Aktiviti Dakwah

SKOP 18 Di Kedah Kupas Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐀𝐋𝐎𝐑 𝐒𝐄𝐓𝐀𝐑, 𝟐𝟑 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Lebih 250 orang hadir memeriahkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) bertempat di Dewan Dato’ Sheikh Mahmood Naim, Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK) Menara Zakat, Jalan Teluk Wanjah dekat sini pada pagi Sabtu.


Menurut 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐍𝐮𝐫 𝐒𝐲𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐬𝐚, SKOP siri ke-18 bertemakan Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki itu merupakan anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Kedah dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Katanya, kehadiran peserta terdiri daripada kalangan saudara baharu, ahli PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Wanita PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Perkim Cawangan Daerah Kuala Muda serta pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majlis yang mendapat kerjasama LZNK itu membuka tirainya dengan nyanyian Asmaul Husna disusuli dengan alunan bacaan doa oleh Pengerusi PERKIM Cawangan Kuala Muda, Ustaz Imron Kochem Haji Ahmad, selepas sesi pengenalan dan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis, Muhammad Farhan Tee Abdullah yang juga Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan.


𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐝𝐚𝐡, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐛𝐝 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥 dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada PERKIM Kebangsaan atas sokongan dan bimbingan berterusan serta kepada MAIWP atas anjuran bersama bagi menjayakan program ini.

Katanya, tema forum ini amat besar maknanya kerana hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi perubahan jiwa mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

Oleh itu, niat yang ikhlas kerana Allah menjadikan setiap pengorbanan dan cabaran bernilai di sisi-Nya. Inilah kemerdekaan hakiki, iaitu bebas daripada dosa dan kehidupan tanpa tujuan.

Dato’ Abd Rahman menyeru saudara baharu, mahasiswa serta masyarakat Orang Asli memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh semangat hijrah dan membina perubahan diri.

Beliau berharap SKOP dapat memberi inspirasi dan panduan kepada semua.

Dato’ Abd Rahman menyeru peserta terus bersatu dan istiqamah dalam usaha dakwah serta menjadi pemangkin kepada perubahan berterusan ke arah keredaan Allah SWT.


𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 dalam ucapan perasmiannya mengucapkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana dapat berhimpun dalam SKOP yang memasuki siri ke-18 di mana Negeri Kedah kali ini sebagai tuan rumah selepas dua minggu lalu diadakan di Negeri Melaka.

Katanya, tajuk forum dipilih bertepatan dengan sambutan Ma’al Hijrah dan bulan kemerdekaan. Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi perubahan jiwa menuju keredaan Allah, manakala kemerdekaan hakiki bermaksud pembebasan daripada belenggu dosa dan kejahilan.

Tambah Dato’ Razali lagi, SKOP ini diharap memberi manfaat, bukan hanya untuk didengar, tetapi untuk direnungi dan diamalkan, khususnya oleh pelajar, mualaf dan peserta seluruh Malaysia.

Beliau turut berterima kasih kepada MAIWP yang menyalurkan dana sehingga SKOP dapat dijalankan di seluruh negara, walaupun asalnya untuk Wilayah Persekutuan sahaja.

Jelas Dato’ Razali lagi, dahulu SKOP pernah menjemput tokoh luar negara dan NGO, namun kini kita fokus kepada panel tempatan yang mampu memberi pencerahan isu semasa.

SKOP kali ini menampilkan panelis daripada pelbagai latar belakang termasuk India, Melayu dan Orang Asli, manakala pengerusi majlis pada hari ini daripada komuniti Cina, mencerminkan peranan PERKIM sebagai organisasi yang menyantuni semua lapisan masyarakat.

“Bagi pihak Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Marzuki Mohamad Omar, saya merasmikan SKOP Siri 18 dengan harapan ia memberi impak besar kepada masyarakat,” kata Dato’ Razali mengakhiri ucapannya.

SKOP diteruskan dengan mengupas tajuk “Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki” yang dipengerusikan oleh 𝗦𝗮𝘂𝗱𝗮𝗿𝗮 𝗨𝗯𝗮𝗹 𝗞𝘂𝗹𝗶𝗺 selaku 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗭𝗮𝗸𝗮𝘁 𝗗𝗶𝘃𝗶𝘀𝘆𝗲𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗠𝘂𝗮𝗹𝗮𝗳 𝗱𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗦𝗼𝘀𝗶𝗮𝗹 𝗟𝗭𝗡𝗞 merangkap 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐉𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐊𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠 𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐀𝐬𝐥𝐢 𝐋𝐮𝐛𝐮𝐤 𝐋𝐞𝐠𝐨𝐧𝐠 𝐁𝐚𝐥𝐢𝐧𝐠.

