Aktiviti Dakwah

PERKIM Satukan Saudara Baharu Pelbagai Bangsa, Semarakkan Ma’al Hijrah 1448H

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟭𝟳 𝗝𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Semangat hijrah, ukhuwah dan kepelbagaian kaum terserlah dalam Sambutan Maal Hijrah 1448H Bersama Saudara Baharu anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Surau Jumaat PERKIM yang berlangsung meriah di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Seawal jam 7.00 pagi, lebih 200 peserta daripada lima kontinjen perarakan Maal Hijrah telah berhimpun dengan penuh semangat sebelum memulakan perarakan mengelilingi kawasan sekitar Bangunan PERKIM sambil membawa sepanduk, mengenakan pakaian seragam dan diiringi alunan selawat serta nyanyian Thola’al Badru ‘Alaina.

Perarakan yang melalui Jalan Rahmat dan beberapa lokasi berhampiran termasuk kawasan Hospital Kuala Lumpur, Bank Rakyat dan Pusrawi itu disertai warga PERKIM serta saudara baharu daripada pelbagai latar belakang bangsa seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Punjabi selain peserta dari Filipina, Indonesia, Myanmar, Kemboja dan negara-negara lain.

 


𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗽𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, sambutan tersebut merupakan julung kali dianjurkan secara khusus di peringkat PERKIM Kebangsaan dengan penglibatan aktif para saudara baharu, pelajar kelas bimbingan dan kumpulan tadarus.

“Alhamdulillah, program ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membantu melancarkan perjalanan serta kawalan lalu lintas sepanjang perarakan berlangsung.

“Sebelum ini kita banyak menyertai sambutan di tempat lain, namun tahun ini dengan cadangan pegawai-pegawai dakwah PERKIM, kita berjaya menganjurkan sendiri perarakan Maal Hijrah bersama komuniti saudara baharu dan peserta kelas bimbingan di sini,” katanya.

Menurut Ustaz Jais Mariappan yang juga merupakan Eksekutif Dakwah 1 PERKIM Kebangsaan, kejayaan program tersebut merupakan hasil perancangan hampir dua minggu melibatkan pelbagai pihak termasuk MAIWP, Surau Jumaat PERKIM, urus setia serta para peserta.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.

“Tanpa komitmen peserta dan urus setia, program ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semoga segala penat lelah yang dicurahkan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT,” ujarnya.

Menurut beliau, semangat peserta yang ditunjukkan sepanjang perarakan amat membanggakan apabila terdapat dalam kalangan warga emas dan peserta berkerusi roda yang tetap berusaha menghabiskan laluan perarakan.

Katanya, walaupun jarak yang dilalui tidak sampai satu kilometer, ia sekurang-kurangnya memberi gambaran simbolik terhadap pengorbanan dan perjalanan hijrah Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam.

Selepas perarakan, para peserta berhimpun di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM bagi mengikuti Forum Maal Hijrah 1448H yang mengetengahkan tema “𝙃𝙞𝙟𝙧𝙖𝙝 𝙎𝙚𝙥𝙖𝙣𝙟𝙖𝙣𝙜 𝙃𝙖𝙮𝙖𝙩: 𝘾𝙖𝙗𝙖𝙧𝙖𝙣 𝙙𝙖𝙣 𝙆𝙚𝙢𝙖𝙣𝙞𝙨𝙖𝙣 𝙈𝙚𝙣𝙟𝙖𝙙𝙞 𝙈𝙪𝙨𝙡𝙞𝙢.”

Forum tersebut dimoderatorkan oleh 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 dengan menampilkan 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗕𝗲𝗯𝗮𝘀, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗦𝗮𝗯𝗿𝗶 𝗔𝗯𝗱 𝗥𝗮𝗻𝗶 serta 𝗦𝗲𝗹𝗲𝗯𝗿𝗶𝘁𝗶 𝗛𝗶𝗷𝗿𝗮𝗵, 𝗔𝗿𝗱𝗶𝗻𝗶 𝗔𝗻𝗴𝗲𝗹𝗶𝗻𝗲 𝗧𝗮𝗻 sebagai panelis.


