Ramah Mesra YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad Bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2023 – Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dan Badan Gabungan PERKIM dalam majlis ramah mesra.
Majlis yang menghimpunkan seramai lebih 40 orang itu terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Pengerusi PERKIM Bahagian-bahagian dan wakil Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) diadakan bertempat di Restoren Amber, dekat sini.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Abdul Qawi Navine Abdullah serta majlis diacarakan sepenuhnya oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya di majlis tersebut.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Majlis Kebangsaan PERKIM ke majlis tersebut dan ianya bertujuan untuk merapatkan ukhwah Islamiyyah dan silaturahim di antara mereka bersama Tun Yang Dipertua.
Katanya, ia diadakan kerana pertemuan Ahli Majlis Kebangsaan dengan Tun Yang Dipertua hanya berlaku beberapa kali dalam setahun di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan dan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan sahaja.
Sejurus itu, diadakan tayangan rangkuman video Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menyampaikan ucapannya mengenai Islam di beberapa buah negara seperti di London, Jepun, Turki, Bosnia dan pertemuan beliau bersama pemimpin-pemimpin di seluruh dunia.
Tun Mahathir pula dalam ucapannya berkata, PERKIM adalah badan dakwah yang bertanggung jawab mengembangkan ajaran agama Islam di kalangan Islam dan bukan Islam.
Kita lihat orang Islam sesama Islam bermusuh sehingga mereka berperang, membunuh dan merosakkan negara-negara mereka.
Ini bukanlah ajaran daripada agama Islam kerana Islam mencegah dan menegah daripada membunuh tetapi ajaran Islam mengajar kita erti persaudaraan.
Kata Tun Mahathir, Tuhan menjadikan kita pelbagai puak, bangsa dan agama bukanlah menjadi hasrat kita untuk bermusuh dengan mereka, sebaliknya kita perlu tahu cara mereka dan kita perlu kembangkan ajaran agama kita.
“Saya berasa kita tidak bersyukur kerana hari-hari di merata tempat banyak berlaku malapetaka di seluruh dunia seperti gempa bumi, gunung berapi, tsunami, banjir besar, puting beliung, taufan, hutan-hutan yang terbakar yang menyebabkan ramai orang mati.
“Kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana negara kita telah terselamat dari semua malapetaka.
“Kita dilindungi di sebelah timur iaitu negara Filipina yang berlakunya kejadian angin taufan menyebabkan lebih 10 kali kerosakan rumah dan runtuh serta kematian ratusan orang.
“Di sebelah barat pula, kita dilindungi oleh Sumatera yang berlakunya kejadian ombak besar Tsunami menyebabkan seluruh bandar musnah termasuk ribuan manusia walaupun di Malaysia terkesan sedikit di Pulau Pinang dan Langkawi.
“Kita perlu selalu bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana kita terselamat dari malapetaka yang belaku dan telah memberi banyak nikmat-Nya kepada kita.
Menurut Tun Mahathir, kita bukan sahaja mementingkan akhirat dengan melaksanakan mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat fitrah dan menunaikan fardu haji tetapi banyak lagi ajaran Islam yang kita ketepikan.
Melindungi orang Islam merupakan sebahagian daripada ajaran Islam di mana di dalam al-Quran disebut kita perlu bersedia untuk mempertahankan dan menyelamatkan umat Islam.
Tambahnya, kita dapati sekarang ini keruntuhan akhlak berlaku di seluruh dunia iaitu budaya LGBT.
Ini bertentangan dengan ajaran Islam bahkan bertentangan juga dengan ajaran Kristian, tetapi mereka sudah ketepikan agama mereka dan cuba kembangkan fahaman mereka di kalangan orang Islam.
Terdapat ramai orang yang tidak lagi berpegang kepada jantina dan mengagungkan budaya yang tidak masuk akal itu.
Tuhan menjadikan kita lelaki dan perempuan supaya kita mendapat zuriat-zuriat serta kita dijadikan wanita dan lelaki supaya dapat mengembangkan bangsa kita.
Keseronokan mereka itu sehingga ada yang telah mengadakan perkahwinan di antara lelaki dan lelaki serta perempuan dan perempuan. Perkahwinan terlarang itu menyebabkan mereka tidak akan mendapat zuriat hasil daripada perkahwinan sejenis.
Budaya itu cuba dikembangkan di kalangan orang Islam dan ada juga anak muda Islam yang terpengaruh dengan berkata, apa salahnya menikmati keseronokan dan budaya tersebut bukanlah satu jenayah.
Tun Mahathir mengajak hadirin berfikir, jika kita menolak nilai moral dan akhlak kita, kepercayaan kita, maka nilai-nilai hidup yang mulia kita akan runtuh.
Jika tidak ada perkahwinan di antara lelaki dan perempuan, kita tidak akan lagi mendapat zuriat dan jika ini diteruskan, maka bangsa itu akan hilang serta anak cucu tidak ada lagi.
Jelasnya, janganlah kita dengan mudah menerima keruntuhan akhlak yang berlaku di negara barat untuk diserapkan ke dalam negara kita.
“Saya percaya, kita akan terus berpegang dengan ajaran Islam yang mempunyai akhlak tertentu dan cara hidup tertentu dengan mengamalkan ajaran Islam, kita akan menjadi orang yang berjaya dalam semua bidang bukan sahaja agama tetapi dalam bidang lain juga.
“Kita perlu mengembangkan ilmu pengetahuan kita supaya dengan ilmu pengetahuan itu dapat kita tentukan negara kita dan dijadikan negara di mana orang Islam berjaya mengamalkan ajaran Islam serta hidup cara Islam iaitu Ad-din.
“Jika kita melaksanakannya, insya-Allah kita akan mencapai kejayaan,” ujar Tun Yang Dipertua PERKIM.
Ulas beliau, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara dan melindungi kedudukan orang Islam di Malaysia bukan dengan cara merebutkan hak-hak orang lain, tetapi dengan mencapai kejayaan dalam semua bidang iaitu bidang ilmu, perniagaan, ekonomi dan sebagainya supaya Malaysia terus menjadi contoh kepada dunia Islam di mana orang Islam mampu mentadbir, membangun serta melindungi negara dengan baik.
“Bukan kita hendak kejar kekayaan hanya kerana kita tamak, tetapi kekayaan memberikan kekuatan kepada kita.
“Apabila kita jadi miskin, kita menjadi lemah kadang-kadang agama pun akan dipisah daripada kita.
Jelas Tun Mahathir lagi, kita amat sedih melihat orang Islam meninggalkan negara Islam dan pergi negara bukan Islam kerana negara bukan Islam lebih selamat.
“Terdapat di negara Islam rakyatnya didera, ada mati dalam kebuluran dan ramai daripada mereka mati dalam perjalanan menuju ke negara bukan Islam.
“Kenapakah orang Islam meninggalkan negara Islam untuk berhijrah ke negara bukan Islam? Sebabnya ialah pentadbiran negara Islam oleh orang Islam tidak berjaya dan tidak memberi keselesaan hidup kepada rakyatnya yang kebanyakkannya ialah penganut agama Islam.
“Kita semua berasa bertanggungjawab terhadap diri kita dan umat Islam di Malaysia dan terhadap keamanan dan kestabilan negara kita.
“Sebenarnya tidak ada panduan yang lebih baik selain daripada al-Quran. Di dalam al-Quran terdapat nasihat-nasihat dan panduan-panduan tentang cara hidup Islam,” kata Tun Mahathir mengakhiri ucapannya.
Turut hadir isteri Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta pimpinan PERKIM iaitu, Timbalan Yang Dipertua, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Naib-naib Yang Dipertua, YBhg Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Bendahari Kehormat, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dato’ Haji Ali Ab Majid, YBhg Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, YBhg Dato’ Haji Nawawi Ismail dan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Hajah Asmah Md Rashid.
Hadir sama pimpinan PERKIM iaitu, Pengerusi Bahagian Negeri Sembilan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Pengerusi Bahagian Pulau Pinang, YBhg Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid; Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor, YM Dato’ (Dr) Syed Ali Mohamed Al-Attas serta Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Wira Mansor Haji Ismail.
Turut diadakan sesi dialog di antara Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bersama Tun Dr Mahathir.
Ahli-ahli Majlis Kebangsaan berkesempatan menyanyikan lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ diiringi acara memotong pulut kuning bagi meraikan hari kelahiran Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.
Majlis berakhir dengan jamuan makan tengah hari dan sesi fotografi.

Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM menyambut ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Farhan Tee menyampaikan ucapan selaku pengacara majlis.

Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di majlis ramah mesra tersebut.

Ahli Majlis Kebangsaan terdiri dari kalangan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri-negeri hadir ke majlis itu.

Ahli Majlis Kebangsaan mendengar ucapan yang disampaikan.

Tun Mahathir berkesempatan menyampaikan ucapan di hadapan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.

Menurut Tun Mahathir, PERKIM merupakan badan dakwah yang bertanggung jawab mengembangkan ajaran agama Islam.

Menurut Tun Mahathir, di dalam al-Quran banyak terdapat nasihat-nasihat dan panduan-panduan tentang cara hidup Islam.

Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim menyampaikan pendapat beliau kepada Tun Mahathir.

Pengerusi Bahagian Pulau Pinang, YBhg Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid turut menyatakan hasrat dan pendapatnya kepada Tun Mahathir.

Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim turut menyuarakan hasratnya berkenaan dakwah kepada Tun Mahathir.
Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor, YM Dato’ (Dr) Syed Ali Mohamed Al-Attas memberi pandangan beliau kepada Tun Mahathir.

Tun Mahathir dan isteri memotong kek ulang tahun hari kelahiran sambil dinyanyikan lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.

Tun Mahathir berkesempatan bergambar dalam sesi fotografi bersama Ahli Majlis Kebangsaan sambil menunjukkan isyarat syahadah.