Manakala dua tokoh ahli panel iaitu 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗦𝗵𝗲𝗶𝗸𝗵 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗜𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗛𝗮𝗳𝗶𝗳 𝗔𝘇𝗺𝗶 selaku 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗔𝗴𝗮𝗺𝗮 𝗗𝗮𝗲𝗿𝗮𝗵 𝗬𝗮𝗻 dan 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗕𝗲𝗯𝗮𝘀, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗦𝗵𝗮𝗵 𝗦𝗵𝗮𝗻𝗺𝘂𝗴𝗮𝗺.

Menurut Ustaz Sheikh Ikmal, hijrah bukan hanya berpindah tempat, tetapi perubahan diri daripada keburukan kepada kebaikan dan daripada baik kepada lebih baik.

Tambah beliau lagi, Al-Quran kekal relevan sepanjang zaman, justeru ajaran hijrah mesti diaplikasi dalam konteks hari ini.

Antara fokus hijrah ialah perubahan akhlak, meninggalkan sifat negatif seperti menipu, mencela, hasad dengki, buli dan body shaming yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Pembentukan akhlak memerlukan pergaulan dengan orang soleh dan pengisian ilmu melalui majlis seperti SKOP.

Selain itu, hijrah pemikiran perlu dilakukan, membebaskan diri daripada pemikiran sempit, ideologi sesat dan kepercayaan khurafat kepada pemikiran positif berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tambah Ustaz Sheikh Ikmal, puisi Dato’ Dr. Awang Sariyan mengingatkan bahawa kemerdekaan sebenar bermula dari jiwa, bebas daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Allah.

Hijrah sosial juga penting kerana masyarakat kini berdepan penyakit individualisme, mental illness dan perpecahan.

Kita perlu mengamalkan kebersamaan, saling menyantuni pelbagai kaum dan menghidupkan semangat persaudaraan seperti yang dibawa Rasulullah SAW.

Hijrah ekonomi turut ditekankan dengan pengurusan kewangan yang baik, menjauhi riba dan memperkukuh ekonomi ummah melalui zakat untuk membantu golongan memerlukan.

Beliau memberi peringatan bahawa hijrah bukan untuk menjadi yang sempurna, tetapi untuk mereka yang mahu mencari kesempurnaan.

Menurut Ustaz Muhammad Shah Shanmugam, hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi proses berterusan yang menuntut pengorbanan dan keikhlasan.

Beliau menekankan bahawa pengorbanan tanpa niat yang benar kerana Allah SWT tidak akan berjaya. Ramai ingin berubah, namun gagal kerana niat mereka salah.

Beliau mencontohkan pengorbanan Rasulullah SAW yang meninggalkan Mekah kerana perintah Allah meskipun baginda amat mencintai kota itu.

Hadis pertama dalam Sahih Bukhari menegaskan bahawa setiap amalan bergantung kepada niat, maka hijrah mestilah dilakukan untuk Allah, bukan manusia.

Ujar Ustaz Shah Shanmugam lagi, keikhlasan diukur melalui tiga tanda menurut ulama tasawuf: pujian dan celaan diterima sama rata, tidak tenggelam dalam sanjungan atau terkesan dengan cacian; tidak berputus asa walaupun diuji; serta konsisten dalam kebaikan.

Nabi SAW memberi contoh dengan terus berdakwah walaupun ditolak di Habsyah dan Taif sebelum akhirnya Islam diterima di Yathrib.

Beliau juga mengingatkan tentang dosa mengumpat yang lebih bahaya daripada zina kerana tidak diampunkan selagi tidak dimaafkan oleh orang yang diumpat, sebagaimana ditekankan dalam Perjanjian Aqabah pertama.

Tegasnya lagi, jangan bertangguh untuk berhijrah kerana Allah, bukan kerana manusia dan istiqamah dalam perubahan agar mencapai kemerdekaan hakiki.

