Belia PERKIM Mantap Hala Tuju Kepimpinan Menerusi Retreat Tiga Hari Di Melaka
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
ALOR GAJAH, 14 DISEMBER 2025 – Lebih 50 belia PERKIM daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya berjaya memantapkan kefahaman, jati diri serta kesiapsiagaan kepimpinan menerusi Retreat Kepimpinan dan Hala Tuju Belia PERKIM yang berlangsung selama tiga hari di Kem Permata Resort, Jalan Air Tanai, di sini.
Program berteraskan pendekatan holistik itu menghimpunkan peserta berusia antara 15 hingga 35 tahun, merangkumi pelajar sekolah menengah, mahasiswa serta golongan bekerja, dengan matlamat melahirkan barisan pelapis kepimpinan PERKIM yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan selari dengan misi dakwah, pendidikan serta kebajikan pertubuhan berkenaan.

Penyelaras Program, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, penganjuran retreat tersebut dirangka bagi membina kefahaman menyeluruh tentang peranan strategik belia sebagai aset utama organisasi, di samping memantapkan visi perjuangan agar selari dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan.
Menurut beliau, pendedahan awal terhadap konsep kepimpinan berteraskan dakwah amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan PERKIM dapat diteruskan secara tersusun dan berkesan.
“Belia bukan sekadar tenaga pelaksana, sebaliknya merupakan pewaris amanah kepimpinan yang perlu dipersiapkan dengan ilmu, disiplin dan kefahaman yang jelas,” katanya.
Hari pertama program dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Jurulatih Kem, Muhammad Naf’al Mohd Rafiq, yang menjelaskan peraturan, fasiliti, aspek keselamatan, disiplin serta pengurusan masa bagi memastikan kelancaran program serta membentuk semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
Kemuncak hari pertama diserikan dengan Forum Kepimpinan Belia Dalam PERKIM yang dipengerusikan oleh Ustaz Farhan Tee dan menampilkan dua ahli panel berpengalaman iaitu Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad serta Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.
Forum tersebut menegaskan bahawa kepimpinan PERKIM berpaksikan tiga tunjang utama iaitu dakwah, pendidikan dan kebajikan selain menekankan keperluan mendesak melahirkan barisan pelapis kepimpinan belia bagi memastikan kelangsungan perjuangan organisasi di peringkat kebangsaan.

Datuk Nakhaie menegaskan kepimpinan dalam PERKIM tidak boleh dipisahkan daripada misi dakwah.
Menurut beliau, seorang pemimpin perlu memiliki keyakinan dan kesungguhan untuk menyampaikan keindahan Islam secara berhikmah, bukan sahaja kepada bukan Islam malah dalam memperkukuh kefahaman dan amalan umat Islam sendiri.
“Keindahan Islam tidak wajar dinikmati secara peribadi semata-mata, sebaliknya perlu disampaikan dengan kebijaksanaan agar memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya sambil menekankan kepentingan kewibawaan, kebijaksanaan serta keupayaan mempengaruhi dan menyatukan pengikut.

Ustaz Fitri dalam forum tersebut berkata, peranan besar belia dalam membawa idea segar, kreativiti dan kemahiran teknologi ke dalam gerak kerja PERKIM.
Menurut beliau, penguasaan teknologi dan media sosial merupakan kekuatan penting dalam dakwah masa kini kerana mesej Islam dapat disampaikan secara meluas dan merentasi sempadan.
“Dakwah hari ini tidak lagi terhad kepada mimbar semata-mata, sebaliknya perlu memanfaatkan platform digital secara berdisiplin dan beretika,” katanya, selain menegaskan kepentingan tarbiah, pembinaan fikrah serta jati diri belia melalui proses berterusan seperti usrah.
Hari kedua retreat diteruskan dengan pengisian menyeluruh yang menekankan keseimbangan rohani, fizikal dan kepimpinan.
Program bermula seawal pagi dengan solat Subuh berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Muhammad Al-Fateh Nizam diikuti aktiviti senamrobik dan brisk walk sejauh kira-kira 1.5 kilometer di sekitar kawasan kem.
Peserta kemudiannya menyertai pelbagai aktiviti kecergasan dan kecerdasan, termasuk flying fox atau zipline sejauh 700 meter yang menjadi simbol keberanian dan keazaman diri.
Walaupun ada peserta berasa gugup, sokongan rakan sekumpulan berjaya menyuntik semangat untuk mencabar diri sekali gus meningkatkan keyakinan serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar.
Majlis perasmian pada hari kedua disempurnakan oleh Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menegaskan bahawa asas perjuangan dan kepimpinan belia PERKIM hendaklah sentiasa berpaksikan kepada Allah SWT.

