SCORE PERKIM: Santuni Masyarakat Strok

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Foto: FLT
Menzahirkan keprihatinan terhadap golongan pesakit merupakan tanggungjawab sosial setiap ahli masyarakat. Usaha kebajikan tersebut merupakan amalan mulia yang dianjurkan oleh Islam.
Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM bertempat di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ianya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Universiti Malaya (UM) Cares dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia memberi perkhidmatan pemulihan khusus kepada pesakit strok serta pesakit yang baru keluar daripada hospital dan memerlukan khidmat terapi juga sosial susulan.
Selain itu menawarkan juga perkhidmatan terapi untuk semua peringkat umur, kaum dan agama melalui penjadualan yang fleksibel serta kemudahan peralatan moden.
Matlamat SCORE adalah untuk membantu pesakit mempraktik semula keupayaan yang telah hilang selepas mengalami strok. Turut melibatkan pakar perubatan pemulihan, jururawat pemulihan dan fisioterapi iaitu terapi cara kerja dan terapi pertuturan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pihak Universiti Malaya menerusi UM Cares di atas kesudian bersama-sama dalam satu projek PERKIM sebagai satu langkah memberi perkhidmatan di luar kampus.
Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Mohd. Muzammer Jamaluddin mewakili Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz di atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan majlis dengan menyediakan kemudahan dan persiapan.
SCORE merupakan projek sumbangan ihsan daripada DBKL dan projek terbaik bagi penduduk setempat. Menurut perspektif Islam, ganjaran pahala akan tetap diperoleh walaupun bentuk sumbangan sebesar zarah.
Usaha membantu pesakit strok masih kurang mendapat perhatian dari agensi kebajikan. Oleh itu PERKIM mengambil langkah sewajarnya mempergiatkan aktiviti kebajikan melalui SCORE. Tiada siapa yang terselamat sekiranya menghidapi penyakit berkaitan dengan saraf (neuro) iaitu strok. Penglibatan PERKIM secara langsung melalui SCORE bertujuan untuk memulihkan pesakit sebanyak mungkin.
Jelasnya, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama berusaha supaya pusat pemulihan seperti SCORE diwujudkan malah telah diperkenal pada tahun 1980 lagi dengan nama Pusat Pemulihan Kesihatan PERKIM.
Sejumlah 500 pesakit telah dirawat sejak penubuhannya pada tahun 1980 walaupun ruangan yang disediakan agak sempit. Pada ketika itu pusat tersebut berjaya dikunjungi oleh pelawat dari negara Kanada, Jepun, Australia, Brunei dan Sri Lanka.
Biar pun jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan tidak mencecah 1,000 orang, namun telah memberi kesan serta mengurangkan penderitaan yang ditanggung oleh pesakit dan keluarganya.
Perkim merupakan badan kebajikan yang tidak langsung berhasrat untuk menjadikan pusat tersebut sebagai medan perniagaan.
“Bukan nak cari untung tetapi untuk membantu masyarakat,” kata Dr. Mohd. Yusof ketika memetik kata-kata Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Melalui jalinan kerjasama yang erat bersama DBKL, PERKIM merancang untuk memiliki kompleks kesihatan sendiri yang diberi nama PERKIM Medicare dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat dan diwujudkan sekurang-kurangnya di setiap negeri.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung, Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Perancangan, Penyelidikan dan Perlaksanaan (UPPP), Mamat Che Chik; Timbalan Pengarah UPPP, Datuk Abdul Hanif Harun, Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah UM Cares, Prof Dr. Norzulaani Khalid dan Pakar Perubatan Pemulihan Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr. Lidya Abdul Latif.
Dr. Mohd. Yusof (berbaju hijau) merasmikan Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM baru-baru ini.
Jururawat pemulihan melatih pesakit dalam sesi terapi pertuturan.
Pesakit strok menjalani sesi fisioterapi bersama jururawat pemulihan.
Dr. Muhammad Rais (kiri) beramah mesra dengan salah seorang pesakit strok.
Dr. Mohd. Yusof bersalaman dengan pesakit strok ketika menjalani rawatan.
Dr. Mohd. Yusof (kiri) membaca buku mengenai pesakit saraf bersama tetamu kehormat.