Ustaz Sheikh Ikmal pula menekankan peranan utama institusi keluarga, pendidikan dan masyarakat dalam membentuk generasi yang mampu berhijrah ke arah kehidupan bermakna serta mencapai kemerdekaan hakiki.

Menurut beliau, keluarga merupakan asas penting bermula daripada pemilihan pasangan sebelum perkahwinan, penjagaan anak sejak janin, hinggalah kepada pendidikan berterusan sepanjang fasa perkembangan mereka.

Beliau menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak dengan kasih sayang, disiplin, adab serta kecintaan kepada Nabi SAW.

Kelemahan dalam institusi keluarga sering membawa kepada keruntuhan akhlak, gejala sosial, ketagihan dadah, judi, serta kehamilan luar nikah yang semakin membimbangkan.

Selain keluarga, institusi pendidikan juga penting namun berdepan cabaran kerana keterbatasan kuasa guru dan sikap segelintir ibu bapa yang tidak menyokong peranan mereka.

Ustaz Sheikh Ikmal menegaskan bahawa kerjasama menyeluruh antara keluarga, sekolah, masyarakat, NGO serta pihak pemerintah amat diperlukan bagi menangani masalah ini.

Menurutnya, penyelesaian tidak akan berlaku sekelip mata, sebaliknya melalui proses berperingkat dengan pendekatan menyeluruh.

Beliau mengajak masyarakat kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan solat, penguasaan Al-Quran serta tarbiah rohani.

Tambah Ustaz Sheikh Ikmal lagi, dengan cara ini masyarakat dapat melahirkan generasi berakhlak mulia dan bebas daripada belenggu negatif.

Ustaz Shah Shanmugam pula menekankan bahawa kisah hijrah Nabi menunjukkan tiga asas penting iaitu keikhlasan, ilmu serta keyakinan penuh kepada Allah.

Beliau menegaskan bahawa setiap Muslim perlu yakin bahawa Allah sentiasa bersama hamba-Nya, sebagaimana janji-Nya dalam al-Quran.

Beliau juga berkongsi pengalaman peribadi sebagai mualaf yang pernah dihalau keluarga, namun tetap dipelihara Allah kerana bergantung harap hanya kepada-Nya.

Beliau mengingatkan bahawa kehidupan ini adalah ujian, sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan serta cara manusia menghadapinya.

Tawakal mutlak hanya kepada Allah, bukan manusia, kerana pertolongan sebenar datang daripada-Nya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga solat kerana ia menjadi kunci keberkatan hijrah. Tanpa solat, hidayah tidak akan turun.

Selain itu, masyarakat perlu berpegang teguh kepada acuan Islam (sibghah Islam) dalam setiap aspek kehidupan agar hijrah menuju kemerdekaan hakiki tercapai.

Ustaz Shah Shanmugam menyeru agar umat Islam kembali menghayati agama dengan penuh kefahaman dan penghayatan, kerana hanya dengan itu hidayah dan kejayaan hidup akan diraih.

Ustaz Sheikh Ikmal pula mengingatkan bahawa mualaf dan umat Islam secara umum tidak dapat lari daripada ujian sama ada dalam bentuk kesusahan, penolakan keluarga, kemiskinan atau penyakit.

Namun, hijrah hanya akan berjaya apabila disertai dengan kesabaran yang tinggi serta pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Beliau menegaskan agar umat Islam membina diri dengan ilmu, memperkukuh akhlak dan menjadi Muslim sebenar, bukan sekadar kekal dengan label mualaf.

Sementara itu, Ustaz Shah Shanmugam menekankan bahawa Islam adalah kemuliaan terbesar yang dianugerahkan Allah, bukan pangkat atau harta.

Beliau menyeru agar umat Islam keluar daripada belenggu penerima bantuan dan berusaha menjadi pemberi, sekali gus membuktikan kekuatan iman dan jati diri.

Menurutnya juga, Islam bukan sekadar sebutan di bibir, tetapi perlu difahami, diamalkan dan dihayati dalam kehidupan seharian.

Beliau menutup dengan mengingatkan bahawa kemuliaan hanya diperoleh melalui Islam, sebagaimana Sayyidina Umar Al-Khattab memimpin umat dengan sederhana tetapi penuh keberkatan.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati Al-Quran Edisi Khas PERKIM disampaikan oleh Dato’ Razali kepada Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Ustaz Muhammad Mustafa serta barisan ahli panel.

