Tun Mahathir Sampaikan Amanat Khas Buat Warga PERKIM Seluruh Malaysia
oleh: SRZ
PUTRAJAYA, 20 FEBRUARI 2025 – “Saya ingin memperingatkan kita semua akan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sebagai satu organisasi yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengembangkan agama Islam khususnya di kalangan orang bukan Islam dan orang Islam amnya.
“Terima kasih kerana memberikan saya peluang bagi menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua PERKIM pada mesyuarat agung akan datang,” kata Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Amanat Khas Yang Dipertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad Bersama Warga PERKIM dan Badan Gabungan PERKIM bertempat di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana dekat sini, pada jam 12.00 tengah hari Khamis.
Majlis yang dihadiri seramai lebih 150 orang itu terdiri daripada Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri seluruh Malaysia.
Lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan menjadi pembuka tirai majlis tersebut dan disusuli dengan bacaan ayat suci al-Quran disampaikan oleh Johan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa 2014, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali.
Dr Mahathir menekankan peranan PERKIM sebagai sebuah organisasi dakwah Islam yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman untuk menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat, baik yang sudah beragama Islam mahupun yang belum.
Beliau berasa lega kerana telah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam organisasi tersebut sejak tahun 2016 dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya sepanjang kepimpinannya.
Dr Mahathir turut menekankan kepentingan memahami isi kandungan Al-Quran, bukan sekadar menghafalnya, tetapi juga memahami tafsirannya dalam bahasa yang difahami.
Menurut beliau, umat Islam sering berpecah kerana perbezaan tafsiran terhadap ajaran Islam, yang kadangkala membawa kepada konflik dan perpecahan dalam masyarakat.
Ujarnya lagi, Islam adalah panduan hidup yang lengkap, bukan hanya berkisar kepada ibadah, tetapi juga meliputi aspek kehidupan lain seperti ilmu pengetahuan dan teknologi.
Beliau mengkritik kelemahan umat Islam dalam bidang sains dan teknologi, yang menyebabkan mereka lemah dalam mempertahankan diri seperti yang dapat dilihat dalam konflik di Gaza.
Dr Mahathir turut menyentuh mengenai masa depan PERKIM dan menekankan bahawa organisasi ini bukanlah badan politik, tetapi badan dakwah yang perlu bergerak mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan.
Beliau berharap kepimpinan baharu akan meneruskan perjuangan PERKIM dengan cara yang lebih berkesan.
Dr Mahathir juga menyatakan kesediaannya untuk menjadi Penasihat Khas PERKIM sekiranya dipersetujui oleh persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64 nanti.
Tambah beliau lagi, pada usianya yang sudah lanjut, adalah wajar bagi beliau untuk memberi peluang kepada pemimpin yang lebih muda untuk mengambil alih kepimpinan PERKIM.
Katanya, peralihan kepimpinan akan berjalan dengan tertib tanpa perebutan kuasa.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya selama ini dan berharap PERKIM akan terus berkembang sebagai sebuah badan dakwah yang efektif seperti yang dihasratkan oleh pengasasnya, Almarhum Tunku,” kata Dr Mahathir mengakhiri amanatnya.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dalam ucapan aluannya menyatakan rasa terharunya dalam majlis khas itu kerana dapat mendengar pesanan daripada seorang pemimpin yang sangat dihormati iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menekankan bahawa Dr Mahathir dikenali di serata dunia, termasuk di benua Afrika, Eropah, Asia, dan dunia Arab yang menunjukkan kehebatan kepimpinannya.
Dr Yusof Noor menyoroti bahawa Dr. Mahathir telah lama memimpin PERKIM dan memberi impak besar kepada organisasi tersebut.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya dengan Dr Mahathir termasuk ketika menyaksikan pemimpin tersebut menerima Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Al-Azhar dan mendapat penghormatan daripada ulama terkemuka dunia.
