Tun Mahathir Saksikan Persembahan Silat, Sajak, Qasidah, Pentomin Kemerdekaan IDIPKB
𝙤𝙡𝙚𝙝: 𝙎𝙍𝙕
𝗣𝗨𝗧𝗥𝗔𝗝𝗔𝗬𝗔, 𝟯𝟬 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 – Memupuk semangat patriotisme kepada negara Malaysia merupakan satu semangat yang sangat penting untuk membina perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum terutamanya kepada pelajar Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kota Bharu (IDIPKB) yang terdiri daripada pelbagai etnik serta bangsa.
Bertepatan dengan itu, IDIPKB telah mengadakan Program Khas Perkaderan Dakwah dan Persembahan Pelajar IDIPKB Sempena Menyambut Bulan Kemerdekaan bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, dekat sini pada pagi Isnin.
Seramai 130 orang hadir terdiri daripada pelajar IDIPKB, pensyarah IDIPKB serta pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan.
Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Dr Ramle Abdullah diiringi Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyambut ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sejurus nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dinyanyikan, majlis diacarakan sepenuhnya oleh Penolong Pegawai Dakwah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL), Abdul Qawi Navine Abdullah.
Abdul Qawi yang juga merupakan bekas pelajar IDIPKB turut memimpin doa dalam lima versi bahasa iaitu Bahasa Arab, Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Pertunjukan aksi Silat Seni Gayong Malaysia merupakan acara pembuka tirai dipersembahkan oleh pelajar IDIPKB kepada kepimpinan tertinggi PERKIM.
Tun Mahathir dalam ucapan amanatnya berkata, beliau bersyukur kerana dapat dipertemukan dengan penuntut IDIPKB terdiri daripada mereka yang sudah menerima agama Islam di mana dahulunya agama asal mereka bukan Islam dan kini mengamalkan cara hidup Islam.
Katanya, negara kita ini mempunyai penduduk 60 peratus penganut agama Islam manakala 40 peratus terdiri daripada bukan Islam dan tugas kita di PERKIM ialah berdakwah dan mengembangkan ajaran agama Islam.
“Ajaran Islam ini adalah cukup baik dan sesiapa yang mengikuti ajaran agama Islam akan menjadi manusia yang berjaya.
“Ajaran Islam terdapat dalam al-Quran dan ianya merupakan wahyu daripada Allah SWT untuk disampaikan kepada manusia sejagat.
“Saya sarankan bukan hanya membaca Al-Quran dengan berlagu atau menghafaz sahaja, tetapi kita perlu memahami isi kandungan Al-Quran yang memandukan kita cara hidup Islam.
“Oleh itu, kita hendaklah belajar agama Islam dalam bahasa yang kita fahami,” tambahnya.
Menurut Tun Mahathir, jika kita sekadar menghafaz sahaja tetapi tidak memahami isi kandungan tersebut maka kita tidak akan mendapat panduan.
Mengulas lanjut, sebenarnya banyak nikmat rezeki kita di Malaysia kerana negara kita merupakan negara yang bertuah di mana pada ketika perubahan iklim ini tidak banyak berlaku bencana di negara kita.
Sebaliknya kita tahu negara-negara lain menghadapi banyak malapetaka seperti ribut taufan, gempa bumi, banjir besar, hutan terbakar, gunung berapi dan lain-lain.
Semua ini adalah malapetaka yang menimpa di negara luar, tetapi kita di Malaysia terselamat daripada perubahan iklim tersebut dan kita pula tidak bersyukur dengan nikmat yang ada di bumi Malaysia.
“Kita dapati rakyat di negara kita lebih sihat berbanding di banyak negara lain di mana kita mempunyai tenaga dan akal fikiran untuk memperbaiki kehidupan kita supaya tidak menjadi miskin atau kaum yang meminta-minta.
“Kita tidak menggunakan peluang yang ada pada kita di mana kita dikurniakan nikmat tanah yang subur kerana ada negara yang tanahnya kering hingga merekah bahkan tidak boleh bercucuk tanam.
Katanya lagi, kita dapati anak kita tidak didik seperti zaman dahulu kerana anak-anak zaman sekarang tidak dididik oleh ibu bapa untuk mengenal apa yang baik dan tidak baik serta halal dan haram.
Namun di zaman Rasulullah SAW, persediaan terhad kepada mempunyai kuda perang, senjata-senjata seperti memanah, tombak dan sebagainya.
Di zaman ini, jika kita tidak mempunyai senjata yang moden, maka kita tidak dapat mempertahankan umat Islam dan apabila kita tidak dapat mempertahankan umat Islam, kita telah melakukan sesuatu yang salah daripada ajaran agama Islam.
Perkara yang penting bukanlah memilih kuda atau memilih menggunakan pemanah, tetapi adalah menyelamatkan umat Islam.
