Majlis Belia PERKIM Kedah Agih 50 Bekas Bubur Lambuk
oleh: ZAATIL HIDAAYAH AHMAD BUSTAMAN
ALOR SETAR, 16 MAC 2024 – Keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadan dalam mengeratkan ukhuwah sesama ummah terus dihayati apabila Majlis Belia PERKIM Bahagian Negeri kedah telah menganjurkan Program Pengagihan Bubur Lambuk bertempat di Dataran Masjid Zahir Negeri Kedah Darul Aman, dekat sini, petang Sabtu.
Sebanyak 50 bekas bubur lambuk telah diedarkan secara percuma kepada masyarakat setempat.
Program ini bukan sahaja menyaksikan keberadaan mahasiswa kepada masyarakat bahkan ia juga memupuk sifat bersedekah.
Sesungguhnya memberi makan orang yang berbuka besar ganjarannya seperti mana bersandarkan hadith Rasulullah SAW: “Barangsiapa memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” (Hadith Riwayat Tirmidzi).
Menurut Ketua Belia PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Muhammad Danial Rifqi Othman, program tersebut diadakan untuk mengeratkan jalinan ukhuwah antara Belia PERKIM dan masyarakat awam di Alor Setar Kedah.
Tambahnya lagi, ia menambahkan lagi seri pengimarahan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan sosial.
Kata Danial lagi, bubur lambuk telah sebati dalam masyarakat dan sebagai satu pengisian di bulan Ramadan yang menggalakkan kita melakukan sunnah Rasulullah SAW dengan memberi makan kepada orang berbuka puasa.
Secara tidak langsung, ia memberi satu suasana kegembiraan kepada umat Islam dan bukan Islam yang mendapat bubur lambuk PERKIM di saat menunggu ketibaan untuk berbuka puasa.
Danial yang juga bersama Ahli Jawatankuasa Belia PERKIM Kedah berharap program tersebut mampu memupuk semangat kerjasama belia khususnya di Alor Setar, Kedah ini serta menyerlahkan sumbangan mereka terhadap aktiviti berbentuk sukarelawan.
Program berakhir dengan majlis berbuka puasa dan solat terawih di Masjid Zahir.
Penulis, Zaatil (tiga dari kanan) bersama Majlis Belia PERKIM Bahagian Negeri Kedah.
Belia PERKIM Kedah menyampaikan juadah berbuka puasa kepada pemuda di Dataran Masjid Zahir.
Kegembiraan wajahnya terserlah ketika seorang gadis menerima bubur lambuk daripada AJK Belia PERKIM Kedah.
AJK Belia PERKIM Kedah menyampaikan kepada salah seorang wanita yang berkeluarga.
Ibu kepada dua orang anak menerima bubur lambuk daripada AJK Belia PERKIM Kedah.
Non-Muslim juga turut gembira menerima bubur lambuk ketika menunggu untuk berbuka puasa.
AJK Belia PERKIM Kedah menyampaikan bubur lambuk kepada ahli keluarga.