Aktiviti Dakwah

SUA PERKIM Lancar Kiosk Zam-Zam Di Pertemuan Usrah September

Oleh : UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

4 SEPTEMBER – KUALA LUMPUR. Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah melancarkan Kiosk Zam-Zam bagi membantu golongan susah pada setiap hari Jumaat pada Majlis Pertemuan Usrah Bulan September Kakitangan PERKIM diadakan di ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, ibu negara pagi tadi.


Hasrat  Tan Sri SUA untuk mewujudkan Kiosk Zam-Zam tercetus ketika PERKIM mendapat kutipan wang tabung Jumaat daripada jemaah yang menunaikan Solat Jumaat di Surau PERKIM bermula pada 7 Ogos lalu setelah mendapat keizinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kata beliau, PERKIM tidak mengadakan Solat Jumaat untuk mengumpul wang, namun ada yang bersedekah dan sekiranya ada yang bersedekah, kita harus bersedekah balas.

Oleh itu, kita telah melancarkan satu sudut khas pada hari ini yang kita menamakan sebagai Kiosk Zam- Zam. Bukan air zam-zam namun dinamakan demikian kerana tidak ada kehidupan yang tidak memerlukan air.

Ujar Tan Sri Yusof Noor, kiosk itu bertujuan untuk menolong golongan yang susah kerana apabila kita menerima duit kita perlu membantu golongan yang memerlukan dengan memberikan setiap seorang bungkusan makanan dan minuman.

Buat permulaan, bungkusan makanan dan minuman yang telah tersedia adalah rezeki kakitangan PERKIM dan mualaf.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Johari Yap Abdullah; Pengarah Unit Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Pengarah Unit Komunikasi PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.

Pertemuan tersebut menghimpunkan 56 kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, IDIP-KL dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan yang menyanyikan dengan penuh keyakinan dan semangat.

Bacaan doa diketuai oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan (UPPP), Ustaz Muhammad Jais Abdullah.

YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapannya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dapat bersama-sama kakitangan pagi Jumaat yang penuh barakah ini.

“Walaupun usia PERKIM sudah 60 tahun, kita haruslah bersama-sama berganding bahu untuk memajukan PERKIM serta kita jadikan 60 tahun pertama ini sebagai tahun kemajuan ke arah kebaikan dan kejayaan,” katanya.

Ujar beliau, walaupun jumlah kakitangan PERKIM tidak sampai 1.5 bilion orang seperti kakitangan kerajaan, tetapi adakah bilangan itu menjamin kekuatan dan jika bilangan itu kecil adakah maknanya mereka tidak kuat? Ia bergantung kepada diri sendiri.

Jelasnya, anggota pentadbiran PERKIM di seluruh Malaysia seramai 108 orang sahaja tetapi kita perlu ingat bahawa PERKIM sudah dikenali bukan dari jumlah kakitangannya tetapi PERKIM dikenali dari tujuannya iaitu kebajikan kerana ia telah diasaskan oleh seorang Perdana Menteri pertama, AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1960.

“Oleh itu, saya yakin kita sebagai pemimpin di PERKIM yang menguruskan pentadbiran mestilah berazam untuk tidak mensia-siakan harapan bapa kemerdekaan kita,” kata Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Kata beliau, jumlah kita sedikit tetapi misi kita besar dan bila kita mendengar sebuah lagu, bukan maksud kita untuk mendengar dan mendendang tetapi kita boleh menghayati apakah maksud liriknya.

Jika kita mengharapkan pihak lain yang menghayati lirik, tetapi kita di PERKIM tidak menghayatinya maka ia tidak akan bererti.

Ujar Dr Yusof Noor, jika kita hendak meningkatkan dakwah dan persaudaraan, maka mestilah kita memulakan dalam kalangan kita sendiri kerana saya fikir jumlah bilangan kakitangan seramai 56 amat mudah dilaksanakan.

“Kita perlu mengetahui bahawa PERKIM Bahagian ada peranannya masing-masing dan kita di pusat merupakan satu kumpulan yang menyelaras, merancang dan perbincangan untuk kebaikan bersama,” ujar beliau.

“Pada masa kini apabila disebut PERKIM kita nampak pusat sahaja iaitu PERKIM Kebangsaan tetapi sebenarnya PERKIM ini perlu dijelaskan secara keseluruhan dengan mengetahui apakah peranan PERKIM Bahagian, PERKIM Cawangan dan PERKIM Pusat,” katanya.

“Hari ini, kita berada di sebuah bangunan ini usianya 60 tahun dan jika kita renungkan secara mendalam, hari ini merupakan hari bersejarah kerana kita berusaha untuk menceriakan bangunan ini.

