Aktiviti Dakwah

Naib Yang Dipertua PERKIM Syahadahkan Wanita Nigeria

𝐨π₯𝐞𝐑: 𝐒𝐑𝐙

πŠπ”π€π‹π€ π‹π”πŒππ”π‘, πŸπŸ– π…π„ππ‘π”π€π‘πˆ πŸπŸŽπŸπŸ“ – Bercucuran air mata seorang wanita warganegara Nigeria setelah hasrat yang telah lama terpendam untuk memeluk Islam akhirnya tercapai selepas melafazkan dua kalimah syahadah bertempat di Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada petang Jumaat yang penuh barakah.

Adeloli (bukan nama sebenar) melafazkan kalimah tayyibah di hadapan Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah dan disaksikan oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin serta Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.

Majlis pengislaman tersebut turut diraikan seramai lebih 200 orang terdiri daripada warga PERKIM dan saudara baharu.

Sebelum pengislaman, Ustaz Fitri telah menyampaikan khutbah pengislaman dan penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman, halal serta haram di dalam Bahasa Inggeris kepada Adeloli.

Seusai majlis pengislaman, Dato’ Razali berkesempatan menyampaikan kit pengislaman yang mengandungi buku Asas Fardu Ain, Iqra, sejadah, telekung serta Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu kepada Adeloli.

Suasana gembira dan sayu ketika Adeloli dipeluk dengan penuh kasih sayang sambil diberi ucapan tahniah oleh muslimat.

Adeloli berusia 30-an ditemani oleh rakannya Malik memberitahu PERKIM bahawa, beliau telah lama berminat untuk memeluk Islam serta ingin memahami dan mendalami Islam sekali gus mencintai cara hidup Islam hingga ke akhir hayat.

Majlis berakhir dengan bacaan doa kesyukuran dan penutup dipimpin oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.


Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah (kanan) memberikan penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman di dalam Bahasa Inggeris kepada Adeloli.
Wanita Nigeria, Adeloli (berjubah ungu) diberi penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman dalam Bahasa Inggeris oleh Ustaz Fitri.


Saudara baharu yang hadir turut menjadi saksi pengislaman.


Adeloli mengikrarkan dua kalimah syahadah perkataan demi perkataan dipimpin oleh Ustaz Fitri.


Seusai lafaz syahadah, Dato’ Razali menyampaikan Al-Quran Edisi Khas Saudara Muslim kepada Adeloli.


Jais Mariappan (berdiri) memimpin bacaan doa selepas pengislaman.


Kepimpinan PERKIM berkesempatan bersama warganya merakamkan gambar bersama Adeloli dan rakannya, Malik juga seorang warga negara Nigeria.

Related Articles

Back to top button