Tan Sri Bendahari Kehormat melawat Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Bendahari Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim telah mengadakan lawatan kerjanya ke Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM (PPMRP) di Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 26 September 2020 lalu.
Kunjungan tersebut dihadiri Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Tan Sri Rais berkata, ini merupakan kumpulan Rohingya yang mula-mula datang ke Malaysia pada tahun 2009 di bawah Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Namun selepas itu banyak kumpulan-kumpulan Rohingya yang datang tetapi ini adalah kumpulan Rohingya yang pertama yang datang ke Malaysia serta mendapat bantuan daripada PERKIM.
Jelas beliau, anak-anak mereka tidak boleh mendaftar di sekolah kebangsaan kerajaan, maka PERKIM telah menaja kos pendidikan bagi kanak-kanak Rohingya dan guru-guru yang mengajar mereka adalah daripada kalangan mereka sendiri.
Pertolongan kepada orang-orang Rohingya ini bukanlah pertama kali yang diberikan oleh PERKIM, bahkan pada tahun 70-an lagi PERKIM telah memberi perlindungan kepada kumpulan-kumpulan daripada Champa iaitu pelarian Kemboja dan Vietnam.
Etnik Rohingya merupakan kumpulan ketiga yang telah mendapat perlindungan dari PERKIM, di mana PERKIM terlibat dari segi memberi bantuan kebajikan dan kemasyarakatan kepada masyarakat yang telah yang dihalau keluar atau melarikan diri dari kekejaman Kerajaan Burma.
Bukanlah bermakna kita menggalakkan penghijrahan orang-orang Rohingya ke sini, kita berharap pada suatu hari nanti, mereka ini diterima semula oleh negara asal mereka. Oleh sebab keadaan di negara asal mereka huru-hara dan masyarakat Rohingya ditindas serta kekejaman yang dilakukan secara beramai-ramai oleh askar-askar Burma.
Ujar Tan Sri Rais, kita tahu bilangan mereka ramai, namun disebabkan mereka terus diseksa dan tidak mendapat pembelaan serta terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk sampai ke Malaysia. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan ramai juga telah mendarat di Pulau Sumatera di Aceh dan sebagainya.
Jadi kita harap perlindungan terhadap orang-orang pelarian Rohingya ini bukanlah satu amalan namun kita mengharapkan isu pelarian ini tamat.
Oleh kerana mereka itu orang Islam maka tidak eloklah mereka dibiarkan begitu sahaja. Maka pada waktu itu PERKIM membuat keputusan untuk menyewa satu tempat untuk memberi perlindungan kepada mereka dan anak-anak kecil mereka yang tidak dapat besekolah biasa, mereka diberi pendidikan dan diajar oleh guru-guru dari kalangan orang Rohingya sendiri.
Maka dengan itu kita terpanggil untuk memberi bantuan kepada mereka. Kita telah memberi bantuan dari segi pendidikan, elaun bagi guru-guru dan juga tempat tinggal sebanyak lebih kurang RM 85,000.00 setahun. Guru-guru yang dipilih dari kalangan mereka mempunyai kemahiran perguruan.
Kata Tan Sri Rais lagi, kita telah melihat murid-murid dapat memahami serta bertutur dalam Bahasa Melayu sejak mereka kecil di samping mereka mempelajari ilmu-ilmu yang lain tidak dilupakan juga ilmu agama dan fardu ain.
“Saya mendapati anak-anak mereka semuanya boleh membaca Al-Quran kerana ada di kalangan mereka yang boleh mengajar anak-anak mereka secara sukarela,” kata beliau.
Ujarnya, Nabi Muhammad SAW mengatakan dalam khutbah terakhirnya di Lembah Uranah, Gunung Arafah antaranya ialah ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.
Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali atas dasar takwa dan amal soleh.
Oleh sebab itu, kita selalu nasihat kepada para-para pendakwah kita harus berbakti kepada masyarakat. Pada awal penubuhan PERKIM dahulu, PERKIM bukanlah satu organisasi ekonomi malah bukanlah satu organisasi dakwah tetapi satu organisasi kebajikan.
Oleh yang demikian, kita haruslah melakukan kerja-kerja kebajikan dahulu sebelum berdakwah. Sekiranya PERKIM ditubuhkan atas dasar dakwah dan hendak berurusan dengan golongan bukan Islam mereka tidak akan menerima kerana mereka mengetahui kita ingin menukar agama mereka.
Kata Tan Sri lagi, sekiranya kita ingin merapati satu kaum, kita perlu berbuat baik dengan mereka terlebih dahulu, seperti memberikan mereka makanan, pendidikan serta tempat tinggal.
Oleh sebab itu, PERKIM membantu golongan Rohingya supaya anak-anak mereka mendapat didikan dan ilmu serta dapat meneruskan hidup seperti kanak-kanak Malaysia yang lain.
Selain melihat kaedah dan teknik pembelajaran yang diguna pakai oleh guru-guru Rohingya, Tan Sri Rais juga berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Abdul Ghani Abdul Rahman selaku bekas Pengurus PPMRP yang telah meninggal dunia pada 17 Ogos 2020 lalu.
Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim turut merakamkan gambar kenang-kenangan bersama guru dan pelajar-pelajar PPMRP di akhir lawatan beliau.
[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=u3rVQj-ZHiQ&t=314s” width=”700″ height=”376″]
Bendahari Kehormat (tengah) mendengar bacaan Al-Quran dibaca oleh kanak-kanak lapan tahun.
Tan Sri Rais melihat teknik pembelajaran muqaddam yang diajar oleh guru Quran.
Murid mendengarkan bacaan muqaddam dihadapan Bendahari Kehormat, Tan Sri Rais.
Guru di kalangan etnik Rohingya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid-murid berusia 10 hingga 12 tahun.
Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Abdul Ghani Abdul Rahman selaku bekas Pengurus PPMRP yang telah meninggal dunia pada 17 Ogos 2020 lalu.
Guru dan murid-murid PPMRP bergambar kenang-kenangan bersama Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah di akhir lawatan.