Aktiviti KebajikanAktiviti Kelab PERKIM

PERKIM UniKL Ziarah Hospital Serdang

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.” (an-Nisa: 40)

Kebajikan merupakan suatu perbuatan yang akan membawa kebaikan dan pertolongan di antara sesama Muslim amat dihargai di dalam Islam.

Walaupun sumbangan yang diberikan sekecil-kecil nilainya, namun jika ianya besertakan dengan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, Allah akan menyediakan ganjaran pahala di akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Kelab Perkim Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkesempatan menziarahi 100 pesakit di Hospital Serdang, Jalan Puchong, Kajang, Selangor.

Dalam program pada 3 Oktober 2013 lalu, Perkim Kebangsaan dan 19 ahli Kelab Perkim UniKL turut menghulurkan buah tangan kepada 100 pesakit.

Rombongan ziarah itu diketuai oleh Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Beliau dibantu Unit Hal Ehwal Islam Hospital Serdang merangkap Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Azlina Mohd. Ali serta Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dewiyana Safarudin. Ia turut disertai beberapa kakitangan Perkim.

farhan-tee-abdullahMuhammad Farhan berkata, program ziarah itu bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan bantuan serta ianya juga merupakan program berkala yang dilakukan di setiap hospital kerajaan dan swasta.

“Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Hadits Riwayat at-Tirmidzi)

“Mereka yang mengalami penyakit kronik perlu dikuatkan jiwa dan emosi mereka supaya memberikan keyakinan kepada diri mereka untuk melawan penyakit yang dideritainya,” jelas Muhammad Farhan.

Jelasnya lagi, kata-kata perangsang dan simpati merupakan suatu terapi yang boleh meringankan beban pesakit, sekiranya tanpa semangat yang kuat, pesakit tidak mempunyai kekuatan untuk mengharungi keperitan sakit yang ditanggungnya.

“Hilangkanlah segala penyakit dan sembuhkanlah ia wahai Tuhan Pencipta manusia, Engkaulah sahaja (Ya Allah) penyembuh segala penyakit, tiada kesembuhan kecuali daripada-Mu sahaja. Iaitu kesembuhan yang tidak akan dihinggapi penyakit lagi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Katanya, kerja dan usaha seumpama ini memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa pesakit memerlukan sokongan untuk mengharungi detik-detik sukar mereka.

Ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mengeratkan perpaduan tidak kira agama, bangsa dan warna kulit.

Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini.

“Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di dalam syurga sehingga dia duduk. Apabila dia sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoaknnya hingga petang dan begitulah sebaliknya” (Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad).

Zakiah Ya selaku ketua jururawat kanan wad 6A menyampaikan ucapan terima kasih kepada rombongan sambil mengiringi rombongan dalam sesi ziarah pesakit ke seluruh wad tersebut.

Rombongan telah melawat wad 6B atau dikenali sebagai wad pembedahan kecil merupakan wad menempatkan pesakit-pesakit lelaki yang telah menjalani rawatan pembedahan mata, hidung dan ketumbuhan manakala wad 6A serta 6B merupakan wad pembedahan kecil yang menempatkan pesakit wanita yang turut dikongsi bersama pesakit ginekologi atau sakit puan.

Selain dikenali sebagai wad pembedahan kecemasan atau pembedahan elektif, ianya juga turut berperanan dalam menguruskan dan melakukan pemantauan yang rapi serta mengkaji semula kes-kes pesakit mengikut keperluan di mana para pesakit yang tenat akan diberi keutamaan.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”(Yunus: 57)

Mereka juga berharap kerjasama yang terjalin di antara Hospital Serdang dengan Perkim akan terus dilakukan untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya melalui pameran untuk maklumat umum.

Turut hadir, Yang Dipertua Kelab Perkim UniKL, Haffiz Mohamad.

1
Ahli Kelab Perkim UniKL diberi penerangan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam MAIS, Dewiyana Safarudin.

2s
Azlina Mohd. Ali (kanan) memberikan taklimat kepada Ahli Kelab Perkim UniKL sebelum melawat pesakit.

2
Ahli Kelab Perkim UniKL membawa buah tangan untuk diagihkan kepada pesakit.

3
Ahli Kelab Perkim UniKL menziarahi pesakit yang telah menjalani pembedahan selaput mata (katarak).

4
Farhan (kiri) dan ahli kelab turut menziarahi pesakit yang menjalani pembedahan kecil.

 

5
Farhan bersama-sama mahasiswa menziarahi dan mendoakan pesakit.

6
Mahasiswa Kelab Perkim UniKL bersama petugas wad 6A Hospital Serdang merakamkan gambar kenang-kenangan selepas sesi ziarah.

[mappress mapid=”5″]

Related Articles

Back to top button