Penubuhan Majlis Belia PERKIM dan Kelab PERKIM

oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI
8 OKTOBER 2020 – KUALA LUMPUR. Pertubuhan kita perlu diremajakan supaya dapat menyediakan barisan-barisan pelapis untuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), kata Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah.
Fitri berkata ketika menyampaikan ucapan sebagai Pengerusi Mesyuarat Pemilihan Penaja bagi Penubuhan Majlis Belia PERKIM dan Kelab PERKIM bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Tingkat 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
Mesyuarat dihadiri seramai lebih 40 pimpinan PERKIM Kebangsaan dan belia-belia PERKIM.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L.Isa, Bendahari Kehormat Wanita PERKIM, YBhg Prof Madya Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf; Ahli Majlis Kebangsaan merangkap Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, YBhg Dato; Haji Ali Haji Ab. Majid; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, YBrs Tuan Haji Adam Haji Daud; Pengarah Unit Hubungan Dalam dan Luar Negara PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik dan Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi mewujudkan belia-belia di dalam PERKIM seperti mana yang termaktub di dalam buku Perlembagaan PERKIM iaitu perlu ditubuhkan Majlis Belia PERKIM.
Kata Fitri, apabila di sebut PERKIM satu organisasi yang usianya sudah genap 60 tahun dan jika sewaktu dahulu belia berusia 30 tahun menyertai PERKIM, maka sekarang ini umurnya telah menjangkau 90 tahun. Kini, tidak hairanlah mengapa terdapat ramai golongan otai yang masih setia dengan PERKIM.
Pemimpin yang ada sekarang ini tidak akan ada lagi dan akan silih berganti. PERKIM lebih bertanggungjawab untuk buat satu persediaan sebab asas kerja PERKIM adalah dakwah dan dakwah bermula dari zaman Rasulullah SAW dan berterusan sehingga ke hari ini.
PERKIM waktu ditubuhkan mempunyai lima tujuan utama dakwah, kebajikan, pendidikan, kerjasama dan lain-lain.
Jelas Fitri, beliau melihat PERKIM sebagai satu platform untuk berdakwah secara lebih tersusun dan beliau turut berterima kasih kepada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM kerana beliau antara orang yang terawal melontarkan cadangan supaya menubuhkan Majlis Belia PERKIM dan hari ini merupakan hari bersejarah bagi penubuhan Majlis Belia PERKIM.
Menurut Fitri, Tuan Haji Mamat Che Chik selaku Pengarah Pentadbiran dan Program PERKIM pula akan menerangkan prosedur penubuhan sehingga pada akhirnya akan diadakan Mesyuarat Agung Majlis Belia PERKIM.
10 orang akan dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Belia PERKIM Kebangsaan kemudian PERKIM Bahagian dan cawangan akan memilih Ahli Jawatankuasa masing-masing.
Setelah Ahli Jawatankuasa Majlis Belia PERKIM didaftarkan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta mendapat kelulusan, Mesyuarat Agung di peringkat cawangan akan diadakan terlebih dahulu dan mereka akan memilih ahli jawatankuasa yang tetap.
Ujar Fitri, kemudian daripada kalangan ahli jawatankuasa tersebut akan dipilih beberapa orang sebagai pewakilan untuk ke peringkat PERKIM bahagian dan kemudian bahagian akan mengadakan mesyuarat agung di peringkat bahagian masing-masing bagi melantik ahli jawatankuasa.
Mesyuarat Agung Majlis Belia PERKIM Kebangsaan yang pertama akan diadakan untuk memilih Ahli Jawatankuasa yang tetap seperti yang diadakan pada hari ini.
Ujar beliau, Majlis Belia PERKIM akan beroperasi seperti Wanita PERKIM. Keahliannya adalah terhad dari usia 18 hingga 35 tahun sahaja. InsyaAllah belia di hadapan kita inilah bakal memimpin PERKIM.
Majlis diteruskan dengan ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.
Tan Sri memulakan ucapannya dengan membaca potongan ayat 10 dari surah Al-Hujurat:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.”
Kata beliau, persaudaraan merupakan asas di PERKIM dan tugas saya adalah menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran dan pengurusan PERKIM.
Jelas Tan Sri lagi, walaupun dalam keadaan sekarang ini yang kurang baik kesihatan negara kita, kita hendaklah bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar wabak ini berakhir dan mudah-mudahan kita dilindungi dari COVID-19.
Perjumpaan ini penting kerana kita dalam proses melaksanakan keputusan seperti terkandung di dalam Perlembagaan PERKIM iaitu menyediakan pelapis baharu.
Penubuhan Majlis Belia telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Kajian Perlembagaan yang dipengerusikan YBhg Dato’ Mohd Nakhaie Ahmad setelah berlaku proses kajian semula Perlembagaan PERKIM yang sedia ada.
Salah satu daripada elemen penting di kalangan belia yang sedia ada ialah Kelab PERKIM Universiti (KPU) kerana kelab ini dianggotai oleh orang muda di bawah 23 tahun serta mereka akan menjadi ahli kepada Majlis Belia PERKIM ini.
Tan Sri Yusof berharap supaya akan ada penambahan dari segi organisasi kerana selama ini tiada kumpulan PERKIM yang mewakili belia maka sekarang bertambahlah dalam organisasi selain Wanita PERKIM ada juga Majlis Belia PERKIM.
