Aktiviti DakwahKerjasama

TOT PERKIM Ke Arah Mendaulatkan Islam

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” (al-Maidah: 44)
Bagi memberi pendedahan berhubung bahayanya ancaman-ancaman terhadap kedaulatan Islam di Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Training of Trainers (TOT) Latihan Ke Arah Mendaulatkan Islam bertempat di Ibu pejabat Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2013 lalu.
Program yang mendapat kerjasama Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu dihadiri seramai 62 orang peserta yang terdiri daripada Saudara Muslim, kakitangan Perkim, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam, pendakwah, penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta pegawai-pegawai dari jabatan agama Islam.
farhanteepPegawai Dakwah dan Inovasi Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, bengkel tersebut diadakan adalah bertujuan mengenali bentuk dan ancaman serta gerak kerja musuh yang menentang Islam.
Ianya juga sebagai langkah mempersiapkan diri dengan panduan ilmu dan teknik menghadapi ancaman tersebut.
Bengkel itu juga diadakan sebagai tanda umat Islam mengambil berat, tegas dan tidak berkompromi berhubung isu itu.
Peserta yang terlibat secara tidak langsung menjadi agen kepada masyarakat luar agar mereka juga lebih mengetahui gerakan halus musuh-musuh Islam.
Sesi pertama yang bertajuk ‘Memartabatkan Islam Dalam Perlembagaan’ disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Abdul Rahim Sinwan.
Abdul Rahim memberikan penerangan kepada peserta berkenaan Perlembagaan Persekutuan dan agama Islam di sisi perlembagaan iaitu masalah isi kandungan Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan 1 yang diterjemahkan sebagai syarat awal di dalam pelbagai enakmen-enakmen negeri yang mengawal bidang kuasa mahkamah-mahkamah syariah pelbagai negeri diperbincangkan untuk membuka mata peserta mengenai keterbatasan kuasa mahkamah syariah yang dirasakan perlu dinilai semula khasnya dalam masalah berkaitan hak di antara orang Islam dan bukan Islam.
Beliau juga menegaskan agar pihak berkuasa khususnya majlis dan jabatan agama membawa kedudukan Islam seperti yang tercatat di bawah Perkara 3 (1) di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu memartabatkan kedudukan istimewa agama Islam.
Perkara 3 (1) bukanlah hanya sekadar pengisytiharan tetapi ia mempertanggungjawabkan ke atas persekutuuan untuk menjaga, mempertahankan, mempromosikan Islam dan member kesan kepada negeri untuk tindakan yang sewajarnya untuk injuksi Islam dan membolehkan serta menggalakkan rakyat untuk memegang cara hidup Islam dari sudut rohani dan kehidupan seharian.
Persekutuan bukan perlembagaan Islamik atau sekular, kerana ia merupakan Perlembagaan Hybrid yang membenarkan dan tiada halangan orang Islam mengamalkan apa yang dituntut oleh prinsip syarak yang jelas dan yang telah disahkan oleh cendekiawan Islam.
Ini bermakna seseorang yang beragama Islam mempunyai hak yang tidak boleh dipersoalkan untuk mendesak dan menuntut penguasa-penguasa kerajaan untuk membenarkan dirinya ditadbir oleh hukum syarak yang mana terdapat prinsip Islam yang jelas.
Abdul Rahim turut memberi penerangan mengenai kes Lina Joy dan Che Omar Che Soh.
‘Tanggapan Salah Terhadap Perlembagaan Persekutuan’ merupakan tajuk bagi sesi kedua yang disampaikan oleh Biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamat Naser Disa.
Beliau menerangkan mengenai kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan dan perlu dipertahankan. Terdapat beberapa isi penting yang diutarakan seperti menghayati keluhuran perlembagaan, memelihara kesucian Islam, mendaulatkan Islam secara menyeluruh, membetulkan salah anggapan terhadap agama Islam, mengenali unsur-unsur pemikiran liberalisme dan menghayati titah sumpah Yang DiPertuan Agong.
“Berpaksikan kepada prinsip rukun negara iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, umat Islam perlu melakukan hijrah minda atau transformasi pemikiran supaya kedaulatan Islam sebagai agama negara dilaksanakan selaras dengan ajaran dan pegangan Islam sebagai mana yang terkandung di dalam al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW,” ulas Mahamat Naser.
Yang Dipertuan Agong bersumpah atas nama Wallahi Wabillahi Watallahi di mana sumpah tersebut dilafazkan oleh baginda sebagai ikrar komitmen negara kepada Allah SWT.
Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan hanya setakat prinsip kepercayaan dan amal ibadah khususiyyah semata-mata, malah Islam menjadi tanggungjawab kenegaraan itu adalah Islam yang syumul dan sempurna.
Mahamat Naser mengajak peserta memperbetulkan salah tanggapan mereka terhadap kedaulatan Islam iaitu Islam bukan sekadar agama rasmi; Islam adalah agama negara, Malaysia bukan negara sekular; tiada ungkapan sekular atau demokrasi mahu pun hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan, kedudukan Islam lebih rendah dari perlembagaan adalah kepalsuan; malah perlembagaan memartabatkan Islam dan hak kesamarataan agama adalah prinsip asing yang tiada pengiktirafan perlembagaan.
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (al-Hijr: 9)
