PERKIM Sambut Korban Bersama Muhajirin Rohingya

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata : ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’. Anaknya menjawab : ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (as-Saaffaat: 102)
Aidiladha adalah perayaan istimewa bagi umat Islam dalam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail dalam mematuhi perintah Allah.
Mengambil semangat itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Ibadah Korban Perdana PERKIM 1437 H bertempat di Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya Perkim, Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Selangor pada 13 September 2016 lalu.
Penyelaras Program, Amran Anbarasu Abdullah berkata, korban bermaksud menyembelih binatang tertentu pada pada Hari Raya Aidil Adha atau Hari Tasriq iaitu 11 hingga 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Menurut Amran, ibadah suci ini menekankan perpaduan Islam yang dibina atas dasar takwa bagi mengharmoni dan memantapkan hubungan sesama Muslim.
Peristiwa korban mencatatkan sejarahnya yang tersendiri di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS melalui mimpi.
Katanya, ibadah itu secara tidak langsung dapat memupuk semangat berkorban sesama Muslim dengan menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri agar membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim.
“Tidak akan tertegak amal Islam untuk mengembalikan semula Islam yang telah dihina kepada kedudukannya yang tinggi dan mulia tanpa berkorban dan tidak akan tertegak dakwah Islamiah untuk menyeru seluruh manusia supaya kepada agama Allah tanpa berkorban,” jelas Amran selaku Pengerusi Biro Dakwah PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan.
Katanya, di dalam Islam, hukum korban adalah sunat muakkad, yakni sangat dituntut ke atas umat Islam.
Jelasnya, bagi yang sudah melaksanakan ibadah korban pada masa lalu, tidak perlulah menghentikan ibadah tersebut pada masa akan datang kerana menurut mazhab Imam Hanafi ibadah korban ini adalah wajib kerana berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang mampu membuat ibadah korban, maka jangan datang duduk di tempat sembahyang kami ini.”
“Mengikut mazhab kita iaitu Imam Syafie walaupun ibadah korban hanyalah sunat muakad, tetapi bagi mereka yang berkemampuan harus melaksanakan kerana ia satu ibadah yang penting dan dituntut,” kata Amran selaku Pengerusi Pertubuhan Mualaf Malaysia.
Tambahnya lagi, sehinggakan Rasulullah SAW mengatakan kepada puteri baginda, Saiditina Fatimah Az-Zahra: “Apabila kamu membuat korban ketika titisan darah itu menitis ke bumi hendaklah kamu lihat kerana ketika itu Allah mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan haiwan itu nanti menjadi tunggangan kita untuk menyeberangi ketika di titian Siratul Mustaqim kelak.”
Program tersebut menghimpunkan 200 masyarakat Rohingya yang menetap di sekitar Pandan Indah dan terdapat di antara mereka di bawah seliaan program penempatan semula Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Pada malam sebelumnya, petugas PERKIM menyaksikan ibadah korban di mana sebanyak empat ekor lembu disembelih diketuai oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelidikan dan Perlaksanaan (UPPP) PERKIM, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Petugas seterusnya bergotong-royong melapah dan memotong daging korban serta mengasingkan setiapnya ke dalam plastik.
Majlis dihadiri oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Program itu merapatkan persaudaraan antara komuniti minoriti Islam Rohingya serta PERKIM sekali gus memperkenalkan pertubuhan berkenaan kepada kumpulan sasar berkenaan.
Selain memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat minoriti Islam, ia secara tidak langsung memperkenalkan PERKIM sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada umat Islam.
Komuniti Rohingya perlu berusaha untuk menguasai, memahami dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik melalui penganjuran kelas yang akan dikelolakan oleh PERKIM.
Dr. Mohd. Yusof turut menyampaikan daging korban dan wang raya kepada 200 masyarakat Rohingya sambil beramah mesra terutamanya kanak-kanak.
Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM ditubuhkan pada tahun 2009 dan pengurusan sepenuhnya ditaja oleh PERKIM.
Antara subjek atau mata pelajaran yang disediakan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni, Sains dan Bahasa Arab.
Majlis berakhir dengan menikmati juadah makanan daging kari dan sup daging.
Yang turut hadir ialah pimpinan PERKIM iaitu Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah UPPP, Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin serta Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Ahmad Mustafa.
Antara satu daripada empat ekor lembu yang dikorbankan untuk majlis ibadah korban perdana bagi masyarakat Rohingya.
Di dalam Islam, hukum korban adalah sunat muakkad, yakni sangat dituntut ke atas umat Islam.
Petugas bergotong-royong melapah dan memotong daging korban yang baharu disembelih.
Dr. Mohd. Yusof (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak Rohingya.
Masyarakat Rohingya menerima sumbangan wang raya daripada Setiausaha Agung PERKIM.
Dr. Mohd Yusof (tiga dari kanan) menyerahkan daging korban kepada Ghani (baju merah jambu) selaku pengetua pusat tersebut.
Antara 200 masyarakat Rohingya bergambar di majlis ibadah korban perdana.
Tetamu kehormat PERKIM bergambar bersama-sama masyarakat Rohingya di akhir majlis tersebut.