Aktiviti Dakwah

Lawatan Pelajar IDIPKB Ke PERKIM Kebangsaan

Oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2024 – Seramai 120 terdiri daripada Pelajar dan Staf Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) (IDIP) Kota Bharu (IDIPKB) telah mengadakan lawatan ke PERKIM Kebangsaan bertempat di Dewan Seminar, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Isnin.

Kehadiran pelajar dan staf IDIPKB disambut mesra oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya memaklumkan bahawa lawatan itu merupakan salah satu program di dalam Kursus Perkaderan Dakwah Di Luar Kampus yang akan diadakan secara tahunan.

Kata beliau, jika kita belajar di Kota Bharu, Kelantan, sesekali kita perlu melawat ke ibu negara Malaysia untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat kemajuan yang pesat membangun seperti bangunan pencakar langit Menara Berkembar Petronas KLCC dan lain-lain.

Beliau mengulas lanjut, para pelajar IDIP merupakan insan teristimewa kerana telah mendapat jemputan untuk menyampaikan persembahan bersempena bulan kemerdekaan di Pejabat Bekas Perdana Menteri, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Yang Dipertua PERKIM di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada semalam.

Secara tidak langsung para pelajar dapat melihat sendiri keunikan Pusat Pentadbiran Negara yang dicetuskan oleh Tun Yang Dipertua PERKIM.

Menurut Dr Yusof Noor, dahulu Putrajaya dikenali dengan nama Perang Besar yang juga merupakan kawasan Perkampungan Orang Asli yang dipenuhi dengan hutan dan penanaman kelapa sawit.

Pusat Pentadbiran Kerajaan yang tidak setempat di Kuala Lumpur dipindahkan ke Putrajaya yang menjadi tempat tumpuan dan kunjungan pembesar-pembesar dunia melihat pelbagai senibina Islam berpusat di Putrajaya.

Jelas beliau, jika bangunan pertama dibina oleh Nabi Muhammad SAW ketika Baginda bersama para sahabat berhijrah ke Madinah ialah Masjid Quba’, begitu juga di Putrajaya, bangunan yang pertama dibina oleh Tun Yang Dipertua PERKIM ialah Masjid Putra iaitu salah satu destinasi kunjungan oleh para pelajar IDIPKB semalam.

“Jika tidak kerana cetusan fikiran beliau, maka berkemungkinan hari ini, Putrajaya masih kekal menjadi hutan tempat tinggalnya binatang buas,” ujarnya.

Tambahnya, misi dan cita-cita kita ialah untuk menjadi Muslim yang produktif dan boleh memberi manfaat yang terbaik kepada masyarakat.

Penubuhan PERKIM juga cetusan idea daripada pemimpin yang mempunyai ciri-ciri keislaman iaitu bekas Perdana Menteri pertama iaitu Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kata Dr Yusof Noor, jika tiada orang yang mencetuskan PERKIM, berkemungkinan juga tiada IDIPKB pada hari ini.

Beliau menggesa pelajar supaya bukan hanya membaca, mempelajari, menghafaz tetapi memahami isi kandungan Al-Quran seperti mana disebut berkali-kali dalam ucapan Tun Yang Dipertua PERKIM.

Katanya, banyak rahsia yang terkandung di dalam al-Quran sehingga ahli saintis hairan bagaimana Nabi Muhammad SAW mengetahui perihal penciptaan manusia dan alam semesta sedangkan Baginda tidak pernah belajar di universiti.

Dr Yusof Noor mengucapkan rasa syukur pada Allah kerana kita menjadi penganut agama yang masih membaca kalimah tayyibah yang sama.

Beliau turut bersyukur kerana IDIP Kota Bharu kini sudah berusia 63 tahun manakala IDIP Kuala Lumpur pula telah dihidupkan kembali kerana idea penubuhan IDIP itu berasal di Kuala Lumpur dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Bharu.

“Kepada pelajar yang telah menamatkan pengajian di IDIPKB, PERKIM akan aturkan untuk menghadiri kursus perkaderan di IDIPKL dalam tempoh yang tertentu.

“Terima kasih kepada semua dan ambillah ini sebagai satu pelajaran di luar kampus dan doakanlah supaya Kursus Perkaderan Di Luar Kampus menjadi satu program tahunan.

“Kita akan usahakan supaya pendedahan IDIPKL lebih luas kerana kita mahukan golongan mualaf yang profesional sama ada dalam bidang kedoktoran atau pun kejuruteraan berhimpun di sini bagi melahirkan mereka sebagai pendakwah profesional,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.

Sebelum itu, Pengarah IDIPKB, YBhg Dr Ramle Abdullah dalam ucapannya berasa amat bertuah kerana dijemput dan juga didiraikan dalam sesi perkaderan dakwah walaupun berbentuk pelaksanaannya program perkaderan itu dalam bentuk mudah alih.


Katanya, Kursus Perkaderan Dakwah IDIPKB ini bermula di IDIPKL dan disambut mesra oleh Pengarah IDIPKL, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik.

Jelas Dr Ramle, pada sesi itu, Haji Mamat telah membentangkan cadangan konsep Program Latihan Kader Dai Muda bagi pelajar yang telah menamatkan kursus di IDIPKB.

Pada keesokkannya, pelajar diberi peluang untuk menyampaikan persembahan istimewa di hadapan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

“Amanat yang disampaikan oleh Tun Yang Dipertua cukup penting buat diri, staf dan pelajar IDIPKB kerana perkara yang ditekankan oleh beliau sangat mustahak bukan sekadar membaca tetapi amat penting untuk mentadabbur al-Quran yang memberikan nilai tambah,” kata Dr Ramle.

