Tautan Ukhwah Tahun Baru Cina

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Bolehkah orang Islam merayakan Tahun Baru Cina? Soalan yang sering bermain di fikiran umat Islam bagi merayakan perayaan tersebut. Tahun Baru Cina adalah perayaan menyambut kedatangan hari baru untuk tahun baru dalam kalender Cina dan perayaan ini tidak ada kena mengena dengan ritual mana-mana agama.
“Tidak ada halangan bagi Muslim merayakan Tahun Baru Cina dengan tidak ada unsur yang bertentangan dengan akidah Islam” petikan laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas (siri 48) bertajuk Islam dan Tahun Baru Cina karangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Betulkah orang Cina yang memeluk Islam menjadi orang Melayu? Tidak, mereka tidak akan sesekali menjadi orang Melayu dan mereka tetap akan menjadi Cina Muslim hingga akhir hayat kerana sekiranya orang di negara China memeluk Islam, adakah mereka menjadi Melayu? Sudah tentu tidak, mereka tetap orang China.
Bertepatan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Sembilan menganjurkan Malam Tautan Ukhwah Tahun Baru Cina 2017 bertempat di City Park Oriental, Seremban 2, Negeri Sembilan pada 7 Februari 2017 lalu.
Program yang mendapat kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) itu disertai seramai 150 saudara Muslim berketurunan Cina dan PERKIM cawangan-cawangan di Negeri Sembilan.
Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim mengalu-alukan kehadiran tetamu bagi meraikan perayaan sambutan Tahun Baru Cina sambil mengucapkan Gong Xi Fa Cai.
“Bahasa Cina seperti Mandarin dan Kantonis merupakan antara bahasa yang penting pada masa kini, jika diberi pilihan waktu dahulu, saya akan belajar bahasa Cina kerana pada waktu itu mata pelajaran utama ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya.
Sambutan Tahun Baru Cina yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin masyarakat Cina dan juga disertai oleh pemimpin negara yang beragama Islam dan ia masih tidak bercanggah dengan hukum Islam.
Tahun kalender ayam jantan pada tahun 2017 membawa makna setia, pintar, berani dan berbakat.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, dalam Islam adat itu menjadi sandaran perundangan.
Jelasnya, waktu dahulu sekiranya menyebut Islam di Malaysia, mereka akan memandang orang Melayu.
Kita adalah sama pada pandangan manusia tetapi yang membezakan kita hanyalah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi:“Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab.”
Dr. Yusof turut menyampaikan cek berjumlah RM25,000 kepada Dr. Muhammad Rais selaku Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh EXCO Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim.
Ismail dalam ucapannya turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada mereka yang menyambutnya serta tahun itu juga merupakan tahun pertama beliau menghadiri jamuan anjuran PERKIM dan Macma.
“Tidak dinafikan lagi bahawa pelbagai perayaan yang ada di Malaysia merupakan satu keunikan kerana sambutan hari perayaan di negara kita tidak seperti di negara lain yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama,” ujar Ismail.
Walaupun bersama pelbagai kaum, kita telah dilatih untuk menyambut kepelbagaian perayaan sejak merdeka.
Kelainan pada malam Tahun Baru Cina ialah walaupun berlainan keturunan tetapi kita adalah satu agama kerana sesungguhnya orang Mukmin itu adalah bersaudara.
“Saya yakin dan pasti PERKIM dan Macma menyediakan yang terbaik dalam konteks kebajikan kepada umat Islam khususnya saudara Muslim,” jelasnya.
Kita maktubkan di dalam perlembagaan Malaysia dengan meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan. Ini satu fasal dalam perlembagaan benar-benar perlu kita fahami dan harus berasa bertuah.
Kita tidak meletakkan Islam Melayu, Islam Cina, Islam India mahupun Islam Inggeris tetapi kita meletakkan Islam itu sebagai agama persekutuan. Walaupun apa pun keturunan kita, walau apa pun warna kulit meski pun putih, hitam, sawo matang kita adalah orang Islam yang bersaudara.
Beliau berharap PERKIM dan Macma boleh mainkan peranan yang berterusan untuk menjaga kebajikan saudara Muslim dan siapa pun yang menjadi orang Islam.
