Pelajar Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kita Yatim Fakir Miskin Lawat PERKIM

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI
18 SEPTEMBER – KUALA LUMPUR. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menerima lawatan daripada 35 pelajar dan 7 tenaga pengajar Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kita Yatim Fakir Miskin PERKIM Negeri Terengganu Cawangan Marang ke Ibu Pejabat PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pagi tadi.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pengerusi Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kita Yatim Fakir Miskin PERKIM Negeri Terengganu Cawangan Marang, Tuan Haji Ismail Jambol.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Pengarah Unit Hubungan Dalam dan Luar Negara, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja, Encik Zulkefli Arifin dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM (UPPP), YBrs Ustaz Mohd Yusoff Ahmad.
Majlis tersebut dibuka dengan bacaan doa dipimpin oleh Pegawai UPPP, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah manakala majlis dipengerusikan oleh YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Sejarah dan latar belakangnya PERKIM turut menjadi hidangan kepada rombongan pelajar menerusi tayangan video korporat PERKIM dan ucapan aluan Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa.
Menurut Tuan Haji Ismail Jambol, pertubuhannya telah ditubuhkan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Terengganu pada tahun 2012 dengan matlamat untuk membantu anak-anak yatim untuk mendapat pendidikan serta tempat penginapan.
Hasrat murni PERKIM Bahagian Negeri Terengganu tercapai dengan usaha sehingga tertubuhnya pertubuhan ini, namun terdapat ujian dan rintangan yang dikorbankan demi menubuhkan asrama ini walaupun terpaksa mengikat perut kerana kurang peruntukan.
Kata Ismail, tahun 2014 merupakan sinar harapan kepada beliau kerana berkat derma dan sumbangan yang diterima daripada ahli korporat, individu, orang ramai, kerajaan dan menteri-menteri akhirnya asrama direalisasikan serta ia dirasmikan oleh YAA Dato’ Ismail Yahya selaku Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu pada ketika itu.
Ismail turut menjemput kepimpinan PERKIM melawat dan melihat sendiri tapak asrama yang diwakafkan oleh bekas Ahli Parlimen Dungun, Allahyarham Dato’ Awang Jabar dan ia dihuni oleh 68 pelajar berusia tujuh hingga 19 tahun dari daerah di Terengganu.
Pelajar asrama turut diberi pendedahan mendalami agama Islam dan menghafaz al-Quran.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan dan amanat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.
Tan Sri Yusof Noor berasa kagum dan bangga ketika menemubual beberapa pelajar yang masih kuat diri mereka walaupun meneruskan hidup tanpa ibu atau pun bapa.
Beliau turut berpesan kepada pelajar dalam loghat Terengganu supaya belajar dengan bersungguh-sungguh kerana apabila sudah berjaya kelak, kita pula menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Tan Sri juga mengingatkan dalam mendalami ilmu jangan lupa memperbanyakkan membaca Al-Quran dengan menghafal sebahagian Al-Quran walaupun tidak mampu menghafal keseluruhannya dan memanfaatkan Al-Quran yang telah diwakafkan oleh penderma.
“Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah serta saling-menyayangi antara satu sama lain, jangan bergaduh dan jagalah kesihatan,” pesan Tan Sri Yusof Noor.
Ujar beliau, sekiranya ada masa dan peluang ke Terengganu, beliau akan melawat anak-anak sekalian.
Turut diadakan persembahan dua buah lagu nasyid yang disampaikan oleh pelajar lelaki dan perempuan kepada pimpinan PERKIM.
Tan Sri Yusof Noor kemudiannya mengadakan perbincangan bersama pengerusi dan tenaga pengajar berkenaan hal ehwal asrama dan pelajar.
Majlis diakhiri dengan penyampaian plak cenderahati, sumbangan dan buku coffee table PERKIM kepada Ismail Jambol disampaikan oleh Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.