Skuad PERKIM Terengganu Santuni Mualaf Terkesan Banjir
“Banjir datang tiba-tiba, paras air naik cepat!” itulah saat cemas yang diceritakan oleh saudara baru berketurunan Cina, Azmi Chong.
Rumah yang disewa beliau di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Terengganu ditenggelami air dalam sekelip mata hingga tidak sempat menyelamatkan barang dan perkakasan.
Menurut Azmi, musibah banjir yang dialaminya merupakan kali pertama berlaku setelah beliau mendiami rumah sewa selama lapan tahun.
Antara harta benda yang musnah ialah tilam, almari dan pakaian anak-anak dan kelengkapan lain.
Beliau sekeluarga terpaksa berpindah sementara ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak selama enam hari.
Skuad Ziarah PERKIM Negeri Terengganu berkesempatan menziarahi beliau pada 3 Januari 2023 lalu dan menyampaikan bantuan kepada Azmi sekeluarga bagi meringankan beban yang dihadapi mereka.
Skuad ziarah diketuai Pegawai Eksekutif Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Subri Jaafar.
Turun terkesan di kawasan yang sama ialah saudara baru berketurunan Dusun, Rabiatul Adawiah Abdullah yang kebetulan baru sahaja berpindah ke kawasan berkenaan.
Rabiatul Adawiyah telah memeluk Islam pada tahun 2016 dan berkahwin dengan seorang warga tempatan.
Skuad ziarah menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada Rabiatul Adawiyah yang terjejas akibat musibah banjir.
Skuad PERKIM Terengganu mendoakan mangsa banjir sentiasa tabah dan dapat mengharungi ujian dengan tenang.
PERKIM Terengganu sedaya upaya berusaha menghulurkan bantuan dan keperluan utama dalam masa terdekat.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Rosnaliza Ahmadiah, Aishah A. Wahab dan Nur Fadhilah Alias.
Skuad PERKIM Terengganu menziarahi Azmi Chong di rumah yang terkesan dengan banjir di Taman Desa Tanjung Damai.
Haji Subri (kanan) menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada Azmi Chong sekeluarga.
Skuad PERKIM Terengganu melawat mualaf berketurunan Dusun, Rabiatul Adawiyah yang terkesan dengan banjir.
Rabiatul Adawiyah (kiri) menerima sumbangan daripada Skuad Ziarah PERKIM Terengganu.