Walaupun mereka baru memeluk agama islam, mereka dapat merasakan mereka tidak ada bezanya dengan orang yang sudah lama Islam.
Turut hadir pimpinan PERKIM, Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan, Datuk Abdul Hanif Harun; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Datuk Ahmad Mustafa; Naib Pengerusi Negeri Sembilan, Datuk Ali Ab. Majid; Pegawai Dakwah Negeri Sembilan, Zafri Ismaiskandar Abd. Ghani dan Lee Chee Boon dari Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan.
Presiden MACMA, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam ceramahnya menjelaskan, satu budaya satu agama adalah dua perkara yang berbeza. Kalau seseorang itu lahir sebagai seorang Cina dan dia juga akan mati sebagai seorang Cina dan dia tidak boleh ubah menjadi bangsa lain. Begitu juga dengan bangsa Melayu, mereka lahir sebagai seorang Melayu dan mereka tidak boleh mati sebagai bangsa Cina kerana ianya mustahil dan tidak akan berlaku.
Sebab itu, di dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 di mana Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
“Makan malam tahun baru dinamakan Makan Perpaduan merupakan makan malam besar yang sangat penting di mana ianya menghimpunkan seluruh ahli keluarga untuk menikmati juadah bersempena menyambut ketibaan tahun baru Cina,” jelas Dr. Taufiq selaku Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program makan berjemaah itu juga merupakan salah satu yang dituntut dalam Islam kerana menurut hadis riwayat Abu Daud bermaksud: “Sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW pernah mengadu, wahai Rasulullah sesungguhnya kami makan namun tidak merasa kenyang. Nabi bersabda, “Mungkin kalian makan sendiri-sendiri?” “Benar ya Rasulullah,” kata para sahabat. Nabi lantas bersabda, “Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah sebelumnya tentu makanan tersebut akan diberkati.”
Angpau merupakan simbolik yang penting dalam perayaan Tahun Baru Cina dan ia membawa persamaan di dalam Islam iaitu tuntutan bersedekah kepada kanak-kanak dan mereka yang lebih memerlukan iaitu orang tua, orang miskin serta orang kelainan upaya (OKU), katanya.
Jelas Dr. Taufiq, konsep meja makan bulat merupakan salah satu perkara yang penting bagi menjalinkan ikatan kekeluargaan di mana mereka boleh berinteraksi bersama seluruh ahli keluarga mereka secara berhadapan serta jarak di antara makanan itu adalah sama dan tidak diskriminasi.
Yee sang merupakan makanan budaya yang hanya diadakan pada Tahun Baru Cina. Seremban, Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama mewujudkan makanan tersebut sejak tahun 1940 di mana kandungannya terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan salmon mentah, hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, limau bali, jus limau, keropok rangup, madu, sos dan sirap.
Dalam bahasa Cina, perkataan yee bermaksud ikan dan perkataan sang bermaksud mentah serta acara yang sering dinanti-nantikan ialah menggaul ke semua ramuan yee sang dengan menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di meja bulat. Menurut kepercayaan mereka, semakin tinggi yee sang itu diangkat dan digaul, maka lebih banyak kedamaian yang dinikmati sepanjang tahun.
Kepelbagaian merupakan unsur yang istimewa terdapat di Malaysia dan kita harus menerima kepelbagaian bangsa serta agama supaya kita dapat menghormati, memahami dan hidup dalam aman damai di Malaysia.
Majlis berakhir dengan acara menggaul yee sang, penyampaian angpau dan buah limau kepada setiap tetamu dan nyanyian lagu ‘Gong Xi Fa Cai’ beramai-ramai.
Tetamu kehormat PERKIM memeriahkan majlis tautan ukhwah Tahun Baru Cina.
Ahli Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan yang turut hadir.
Ucapan perasmian oleh Datuk Ismail Lasim selaku EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.
Prof. Dr. Taufiq menyampaikan takzirah mengenai Tahun Baru Cina.
Setiausaha Agung Kehormat Dr. Yusof Noor (kanan) menyampaikan cek kepada Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan, Dr. Muhammad Rais.
Kegembiraan terserlah di setiap wajah ketika acara menggaul yee sang.
Dr. Yusof (kanan) menyampaikan ang pau kepada tetamu yang hadir.