Dr Yusof Noor menyatakan bahawa kepimpinan Dr Mahathir adalah sesuatu yang sukar digantikan, walaupun beliau sendiri merasakan sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada orang lain.
Namun, pengalaman dan bimbingan beliau masih diperlukan untuk memastikan hala tuju PERKIM terus maju.
Beliau berkata, selepas tempoh kepimpinan Dr Mahathir dalam PERKIM berakhir, beliau akan menumpukan perhatian kepada universiti, khususnya dalam peranannya sebagai Pro-Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Dr Yusof Noor berharap agar PERKIM terus berkembang dengan kepimpinan baharu yang dapat meneruskan perjuangan dan legasi yang telah dibina.
Di akhir majlis, Dr Mahathir diriingi kepimpinan tertinggi PERKIM memotong kek Ulang Tahun Hari PERKIM Ke-65.
Turut hadir ialah kepimpinan tertinggi PERKIM iaitu Timbalan Yang Dipertua, YABhg Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim; Naib Yang Dipertua, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun serta Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dato’ Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Datuk Haji Ali Ab Majid, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh, YBhg Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid, YBhg Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, YBhg Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah, YBhg Dato’ Sri Hasan Arifin, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan, YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Harun dan YBhg Dato’ Haji Mohd Nawawi Ismail.
Ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad ke Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya.
Hadirin berdiri tegak bagi menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Antara 150 Warga PERKIM dari seluruh negara hadir bagi mendengar amanat khas yang disampaikan.
Abdul Qawi Navine Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis dalam empat versi bahasa iaitu Arab, Melayu, Mandarin dan Tamil.
Kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.
Kepimpinan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.
Warga PERKIM dari seluruh Malaysia mengaminkan doa yang dibacakan.
Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.
Ustaz Tirmizi selaku Johan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa 2014 memperdengarkan alunan bacaan ayat suci Al-Quran kepada hadirin.
Hadirin mendengar kelunakan dan kemerduan bacaan Surah Ah-Nahl, ayat 125 dibacakan oleh Ustaz Tirmizi Haji Ali.
Dr Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan ucapan aluan pada majlis amanat tersebut.
Dr Yusof Noor menyatakan bahawa kepimpinan Dr Mahathir adalah sesuatu yang sukar digantikan.
Hadirin mendengar ucapan disampaikan oleh Dr Yusof Noor.
Tun Yang Dipertua PERKIM menyampaikan amanat khas kepada warganya.
Dr Mahathir mengingatkan hadirin bahawa PERKIM merupakan satu organisasi yang ditubuhkan Almarhum Tunku untuk mengembangkan agama Islam.
Dr Mahathir berasa lega kerana telah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam PERKIM sejak tahun 2016, kini tiba masanya untuk bersara.
Dr Mahathir turut menekankan bahawa organisasi ini bukanlah badan politik, tetapi badan dakwah yang perlu bergerak mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan.
Warga PERKIM mendengar amanat yang disampaikan oleh Tun Yang Dipertua.
Dr Mahathir juga menyatakan kesediaannya untuk menjadi Penasihat Khas PERKIM sekiranya dipersetujui oleh persidangan mesyuarat agung akan datang.
Dr Mahathir berkesempatan memotong kek Ulang Tahun Hari PERKIM Ke-65 diiringi Kepimpinan Tertinggi PERKIM.
Warga PERKIM Kedah dan Perak berkesempatan bergambar bersama Tun Yang Dipertua.
Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Sarawak merakamkan kenangan manis bergambar bersama Tun Yang Dipertua.
Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang berpeluang mengambil gambar bersama Dr Mahathir.
Ahli Majlis Kebangsaan berkesempatan menikmati jamuan merarau bersama Tun Yang Dipertua di akhir majlis.
Warga PERKIM menikmati juadah makanan secara bufet.
Warga PERKIM menikmati jamuan merarau yang disediakan.