Ulas beliau jika kita boleh bayangkan pada tahun 60-an lalu, suasana paling meriah dan ceria ialah ketika hari pembukaan Bangunan PERKIM yang dirasmikan bersama negara Islam iaitu Kerajaan Libya seperti mana plak yang terpahat di kiri dan kanan pintu masuk bangunan ini.

Jelas SUA PERKIM lagi, jika kita memasuki Bangunan PERKIM, sekiranya di laluan utama masuk bangunan tidak menggambarkan keceriaan maka mungkin orang akan berkata tidak ada sesuatu yang menarik tentang Islam.

“Kata kita orang yang menguruskan Islam, tetapi bila masuk ke dalam bangunan nampak tidak begitu ceria,” jelasnya.

Bukanlah mudah bagi PERKIM mendapat keizinan daripada JAWI untuk mengadakan Solat Jumaat di aras ini. Pernahkah kalian terbayang bahawa bangunan ini ada Solat Jumaat tetapi sekarang ia telah berlaku.

Kadangkala sesuatu musibah seperti COVID-19 bukan sahaja suatu ujian, tetapi Allah SWT mendatangkan juga hikmah di mana ia menjadi sesuatu yang istimewa buat PERKIM iaitu peristiwa pelaksanaan Solat Jumaat di Surau PERKIM yang diadakan setiap Jumaat sepanjang tempoh PKPP.

Ulas Tan Sri Yusof Noor lagi, jika di dalam kempen memutuskan rantaian COVID-19, kita dianjurkan untuk ‘kita jaga kita’ tetapi kita di PERKIM boleh mengubah sedikit dalam konteks ‘kita majukan diri kita’ dan ‘kita majukan PERKIM kita’.

“PERKIM tidak boleh maju sekiranya kita tidak majukan diri kita sendiri dan sebab itulah saya fikir kita memajukan PERKIM seperti mana lirik yang terkandung di dalam lagu rasmi iaitu ‘PERKIM Pacu Kemajuan’, ujar beliau.

Katanya, pada peringkat permulaan, kita menjangkakan jemaah menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat hanya dalam dewan solat sahaja, tetapi setelah dua minggu diadakan jemaah makin bertambah dan terpaksa PERKIM menambahkan beberapa saf di luar dewan solat Surau PERKIM.

“Saya fikir ini suatu petanda yang baik kerana sekiranya kalau Allah SWT mengizinkan, kita akan ada satu ruang yang rasmi yang dinamakan sebagai musolla yang besar dan ia tidak mustahil bagi PERKIM.

Kalau dilihat Bangunan Tabung Haji pada asalnya tiada masjid, setelah disedari mereka kemudiannya membina satu bangunan berkubah biru dan menara disisi Bangunan Tabung Haji yang melambangkan simbol agama Islam.

Ujar beliau, tidak semestinya kita harus membina surau baru namun misi PERKIM perlu diteruskan mungkin pada suatu masa nanti jika ada tempat yang sesuai, kita boleh membina satu bangunan yang apabila dilihat dari luar ada menara dan kubahnya, itulah yang paling sesuai untuk menggambarkan PERKIM.

Jelas Tan Sri Yusof Noor lagi, bagaimana adanya PERKIM namun tidak kelihatan lambang PERKIM itu tempat ibadah dari luarannya. Sekarang kita telah memulakan di sini serta mendapat sambutan yang baik. Maka sudah tentulah kita mempunyai satu pengharapan.

PERKIM telah berusia 60 tahun dan PERKIM perlu berfikir bagaimana harus diteruskan supaya ia terus menjadi lebih unggul bukan untuk diri kita tetapi untuk meneruskan misi yang diasaskan oleh Pengasas PERKIM, AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tambah beliau, kita perlu tahu sejarah dan kita tidak boleh merasakan kerja yang dilakukan tidak begitu penting kerana satu perkara penting dalam melaksanakan serta memajukan diri kita serta memajukan PERKIM ialah melihat bagaimana cara hendak reformasi.

Tan Sri Yusof Noor memetik satu riwayat dari nasihat Hujjat al-Islam, Imam Abu Hamid Al-Ghazali: Daripada Nabi Isa AS bersabda: “Tidak sulit bagiku untuk menghidupkan orang mati, tetapi aku tidak mampu mengatasi orang bodoh.”

Nabi Isa AS mendapat mukjizat daripada Allah SWT dengan menghidupkan orang yang mati dan baginda mudah untuk menghidupkan orang mati dengan izin Allah, akan tetapi baginda gagal untuk memperbaiki serta mengajari orang yang bodoh kerana hendak memperbaiki golongan tersebut perlu berusaha lebih serta golongan itu juga tidak mempunyai kesediaan untuk menerima fikiran orang lain dan sukar diislah atau direformasikan.