Oleh itu, kita memerlukan senjata yang moden dan canggih yang boleh mempertahankan umat Islam, namun kita tidak mempunyai kebolehan untuk menghasilkan senjata ini sehingga terpaksa membeli senjata daripada orang bukan Islam kerana kita tiada pengetahuan dan kebolehan untuk membuat senjata.
Hal ini disebabkan oleh kita menghadkan ilmu pelajaran kepada hanya yang berkaitan dengan agama Islam sahaja tetapi tidak mengambil berat tentang masalah yang disebut dalam Al-Quran iaitu kita perlu mempertahankan dan menyelamatkan umat Islam.
Oleh itu, kita perlu ada kekuatan dan kebolehan untuk menghasilkan senjata canggih kita sendiri dan tidak bergantung kepada pihak lain.
Maka pelajaran seperti ilmu Sains, Algebra, Matematik, Fizik, Kimia dan sebagainya perlu diterapkan di kalangan umat Islam, tetapi apabila kita menyampaikan ilmu kepada anak-anak atau penuntut di sekolah, kita ketepikan ilmu sains dan tidak menekankan kepentingan ilmu tersebut sehingga kita tidak mampu mencipta senjata kita sendiri sehingga terpaksa membeli senjata daripada orang yang sebenarnya tidak bersimpati dan bermusuh dengan kita.
Mereka membekalkan kita senjata-senjata tersebut supaya kita berperang sesama kita dan membunuh sesama Islam, sedangkan kita tahu bahawa sesiapa yang membunuh orang Islam, maka tempatnya adalah di neraka buat selama-lamanya.
Hal ini telah disebut dalam Al-Quran tetapi tidak diajar kepada anak-anak atau pun penuntut-penuntut kita di sekolah. Kita mengadakan kelas-kelas tetapi tumpuannya ialah untuk melakukan fardu ain untuk bekalan akhirat kelak.
Sebelum itu, Naib Yang Dipertua PERKIM Pengarah IDIP Kota Bharu, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah telah menyampaikan ucapan aluan.
Menurut Dr Ramle, kami merasa amat bertuah dan terharu kerana ia merupakan buat julung kali rombongan IDIPKB ke sini.
Katanya, IDIPKB telah ditubuhkan pada 63 tahun lalu menempuhi berbagai-bagai ranjau, onak dan duri di sepanjang perjalanannya.
Antara yang diberi perhatian oleh IDIPKB ialah salah satu daripada objektif PERKIM iaitu melaksanakan pendidikan dan kebajikan kepada mualaf.
Bagi kami di IDIPKB, institusi pendidikan adalah penting kerana ia menjadi suatu sumber untuk kita melatih para pendakwah di kalangan mualaf yang akan memberi khidmat atau pun berdakwah di sepanjang zaman.
“Saya percaya apa yang dilakukan oleh PERKIM di bawah naungan Tun Yang Dipertua, di mana latihan dakwah dan ilmu yang dipelajari oleh para pelajar IDIPKB ini akan memberi satu ganjaran pahala yang mengalir sepanjang sepanjang zaman.
“Ini adalah salah satu sumbangan yang besar dalam arena dakwah dan kami akan menggalas segala usaha untuk mencapai objektif PERKIM,” kata beliau.
“Setakat ini, kami cuba lakukan yang terbaik di samping memberi perhatian yang penuh ataupun teliti berhubung dengan pelaksanaan pendidikan agama di kalangan pelajar IDIPKB.
“Kami merangka dan memupuk kreativiti pelajar dengan menubuh kelab-kelab yang boleh disertai oleh semua pelajar dan di antaranya ialah aktiviti-aktiviti ko-kurikulum ataupun melalui kelab yang melaksanakan pelbagai aktiviti.
“Kami telah mengisi bulan kemerdekaan daripada awal Ogos lalu dengan memupuk semangat patriotisme dan memberikan suntikan semangat cintakan negara kepada pelajar IDIPKB.
“Saya selaku Pengarah IDIPKB dapat perhatikan perkembangan yang cukup baik dan bersyukur kerana dapat membawa 120 pelajar bersama pensyarah ke sini untuk mempersembahkan beberapa acara sambutan kemerdekaan kepada Tun Yang Dipertua,” ujarnya.
Di samping kemajuan kurikulum, kami juga memberi rangsangan dengan lebih teliti, lebih teratur kepada para pelajar untuk mengenengahkan bakat mereka yang telah lama terpendam.
Dr Ramle turut merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar IDIPKB telah menjuarai pertandingan Program Mahrajan Amal Islami Muallaf Peringkat Negeri Kelantan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang diadakan pada minggu lalu.
Tambahnya, IDIPKB terus memberi kepercayaan di bawah kepimpinan Tun Yang Dipertua untuk memberi suntikan semangat yang lebih untuk terus bergerak dalam memajukan pendidikan seterusnya aktiviti dakwah dan kebajikan.