Manakala Dato’ Abd. Rahman pula menyampaikan buah tangan kepada Dato’ Razali sebagai tanda ingatan kenangan.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi 1 PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Tuan Haji Turedy Abdullah; Naib Pengerusi 2 PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Prof Dr Abdul Halim Abdul Majid; Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Zaatil Hidaayah Bustaman; Penolong Pegawai Pejabat Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan, Mohamad Azrol Mohd Azmi serta Penolong Pegawai Kerja PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Hazirah Azmi.

 


SKOP 18 diadakan di Lembaga Zakat Negeri Kedah, Menara Zakat, Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar.

 


Peserta terdiri daripada pelajar UniSHAMS mendaftarkan diri.

 


Saudara baharu pelbagai bangsa dari Alor Setar mengisi borang kehadiran.

 


Mahasiswa Pusat Asasi UUM menikmati sarapan pagi disediakan usai pendaftaran.

 


Ahli Wanita PERKIM Alor Setar tidak melepaskan peluang hadir program SKOP.

 


Dato’ Abd Rahman (berbaju coklat) mengalu-alukan ketibaan Dato’ Razali sambil bersalaman.

 


Tetamu kehormat berdiri sambil menyanyikan lagu nasyid Asmaul Husna.

 

 


Wanita PERKIM Alor Setar bersama-sama mengalunkan nasyid 99 Nama Allah.

 

 


Muhammad Farhan Tee Abdullah membuka tirai selaku pengacara majlis.

 

 


Bacaan doa dipimpin oleh Pengerusi PERKIM Cawangan Kuala Muda, Ustaz Imron Kochem Haji Ahmad,

 

 


Mahasiswa UUM menadah tangan ketika doa dibacakan.

 

 


Dato Abd Rahman menyampaikan ucapan aluan selaku Pengerusi PERKIM Kedah pada SKOP tersebut.

 


Hadirin mendengar ucapan yang disampaikan.

 

 


Dato’ Razali menyampaikan ucapan perasmian SKOP bagi mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

 

 


Dato’ Razali berharap, siri kuliah ini memberi manfaat, bukan hanya untuk didengar tetapi untuk direnungi dan diamalkan.

 

 


Hadirin mendengar ucapan yang disampaikan.

 

 


(Dari kiri:) Ubai, Sheikh Ikmal dan Shah Shanmugam menjayakan SKOP bertajuk Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki.

 

 


Menurut Ustaz Sheikh Ikmal, antara fokus hijrah ialah perubahan akhlak, meninggalkan sifat negatif yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

 

 


Peserta mahasiswa UniSHAMS mendengar forum yang disampaikan.

 

 


“Hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi proses berterusan yang menuntut pengorbanan dan keikhlasan,” jelas Ustaz Shah Shanmugam.

 

 


Ustaz Shah menegaskan bahawa masyarakat perlu berpegang teguh kepada sibghah Islam dalam setiap aspek kehidupan agar hijrah menuju kemerdekaan hakiki tercapai.

 

 


Ustaz Sheikh Ikmal mengajak masyarakat kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan solat, penguasaan Al-Quran serta tarbiah rohani.

 

 


Lebih daripada 230 hadirin mendengar SKOP yang disampaikan di Menara Zakat LZNK.

 


Tegas Ustaz Shah Shanmugam, Islam bukan sekadar sebutan di bibir, tetapi perlu difahami, diamalkan dan dihayati dalam kehidupan seharian.

 


Hadirin terlihat senyum dan ketawa ketika ahli panel menyampaikan kuliah berunsur jenaka.

 

 


Dato’ Razali menyampaikan cenderahati Al-Quran Edisi Khas PERKIM kepada Ustaz Sheikh Ikmal.

 

 


Ustaz Shah Shanmugam menerima cenderahati Al-Quran Edisi Khas PERKIM daripada Dato’ Razali.

 

 


Ubal menerima plak cenderahati PERKIM daripada Dato’ Razali.

 

 


Dato’ Razali menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Ustaz Muhammad Mustafa.

 

 


Dato’ Abd Rahman menyampaikan sebuah bakul cenderahati Kedah kepada Dato’ Razali selaku perasmi program.

 

 


Tetamu kehormat berkesempatan bergambar bersama barisan ahli panel SKOP.

 

 


Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta di akhir program.

Related Articles

Back to top button