Beliau turut mengajak peserta mengenali unsur-unsur pemikiran libralisme antaranya ialah merelakan nama suci Allah disalahguna pakai kepada sembahan bukan Islam, menganggap semua agama adalah benar (pluralism agama), menganggap perbuatan murtad sebagai suatu hak asasi manusia, menuntut kebebasan orientasi seks lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai suatu hak, menuntut hak supaya orang bukan Islam diberi peluang mendakyah agama mereka kepada orang Islam yang bercanggah dengan perkara 11 fasal 4 perlembagaan dan lain-lain lagi.
Dr. Yusri Mohamad selaku Presiden Institut Kajian dan Strategik Islam Malaysia (ISSI) merangkap Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyampaikan tajuk ‘Ancaman Terhadap Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)’ pada sesi ketiga.
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Hujurat: 9)
Ancaman dan cabaran terhadap ASWJ di Malaysia dari luaran ialah liberalism, pluralism, sekularisme dan atheist manakala dari dalaman pula ialah syiah, anti mazhab, modernis fundamentalis dan sufi sesat. Mereka terpengaruh atau terjebak dengan ancaman tersebut disebabkan punca daripada kejahilan, kekeliruan tasawwur, kurangnya tasawwuf dan kefakiran.
‘Ancaman Dan Tuntutan Hak Asasi Manusia (LGBT)’ merupakan tajuk bagi sesi keempat yang dibentangkan oleh Azril Mohd. Amin selaku Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses UPR (MuslimUPRo).
Beliau memberi pendedahan kepada peserta mengenai bahayanya penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang bertujuan untuk merendahkan kedudukan dan fungsi agama Islam di Malaysia seperti kes Azlina Jailani atau pun dikenali sebagai Lina Joy dan penyalahgunaan kalimah Allah.
Selain itu, isu LGBT dilihat sangat meruncing berikutan tuntutan terhadap kebebasan tersebut melalui pengaruh di dalam buku Prinsip Yogyakarta terbitan 2007 yang menekankan hak kebebasan dan kesamarataan antara jantina.
Azril turut membentangkan mengenai Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review-UPR) di mana ianya menilai status pencapaian dan pematuhan rekod hak asasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, UPR akan menilai sejauh mana negara yang disemak menghormati hak kewajipan manusia yang ditetapkan dalam Piagam PBB, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia, instrumen hak asasi manusia yang ditandatangani sesebuah kerajaan, janji dan komitmen sukarela yang dibuat kerajaan (dasar hak asasi manusia nasional dan atau program yang dilaksanakan) dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terpakai.
Malaysia semakin menghampiri sesi UPR pusingan kedua pada 24 Oktober 2013 di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland.
Adalah dikesali bahawa Gabungan NGO-NGO Malaysia Dalam Proses UPR (Comango) mengambil kesempatan untuk memanipulasi sesi semakan ini dengan memberikan persepsi yang salah tentang Malaysia, khususnya berkaitan kedudukan sebenar pencapaian hak asasi manusia (HAM). Comango juga mengemukakan beberapa tuntutan berbahaya yang ternyata bertentangan dengan realiti budaya dan sejarah masyarakat Malaysia serta pada hakikatnya menzahirkan percubaan mereka untuk mengikis kedudukan istimewa Islam sebagai agama negara seperti yang termaktub di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
 ‘Agenda Evangelis Kristian’ merupakan tajuk terakhir yang disampaikan oleh Hj. A. Karim Omar selaku Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).
Beliau mengajak peserta mengetahui sejarah penjajahan Kristian dan gerakan Kristianisasi di bawah naungan gereja yang telah berlaku sejak sekian lama. Bengkel tersebut juga menyentuh kesan yang akan berlaku sekiranya penggunaan kalimah Allah digunakan oleh Kristian dalam strategi mereka bagi mengelirukan umat Islam di Malaysia kerana contoh terdekat yang boleh diambil ialah di negara Indonesia yang kini telah menjadi mangsa kekeliruan ini.
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.” (al-Baqarah: 120)
“Politik Evangelis melalui resolusi perhimpunan Christian Federation Malaysia (CFM) pada Februari 1987 yang mahukan lebih ramai ahli politik di kalangan pemimpin Kristian. Melalui sasaran tersebut mereka ingin menjadikan Malaysia sebagai Negara Pelangi (Rainbow Nation), dengan membawa masuk pendakwah-pendakyah yang akan menyebarkan ajaran Bible kepada negara-negara di sekitar dan menjadi pintu masuk kepada misionari dari luar untuk menyebarkan ajaran Bible di sini,” tegasnya.
A. Karim juga menerangkan dakyah gerakan Kristianisasi dan liberalisme serta pluralisme agama mengancam kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.
“Sejarah kekejaman gerakan kristianisasi di Tanah Melayu melalui laporan Raja Manuel (Portugis) kepada Pope Leo X bahawa pada 6 Jun 1513 Palang Salib (Kristian) telah menang atas Bulan Sabit (Melayu) di kota Melaka serta merantaikan mereka sambil dipaksa memecahkan kubur Sultan-sultan Melaka dan masjid-masjid untuk diambil batu-batanya dijadikan kubu pertahanan ‘A Famosa,” jelas A. Karim.
Selain itu, beliau mengajak peserta supaya berhati-hati dengan strategi dalam nyanyian Kristian iaitu lagu ‘Allah Peduli’ nyanyian Agnes Monica yang dilarang oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk menyiarkan lagu tersebut di mana-mana stesen radio di negeri Selangor.
Naib Yang DiPertua Perkim 3, Dato’ Dr. Hj. Mustapha Ma turut menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan kepada setiap pembentang serta peserta.