Menurut Tunku Noor Hayati, kekuatan sebenar umat dan organisasi bukan bergantung semata-mata kepada faktor luaran, sebaliknya bermula daripada keikhlasan, keyakinan dan kesatuan dalam melaksanakan amanah dakwah.
Beliau turut menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan belia lelaki dan wanita dalam menjayakan misi PERKIM serta mengingatkan agar perjuangan dakwah tidak dicampuradukkan dengan kepentingan politik.
Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.
Sementara itu, Ketua Majlis Belia PERKIM Pusat, Muhammad Azhar Hafiz Mohd Shafie dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa belia merupakan aset strategik PERKIM yang perlu dibimbing secara terancang agar mampu muncul sebagai pemimpin berwibawa dan berdaya tahan.
Pada sebelah petang, peserta diuji dengan Obstacle Challenge berkonsepkan aktiviti luar yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, termasuk halangan air, titian goyang, tembok tinggi, terowong serta laluan berlumpur. Aktiviti ini menuntut kerjasama, disiplin dan kesabaran, selaras dengan prinsip kepimpinan Islam.
Belia PERKIM berkumpul dalam sesi perbincangan kumpulan pada sebelah malam bagi melontarkan idea, pandangan dan cadangan untuk dirumuskan sebagai resolusi belia yang akan dibawa kepada kepimpinan tertinggi PERKIM Kebangsaan.
Sesi ini memberi ruang kepada belia menyuarakan aspirasi serta hala tuju yang diharapkan bagi memperkasa peranan mereka dalam dakwah, pendidikan dan kebajikan.
Sementara itu, urus setia program, Siti Masliana Mohd Ariffin membimbing peserta sekolah menengah melalui aktiviti permainan dan kuiz yang bersifat santai berunsur pendidikan.
Hari ketiga pula menyaksikan kemuncak program menerusi aktiviti explorace yang menguji keupayaan kepimpinan, daya fikir serta kerjasama berpasukan.
Peserta dibahagikan kepada lima kumpulan dan perlu menyelesaikan tugasan di beberapa lokasi strategik sekitar kem dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Aktiviti berasaskan latihan pengalaman itu menuntut pemikiran kritikal, komunikasi berkesan serta kreativiti, selain menguji keserasian pasukan melalui elemen cabaran fizikal dan mental.
Keputusan akhir menyaksikan kumpulan 1 muncul juara keseluruhan hasil strategi mantap dan semangat pasukan yang konsisten.
Ustaz Farhan Tee berkata, keseluruhan program tiga hari dua malam itu berjaya membentuk belia PERKIM yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek di samping mengukuhkan jaringan ukhuwah antara peserta dari pelbagai latar belakang negeri dan pengalaman.
Program berakhir dengan sesi fotografi kenangan dan jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh mesra, meninggalkan pengalaman bermakna serta semangat baharu kepada Belia PERKIM untuk terus berbakti dan memimpin dengan hikmah demi kesinambungan perjuangan dakwah, pendidikan dan kebajikan PERKIM.

Ustaz Farhan Tee selaku penyelaras program mengalu-alukan kehadiran peserta dari kalangan Belia PERKIM di Kem Permata Resort, Melaka.

Ketua Jurulatih Kem, Muhammad Naf’al Mohd Rafiq menyampaikan taklimat peraturan, fasiliti, aspek disiplin serta pengurusan masa sepanjang berada di kem.

Datuk Nakhaie dalam kupasan forum bertajuk Kepimpinan Belia Dalam PERKIM menegaskan bahawa kepimpinan belia tidak boleh dipisahkan daripada misi dakwah.

Ustaz Fitri menekankan peranan besar belia dalam membawa idea segar, kreativiti serta kemahiran teknologi ke dalam gerak kerja PERKIM.

Salah seorang peserta mengajukan soalan dalam sesi soal jawab.