Dalam forum berkenaan, Ustaz Sabri menjelaskan bahawa hijrah bukan sekadar perubahan luaran seperti pakaian atau identiti, sebaliknya merupakan proses perubahan dalaman yang berterusan sepanjang hayat bagi memperkukuhkan iman, memperbaiki akhlak dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Beliau menegaskan bahawa setiap Muslim perlu sentiasa bermuhasabah dan membersihkan hati kerana hati yang baik akan melahirkan percakapan serta tindakan yang baik.

Menurutnya, ujian dan cabaran hidup yang dihadapi seseorang bukan tanda Allah SWT menjauhinya, sebaliknya merupakan tanda kasih sayang Allah untuk mendidik hamba-Nya agar bergantung sepenuhnya kepada-Nya.

“Hijrah yang sebenar ialah perubahan yang berterusan ke arah menjadi insan yang lebih baik daripada semalam. Ia bukan hanya untuk saudara baharu, tetapi tanggungjawab setiap Muslim sepanjang hayat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan akhlak dalam dakwah dengan menjelaskan bahawa teladan yang baik sering kali lebih berkesan daripada kata-kata.

Menurutnya, sifat pemurah, amanah, bertimbang rasa dan suka membantu mampu membuka hati manusia untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.


Sementara itu, Angeline Tan berkongsi pengalaman penghijrahannya memeluk Islam pada tahun 2023 yang disifatkannya sebagai titik perubahan paling bermakna dalam hidup.

Beliau berkata, Islam memberikan jawapan kepada pelbagai persoalan yang bermain dalam fikirannya sejak kecil berkaitan tujuan kehidupan dan kewujudan manusia.

“Apabila saya memahami bahawa Allah SWT ialah Tuhan Yang Maha Esa dan Pencipta sekalian alam, saya merasakan ketenangan yang sangat mendalam.

“Solat pula menjadi saat paling istimewa kerana ia adalah masa untuk saya berhubung secara langsung dengan Allah SWT, meluahkan segala rasa syukur, kegembiraan dan kesedihan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti Islam khususnya PERKIM yang sentiasa membantu dan membimbing para saudara baharu melalui pelbagai kelas pengajian, aktiviti surau dan program pembangunan diri.

Menurutnya, sokongan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan saudara baharu dapat terus istiqamah mendalami Islam.

Majlis kemudiannya disempurnakan oleh 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗮𝗸𝗵𝗮𝗶𝗲 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱.


Datuk Nakhaie dalam ucapan perasmiannya berkata, bahawa kepelbagaian bangsa dan latar belakang manusia merupakan ketentuan Allah SWT untuk saling mengenali, memahami dan berlaku adil antara satu sama lain.

Mengulas firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13, beliau menjelaskan bahawa konsep taaruf bukan sekadar mengenali seseorang secara luaran, tetapi memahami mereka dengan adil dan penuh hikmah.

“Orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa. Keadilan pula bukan hanya untuk orang Islam, tetapi hak setiap manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Dalam usaha dakwah, kebijaksanaan sangat penting. Islam perlu disampaikan dengan hikmah, kasih sayang dan akhlak yang baik kerana keindahan Islam tidak boleh dimonopoli oleh umat Islam semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi dengan seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa akhlak yang mulia merupakan faktor utama yang mampu menarik hati manusia kepada Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sebelum itu, 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗿𝘂𝘀 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗠𝗔𝗜𝗪𝗣, 𝗨𝗺𝗶𝗲 𝗭𝗮𝗶𝘁𝘂𝗻 𝗝𝘂𝗻𝗼𝗵 dalam ucapannya berkata, tema “Hijrah Sepanjang Hayat” amat bertepatan kerana proses memperbaiki diri tidak pernah berakhir.


Umie Zaitun menyifatkan para saudara baharu sebagai contoh keberanian dalam melakukan perubahan besar demi mencari kebenaran dan mempertahankan keimanan.

“Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi perubahan hati, pemikiran dan amalan ke arah yang lebih baik.