PERKIM telah mengutamakan konsep ‘Islam Itu Persaudaraan’ yang menjadi cogankata PERKIM dan dengan sokongan daripada generasi baru, majlis belia boleh melaksanakan sebarang aktiviti dalam suasana yang cukup mesra serta berhemah tanpa mengguris perasaan mana-mana pihak.
Jelas beliau lagi, cuma penggunaan perkataan ‘belia’ itu kita akan perhalusi semula dan jika sekiranya perkataan ‘belia’ itu perlu digunakan secara rasmi, maka kita akan menambah sayap barisan PERKIM yang terdiri daripada generasi muda dan wanita seperti mana yang telah terkandung dalam Perlembagaan PERKIM yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan lalu.
Tambahnya, sekiranya perkataan ‘belia’ perlu digunakan dengan keizinan tertentu serta memakan masa yang panjang, saya berpendapat bahawa ini tidak menjadi penghalang untuk kita meneruskan Majlis Belia PERKIM ini.
Untuk mengelakkan pertikaian istilah berlaku, kita menubuhkan satu Majlis Pelapis PERKIM atau Majlis Pemuda PERKIM untuk mengelakkan sebarang masalah timbul, tetapi pada hari ini kita meneruskan hasrat ini dahulu.
Tan Sri turut berpendapat, PERKIM perlu mengkaji semula penggunaan perkataan belia dalam Perlembagaan PERKIM kerana Perlembagaan ini masih baru.
Beliau turut berterima kasih kepada bahagian-bahagian yang telah mengambil langkah proaktif dalam menubuhkan cawangan belia terlebih dahulu.
“Namun menurut Perlembagaan PERKIM, Majlis Belia PERKIM perlu ditubuhkan di peringkat pusat terlebih dahulu, kemudian diikuti oleh PERKIM bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan,” ujar Tan Sri Yusof.
Harapan saya dalam PERKIM jangan ada budaya berebut dalam kepimpinan kerana kita badan yang bertujuan untuk dakwah dan kebajikan serta terdiri daripada pelbagai bangsa.
Turut diadakan Pemilihan Penaja Bagi Majlis Belia PERKIM dan Kelab PERKIM dan ia berjalan secara adil dan lancar. Berikut adalah keputusan Pemilihan Penaja Bagi Majlis Belia PERKIM dan Kelab PERKIM.
Ketua : YBrs Ustaz Mohamad Mohsin (PERKIM Bahagian Negeri Sembilan)
Naib Ketua (1) : Saudara Rozaimi Harun (KPU – UniKL)
Naib Ketua (2) : Saudara Abdul Qawi Navine Abdullah (IDIP-KL)
Setiausaha : YBrs Ustaz Mohd Azim Awi (PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan)
Bendahari : YBrs Ustaz Muhammad Hizam Abdul Rahim (IDIP-KL)
Di atas kemenangan itu, Ketua Majlis Belia PERKIM, Mohamad Mohsin menyampaikan ucapannya di majlis tersebut.
Mohamad turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat belia yang memberikan undi dan kepercayaan kepadanya yang dikira satu amanah untuk dipikul.
Beliau akan memegang amanah ini dengan melaksanakan kerja dan tanggungjawab yang berkesan seperti mana beliau memetik satu firman Allah SWT daripada surah Al-Fussilat ayat 33 iaitu
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah SWT, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah SWT)!”
Jelas Mohamad, kata-kata yang paling baik di sisi Allah SWT adalah menyeru manusia kembali kepada Allah SWT dan belia PERKIM harus melakukan apa sahaja aktiviti, program dan perancangan yang menyeru manusia kembali kepada Allah SWT dan membantu manusia meningkatkan amal soleh kerana yang menjadi bekal di hari akhirat adalah amal kita yang kita lakukan atas muka bumi ini. Segala apa yang kita ada semuanya akan musnah dan segala yang kita miliki akan habis apabila nyawa di tarik oleh Allah SWT tetapi yang menjadi bekalan adalah amal soleh kita.
Mudah-mudahan PERKIM ini menjadi wadah untuk kita melaksanakan kerja dan usaha untuk menyeru manusia kembali jalan Allah SWT.
Tambahnya, berbanggalah kita menjadi ahli PERKIM dan orang Islam kerana ini adalah agama yang benar di sisi Allah SWT dan beliau turut memohon bimbingan dan tunjuk ajar daripada kepimpinan tertinggi PERKIM serta kerjasama dan sokongan daripada sahabat-sahabat belia dalam membangunkan Majlis Belia PERKIM yang baru sahaja ditubuhkan.
Tan Sri Yusof Noor merakamkan ucapan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang telah dilantik di bawah kepimpinan Majlis Belia PERKIM dan Majlis Belia PERKIM boleh menjalankan pengoperasiannya di Bangunan IDIPKL memandangkan Naib Ketua (2) dan Bendahari Majlis Belia PERKIM terdiri daripada dua orang pegawai IDIP-KL.
Tan Sri juga berharap orang lama di pusat dan pentadbiran tidak diketepikan serta kita perlu bekerjasama atas semangat persaudaraan tanpa mengira umur. Mudah-mudahan kita terselamat daripada wabak penyakit COVID-19 yang sedang melanda negara kini.
.