Aktiviti Dakwah

Perkasakan Dakwah Lahirkan Daie India

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Pelbagai kaedah dan usaha telah dilaksanakan bagi memperkasakan serta meningkatkan ilmu kepada golongan mualaf sehingga mereka dapat melaksanakan Islam sebagai cara hidup. Bagi memantapkan akidah dan ibadah mualaf yang telah mendalami ilmu agama Islam secara keseluruhan, mereke perlu diberi pendedahan latihan yang sistematik untuk melahirkan seorang pendakwah.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Sembilan menganjurkan Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India bertempat di Port Dickson Golf Club, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program mendapat tajaan Yayasan PERKIM itu dihadiri seramai 100 Saudara Muslim berketurunan India dari Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Tan Sri Dato Dr. Muhammad Rais Abdul KarimzPengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim berkata, program tersebut diadakan secara khusus bagi mualaf yang berketurunan India bagi  menghasilkan kualiti dalam berdakwah mengikut sasaran.

PERKIM merupakan organisasi Islam pertama yang menganjurkan program sebegini malah mendahului mana-mana majlis agama atau jabatan agama lain yang terdapat di Malaysia bermula sejak tahun 1969 ke 1970-an lagi.

Jelasnya. sejajar dengan matlamat penubuhan Perkim yang sinonim dengan pengislaman, mantan Setiausaha Agung Pertama PERKIM, Tan Sri Datuk Dr. Abdul Mubin Sheppard turut terlibat dengan perjuangan PERKIM dari tahun 1960 hingga 1964 dan beberapa tokoh ternama lagi seperti Tan Sri S.O.K. Ubaidullah.

Menurut Dr. Muhammad Rais, hikmahnya penganjuran program dakwah kepada bangsa diasingkan dengan mengikut kepakaran bagi membantu meningkatkan pengetahuan mualaf dari sudut kefahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah agar kekuatan iman dapat menjadi tunjang dalam gerakan dakwah mereka seperti mana pengorbanan dalam menyebar luaskan usaha agama dilaksanakan oleh ikon pendakwah India iaitu Dr. Farid Ravi Abdullah Ustaz Fitri Abdullah, Shah Shanmugam, Amran Anbarasu Abdullah dan lain-lain lagi.

Selaku penganjur, saya begitu gembira kerana penglibatan peserta semakin meningkat dan saya mengharapkan kita dapat mempelajari ilmu dakwah dengan setidak-tidaknya cuba menyampaikan walau satu ayat kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Tegas Dr. Muhammad Rais, bahawa masuk Islam tidak bererti masuk Melayu cuma istilah masyarakat kita sahaja sudah terbiasa dan memeluk Islam bermakna kita adalah Muslim serta masih kekalkan bangsa sendiri seperti India Muslim.

Perkim akan menganjurkan program yang sama seperti itu khusus buat mualaf berketurunan Cina, Bidayuh, Iban, Orang Asli dan Siam dan sebagainya pada masa akan datang.

Peserta diberi percambahan ilmu di dalam tiga slot yang bertajuk Pengertian Dakwah, Akhlak Muslim serta Asas Metodologi Dakwah dibentangkan oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah.

Manakala Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth Abdullah pula menyampaikan slot 4 bertajuk Cari Persamaan, Jauhi Perbezaan dan slot 5 bertajuk Menangani Salah Faham Mengenai Islam.

Yang turut hadir pimpinan PERKIM, Penolong Setiausaha Agung, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan (UPPP), Mamat Che Chik; Timbalan Pengarah UPPP, Datuk Abdul Hanif Harun; Naib Pengerusi Negeri Sembilan, Datuk Ali Ab. Majid; Pegawai Negeri Sembilan, Zafri Ismaiskandar Abd. Ghani dan Pengarah Yayasan Perkim, Zakaria Ismail.

Tan Sri Dr Mohd Yusof NoorsMajlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Dr. Yusof dalam ucapannya berkata, hari ini kita dapat mengislamkan seorang individu. Telah adanya cahaya iman yang masuk ke dalam seorang individu dan ia sangat besar maknanya sebagai hidayah dari Allah. Di mana kita tidak melihat kepada kuantiti semata-mata.