Pelajar Sijil Pengajian Islam Semester 3, Nur Humairah Jani Abdullah pula dalam ucapannya berkata, kami sangat berbesar hati dengan jalinan ukhuwah di antara pelajar dan staf IDIPKB bersama kepimpinan tertinggi PERKIM.
Beliau yang juga wakil pelajar IDIP merasa bangga kerana dapat mempersembahkan sebahagian aktiviti sambutan kemerdekaan yang dilaksanakan di IDIPKB.
Nur Humairah berharap silaturahim yang terjalin akan berpanjangan di bawah kepimpinan Tun Yang Dipertua dalam memartabatkan delegasi dakwah serta memantapkan syiar Islam.
Beliau mewakili pelajar IDIPKB turut merakamkan jutaan terima kasih di atas keperihatinan PERKIM dalam membina asrama Muslimin, surau dan dewan serbaguna baru demi keselesaan pelajar dalam mendalami ilmu agama Islam.
Turut diadakan persembahan deklamasi sajak disampaikan oleh tiga orang pelajar IDIPKB iaitu Irwan Baharuddin dengan tajuk ‘Pahlawan Kemerdekaan’ manakala Nur Fazira Deva Muhammad Masidin menyampaikan sajak bertajuk ‘Senja Hari Merdeka’ dan Nur Muhammad Firdaus Seli membawa tajuk ‘Sumpah Anak Merdeka’.
Selain itu, pelajar IDIPKB menyampaikan persembahan qasidah, nasyid dan pentomin bertajuk ‘Perjuangan Mat Kilau di Tanah Melayu’.
Laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali menutup tirai program sambil Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangganya.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati IDIPKB dan buah tangan kepada Tun Mahathir disampaikan oleh Dr Ramle diiringi Dr Yusof Noor.
Majlis berakhir dengan sesi fotografi di antara pelajar IDIPKB bersama Tun Yang Dipertua serta jamuan makan tengah hari.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah IDIPKL, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin serta Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga bekas penuntut IDIPKB, YBhg Dr Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Ai Pao.
Pelajar IDIPKB mempersembahkan aksi Silat Seni Gayong Malaysia ketika menyambut ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tetamu kehormat menyambut ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pelajar mengibar bendera Malaysia diiringi lagu Jalur Gemilang menyambut ketibaan Dr Mahathir di dewan auditorium.
Kepimpinan Tertinggi PERKIM bersama Tun Mahathir berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Pertunjukan aksi Silat Seni Gayong Malaysia daripada pelajar IDIPKB membuka tirai persembahan.
Pelajar IDIPKB menunjukkan aksi ketika membuat persembahan Silat Gayong Malaysia.
Abdul Qawi selaku bekas pelajar IDIPKB mengacarakan majlis sekali gus memimpin bacaan doa.
Hadirin menadah tangan ketika doa dibacakan.
Pelajar Sijil Pengajian Islam Semester 3, Nur Humairah Jani Abdullah mewakili seluruh pelajar IDIPKB menyampaikan ucapan.
Prof Dr Ramle Abdullah selaku Pengarah IDIPKB menyampaikan ucapan pada program tersebut.
Dr Ramle dalam ucapannya berasa gembira dan terharu kerana dapat mempersembahkan acara sambutan kemerdekaan pelajar IDIPKB kepada Tun Yang Dipertua.
Tun Mahathir bersyukur kerana dapat dipertemukan dengan penuntut IDIPKB yang sudah menerima Islam, mendalami Islam dan kini mengamalkan cara hidup Islam.
Tun Mahathir menyarankan pelajar supaya bukan hanya membaca Al-Quran dengan berlagu atau menghafaz sahaja, tetapi perlu memahami isi kandungan Al-Quran yang memandukan kita cara hidup Islam.
Irwan Baharuddin menyampaikan sajak bertajuk ‘Pahlawan Kemerdekaan’.
Nur Fazira Deva Muhammad Masidin menyampaikan sajak bertajuk ‘Senja Hari Merdeka’.
Nur Muhammad Firdaus Seli menyampaikan sajak bertajuk ‘Sumpah Anak Merdeka’.
Kumpulan Qasidah IDIPKB menyampaikan beberapa buah lagu qasidah serta selawat.
Persembahan pentomin ‘Perjuangan Mat Kilau Di Tanah Melayu’ oleh pelajar IDIPKB.
Persembahan Perjuangan Mat Kilau yang menjadi tarikan hadirin.
Laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh pelajar IDIPKB menggemakan auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana.
Tun Mahathir bersama kepimpinan PERKIM berdiri sambil mengibarkan Jalur Gemilang ketika laungan Merdeka diucap.
Dr Ramle diiringi Dr Yusof Noor menyampaikan buah tangan kepada Tun Yang Dipertua PERKIM.
Kepimpinan Tertinggi PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama pelajar IDIPKB di akhir majlis.