Aktiviti Dakwah

Dr Farid Ravi Jadi Idola, Tiyagu Temui Cahaya Islam Di PERKIM

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

📷: ᶠᴬᵀᴵᴺ ᴬᴷᴹᴬᴸ ᴬᴷˢᴬᴴ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏 𝐃𝐈𝐒𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – “Macam baru lahir… fikiran saya tenang.” Demikian kata-kata penuh syukur 𝑴𝒐𝒉𝒂𝒎𝒂𝒅 𝑻𝒊𝒚𝒂𝒈𝒖 𝑩𝒊𝒏 𝑩𝒂𝒍𝒂 𝑺𝒖𝒃𝒓𝒂𝒎𝒂𝒏𝒊𝒂𝒎, 40, selepas sah mengucapkan dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas tetapi penuh penghayatan di Ibu Pejabat PERKIM, Aras 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada petang Isnin.

Tiyagu, yang sebelum ini dikenali sebagai Tiyagu A/L Bala Subramaniam, melafazkan syahadah dalam Bahasa Arab disusuli Bahasa Melayu dipimpin oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧.

Proses pengislaman itu berlangsung tenang dan tertib apabila Dato’ Razali memimpin beliau menyebut setiap perkataan ikrar dua kalimah syahadah dengan jelas, sebelum menerangkan perkara asas melibatkan Rukun Iman, Rukun Islam, halal dan haram serta tanggungjawab asas sebagai seorang Muslim baharu.

“Saya datang dengan hati penuh yakin,” jelas Tiyagu sambil disaksikan pengislamannya oleh 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗺𝗿𝗮𝗻 𝗔𝗻𝗯𝗮𝗿𝗮𝘀𝘂 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵.

“Saya datang sini bersama sepupu untuk memeluk agama Islam dengan sepenuh hati,” ujar Tiyagu yang bekerja sebagai peniaga kecil menjual air tebu di Bandar Baru Sentul.

Mengakui membesar dalam persekitaran majoriti Muslim sejak kecil, Tiyagu berkata hidayah itu bukan datang tiba-tiba, sebaliknya sudah lama berputik.

“Saya sekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, kawan-kawan saya semua orang Islam. Ayah saya selalu pesan, jika mahu masuk Islam, tunggu masa sesuai.

“Selepas ayah meninggal dunia pada 2019, saya minta izin emak. Emak kata, kalau kau fikir ini baik, kau pergi, aku sokong,” katanya sebak.

Tiyagu turut mendedahkan bahawa beliau menjaga ibunya yang kini berusia lebih 60 tahun serta dua anak kepada adik sepupunya yang berumur 10 dan 6 tahun.

Statusnya masih bujang, namun peranan dan tanggungjawab keluarga banyak membentuk kematangannya.

Menyorot kisah duka yang jarang disebut, Tiyagu mengakui pernah beberapa kali ditipu ketika mencari guru untuk memandunya mengenali Islam.

“Ramai orang bagi harapan, tetapi ada yang minta duit. Ada yang suruh saya tunggu di masjid tapi tak muncul. Ada juga sindiket. Saya benar-benar keliru,” katanya.

Namun beliau tidak pernah berputus asa.

“Saya bagitahu emak. Emak cari sepupu saya yang dah lama masuk Islam. Dia datang tunjuk kad Islam. Baru saya percaya. Dari situ saya teruskan mencari jalan yang betul,” ujarnya.

Akhirnya, perjalanan panjang itu menemukan beliau dengan Dato’ Razali yang disifatkannya sebagai “jalan sebenar yang Allah buka setelah 40 tahun menunggu.”

“Macam baru lahir… sangat tenang,” rintih Tiyagu yang memendam dan menyembunyikan impiannya sejak dahulu untuk menjadi seorang Muslim akhirnya tercapai.

“Dalam hati saya dulu banyak beban. Sekarang kosong… tenang. Rasa macam baru lahir. Allah bagi saya jalan baharu,” katanya.

Walaupun menghidap penyakit buah pinggang, semangatnya tetap tinggi untuk belajar agama.

“Saya nak jadi ustaz, saya nak jadi pendakwah. Saya mahu belajar sungguh-sungguh,” katanya penuh tekad.

Beliau turut menyatakan bahawa tokoh yang menjadi inspirasinya ialah 𝐍𝐚𝐢𝐛 𝐂𝐚𝐧𝐬𝐞𝐥𝐨𝐫 𝐔𝐧𝐢𝐯𝐞𝐫𝐬𝐢𝐭𝐢 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐒𝐞𝐥𝐚𝐧𝐠𝐨𝐫 (𝐔𝐈𝐒), 𝐏𝐫𝐨𝐟. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐢𝐝 𝐑𝐚𝐯𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.

“Saya nak jadi macam Dr Farid Ravi… itu impian saya,” katanya dengan senyuman.

PERKIM Kebangsaan menzahirkan rasa syukur atas pengislaman Tiyagu dan akan terus membimbing beliau melalui kelas asas fardu ain, pengajian Al-Quran serta bimbingan rohani berterusan.

“Setiap saudara baru adalah amanah besar. Kita bantu mereka memahami agama dengan lembut, hikmah dan kasih sayang,” kata Dato’ Razali sambil memeluknya pada akhir majlis.

Dengan pengislaman rasmi hari ini, Tiyagu kini memulakan lembaran hidup yang baharu pada tarikh keramat 1 Disember 2025, meninggalkan agama asalnya dengan tekad memperkukuh perjalanan spiritual sebagai seorang Muslim.

Majlis diakhiri dengan penyampaian beg pengislaman yang mengandungi Al-Quran, peralatan solat lelaki, buku Fardu Ain, Iqra’ dan lain-lain lagi.

Dato’ Razali dan Ustaz Amran turut memimpin doa kesyukuran agar Allah mempermudah setiap langkah Tiyagu dan memberinya kekuatan untuk terus mengejar impian menjadi ahli ilmu serta pendakwah yang bermanfaat kepada masyarakat.

 


Tiyagu hadir ke ibu pejabat PERKIM bersama sepupunya untuk memeluk Islam yang diimpikan sejak di bangku sekolah.

 


Dato’ Razali memimpin ikrar dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu diikuti oleh Tiyagu perkataan demi perkataan.

 


Tiyagu berasa tenang selepas mengucapkan kalimah tayyibah dan mengimpikan untuk menjadi Dr Farid Ravi suatu hari nanti.

 


Dato’ Razali turut memberi taklimat mengenai Rukun Iman, Rukun Islam, halal dan haram serta tanggungjawab seorang Muslim kepada Tiyagu.

 


Dato’ Razali menyampaikan beg pengislaman kepada Mohamad Tiyagu selepas upacara pengislamannya.

Related Articles

Back to top button