Turut hadir, Bendahari Kehormat Perkim; Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Penolong Setiausaha Agung Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

 

1

Antara 62 peserta yang hadir dalam ‘Bengkel Training of Trainers (TOT) Latihan Ke Arah Mendaulatkan Islam’.

 


Peserta hadir di ‘Bengkel Training of Trainers (TOT) Latihan Ke Arah Mendaulatkan Islam’.

 

3
Memartabatkan Islam Dalam Perlembagaan’ disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Abdul Rahim Sinwan.

 

4
Dr. Mustapha Ma (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Abdul Rahim Sinwan (kiri).

 

5
‘Tanggapan Salah Terhadap Perlembagaan Persekutuan’ merupakan tajuk bagi sesi kedua yang disampaikan oleh Biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamat Naser Disa.

 

6
Dr. Mustapha Ma (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mahamat Naser Disa (kiri).

 

7
Antara peserta yang bertanyakan soalan di dalam sesi soal jawab.

 

9
Antara peserta yang khusyuk mendengar ketika pembentangan oleh penceramah.

 

8
Dr. Yusri Mohamad (kanan) selaku Presiden ISSI membentangkan tajuk ‘Ancaman Terhadap Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)’.

 

10
Dr. Yusri Mohamad (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Dr. Mustapha Ma (kanan).

 

11
‘Ancaman dan Hak Asasi Manusia LGBT’ merupakan topik yang dibentangkan oleh Azril Mohd. Amin selaku Naib Presiden PPMM.

 

13
Azril Mohd. Amin (kiri) menerima sijil penghargaan Perkim daripada Dr. Mustapha Ma (kanan).

 

12
Agenda Evangelis Kristian’ merupakan tajuk terakhir yang disampaikan oleh Hj. A. Karim Omar selaku Setiausaha Agung Muafakat.

 

14

Dr. Mustapha Ma menyampaikan sijil penghargaan Perkim kepada A Karim Omar selaku pembentang terakhir.

Lagi gambar >>>

Related Articles

Back to top button