Seperti firman Allah dalam Al Quran yang menjadikan kita dari pelbagai bangsa yang berbeza untuk kita saling mengenal dan yang paling baik adalah di kalangan yang bertakwa.

Jelasnya, ia adalah kepentingan yang diusahakan oleh PERKIM dengan cuba mendekati masyarakat pelbagai kaum dalam melaksanakan aktiviti dakwah selain menghormati adat resam budaya masing-masing.

PERKIM sangat mengalu-alukan penglibatan masyarakat selain saling membantu menyampaikan dakwah di seluruh negara.

Sekalung penghargaan buat Yayasan PERKIM selaku penganjur bersama dalam menjayakan program sebegini. Kehadiran peserta pada hari ini dalam majlis ilmu sebegini di anggap sebagai satu sumbangan yang penuh bermakna dalam metodologi dakwah kepada masyarakat India khususnya dalam konteks mendalami ilmu agama.

Kita perlu mengambil iktibar atau pengajaran yang berlaku kepada umat Islam akhir-akhir ini sebagai satu tanggungjawab sejagat.

Kita perlu sentiasa bersyukur dan mempersiapkan diri dengan mengutamakan solat seterusnya belajar untuk terus memahami isi kandungan Al-Quran. Sentiasa berlapang dada menerima ujian dari Allah.

Amalan seharian kita perlu sentiasa dimulakan dengan menyebut Bismillah dan Alhamdulillah.

Slot terakhir bertajuk Dakwah Rasulullah serta Dakwah dan Cabaran Masa Bagi Saudara Baru India Muslim disampaikan oleh Tokoh Mualaf Kebangsaan 2016, Muhammad Shah Shanmugam.

Selain itu, peserta turut menyertai majlis zikir, qiamulail, kuliah selepas solat, perbincangan berkumpulan, pertandingan syarahan, majlis pengislaman dan riadah.

Majlis diserikan dengan upacara penyampaian hadiah pertandingan syarahan yang bertajuk Peranan Ukhwah dalam Berdakwah dan sijil penghargaan kepada para peserta.

Nur Nadhirah Fatihah menjadi johan dengan markah 81 dan Muhammad Syamim merangkul naib johan dengan markah 72 manakala Muhammad Faris Adam mendapat tempat ketiga.

001
Peserta membuat perbincangan mengenai kaedah-kaedah berdakwah.

003
Zamri (berdiri) memberikan buah fikiran dan metodologi dalam slot ceramahnya kepada peserta.

004
Peserta melontarkan pendapat dan cadangan bagi memperkasakan dakwah dalam sesi kerja kumpulan.

005
Peserta muslimat turut memberikan pandangan bagi menyiapkan kerja berkumpulan.

002
Datuk Ali (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Perkim Negeri Sembilan.

006
Amran menyampaikan kuliah Subuh bertajuk Akhir Zaman kepada peserta.

007
Dr. Farid menyampaikan slot ceramah pertama bertajuk Pengertian Dakwah kepada peserta.

008
Muhammad Fitri turut berkongsi pengalaman melalui ceramahnya kepada peserta.

009
Salah seorang peserta mengajukan beberapa soalan kepada penceramah.

010
Sesi soal jawab merupakan komunikasi dua hala di antara peserta dan penceramah.

011
Salah seorang peserta menceburkan diri dalam pertandingan syarahan.

012
Peserta muslimat tidak terkecuali untuk menyertai pertandingan syarahan.

013
Motivasi dan kata-kata perangsang yang disampaikan oleh penceramah kepada peserta.

014
Tokoh Mualaf Kebangsaan 2016, Shah Shanmugam turut menyampaikan ceramahnya bertajuk Dakwah dan Cabaran Masa Bagi Saudara Baru India.

015
Turut diadakan majlis pengislaman.

016
Ucapan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.

017
Ucapan perasmian penutup disempurnakan oleh Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

018
Nur Nadhirah Fatihah (berbaju merah) menerima hadiah johan bagi pertandingan syarahan.

019
Peserta bergambar kenang-kenangan di akhir Program Metodogi Dakwah Saudara Muslim India.

020
Bersalam-salaman tanda ukhwah dan silaturahim antara sesama saudara seIslam.

Related Articles

Back to top button