“Di sebalik cabaran menjadi Muslim, terdapat kemanisan yang lahir daripada ketenangan jiwa, kasih sayang Allah SWT dan keberkatan hidup,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Islam agar terus membimbing, menyantuni dan memperkukuhkan ukhuwah bersama saudara baharu demi memastikan mereka terus istiqamah dalam menghayati ajaran Islam.

Turut hadir ialah 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱. 𝗥𝗶𝗱𝗵𝘂𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 serta 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗙𝗶𝗹𝗲𝗺 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗸𝗼𝗻 𝗞𝗼𝗺𝗲𝗱𝗶 𝗧𝗮𝗻𝗮𝗵 𝗔𝗶𝗿, 𝗦𝗮𝗯𝗿𝗶 𝗬𝘂𝗻𝘂𝘀.

Sebagai penghargaan terhadap komitmen dan kreativiti peserta yang menjayakan perarakan Maal Hijrah 1448H, penyampaian hadiah turut diadakan kepada kontinjen terbaik dan paling kreatif yang disertai oleh para saudara baharu Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan.

Hadiah-hadiah tersebut telah disampaikan oleh Datuk Nakhaie, Dr. Ridhuan Tee Umie Zaitun Junoh.

Bagi kategori kontinjen terbaik dan kreatif, Kelas Tahsin muncul sebagai johan sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM700, manakala Kelas Tadarus Surau Jumaat PERKIM dinobatkan sebagai naib johan dengan hadiah wang tunai RM500. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Kelas Pertengahan yang menerima RM300, diikuti Kelas Lanjutan di tempat keempat dan Kelas Asas di tempat kelima yang masing-masing menerima RM200.

Penyampaian hadiah tersebut bukan sahaja menyuntik semangat dalam kalangan peserta, malah menjadi simbol penghargaan terhadap usaha para saudara baharu yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menghidupkan syiar Islam serta memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1448H.

Sorakan dan tepukan gemuruh daripada para hadirin mengiringi setiap penyampaian hadiah, sekali gus mencerminkan semangat ukhuwah dan kebersamaan yang menjadi teras utama sambutan pada tahun ini.

Sambutan Maal Hijrah 1448H tersebut bukan sahaja berjaya menghimpunkan saudara baharu daripada pelbagai kaum dan negara, malah menjadi manifestasi nyata bahawa Islam merupakan agama yang menyatukan manusia atas dasar persaudaraan, kasih sayang dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Program itu turut mengangkat mesej bahawa hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah yang dikenang setiap tahun, tetapi merupakan perjalanan sepanjang hayat untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih beriman dan lebih bermanfaat kepada masyarakat serta agama.

 


Kontinjen Kelas Tahsin telah siap bersedia dalam perarakan Ma’al Hijrah 1448 PERKIM.

 


Kontinjen Jemaah Tadarus Surau Jumaat PERKIM yang berpakaian seragam menyertai Sambutan Ma’al Hijrah 1448H PERKIM.

 


Para juri bersiap sedia bersama borang penilaian untuk menilai lima pasukan perarakan Ma’al Hijrah.

 


Ustaz Farhan Tee memberi taklimat kepada pasukan perarakan.

 


Urus setia berpakaian tema hitam bertudung warna ‘nude’ bersiap sedia melaksanakan tugasan.

 


Kontinjen kelas pertengahan mempersiapkan dengan mengaturkan perbarisan pasukannya.

 


Pasukan kontinjen kelas tahsin merupakan kontinjen pertama memulakan perbarisan.

 


Diikuti kontinjen perbarisan kelas pertengahan.

 


Kontinjen pasukan kelas lanjutan berarak melalui Jalan Rahmat sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

 


Kontinjen Kelas Asas bersama-sama berarak sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sempena Ma’al Hijrah.

 


Kontinjen kelas pertengahan bersemangat berarak sambil mengalunkan selawat dan mengibarkan bendera Malaysia.

 


Kontinjen Jemaah Tadarus Surau Jumaat PERKIM yang berpakaian seragam berarak mengelilingi Bangunan PERKIM sambil mengalunkan selawat.

 


Pasukan kontinjen kelas asas tiba di perkarangan Bangunan PERKIM selepas berarak sepanjang Jalan Rahmat.

