Aktiviti Kebajikan

PERKIM Raikan Persaraan Staf SCORE, Mekimah Yob

Oleh: NUR SYAHIRAH MUSA
Foto: HAMIDAH ISMAIL, FATIN HAMIZAH ISMAIL

28 OGOS- KUALA LUMPUR. Pusat Pemulihan Komuniti Strok Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) (SCORE) telah mengadakan majlis persaraan Puan Mekimah Yob selaku Pembantu Am SCORE bertempat di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini pagi tadi.

Puan Mekimah telah berkhidmat sebagai Pembantu Am SCORE bermula dari tahun 1993 sehingga Ogos 2020 bersamaan 27 tahun sejak ia ditubuhkan.

Majlis dihadiri seramai 50 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM serta pesakit strok yang datang untuk mendapatkan rawatan di SCORE.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Cik serta Doktor Perubatan SCORE, Dr Fatimah Abdullah.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Penolong Pegawai Dakwah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Abdul Qawi Navine Abdullah dan diteruskan dengan majlis ucapan.

Ucapan disampaikan oleh YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa dan juga YBhg Tuan Haji Mamat Che Cik.

Tuan Haji Mamat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Mekimah kerana jasa dan bakti yang dicurahkan di SCORE selama 27 tahun dengan memberi khidmat kepada ratusan pesakit strok.

“Puan Mekimah telah berkhidmat di SCORE atau dahulunya dikenali Pusat Pemulihan Kesihatan Rotary-PERKIM pada tahun 1993 iaitu tahun ketiga ia ditubuhkan,” tambah Haji Mamat.

“Jasa beliau teramatlah besar sekali dan haruslah dikenang,” ujarnya.

Datuk Hasbullah dalam ucapannya juga mengatakan bahawa tiada kata yang mampu diucapkan kepada Puan Mekimah untuk membalas segala jasa beliau.

Beliau mempelawa para hadirin untuk menyertai sukarelawan SCORE bagi membantu pesakit-pesakit yang datang menjalani rawatan.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sejambak bunga tanda kasih dan ingatan daripada PERKIM dan jamuan ringkas.

 

Related Articles

Back to top button