Kata beliau, Masjid Putra menjadi kunjungan seterusnya di mana para pelajar mendapat pendedahan mengenai fungsi dan peranan masjid yang bukan hanya tempat beribadah tetapi ia menjadi pusat dakwah yang dikunjungi oleh pengunjung tempatan dan luar negara.

Pihak masjid turut memaklumkan terdapat daripada kalangan pelancong yang datang kali kedua untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Ujar Dr Ramle, destinasi selanjutnya membawa pelajar IDIPKB ke Kompleks PERKIM Bahagian Negeri Selangor di Seksyen 8, Shah Alam di mana rombongan disambut oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.

Dalam kunjungan tersebut, pelajar IDIPKB turut disajikan dengan perkongsian disampaikan oleh Ustaz Fitri dan Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh yang dianugerahkan sebagai Tokoh Kaunselor Negara.

Katanya, Kursus Perkaderan Dakwah pada kali ini memberikan kenangan manis dan pengalaman kepada para pelajar untuk menimba ilmu daripada kepimpinan PERKIM dan penceramah.

Dr Ramle sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kepimpinan PERKIM Kebangsaan khususnya Tan Sri Setiausaha Agung yang telah membenihkan idea untuk dilaksanakan dan manfaatnya diterima oleh warga IDIPKB.

Turut diadakan persembahan nasyid oleh pelajar IDIPKB dan Bicara Santai Bekas Pelajar IDIPKB.

Bicara Santai Bekas Pelajar IDIPKB dipengerusikan oleh Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.

Manakala ahli panelnya ialah Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah dan Penolong Pegawai Dakwah IDIPKL, Ustaz Abdul Qawi Navine Abdullah.

Hidayah itu sememangnya hak milik Allah yang mutlak dan ia tidak cepat dan tidak lambat sebagaimana yang dikongsikan oleh Abdul Qawi di mana beliau berdoa kepada Allah SWT meskipun pada ketika itu beliau masih lagi belum Islam untuk memberinya masa tiga hari untuk memeluk islam.

Allah Maha Mendengar dan mencampakkan hidayah-Nya pada hari ketiga sebaik sahaja Abdul Qawi tersedar dari tidur pada 27 Ramadhan 15 tahun dengan bantuan gurunya melalui telefon bimbit lantas mengucapkan kalimah syahadah

Sememangnya pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapi oleh Abdul Qawi sebelum dilembutkan hatinya oleh Allah dalam membuat satu keputusan yang sangat besar dalam hidupnya dan ia juga adalah satu kenangan manis baginya yang masih segar hingga ke hari ini sekali gus melanjut pengajiannya di IDIPKB dan seterusnya ke Universiti Islam Melaka.

Pengalaman Jais Mariappan amatlah mencabar berbanding dengan panel pertama di mana sebelum beliau memeluk Islam pernah sehingga dibuang keluarga dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang merosakkan pemikiran dan tidak bermoral khususnya dalam kehidupan anak muda, proses itu menyebabkan membuatkan beliau untuk menjadi insan yang lebih kuat.

Allah menguji seseorang insan itu adalah untuk meningkatkan darjat insan itu dan untuk menilai kesungguhannya dalam mentauhidkan Allah SWT.

Selepas memeluk Islam, Jais Mariappan mendapat pengajian di pondok Kelantan kemudian melanjutkan pendidijan ke IDIPKB seterusnya di Universiti Sains dan Teknologi Yemen.

Namun, ia tidak berakhir di situ kerana cintanya beliau kepada ilmu, beliau telah menamatkan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya dan kini beliau sedang meneruskan cita-citanya untuk menggapai Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Di akhir majlis, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati PERKIM dan wang saguhati kepada setiap pelajar IDIPKB.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.


Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah mengacarakan majlis lawatan IDIPKB ke PERKIM Kebangsaan.


Tetamu kehormat PERKIM hadir bagi meraikan pelajar-pelajar IDIPKB.


Kumpulan Nasyid IDIPKB menyampaikan lagu nasyid.


Pelajar IDIPKB pelbagai etnik dan bangsa hadir ke PERKIM Kebangsaan.


Bicara Santai Bekas Pelajar IDIPKB yang dijayakan oleh Dr Suariza (tengah), Ustaz Jais Mariappan (kanan) dan Ustaz Qawi Navine (kiri).


Ustaz Qawi berkongsi sejarah memeluk Islam dan pengajian di IDIPKB kepada pelajar.


Pelajar Muslimat IDIPKB mendengar dan menghayati bicara yang disampaikan.


Ustaz Jais berkongsi kisah pahit manis beliau sebelum bergelar Muslim dan kejayaannya hingga belajar di Negara Yemen disusuli UM dan kini UPNM.


Lawatan tersebut turut diacarakan oleh Pegawai UDPI, Nur Syahirah Musa.


Pelajar latihan industri, Mohd Aizat Omar memimpin bacaan doa.


Kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr Ramle selaku Pengarah IDIPKB menyampaikan ucapan aluan.


Menurut Dr Ramle, lawatan kali ini memberikan kenangan manis dan pengalaman kepada para pelajar untuk menimba ilmu daripada kepimpinan PERKIM dan penceramah.


Arfan Jonathan Jaulis berbangsa Dusun mewakili seluruh pelajar IDIPKB menyampaikan ucapannya.


Dr Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan amanat dan nasihat buat pelajar IDIPKB.


Dr Yusof Noor turut memaklumkan berita gembira bahawa Kursus Perkaderan Di Luar Kampus akan menjadi satu program tahunan buat pelajar IDIPKB.


Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati dan wang saguhati kepada pelajar IDIPKB.


Pelajar Muslimat IDIPKB menerima wang saguhati dan cenderahati daripada Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.


Kepimpinan PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama 120 pelajar IDIPKB.


Pelajar IDIPKB menikmati jamuan makanan tengahari yang disediakan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button