Naib-Naib Yang Dipertua berkesempatan bergambar bersama barisan Ahli Jawatankuasa Majlis Belia PERKIM Pusat.

Aktiviti brisk-walk diadakan pada hari kedua selepas peserta bersenamrobik.

Jurulatih zipline, Mohd Amirul Bashar Mohd Zubir memberikan penerangan terperinci berhubung aspek keselamatan, penggunaan kelengkapan dan teknik pendaratan yang betul.

Barisan peserta yang siap sedia untuk mencabar diri mereka dalam aktiviti flying fox.

Salah seorang peserta yang berani menuruni dengan penuh cabaran dalam aktiviti flying fox.

Walaupun gayat dan gugup, peserta mencabar diri mereka dalam aktiviti zipline.

Peserta perempuan kelihatan tenang ketika menuruni dalam aktiviti penuh mencabar.

Tunku Noor Hayati hadir dalam majlis perasmian Retreat Kepimpinan dan Hala Tuju Belia PERKIM.

Ustaz Farhan Tee membuka tirai majlis perasmian Retreat Kepimpinan dan Hala Tuju Belia PERKIM selaku juruacara.

Peserta di kalangan Belia PERKIM, Ustaz Muhammad Al-Fateh Nizam memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Belia PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan

Ketua Majlis Belia PERKIM Pusat, Azhar Hafiz menegaskan bahawa belia merupakan aset strategik PERKIM yang perlu dibimbing secara terancang agar mampu muncul sebagai pemimpin yang berwibawa.

Tunku Noor Hayati dalam ucapan perasmiannya menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama rapat dengan golongan belia, sama ada lelaki mahupun wanita dalam menjayakan misi PERKIM.

Menurut Tunku Noor Hayati, golongan muda perlu diberi ruang, kepercayaan dan sokongan agar mampu tampil sebagai pemimpin pelapis yang berwibawa dan berdaya tahan.

Tunku Noor Hayati bergambar kenang-kenangan bersama Belia PERKIM seusai perasmian.

Peserta belia menyertai aktiviti outdoor yang mencabar ketahanan fizikal dan mental.

Peserta melalui titian dengan berhati-hati bagi melepasi cabaran titian goyang.

Belia Muslimah melalui titian goyang sambil dipantau oleh jurulatih.

Peserta perlu melepasi tembok tinggi dalam salah satu aktiviti Obstacle Challenge dengan cara memanjat.

Bagi menguji kekuatan tangan, peserta perlu bergayut bagi melepasi kolam berlumpur.

Peserta bergayut pada tali bagi melepasi cabaran kolam yang dipenuhi dengan air yang keruh.

Antara peserta yang gagal melepasi cabaran yang sukar.

Peserta yang sedang meniarap dengan berhati-hati di bawah kawat berduri.

Peserta sedang menjalani aktiviti water confident yang menuntut keberanian dan kawalan emosi ketika berdepan halangan berunsur air.

Antara peserta yang telah berjaya melepasi aktviti water confident.

Peserta Belia PERKIM berkumpul dalam sesi perbincangan kumpulan bagi melontarkan buah fikiran untuk dirumuskan sebagai resolusi belia yang akan dibawa kepada kepimpinan tertinggi PERKIM Kebangsaan.

Siti Masliana membimbing peserta sekolah menengah melalui aktiviti permainan dan kuiz yang bersifat santai berunsur pendidikan.

Aktiviti explorace yang menjadi kemuncak program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Jurulatih Kem, Muhammad Naf’al yang mencabar fizikal, mental dan emosi peserta.

Ustaz Al-Fateh (tengah) mengetuai kumpulannya dalam aktiviti Explorace.

Tugasan ini menuntut kreativiti tinggi, keberanian tampil ke hadapan serta keserasian kumpulan dalam masa yang singkat.

Tugasan di hentian terakhir memerlukan setiap kumpulan mempersembahkan satu adegan atau lawak spontan bagi membuatkan urus setia tergelak.

Peserta bersama-sama menyanyikan lagu bertemakan semangat dan perpisahan pada akhir sesi retreat.

Ustaz Farhan Tee menyampaikan pesanan terakhir kepada belia agar terus memperkasa dakwah dan kebajikan umat.

Retreat Belia PERKIM melabuh tirainya dalam sesi fotografi kenang-kenangan bersama peserta dan urus setia.