 


Barisan juri dan urus setia yang bertugas dalam perarakan Sambutan Ma’al Hijrah 1448H.

 


Seluruh pasukan yang mengambil bahagian dalam kontinjen Sambutan Ma’al Hijrah 1448H bersemangat berselawat mengagungkan Baginda Nabi SAW.

 


Rohaiza Mohd Tan selaku urus setia sedang mengagihkan bungkusan roti dan air kepada peserta kontinjen.

 


Nur Syahirah Musa mengacarakan majlis dan menjemput barisan panelis ke Forum Ma’al Hijrah.

 


Ustaz Farhan Tee menjayakan Forum Ma’al Hijrah bersama dua ahli panel iaitu Ustaz Sabri Abd Rani dan Ardini Angeline Tan.

 


Ustaz Farhan Tee selaku moderator mengajukan soalan berkenaan Ma’al Hijrah kepada barisan panelis.

 


Ustaz Sabri menjelaskan bahawa hijrah bukan sekadar perubahan luaran seperti pakaian atau identiti, sebaliknya merupakan proses perubahan dalaman.

 


Menurut Ustaz Sabri, hijrah yang sebenar ialah perubahan yang berterusan ke arah menjadi insan yang lebih baik daripada semalam.

 


Warga PERKIM bersama saudara baharu mendengar Forum Ma’al Hijrah yang disampaikan oleh barisan panelis.

 


Ardini Angeline Tan berkongsi pengalaman penghijrahannya memeluk Islam pada tahun 2023 yang disifatkannya sebagai titik perubahan paling bermakna dalam hidup.

 


Angeline Tan turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti Islam khususnya PERKIM yang sentiasa membantu dan membimbing para saudara baharu.

 


Pelakon Sitkom PiMai PiMai Tang Tu, Sabri Yunus bersama warga PERKIM terhibur dengan celoteh daripada barisan ahli panel.

 


Sambutan Maal Hijrah 1448H bukan sahaja berjaya menghimpunkan saudara baharu, malah menjadi manifestasi nyata bahawa Islam merupakan agama yang menyatukan manusia atas dasar persaudaraan.

 


Menurut Ustaz Jais Mariappan, semangat peserta yang ditunjukkan sepanjang perarakan amat membanggakan apabila terdapat dalam kalangan warga emas dan peserta berkerusi roda.

 


“Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi perubahan hati, pemikiran dan amalan ke arah yang lebih baik,” ucap Umie Zaitun.

 


Datuk Nakhaie dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam hijrah, akhlak yang mulia merupakan faktor utama yang mampu menarik hati manusia kepada Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

 


Datuk Nakhaie menegaskan bahawa dalam usaha dakwah, kebijaksanaan sangat penting kerana Islam perlu disampaikan dengan hikmah, kasih sayang dan akhlak yang baik.

 


Baitus Salam Lembaga Zakat Selangor turut membuka gerai menawarkan perkhidmatan mereka.

 


Datuk Nakhaie menyampaikan cenderamata kenangan kepada Angeline Tan.

 


Umie Zaitun menyampaikan hadiah RM200 bagi penerima tempat kelima kepada kontinjen kelas asas.

 


Wakil pasukan kontinjen kelas lanjutan menerima hadiah tempat keempat sebanyak RM200.

 


Dr. Ridhuan Tee menyampaikan hadiah RM300 kepada wakil pemenang kontinjen kelas pertengahan bagi tempat ketiga.

 


Pasukan Tadarus Surau Jumaat PERKIM dinobatkan naib johan dan menerima hadiah RM500 daripada Dr. Ridhuan Tee.

 


Datuk Nakhaie menyampaikan hadiah RM700 kepada kontinjen kelas tahsin selaku johan keseluruhan perarakan Sambutan Ma’al Hijrah 1448H PERKIM.

 


Warga PERKIM bersama tetamu kehormat dan barisan panelis serta saudara baharu bergambar bersama pada tahun baharu Islam 1448H.

 


Johan perarakan Sambutan Ma’al Hijrah 1448H PERKIM dari pasukan kelas tahsin bergambar kenangan bersama Datuk Nakhaie.

Related Articles

Back to top button