Dialog Harmoni PERKIM Perkukuh Kefahaman Masyarakat India Kluang
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐋𝐔𝐀𝐍𝐆, 𝟑𝟎 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Usaha memupuk keharmonian antara kaum terus diperkukuhkan apabila lebih 70 masyarakat India sekitar daerah ini menghadiri Program Dialog Harmoni Bersama Masyarakat Majmuk India anjuran bersam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Program berkenaan turut mendapat sokongan PERKIM Cawangan Kluang serta Persatuan Mualaf India (MIRA) Negeri Johor.
Bertempat di Dewan Persatuan Penduduk Taman Desa Kluang, program bermula jam 10 pagi itu bertujuan memberi pencerahan mengenai salah faham antara masyarakat berbilang agama serta menerapkan nilai saling menghormati dalam komuniti majmuk.
Majlis dimulakan dengan ceramah motivasi oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚h menerusi tajuk Menangkis Salah Faham Tentang Islam.

Dalam ceramahnya, beliau mengingatkan bahawa Islam menekankan hubungan harmoni antara kaum dan manusia diciptakan berbilang bangsa bagi saling mengenali, memahami adat serta menghormati pantang larang masing-masing.
Beliau menyentuh suasana masyarakat terdahulu yang hidup dalam semangat kejiranan erat seperti bertukar juadah, berziarah tanpa prasangka dan saling membantu tanpa mengira kaum.
Namun, nilai itu semakin pudar hari ini berikutan arus moden yang menghakis interaksi sosial.
Ustaz Jais Mariappan menyeru agar hubungan antara kaum dipulihkan melalui komunikasi sihat, sikap hormat-menghormati serta penglibatan aktif dalam program dialog harmoni.
Katanya, perpaduan tidak akan terbina jika masyarakat hanya melihat perbezaan tanpa berusaha memahami antara satu sama lain.
Program diteruskan dengan sesi Dialog Harmoni yang disampaikan 𝐈𝐦𝐚𝐦 𝐌𝐚𝐬𝐣𝐢𝐝 𝐃𝐚𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐊𝐚𝐝𝐢 𝐊𝐥𝐮𝐚𝐧𝐠, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐒𝐡𝐚𝐤𝐞𝐫 𝐍𝐚𝐢𝐦 𝐀𝐫𝐢𝐬.

Beliau membuka bicara dengan menggambarkan kehidupan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islamya dipenuhi perjudian, zina dan arak sehingga keadaan sosial berada pada tahap yang sangat rosak.
Menurutnya, apabila arak dihapuskan, keadaan digambarkan seakan-akan “bumi Arab dibanjiri arak yang bertaburan seperti sungai,” melambangkan sejauh mana masyarakat ketika itu bergelumang dalam perkara memudaratkan.
Jelasnya lagi, Islam hadir membawa petunjuk yang memulihkan akhlak manusia, mengembalikan mereka kepada kehidupan bermaruah serta memberi tujuan hidup yang jelas iaitu untuk beribadat kepada Allah, berbuat kebaikan dan saling membantu. Dengan panduan wahyu, masyarakat Arab berubah daripada bangsa terpinggir kepada umat yang membina tamadun besar.
Beliau menegaskan bahawa segala bentuk bantuan yang dilakukan masyarakat hari ini seperti meringankan beban golongan memerlukan adalah ajaran Islam sebenar yang menolak kekerasan dan menuntut keadilan kepada semua.
Baginya, idea bahawa Islam agama keras hanya muncul apabila sesetengah pihak menilai Islam melalui sumber luar yang tidak memahami ajarannya secara sahih.
Menurut Ustaz Shaker, sesiapa yang meneliti Islam secara jujur pasti mendapati kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa rahmat, keamanan dan sistem sosial yang penuh nilai kemanusiaan.
Menjawab persoalan daripada masyarakat India, Ustaz Shaker menerangkan bahawa semua agama pada asasnya melarang perbuatan memudaratkan, termasuk arak.
Beliau kemudian berkongsi kisah seorang lelaki soleh yang akhirnya terjerumus dalam dosa besar akibat mabuk yang pada mulanya menolak zina, namun setelah diberi arak dan mabuk hingga hilang kewarasan, beliau merogol wanita tersebut dan akhirnya membunuhnya kerana ketakutan.
Kisah ini, katanya, membuktikan bahawa arak adalah “ibu segala kejahatan” kerana merosakkan akal yang merupakan asas menimbang baik dan buruk.