Kita di PERKIM berhadapan dengan pelbagai orang, ada yang berpengetahuan tinggi, sederhana dan kurang. Maka usaha kita perlu dilipat gandakan.

Beliau mengajak 108 kakitangan supaya mengislahkan diri dengan tidak bergantung kepada pemberian sahaja malah mengasah keupayaan supaya mampu menjana pendapatan sendiri dan ia boleh dilaksanakan dengan mudah jika tiada cetusan masalah sesama kita.

Kata Tan Sri Dr Yusof Noor lagi, apabila kita mempunyai fikiran yang dipanggil ‘corrupt minded’, kita tidak akan maju dan kita perlu memperbaiki diri kita dengan memajukan diri kita.

Tambahnya, tidak semestinya hanya golongan yang berpengetahuan tinggi sahaja yang bagus komitmennya dan golongan peringkat rendah tidak bagus malah mungkin mereka lebih bererti sumbangannya daripada yang mempunyai ijazah.

PERKIM lebih mementingkan sumbangan untuk menjadikan Islam itu lebih kuat dan terus kuat, bukan berdasarkan segulung ijazah kerana jikalau kita memiliki ijazah namun menghancurkan keyakinan orang lain terhadap Islam pun tidak berguna.

Bukanlah sekeping Ijazah Sarjana Muda itu menyebabkan PERKIM maju bahkan Tunku Abdul Rahman juga tiada PhD malah Tunku juga bukan seorang Profesor tetapi ia tidak menjadi masalah kerana beliau mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam.

“Saya sangat menghargai mereka yang dapat meramaikan orang Islam kerana saya diberitahu bahawa ramai pendakwah-pendakwah di PERKIM ini yang tidak mempunyai ijazah namun mereka telah berjaya menarik beratus-ratus orang masuk Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, saya sendiri malu jika saya ada ijazah namun saya tidak berjaya menarik orang masuk Islam bermakna saya gagal serta yang tidak berijazah itu lebih bermakna dan itulah PERKIM.

Tan Sri Dr Yusof Noor meminta kakitangan supaya tidak berfikir mengenai kelulusan atau kelayakan seseorang itu tetapi memikirkan mengenai masa dan tenaga yang diluangkan untuk meramaikan umat dan menguatkan Islam.

Katanya, hari ini merupakan hari bersejarah kerana kita ada Pasukan Koir PERKIM dan beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pasukan Koir PERKIM kerana mereka merupakan Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan pertama sejak 60 tahun pertubuhan PERKIM.

Jelas beliau, semua layak menjadi biduan dan biduanita tetapi kita memilih enam mewakili PERKIM iaitu enam lelaki dan enam wanita yang menggambarkan imej PERKIM yang pelbagai bangsa.

Tambah Tan Sri lagi, mereka terdiri dari keturunan Melayu, Siam, India, Cina dan istimewanya konduktor pasukan koir PERKIM warga dari negara Filipina. Kita perlu berterima kasih kepada Saudara Firdaus yang menghidupkan pasukan koir PERKIM dan mendalami Islam melalui Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan kita.

Beliau berharap PERKIM boleh menggandakan usaha dengan menubuhkan koir kanak-kanak dari pelbagai bangsa untuk dijadikan satu saluran dakwah dengan menyanyikan lagu Islam yang memberi makna kepada orang ramai.

Tan Sri Yusof Noor berkesempatan menyampaikan sumbangan dan penghargaan kepada Pembantu Am SCORE, Puan Mekimah Yob kerana telah bersara pada 28 Ogos lalu. Tan Sri turut merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa, dedikasi melaksanakan amanah kerja dan komitmen yang diberikan sepanjang Puan Mekimah berkhidmat di SCORE atau dahulu dikenali sebagai Pusat Pemulihan Kesihatan ROTARY-PERKIM selama 27 tahun.

Selain itu, YBhg Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat turut menyampaikan cenderahati kepada pelatih Pasukan Koir PERKIM iaitu Saudara Mohd Firdaus Abdullah dan diikuti ahli Pasukan Koir PERKIM iaitu Encik Mohd Saufi Razali, Encik Syahril Rosdi Ahmad Zahudi, Encik Mua’lish Shah Mohd Anuar, Encik Mohd Zukhairi Ishak, Encik Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Encik Muhammad Farhan Tee Abdullah, Cik Nur Shazleen R. Samsul Bahari, Cik Nayli Mohamad Nizam, Puan Nur Syahirah Musa, Puan Siti Fatimah Ladda Abdullah, Puan Norlailialpin Suratman serta Cik Umi Musfirah Abdul Ghani.

Related Articles

Back to top button