertahankan kestabilan politik negara, aman dan sejahtera.

Jelas Azli, kerajaan mahukan sebuah negara yang bersih dari pelbagai perspektif antaranya bersih dari gejala rasuah, alam sekitar yang bersih, masyarakat bersih daripada fitnah dan kebersihan diri.

Kita boleh berbeza pendapat dalam hal kemajuan diri tetapi tidak boleh mengorbankan semangat setia kawan yang boleh merosakkan hubungan baik dan harmoni yang akhirnya memporak-perandakan masyarakat.

“Dalam merayakan kemerdekaan Malaysia ke-62, kita hendaklah sentiasa menyayangi negara tercinta dengan penuh semangat patriotik dibuktikan dengan kata-kata dan persembahan nyanyian lagu Negaraku serta Tanggal 31 Ogos seperti dinyanyikan bersama-sama hadirin sambil mengibarkan jalur gemilang.

Kementerian Wilayah Persekutuan sentiasa komited untuk menyokong aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta bekerjasama dalam memberikan kemudahan logistik.

Turut diadakan pertunjukkan Seni Silat Helang Putih, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran penerangan, pertandingan mewarna kanak-kanak, demonstrasi makanan sihat, senaman zumba dan persembahan mi tarik.

Majlis diseri dengan persembahan lagu ‘Inilah Barisan Kita’, bacaan sajak ‘Perpaduan’ dan menaikkan jalur gemilang disampaikan PVATM.

Azli dan Nakhaie turut menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada Jamel Ahmad, Aripin Abd. Gani, Gulam Ghani Mohd. Ayoub dan Ng Kok Piew. Mereka masing-masing menerima sijil anugerah dan wang tunai kerana telah berkhidmat ke arah keamanan dan kemakmuran negara serta khidmat masyarakat ke arah perpaduan dan kesejahteraan komuniti.

Setiausaha PCKB, Dziaruddin L. Ab. Rahman menyampaikan hamper kepada pemenang pertandingan mewarna kanak-kanak. Johan bagi kategori empat hingga enam tahun dimenangi oleh Aqil Zafran, naib johan disandang Adel Putra dan tempat ketiga dimenangi Siti Fatimah Azzahra Mohd. Sufian.

Bagi kategori tujuh hingga sembilan tahun pula dijuarai oleh Wong  Yuin Yu manakala Lim Wen Xuan menyandang naib juara dan tempat ketiga dimenangi Arman Zarhan.

Pemenang kategori 10 hingga 12 tahun diraih Idraki Zulfadli bagi tempat pertama, Ng Kai Ru pemenang tempat kedua dan tempat ketiga diterima oleh Naufal Saffiz.


Para ibu memberi sokongan kepada anak-anak mereka ketika pertandingan mewarna diadakan.


Kanak-kanak pelbagai bangsa menyertai pertandingan mewarna diadakan sempena Karnival Perpaduan dan Mesra Masyarakat.


Kanak-kanak mewarna lukisan bertemakan kemerdekaan Sayangi Malaysiaku yang diadakan baru-baru ini.


Nakhaie (kiri) bersalaman ketika menyambut ketibaan Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Azli Yusof.


Persatuan Vateran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengangkat tabik hormat ketika lagu Negaraku dinyanyikan.


Tetamu kehormat berdiri tegak sambil menyanyikan lagu Negaraku.


Pengerusi PERKIM Ehsan, Mohd. Noor Hamim Suntong membacakan doa pembuka majlis.


Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.


Azli Yusof menyampaikan ucapan dan merasmikan Karnival Perpaduan dan Mesra Masyarakat Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-62.


Pertunjukkan seni Silat Helang Putih.


Jamel Ahmad selaku bekas perajurit negara menerima Anugerah Jasamu Dikenang disampaikan oleh Azli (tengah).


Azli (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada Gulam Ghani Mohd. Ayoub kerana telah berkhidmat untuk keamanan dan kemakmuran negara.


Aripin Abd. Gani (kanan) menerima Anugerah Jasamu dikenang daripada Azli.


Ng Kok Piew (kanan) yang banyak berjasa kepada masyarakat ke arah perpaduan dan kesejahteraan komuniti menerima Anugerah Jasamu Dikenang daripada Azli (tengah).


PVATM menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita sambil mengibarkan jalur gemilang.


Azli membuat pemeriksaan kesihatan percuma di kaunter Colombia Asia Hospital Setapak.


Azli (kanan) cuba meniru aksi seperti yang ditunjukkan oleh chef mi tarik.


Dziaruddin menyampaikan hamper kepada Aqil Zafran, juara pertandingan mewarna kanak-kanak kategori empat hingga enam tahun.


Wong Yuin Yu menjuarai pertandingan mewarna kanak-kanak kategori tujuh hingga sembilan tahun disampaikan oleh Dziaruddin.


Idraki Zulfadli (kanan) menerima hamper juara pertandingan mewarna kategori 10 hingga 12 tahun daripada Dziaruddin (tengah).


Pemenang pertandingan mewarna kanak-kanan bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat.


Tetamu kehormat bersama PVATM memotong kek sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke-62.


Persatuan Vateran Angkatan Tentera Malaysia berkesempatan merakamkan kenangan manis bersama tetamu kehormat.


Persatuan Seni Silat Helang Putih menunjukkan aksi helang bersama tetamu kehormat.

Related Articles

Back to top button