Ustaz Muhammad Rosyam Abdullah selaku Ahli Jawatankuasa MIRA Negeri Johor pula menyampaikan penerangan dalam Bahasa Tamil di mana beliau menerangkan bahawa Islam bukan agama untuk bangsa tertentu, sebaliknya sesiapa sahaja layak menerima bimbingan dan kasih sayang sebagai saudara seagama.
Beliau turut berkongsi kisah pengislamannya, cabaran dalam keluarga, isu perkahwinan dan hal harta pusaka yang sering menjadi persoalan dalam kalangan mualaf India.
Menurutnya, kefahaman agama yang jelas amat penting kerana mampu menyelesaikan banyak kekeliruan dalam kehidupan.
Ustaz Rosyam menzahirkan rasa bersyukur kerana masyarakat India semakin terbuka memahami Islam dan berharap lebih ramai menerima ilmu dengan hati yang lapang.
Majlis diteruskan dengan sesi perasmian penutup diacarakan oleh 𝐮𝐫𝐮𝐬 𝐬𝐞𝐭𝐢𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐅𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐀𝐤𝐦𝐚𝐥 𝐀𝐤𝐬𝐚𝐡.
Ustaz Jais Mariappan sekali lagi dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada MAIWP atas sumbangan yang diamanahkan untuk diberikan kepada masyarakat India.
Meski sumbangan itu tidak besar, katanya, ia diharap dapat mengurangkan beban terutama dalam keadaan ekonomi mencabar.
Beliau juga menegaskan bahawa program Dialog Harmoni menjadi platform penting bagi memberi pencerahan mengenai Islam serta menghapuskan salah faham bahawa Islam agama yang keras.
Menurutnya, Malaysia sendiri membuktikan keharmonian apabila masyarakat Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain hidup secara aman dan saling membantu.
Mengakhiri ucapan, beliau mengingatkan bahawa menolong orang lain adalah amalan yang akan dibalas Allah, dan pertemuan sebegini harus diteruskan sebagai jambatan persefahaman antara komuniti majmuk.
Program disempurnakan dengan ucapan Pengerusi PERKIM Cawangan Kluang, Ustaz Zabri Kamdi.

Ustaz Zabri dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan muhasabah diri dalam menilai orang lain.
Menurutnya, sikap merasakan diri sentiasa betul manakala orang lain tidak betul adalah satu kesilapan besar yang boleh meretakkan hubungan masyarakat majmuk.
Ustaz Zabri turut menyentuh isu arak dan perjudian yang turut diharamkan dalam agama lain walaupun penekanannya berbeza.
Beliau berkongsi pengalaman membesar bersama jiran Cina hingga anak jiran tersebut berkhatan kerana faktor kebersihan menunjukkan bahawa hubungan antara kaum boleh dibina atas asas saling menghormati tanpa menjejaskan identiti agama.
Dalam ucapannya, beliau memuji masyarakat Hindu yang terkenal dengan nilai penghormatan terhadap ibu bapa dan kekuatan institusi keluarga, sesuatu yang wajar dicontohi semua masyarakat.
Mengutip hadis Rasulullah SAW, beliau mengingatkan bahawa menyakiti bukan Muslim yang hidup aman seolah-olah menyakiti Rasulullah sendiri, menandakan betapa Islam mengangkat nilai keadilan tanpa mengira agama.
Beliau juga berkongsi kisah Baginda SAW yang bangun menghormati jenazah bukan Muslim sebagai simbol akhlak universal.
Ustaz Zabri turut menyentuh program kemasyarakatan PERKIM di pusat jagaan warga emas berbagai kaum yang memberi kesan kemanusiaan mendalam semalam
Katanya, program sebegitu lebih meninggalkan impak berbanding sekadar gotong-royong dalam kalangan komuniti Islam sahaja.
Beliau menegaskan bahawa PERKIM bukan platform politik dan tidak membeza-bezakan kaum atau agama, sebaliknya sebuah organisasi jambatan kebajikan yang mahu menghubungkan masyarakat melalui nilai kemanusiaan sejagat.
Sebagai kemuncak program, sebanyak 50 bungkusan makanan disampaikan kepada masyarakat India oleh urus setia PERKIM Kebangsaan, Ustaz Amran Anbarasu Abdullah dengan bantuan Ustaz Zabri, Ustaz Shaker, Ustaz Rosyam dan wakil Urimai Kural Malaysia, Raman a/l Kuppusamy.
Ustaz Amran turut menyampaikan plak cenderamata PERKIM serta buku meja kopi Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Ustaz Zabri, Ustaz Shaker dan Ustaz Rosyam.
Sementara itu, Ustaz Jais Mariappan menyerahkan cenderamata penghargaan PERKIM kepada Raman sebagai simbol penghargaan atas kerjasama antara komuniti.
Majlis ditutup dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh hormat.
Turut hadir ialah 𝐮𝐫𝐮𝐬 𝐬𝐞𝐭𝐢𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐀𝐳𝐮𝐫𝐚 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐮𝐚𝐥𝐢𝐬𝐡 𝐒𝐡𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐀𝐧𝐮𝐚𝐫.

Urus setia PERKIM Kebangsaan mengambil nama peserta dalam sesi pendaftaran program Dialog Harmoni.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan ceramah motivasi kepada penduduk setempat di Dewan Persatuan Penduduk Taman Desa Kluang.

Penduduk setempat mendengar ceramah motivasi yang disampaikan.

Ustaz Jais Mariappan menyentuh suasana masyarakat terdahulu yang hidup dalam semangat kejiranan erat seperti bertukar juadah dan saling membantu tanpa mengira kaum.

Ustaz Jais Mariappan menyeru agar hubungan antara kaum dipulihkan melalui komunikasi sihat dan sikap hormat-menghormati.

Ustaz Jais Mariappan berkata, perpaduan tidak akan terbina jika masyarakat hanya melihat perbezaan tanpa berusaha memahami antara satu sama lain.

Sesi Dialog Harmoni disampaikan oleh 𝐈𝐦𝐚𝐦 𝐌𝐚𝐬𝐣𝐢𝐝 𝐃𝐚𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐊𝐚𝐝𝐢 𝐊𝐥𝐮𝐚𝐧𝐠, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐒𝐡𝐚𝐤𝐞𝐫 𝐍𝐚𝐢𝐦 𝐀𝐫𝐢𝐬.

Ustaz Shaker dalam sesi dialognya menerangkan bahawa Islam agama keras hanya muncul apabila sesetengah pihak menilai Islam melalui sumber luar yang tidak memahami ajarannya secara sahih.

Ustaz Shaker menerangkan bahawa semua agama pada asasnya melarang perbuatan memudaratkan, termasuk arak.

Beliau menegaskan bahawa segala bentuk bantuan yang dilakukan masyarakat hari ini seperti meringankan beban golongan memerlukan adalah terdapat di dalam ajaran Islam sebenar.

Ustaz Rosyam (kanan) dalam ucapannya dalam Bahasa Tamil menzahirkan rasa bersyukur kerana masyarakat India semakin terbuka memahami Islam dan berharap lebih ramai menerima ilmu dengan hati yang lapang.

Ustaz Rosyam menerangkan bahawa Islam bukan agama untuk bangsa tertentu, sebaliknya sesiapa sahaja layak menerima bimbingan dan kasih sayang sebagai saudara seagama.

Penduduk Taman Desa dan Taman Intan mendengar penyampaian dalam program sesi Dialog Harmoni.

Fatin Akmal selaku juruacara majlis memulakan acara program perasmian Dialog Harmoni Bersama Masyarakat Majmuk India Kluang.

Ustaz Jais Mariappan dalam ucapan aluannya berharap program ini menjadi platform penting bagi memberi pencerahan mengenai Islam serta menghapuskan salah faham bahawa Islam agama yang keras.

Tetamu bersama peserta program mendengar ucapan yang disampaikan.

Ustaz Zabri dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan muhasabah diri dalam menilai orang lain.

Ustaz Zabri memuji masyarakat Hindu yang terkenal dengan nilai penghormatan terhadap ibu bapa dan kekuatan institusi keluarga, sesuatu yang wajar dicontohi semua masyarakat.

Ustaz Zabri menegaskan bahawa PERKIM merupakan sebuah jambatan kebajikan yang mahu menghubungkan masyarakat melalui nilai kemanusiaan sejagat.

Ustaz Amran (tengah) menyampaikan plak cenderamata penghargaan PERKIM kepada Ustaz Zabri.

Ustaz Shaker menerima plak cenderamata penghargaan PERKIM daripada Ustaz Amran.

Ustaz Zabri menyampaikan sumbangan barangan makanan dan saguhati kepada penduduk Taman Intan.

Peserta penduduk Taman Desa menerima sumbangan barangan makanan dan saguhati daripada Ustaz Zabri.

Peserta Dialog Harmoni menerima sumbangan barangan makanan dan saguhati wang tunai daripada Ustaz Shaker.

Wakil Urimai Kural Malaysia, Raman a/l Kuppusamy berkesempatan menyampaikan sumbangan barangan makanan dan saguhati kepada peserta.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Raman tanda penghargaan.

Lebih 50 peserta Dialog Harmoni mengambil gambar kenang-kenangan bersama Urus Setia PERKIM di akhir program.

Nasi beriyani ayam dan kambing menjadi juadah makan tengah hari yang dinikmati peserta.



